Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10 - Telepati, tautan hati

(Draf. Mungkin akan diubah)

Selamat membaca.

***

"IMAN ..." Emran menegur bila dilihat Qaseh Imani jeda walaupun telefon sudah diletakkan di atas meja. Menandakan bicara adiknya itu dengan Ahmad Huzair sudah tamat.

"Kita makan dulu, long," Iman memaksa senyum, sambil tangan mencapai segelas air. Dicicip sedikit, lalu diletakkan semula sebelum perlahan menggumpal nasi dan disuap tertib ke mulut.

Kelakuannya diperhatikan oleh Emran tanpa ada rasa ingin menegur. Nasi yang ditelan Qaseh Imani, tidak lancar di mata Emran. Riak wajah Iman bagai menelan dalam keterpaksaan.

Emran menyambung makan. Mata, sesekali mengerling ke wajah si adik. Cuba mengunyah apa yang didengar sepanjang perbualan Qaseh Imani dengan Ahmad Huzair.

"Aku bersedia memikul janji menjadi seorang isteri kepada kau kerana sifat patuh kau pada kehendak orang tua. Kau tidak yakin dengan kebolehan diri, tetapi demi mereka, kau berusaha untuk mencapai yang terbaik.

Seorang lelaki yang mematuhi bukan sahaja kemahuan orang tua, malah apa yang digariskan agama, adalah lelaki yang tinggi nilai dirinya. Sedangkan sewaktu aku mengenali kau itu, kau hanyalah seorang kanak-kanak sebaya aku yang kita tidak punya apa rencana terhadap masa hadapan kita.

Aku akui yang aku mengkagumi diri kau sebagai seorang khalifah kecil pada pertemuan pertama kita. Sementelah, kau adalah lelaki pertama yang bukan di kalangan ahli keluarga aku, yang menenangkan aku, di saat aku goyah. Tanpa sedar, aku telah mendoakan segala kebaikan buat kau untuk kehidupan masa hadapan kau.

Tetapi, bila aku mengetahui akan kesakitan yang kau alami dan kau menanggungnya sendirian, aku jadi kasihan. Dan, kasihan itu menjadi semakin membesar dengan ketabahan kau menyembunyikannya di sebalik kejayaan demi kejayaan. Aku ingin berada di dalam hidup kau yang penuh dengan rasa sakit yang tersorok.

Janji yang kau minta aku buat itu adalah kunci yang aku nanti. Kerana itu aku terima tanpa berfikir kedua kali. Aku telah lama memohon petunjuk daripada Allah agar ditunjukkan jalan sama ada hendak menjauhi kau atau membiarkan sahaja masa yang membentuk ketentuan. Itu sebabnya, Huzair."

Emran menghela nafas. Kata-kata itu kacau di dalam kepalanya. Cuba ditelan bersama-sama dengan nasi dan cubitan-cubitan ayam masak kari dan sambal belacan. Tidak disangka yang pertemuan adiknya dengan seseorang yang digelar khalifah kecil itu membawa kepada satu janji, mengikat hati.

.

.

"ALONG sudah dengar setiap kata-kata Iman pada Huzair, bukan?"

Emran tidak menjawab, sebaliknya hanya merenung wajah adiknya. Adakah Qaseh Imani akan jadi seteguh ini jika mak dan ayah masih hidup? Atau, menjadi terlebih manja?

"Ya, Iman. Along dengar."

'Kenapa kau begitu yakin dengan diri, dik? Dan, kenapa kau begitu tega untuk masuk ke dalam hidup Ahmad Huzair yang sakit itu? Kau tahu apa yang akan kau hadapi, bukan? Along tidak memahami kau, Iman. Hanya keyakinan yang membuatkan along melepaskan kau kepada kehendak hati kau.'

"Kita ikut perancangan Huzair, ya long?"

"Iman betul sudah bersedia ke? Iman muda lagi. Haidar sendiri pun berkahwin pada umur 29 tahun. Tangungjawab sebagai isteri tidak mudah. Jika ada rezeki akan jadi ibu. Dengan keadaan Huzair yang begitu, Iman pasti Iman tidak mahu minta Huzair tangguhkan dulu masa kalian? Sekurang-kurangnya bertunang dulu dalam setahun."

"Abang Haidar lelaki, long. Dia perlu bersedia bukan sahaja ilmu agama, tapi harta dalam bentuk fizikal untuk menampung anak orang. Sedangkan Iman adalah sebaliknya. Iman tidak mahu susahkan Huzair, dengan meminta penangguhan. Banyak lagi perkara yang hendak diuruskannya. Penangguhan itu akan memberat di kepala dia. Mengganggu pemikirannya terhadap perkara lain. Dan ... Iman takut Huzair tidak mampu bertahan seorang diri."

"Jangan menerima seorang lelaki kerana rasa belas dan kasihan, Iman. Jika dia berubah, Iman yang payah. Kasihan itu sifatnya tidak lama. Boleh hilang sekelip mata bila sudah rasa berat akan tanggungjawab sebenar. Jika dia boleh menanggung sakitnya selama ini tanpa Iman di sisi, takkanlah setahun lagi tidak boleh?"

"Dulu, keluarganya ada, long. Walaupun mereka tidak selalu di sisi Huzair. Tidak tahu keadaan sebenar Huzair. Tapi, Iman percaya, Huzair bertahan kerana keluarganya. Jika Iman sudah menjadi isteri Huzair yang sah, dengan izin Allah, dia akan terus bertahan."

"Iman sayang Huzair?"

Soalan Emran yang tiba-tiba itu membuatkan Iman terkelu.

Tiba-tiba dia rasa bodoh dalam mentafsir apakah rasa sayang itu. Dia hanya ingin berada di dalam hidup khalifah kecilnya untuk menyokong lelaki itu. Lelaki yang dikagumi sekian lama, tetapi punya cela yang cuba diselindung tetapi terdedah tanpa sengaja. Cela yang menjadi tanda tanya di kepala. Juga, kerana cela itu, dia selalu risaukan khalifah kecilnya.

"Iman sayang Huzair?" Emran mengulang soalan.

Perlahan-lahan, kepalanya dianggukkan.

.

.

MAJLIS pernikahan Ahmad Huzair dan Qaseh Imani, dibuat ringkas. Tiada sebarang majlis resepsi. Huzair memberi alasan kepada media tempatan, yang dia masih di dalam kesedihan. Tidak mahu majlis gah demi menghormati arwah keluarganya.

Dan, majlis pernikahan dia dan Iman itu katanya lagi kepada para wartawan, adalah pernikahan yang sudah lama dirancang. Iaitu pada lima tahun yang lalu. Mahu tidak mahu, walau dalam tempoh kehilangan, harus diteruskan.

Walaupun begitu, sebagai mewara-warakan hubungan halal mereka, Huzair meminta Hafiy mengaturkan majlis akad nikahnya dibuat secara langsung melalui semua saluran media sosial miliknya. Juga milik keluarganya demi mengelakkan fitnah dan kata-kata yang boleh menjejaskan nama baik keluarga. Lagi pula, Huzair ingin mereka di luar sana tahu bahawa dia dan Iman sudah bernikah.

"Iman."

Bisikan Wardatul Jannah, si kakak ipar, isteri kepada Qaseh Haidar membuatkan dia mengangkat kepala.

"Takut?" Jemari Iman, dielus Jannah. Diharap, elusan lembut itu dapat meredakan gejolak jiwa bakal isteri kepada Ahmad Huzair. Suaranya masih dalam nada berbisik. Takut jika mengganggu tetamu lain di dalam masjid.

"In-shaa-Allah, masih terkawal, kak," balas Qaseh Imani. Digenggam langsung jemari Jannah.

"Ya, in-shaa-Allah. Adik akak kuat. Jika tidak, masakan mampu menerima tanggungjawab sebagai isteri kepada seorang hamba Allah yang diuji dengan sakit yang tidak terlihat di mata, tetapi dirasa di jiwa dan dikacau-galau di minda. In-shaa-Allah, Iman akan terus kuat. Lihat tu ... khalifah Iman juga tampak hebat!"

Jannah tahu.

Tentang penyakit Huzair.

Emran selaku abang sulung ingin semua ahli keluarganya tahu tentang penyakit Ahmad Huzair. Dan, sudah dipesannya agar tiada yang membocorkan rahsia kepada orang luar. Jangan sesekali menyingkap aib Ahmad Huzair yang bakal menjadi ahli keluarga. Menyelak aib saudara sendiri, ibarat membawa tahi ke dalam rumah.

Baunya busuk terpalit kepada setiap seorang penghuninya. Tidak selesa dan pasti menjadi racun dalam hubungan keluarga.

Emran percayakan setiap seorang ahli keluarga. Dan, dia menekankan agar setiap di antara mereka juga mengikat percaya itu kuat di hati. Selagi kepercayaan itu tidak dimungkiri, selagi itu setiap seorang daripada mereka perlu dipercayai. Tiada sangsi.

Jika Jannah gagal memegang amanah ini, Haidar selaku suami harus bertanggungjawab. Itu yang Emran katakan sewaktu mesyuarat keluarga dalam membincangkan proposal lamaran Ahmad Huzair kepada adik mereka, Qaseh Imani dengan tempoh masa yang teramat singkat. Dengan situasi yang tidak kena dan nampak tergesa-gesa.

.

.

SEBAIK Jannah mengakhiri ayat, mengatakan Ahmad Huzair tampak hebat, pantas Qaseh Imani mengangkat wajah, melihat ke arah Ahmad Huzair.

Pandangan mereka bertembung.

Qaseh Imani tidak melarikan anak matanya. Begitu juga dengan Ahmad Huzair. Bagai ada telepati di antara mereka, melalui tautan mata, hati kedua-duanya berbicara.

'Aku takut, Iman.'

'Jangan fikir. Hanya lakukan. Ia kehendak dalaman kau yang telah lama engkau rencanakan.  Aku percayakan kau, Huzair. Kau khalifah kecilku yang sentiasa kuat.'

"Huzair."

Teguran Emran memutuskan tautan mata di antara mereka. Putus juga telepati dua jiwa yang tidak pernah mengungkap cinta. Ikatan termeterai kerana terbongkarnya satu rahsia.

Huzair memandang Emran.

"Boleh kita mulakan akad nikah, sekarang?"

Ahmad Huzair mengangguk.

Hafiy segera memberi isyarat kepada beberapa orang yang berbaju Melayu satin hitam agar bersedia untuk merakam dan seterusnya memaparkan secara langsung majlis pernikahan Ahmad Huzair dan Qaseh Imani di semua saluran media sosial milik Ahmad Huzair.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro