Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13 - Soalan dan jawapan

TIDAK mampu dia melepaskan pandangannya pada Huzair. Semenjak kejadian setengah jam yang lalu, selepas Huzair menghampirinya di dapur, bercakap beberapa patah kata, kemudian meninggalkan dia terpinga-pinga sendirian, dia masih tertanya.

Ada dua soalan.

Soalan pertama tentang pelukan.

Soalan kedua tentang sesikat pisang.

Dia akan simpan dan menunggu peluang. Tidak tahu untuk dia mencari jawapannya sendiri.

Huzair masih leka berbicara dengan Hafiy.

Qaseh Imani mengalih pandang kepada beberapa sikat pisang emas di atas meja dapur, yang dibawa pulang oleh Huzair. Kata Huzair, menjadi kebiasaan bagi dia dan Hafiy, bila setiap kali pulang dari surau, mereka akan singgah di pasar berhampiran. Mereka akan pergi kepada beberapa penjual makanan, membeli beberapa juadah termasuk beberapa sikat pisang. Makanan yang pelbagai jenis daripada penjual yang berbeza.

Qaseh Imani sudah melihat isi bungkusan makanan belian Huzair. Ada beberapa bungkus nasi lemak, kueh-mueh tradisional - yang bergoreng, juga yang dikukus.

"Iman simpan pisang yang ini untuk kita. Yang lain, kita akan sedekahkan kepada jiran tetangga." Itu yang Huzair pesan kepadanya bila dia bertanya untuk apa semua makanan ini sedangkan dia sebagai isteri semenjak Subuh sudah menyediakan sarapan untuk mereka.

Mata Qaseh Imani masih melekat pada sesikat pisang yang disuruh simpan oleh Huzair 'untuk kita' itu. Kemudian, matanya beralih pula ke arah sikat-sikat pisang yang akan disedekahkan kepada jiran tetangga.

Pisang yang sama jenisnya. Pisang emas. Yang kecil-kecil bentuknya. Tetapi, dari segi rupa, berbeza.

Pisang yang mereka punya sudah agak 'buruk' rupanya. Banyak tompok hitam pada kulitnya . Tampak tidak bermaya - lembik dan ada yang sudah relai dari sisirnya.

Jauh berbeza daripada yang ingin disedekahkan. Yang ingin disedekahkan itu tampak segar, berwarna kuning keemasan yang masih tegang kuning-kulit yang membaluti tubuh setiap pisang. Dipandang pun sudah tahu bagaimana rasanya - yang pasti kenyal dan manis berlemak bila dijamah lidah.

Qaseh Imani mencipta pelbagai pertanyaan di benak. Adakah Huzair memang suka makan pisang yang buruk dengan tompok-tompok hitam? Yang nampak sedikit lembik dan tidak sesegar sebagaimana sikat pisang lain yang ingin disedekahkan? Begitukah selera suaminya?

Semakin masa beranjak pergi, memanjangkan tempoh status mereka sebagai pasangan suami isteri, semakin Qaseh Imani tidak mengerti akan sikap Huzair. Belum lengkap tempoh 48 jam menjadi isteri Huzair, banyak soalan tercipta di fikiran.

Dan, bukan seorang Qaseh Imani untuk terus bertanya kepada si suami, terutama bila ada 'orang asing' di antara mereka. Dia cuba memahami setiap persoalan itu sendiri. Mencipta jawapan lalu menolak syak kepada suami sendiri.

"Iman."

Cepat dia menoleh.

"Abang Hafiy dan Huzair hendak keluar mengagihkan makanan kepada jiran. Iman ikut sekali?" Pada waktu itu jarum jam sudah menunjukkan pukul 7.15 pagi. Matahari di luar sudah menampakkan diri di celah-celah awan putih. Mulai menguasai bumi dengan sinaran yang semakin menyerlah terang. Seolah-olah menyuluh harapan buat seluruh kehidupan.

Cepat dia mengangguk. Peluang keemasan ini harus ditangguk. Menangguh masa, untuk mengenali jiran tetangga akan lebih meresahkan dia. Lebih-lebih lagi jika Huzair tiada di rumah nanti, dan hanya ada dia yang dikelilingi oleh jiran yang masih asing padanya. Tidak dikenal muka, apatah lagi nama. Mengikuti Huzair pagi ini adalah peluang yang memang tidak akan disia-siakan oleh Qaseh Imani.

Hafiy bergerak di hadapan mereka seolah-olah itu aktiviti biasa baginya. Tidak perlu menanti arahan atau isyarat daripada Huzair. Qaseh Imani ditinggalkan berjalan berdua dengan Huzair, di belakang. Masing-masing membawa kotak yang berisi makanan. Iman punya yang paling ringan.

Kebanyakan jiran di kawasan perumahan Huzair adalah orang bukan Islam. Sesekali, bunyi salakan anjing kedengaran, mengejutkan ketakutan yang selama ini lena di dalam hati Iman.

Bila dia tersentak, Huzair menoleh. Dibalas dia dengan senyuman. Dia memang mudah terkejut, tetapi tidak pernah lari daripada ketakutan walaupun perasaan itu menekan. Dia suka menghadapinya, malah seringkali mencabar dan berusaha untuk menentang.

"Huzair ada."

Dia mengangguk. Tersenyum. Dipandang wajah Huzair dari sisi.

'Huzair ada'.

Seorang lelaki yang takut kepada amanah; kerana takut tidak mampu memberi yang terbaik, begitu yakin untuk meyakinkan orang lain. Huzair yang pelik. Huzair yang baik.

"Takziah."

Itu ucapan yang mula-mula diterima daripada setiap jiran yang mereka jumpa, bila jiran-jiran Huzair terpandangkan Huzair muncul di hadapan pagar rumah mereka. 'Terima kasih' kepada pemberian makanan yang disedekahkan itu hanya dibunyikan kemudian. Mereka itu lebih terkesan dengan kehilangan ahli keluarga Huzair, yang setelah lima tahun menghilang dari kejiranan mereka, pulangnya dengan berita yang tidak disangka.

"Awak buat perkara yang sama seperti ayah awak."

Huzair hanya mengangguk bila mendengarkan komen jiran-jirannya, sebelum mengambil ruang mengenalkan Qaseh Imani kepada mereka, lalu meminta diri dengan senyuman dan kesopanan.

Sedekah itu amalan ayah Huzair. Qaseh Imani tidak tahu sama ada dilakukan pada setiap hari atau hanya pada hari-hari tertentu. Bertambah lagi persoalan di benaknya, sedangkan yang dua tadi belum bertemu jawapannya. Yang membuatkan dia mula menyelak di celah-celah pemikiran sendiri jika ada logik yang boleh dianggap sebagai jawapan, sebelum carian itu terhenti, dicantas oleh suara Hafiy.

"Tuan, uncle ada menelefon, bertanya bila tuan ingin berjumpa dengannya?"

Sewaktu Hafiy menanyakan soalan itu, edaran makanan sudah pun selesai dilakukan. Mereka pada waktu itu sedang berjalan pulang dengan Huzair memimpin tangan Qaseh Imani di belakang Hafiy.

Huzair hanya membisu dengan pertanyaan Hafiy atau lebih tepat pertanyaan uncle. Mulutnya terkunci, tetapi mata mencari mata Qaseh Imani, sebelum melepas bicara, "Iman ikut Huzair."

Bukan pertanyaan yang memerlukan Qaseh Imani memilih jawapan sama ada ingin mengikut atau tidak, sebaliknya bicara Huzair itu seakan satu arahan.

Dia hanya mengangguk.

Melihat anggukan itu, barulah Huzair memusing tubuh memandang kembali kepada Hafiy, "Huzair datang dengan Iman petang ini ke pejabat uncle. Abang Hafiy tolong aturkan janji temu kami, boleh? Anggaran selepas Zohor."

"In-shaa-Allah. Baik, tuan. Saya minta diri dahulu. Selepas zohor nanti saya jumpa tuan di pejabat uncle."

.

.

"IMAN akan jadi isteri saya sampai bila-bila, kan?"

Soalan Huzair padanya bila mereka sudah berada di dalam rumah, menghadap sarapan, menjadikan Qaseh Imani terdiam. Cuba menelan dan menghadam.

"Huzair minta maaf. Huzair pentingkan diri sendiri. Tetapi, Huzair pasti dengan keputusan Huzair bila Huzair memilih Iman menemani Huzair dalam satu hubungan yang halal.

Iman berani masuk ke dalam hidup Huzair sebelum ini, walaupun Iman tahu situasi sebenar Huzair. Tahu akan kebenaran yang orang lain tidak tahu. Yang jika mereka tahu, pasti mereka menghindar. Pasti mereka, sama ada rasa belas atau menjauh kerana tanggapan yang tidak elok sudah menguasai fikiran.

Tetapi Iman, tidak begitu. Huzair nampak Iman seolah-olah mencabar Huzair dengan cara Iman membalas setiap amaran Huzair. Atau, mungkin juga Iman mencabar diri sendiri. Iman punya keinginan terhadap cerita hidup Huzair yang sebenar, yang celanya sudah Iman ketahui. Hanya jalan terbentuknya cela itu yang masih tidak terlerai di benak Iman. Dan ... Iman tidak akan pergi daripada rasa ingin tahu itu, walaupun setelah kebenaran terungkai. Tidak kira sama ada rungkaian itu akan menyakitkan Iman atau sebaliknya. Iman tidak akan pergi daripada Huzair, bukan?"

Debar-debar mula menari dengan rentak yang Iman tidak senang. Resah bertandang di dadanya, walaupun ini bukan kali pertama Huzair meminta kepastian terhadap keberadaan, kesetiaan Iman di sisinya sebagai seorang isteri. Iman tidak suka dengan rentak yang sedang rancak berkumandang di dadanya.

Huzair menanti sambil merenung ke dalam anak mata Iman, menyelam jawapan.

"Iman."

Suara yang menyebut namanya itu, bergetar. Tubuhnya terasa didakap, tiba-tiba.

"Jangan pergi. Janji. Tolong."

Bisikan halus suara Huzair di cuping umpama sihir yang menyusun semula rentak jantungnya yang tadi rancak.

Dia memejam mata. Merasai pula detakan lain di luar dada. Detakan jantung Huzair.

"Tak," balasnya seiring tangan yang sudah menggosok lembut belakang tubuh Huzair. "In-shaa-Allah, Iman tak akan tinggalkan Huzair." Dia cuba membantu suaminya mengurangkan detakan yang pastinya menghentak, sakit. Lelaki ini sedang menahan ketakutan dalaman. Cuba kuat dengan mendakap Iman.

'Mungkin ini jawapan kepada perlakuan Huzair di pagi hening tadi,' bisik hati Qaseh Imani.

Huzair yang pulang dari surau, sebaik membuka kunci rumah, terus mencari Iman. Dibiarkan sahaja Hafiy yang pulang bersamanya, menanti di ruang hadapan. Bila berjumpa Iman di dapur, yang tidak sedar kepulangannya, tanpa amaran, tanpa salam, didakap tubuh isterinya dari belakang. Hampir sahaja Qaseh Imani menjerit, terkejut. Hampir juga disiku perut Huzair sebelum hidungnya menangkap bau tubuh suami dengan bisikan salam dari bibir yang hampir mengenai pipi.

.

.

PERSOALAN kedua dan juga ketiga Qaseh Imani terjawab bila dia diberi ruang bertanya oleh Huzair. Kata Huzair, "Huzair hanya mengikut apa yang arwah ayah buat. Bersedekah kepada jiran seminggu sekali. Biasanya pada hari Jumaat.

Arwah selalu beli dan menyedekahkan pisang yang elok kepada jiran-jiran. Menyimpan dan memakan pisang yang sedikit buruk tetapi masih boleh dimakan untuk diri sendiri."

"Kenapa? Bukankah arwah mampu untuk membeli pisang yang elok juga untuk diri sendiri? Kenapa masih perlu membazir membeli yang buruk?"

"Arwah ayah kata, tiada yang membazir jika ia bukan untuk dibuang begitu sahaja. Dan, tiada ralat jika kita ada niat yang baik sewaktu membelinya. Kata arwah ayah, jika kita tidak beli, siapa pula yang akan membeli pisang buruk itu? Tentu-tentu sahaja akan busuk dengan sendirinya dalam simpanan si peniaga, lalu, memberi kerugian kepada si peniaga. Arwah sebenarnya hanya ingin membantu peniaga kecil itu untuk menghabiskan jualan. Sedekah wang, satu perkara. Sedekah perbuatan pula satu perkara.

Manusia mungkin nampak perkara itu sebagai satu kebodohan kerana memberi untung kepada orang berniaga, menyimpan rugi untuk diri sendiri dengan mengeluarkan belanja. Tetapi, niat yang ikhlas dan tersembunyi itu hanya Yang Bijaksana yang mampu mentafsirnya. Sembilan puluh sembilan sifat Allah, arwah ayah jadikan panduan dalam mendidik Huzair, kakak dan adik-adik.

Arwah kata lagi, biasanya peniaga masih menjual pisang yang rupanya sedemikian kerana mereka sentiasa punya harapan. Harapan agar ada yang membeli tidak kira berapa harga. Murah atau dengan harga asal. Kerana setiap sen amat berharga buat peniaga kecil seperti mereka. Setiap sikat dan sisir adalah rezeki buat mereka dan anak-anak mereka. Gembira di wajah mereka, kata arwah ayah adalah cahaya buat kita di dalam kubur nanti. Sedekah ikhlas yang tidak terlihat. Tersuluh di liang lahad yang gelap."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro