Bab 12 - Catatan pertama
(Draf. Mungkin akan diubah)
Selamat membaca.
Double update.
***
"IMAN ..." Huzair sentuh tangan Iman, lalu digenggam. "Jangan lelah jadi isteri Huzair. Jangan terasa hati bila Huzair bukan suami yang Iman dambakan. Dan, Huzair minta maaf awal-awal sebelum apa-apa terjadi pada Iman."
Usai berbicara pada Qaseh Imani, yang bicara itu pada Qaseh Imani, masih belum lengkap lagi, terus Huzair menundukkan wajah. Merapatkan dahi ke tangan isteri yang masih digenggam. Menangis seumpama dia telah membunuh orang yang Qaseh Imani sayang.
Hanya dipandang oleh Qaseh Imani.
Dalam redup wajah yang kini sudahpun mendongak, Huzair bersuara dalam serak, "Iman bacalah. Huzair nak baca Quran sementara menanti Subuh. Kalau Iman rasa mengantuk, tidurlah dulu."
Qaseh Imani ditinggal pergi. Huzair bangun, membawa langkah ke bilik air untuk memperbaharui wudhu', sebelum kembali ke atas sejadah yang setia terhampar selepas mereka selesai solat tahajud dan solat taubat tadi. Rehal kayu dengan senaskhah tafsir al-Quran di atas meja sisi katil, dicapai Huzair. Dengan kerendahan hati dan suara, Huzair mulai membaca. Sesekali, terhenti untuk mentadabbur makna.
Basah mata Qaseh Imani. Banjir air mata juga hatinya sebagai isteri melihatkan suaminya yang menekuni hidup Islami. Semerta hatinya melafaz doa sambil mata terikat pada belakang tubuh suami yang langsung tidak sedar dirinya sedang diperhati. Fikirnya, Qaseh Imani sedang membaca catatan daripada 'Fail X' yang telah pun sedia terpapar.
'Ya Allah. Dia hamba-Mu yang tampak sempurna di mata dunia, tetapi celanya KAU sembunyikan sekemas-kemasnya. Cela yang menguji tabahnya jiwa seorang Huzair. Ya Allah, KAU tabahkan hatiku jua sebagaimana KAU tabahkan hati Hajar yang ditinggal sendirian dengan bayinya di tengah kontang padang pasir. Berlari dari Safa ke Marwah mencari air.
Tabahkan jua hatiku sebagaimana KAU tabah dan meletakkan percaya di hati Maryam, ibu Isa dengan fitnah dan nista terhadap keajaiban-MU yang KAU serlahkan pada dia.
Aku juga memohon ketabahan dan kelembutan Khadijah isteri Rasulullah SAW, ketika Khadijah memujuk dan menenangkan Baginda yang baru pulang dari gua Hira' selepas menerima wahyu pertama. Yang ketika pulangnya ke rumah dalam keadaan gementar ketakutan dan minta diselimutkan. Aku ingin menjadi selimut Ahmad Huzair tika dia berada di dalam ketidakyakinan.
Ya, Allah, aku memilih Ahmad Huzair melalui doa yang kupanjatkan kepada-MU di saat fikiran buntu, jiwa rasa tidak tentu. Dan, kini aku ingin menjadi isterinya selama aku bernyawa, dengan kekuatan dan ketabahan yang KAU pinjamkan.'
Doa yang dibisikkan dari jiwa sedih dan pedih seorang isteri itu disulami dengan air mata pengharapan. Runtun hatinya melihatkan Huzair yang cuba melawan kesakitan yang tidak kelihatan. Kesakitan yang dirasai bila ada suara ghaib yang kedengaran membisik. Di dalam minda. Di dalam jiwa.
Yang mengusik tenang. Yang menggoyah keyakinan.
"Bismillah."
Qaseh Imani memulakan bacaan.
Sebuah catatan oleh Ahmad Huzair.
SEPTEMBER 2007
Hari ini aku terasa ingin mencatat apa yang berlaku pada diri aku. Aku tidak mahu semua yang berlaku itu dilenyapkan oleh memori kesakitan. Di permulaan catatan ini, inginku zahirkan pengakuan yang aku benar-benar menyayangi ibu dan ayah. Kakak dan adik-adik. Juga Hazim yang sudah dijemput awal oleh Tuhan.
Aku tahu yang ayah sedar aku bukan budak bijak. Tetapi, ayah yakin aku mampu.
Berbanding adik-beradikku, aku yang selalu lambat menangkap apa yang ayah soal dan ajarkan. Aku tahu ayah tidak pernah mendesak untuk aku jadi bijak, jadi yakin di hadapan orang. Tetapi, aku sendiri yang memaksa diri aku untuk menjadi seperti itu. Seperti harapan ayah. Seperti keyakinan ayah yang sentiasa positif terhadap kemampuanku.
Kata Cikgu Mustaqim, guru bahasa Melayu aku, alangkan belakang parang lagikan diasah mampu tajam, apatah lagi otak manusia. Memang Allah kurniakan otak dan keupayaan setiap manusia itu berbeza-beza. Bukan sebab Allah pilih kasih, pilih rupa atau pilih iman di hati manusia yang hanya DIA tahu ada atau tidak, banyak atau sedikit. Bukan!
Allah kurniakan semuanya berbeza kerana Allah tahu setiap hamba-Nya punya daya yang bagaimana untuk menyamakan semua itu. Malah, kepada yang dikurniakan kelebihan, jika kufur tidak akan ke mana pun. Suatu hari akan menyesal pula dengan kekufuran tersebut.
Allah kurniakan aku agak lembab menangkap perkara ilmu. Malah, kerana lembabnya aku, aku hilang keyakinan diri. Lebih tidak yakin bila aku pernah terdengar seseorang mengata kepada seseorang yang lain dengan kejelekan perkataan. Katanya, 'Betullah Allah adil. Kau yang hensem dikurniakan kebodohan. Dia yang tercela mukanya dikurniakan kebijaksanaan. Bukankah itu adil?'
Dan, ditambah pula kata-kata lain yang lebih menyakitkan, 'Punya rupa, tapi bodoh! Lebih baik dilahirkan kurang rupa, tapi bijak otak. Sekurang-kurangnya boleh jana kekayaan dengan kebijaksanaan. Bila sudah punya wang, boleh dicantikkan wajah.'
Kata-kata itu walaupun tidak ditujukan kepada aku, tetapi dengan mendengarnya aku nekad untuk tidak jadi bodoh dan lembab. Tidak ingin juga hilang keyakinan dan memalukan ibu dan ayah. Tidak mahu ada kejelekan kata yang menampar di muka sehingga terus rasa, bukan lagi bodoh tetapi terhina. Dihina oleh manusia yang tidak pandai menilai keadilan Tuhan. Sesedap rasa memberi pandangan!
Aku korbankan diri untuk belajar siang dan malam. Tiada sesiapa pun di kalangan anggota keluargaku yang perasan. Aku membaca, buat latihan dan memaksa diri untuk faham. Sehingga aku rasa penat. Dan, kepenatan itu kerana kekurangan tidur dan rehat. Aku hampir terlupa akan tujuan Allah menciptakan malam. Sedangkan setiap hari aku mentadabbur ayat-ayat al-Quran.
Menggali segala ilmu di dalamnya yang orang kata, hamba Tuhan yang mengadap al-Quran bukan sahaja matanya terang, tetapi hatinya juga. Hati yang didengarkan bacaan al-Quran, yang berusaha menyelak rahsia ilmu di dalamnya, malah yang mencuba-hafal ayat-ayatnya akan mudah mencerap apa sahaja ilmu. Ya, aku ingin begitu.
Tetapi, di dalam membacanya, aku lupakan masa rehat di waktu malam. Sedangkan Allah memberi titip pesan di dalam al-Quran yang aku sentiasa hadap.
Di dalam surah al-Furqan, ayat 47 nyata Allah menerangkan apa yang aku abaikan.
"Dialah yang menjadikan malam untukmu (sebagai) pakaian, dan tidur untuk beristirehat dan Dia menjadikan siang untuk bangkit berusaha."
Tetapi, aku?
Menjadikan kedua-dua keajaiban masa – malam ataupun siang itu sebagai masa untuk aku berusaha tanpa istirehat. Kerana keinginan yang membuak, aku penat yang tidak terlihat. Hanya tersedar akan segala kepenatan itu bila aku sudah tidak mengenal di antara suara di alam realiti dan alam ilusi.
Kepenatan itu juga tidak berguna apa kerana bijak otak, tapi tidak mampu menyembunyikan ketidakyakinan diri. Aku tidak pernah mampu meyakinkan rakan-rakan sendiri yang jika mereka berusaha, mereka pasti berjaya.
Aku dilempar dengan tuduhan yang aku memang berasal daripada keturunan bijak pandai. Mereka kata aku menipu dengan usaha yang bergalang waktu. Mereka kata, aku belajar sedikit, dan dapat banyak. Andai mereka berusaha pun, mereka tidak akan dapat menyaingi keputusan peperiksaan aku.
Aku terkelu dengan semua tuduhan itu. Apa daya aku untuk membuktikan bahawa keputusan peperiksaan aku yang cemerlang itu adalah hasil usaha aku yang tidak tidur malam? Aku seperti mereka. Tiada otak yang bijak. Hanya usaha.
Dan, kerana aku dilahir dan dibesarkan oleh manusia yang ternama, dan kaya, yang rata-rata orang tahu ibu ayah itu bijak. Kakak dan adik-adik juga bijak. Maka, mereka sangka aku bijak juga? Menolak semua usaha aku yang mengorbankan waktu?
Aku lelah. Bukan kerana korban masa untuk mencapai yang setara dengan apa yang keluarga aku miliki, tetapi lelah bila tidak dapat menarik rakan-rakan yang lemah minda agar berusaha. Aku bukan seorang 'influencer' yang berjaya. Aku masih seorang Ahmad Huzair yang gagal.
Mungkin benar kata orang yang bila kita dilahirkan kembar, segala-galanya terbahagi dua. Sama ada terbahagi sama rata atau terbahagi dalam kelebihan dan kekurangan di antara keduanya.
Mungkin Hazim, kembarku yang diambil nyawanya itu jika dia hidup dan kami sama-sama membesar akan membuktikan bahawa dia itu yang diberi lebih. Lebih kacak, lebih bijak dan lebih yakin diri.
Entah.
Aku tidak mahu memikir dan mencipta hipotesis di dalam minda yang sudah terlalu banyak prasangka terhadap bermacam perkara. Aku, kata ayah perlu lebih berfikiran terbuka dan lebihkan usaha. Dunia Tuhan terlalu luas dengan perkara ilmu yang perlu diteroka.
Terlalu luas juga untuk mata merayapi segala ciptaan-Nya dan mencipta percaya yang semua ini ada sebab diciptakannya. Hatta, seburuk-buruk dan sehina-hina babi itu sendiri punya fungsi di dunia Ilahi.
Allah tahu. Aku ini sebagai hamba-Nya yang perlu berusaha. Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya?
Bulan ini. Bulan September yang berbeza kerana bulan inilah yang pertama aku memulakan menulis segalanya di dalam komputer. Di bulan ini aku jadi yakin dan percaya pada diri sendiri. Aku 'influencer' kepada seseorang. Aku gembira. Syukur pada Tuhan.
Di saat aku hampir putus asa dan kembali menoreh luka jika gagal buat kesekian kalinya, Tuhan hadirkan dia. Dia, dengan kata-katanya yang aku ini telah berjaya sebagai seorang khalifah yang menjalankan amanah. Dia, yang dengan kata-katanya yang menyatakan bahawa, hatinya sedikit reda bila aku datang dan memberikan pujukan serta nasihat.
Dia ...
Gadis kecil yang aku tidak tahu namanya.
Aku jumpa dia di kuburan ketika dia menangisi kematian ibu dan ayahnya. Seorang diri. Sedang memeluk tiang kanopi.
.
.
QASEH IMANI menghentikan pembacaan. Air matanya sudah berjejeran.
'Allahuakbar, Huzair. Kerana aku, kau mencatat. Kerana aku, kau bertahan daripada melukakan dirimu pada hari itu?'
Qaseh Imani menoleh ke belakang. Huzair masih lagi membaca al-Quran. Belakang tubuh suaminya itu terhenjut-henjut. Sedang menangis, mungkin. Andai ada yang mengata bahawa Huzair itu gila, lihatlah kegilaannya. Manusia gila manakah yang begitu lembut hati, yang mudah tersentuh dengan ayat-ayat Tuhan? Sedangkan yang mengaku waras pun hatinya keras.
Tidak mengalir air mata bila mendengarkan bacaan ayat-ayat Tuhan.
Qaseh Imani pernah terbaca akan kisah kemurungan yang dia percaya Huzair itu salah seorang yang menghidap rasa kemurungan. Satu rasa yang sering dikaitkan dengan jiwa yang dikatakan jauh daripada Tuhan.
Tetapi, lihatlah pada suaminya ini. Jauhkah Huzair daripada Tuhan? Setiap hari Quran di tangan. Setiap kali azan, sebak mendahului bacaan. Akal manusia terlalu lemah dalam mentafsir insan. Tetapi, masih ingin mentafsir dan mengambil kerja Tuhan.
Kemurungan bukan jiwa yang jauh daripada Tuhan walaupun sebahagian insan yang menghidapnya tampak jauh dan menjauh. Tetapi, masih ada yang berpaut teguh. Kemurungan, kepenatan dengan rasa jiwa dan minda yang tidak tenteram itu adalah satu penyakit. Yang bisa dirawat sebagaimana penyakit yang lain.
Cuma, manusia perlu buka minda. Perlu percaya apa yang Allah sembunyikan dari dunia nyata. Apa yang berlaku pada Huzair itu ujian. Tidak mustahil jika itu yang Allah hendak titipkan. Huzair punya rupa. Punya harta. Punya percaya pada agama. Malah, pernah punya keluarga yang tidak ada langsung kepincangannya. Bagaimana Huzair boleh jadi murung? Bagaimana 'suicidal thought' boleh hinggap di minda Ahmad Huzair?
Wahai insan, percayalah pada Tuhan. Tiada yang mustahil bagi-Nya dalam menjadikan sesuatu. Dan, di sebalik sesuatu itu ada sesuatu yang ingin DIA sampaikan. Hanya manusia yang berakal dan ingin meneroka rahsia Tuhan akan jumpa jalan.
Deringan jam yang ditetapkan oleh Huzair mula mencuri perhatian. Huzair sudah mula melangkah masuk ke bilik air untuk membersihkan diri. Sudah dimaklumkan kepada Qaseh Imani semenjak selepas mereka sah bergelar suami isteri, yang solat Ahmad Huzair itu di surau.
Qaseh Imani perlu membawa diri sendiri. Dan, Huzair melarang Qaseh Imani meninggalkan rumah. Hafiy akan datang setiap sebelum azan Subuh untuk menemani Huzair ke surau.
Qaseh Imani menutup MacBook yang telah sedia padam. Esok sahaja dia menyambung pembacaan catatan suaminya. Sekurang-kurangnya dia tahu apa yang membantu Ahmad Huzair melepaskan rasa selain daripada menoreh luka, lalu menghayati pemandangan lengan yang bersilang darah.
Sebuah catatan.
Sebagai penyimpangan pemikiran yang menyuruh bunuh atau toreh, melukakan.
Yang catatan itu dimulakan selepas Huzair mengenali dirinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro