
Bab 10
SEJAK kedatangan Mak Busu, Marjaan perasan sesuatu. Bapanya semakin kerap membawa pulang tetamu. Jika dahulu, tetamu yang datang hanya Nawfal Husaini dan Ustaz Wadie, sekadar untuk mengopi dan mencicip pisang goreng yang dibeli, tetapi kini lain pula ceritanya.
"Siapa yang nak datang makan tengah hari, Mak Busu?" tanya Marjaan yang baru sahaja selesai menyiang ikan.
"Ibu bapa Ustaz Wadie. Dato dan Datin tu... Takkan Marjaan tak kenal? Dia kan YB yang terkenal di daerah ni. Mak Busu yang baru duduk di sini pun tahu perihal dia."
"Manalah Jaan tahu pasal politik-politik ni semua," kata Marjaan sambil mencebirkan bibirnya. Dia tidak berminat langsung hendak mengambil tahu tentang politik.
"Tu lah, asyik tengok TikTok dengar lagu sahaja. Ambil tahulah sikit pasal politik," kata Mak Busu sambil menyiku pinggang Marjaan. Gadis itu spontan mengelak.
"Tak minat." Ringkas jawapan Marjaan.
"Nak buat apa lagi ni, Mak Busu?"
"Tolong kupas dan potong buah labu tu. Nak buat sayur lemak," arah Mak Busu sambil mulutnya dimuncungkan ke arah sebiji buah labu yang terletak di atas meja.
Marjaan mengambil pisau lalu mengupas buah labu itu. Beberapa kali dia mengeluh lantaran terasa susah hendak mengupas kulitnya yang keras. Sambil mengupas, dia teringat pada minggu lepas, Nawfal Husaini datang makan tengah hari di rumah ini. Sekilas dia terbayangkan wajah lelaki itu. Dia merasakan ada satu perubahan ketara. Nawfal Husaini seperti mengelak untuk bertembung dengannya di sekolah.
Mengapa agaknya? Bukankah hari itu dia seperti ingin menyatakan sesuatu yang penting? Tetapi sepanjang minggu lepas, semasa di sekolah Marjaan langsung tidak berkesempatan untuk bertemu pandang dengannya. Malah lelaki itu akan menunduk ataupun melencong ke arah lain sekiranya dia terlihat Marjaan berjalan sendirian di kaki lima sekolah.
Pelik betullah! bisik hati Marjaan.
Aduh! Marjaan tersentak apabila pisau di tangan, tertoreh sedikit jari telunjuknya. Darah memercik perlahan keluar dari liang-liang luka. Pedih terasa menggigit kulit. Marjaan meletakkan pisau lalu berjalan menghala ke singki. Dia meletakkan jarinya yang terluka di bawah air paip.
"Kenapa?"
"Jari Jaan luka terkena pisau."
"Lain kali hati-hati. Kan dah luka."
"Luka sikit aja ni, Mak Busu," kata Marjaan. Tapi luka dalam hati lebih parah lagi. Rasa seperti sudah tiada ubat bagi menyembuhkannya melainkan berada di samping si dia. Selalu ingin dekat dengannya. Namun apakan daya...
Marjaan membalut lukanya dengan plaster.
"Biar Mak Busu yang kupas dan potong buah labu tu. Karang luka lagi jari tu, siapa yang susah? Mak Busu juga."
"Kau goreng ikan ni. Mak Busu dah bubuh garam kunyit."
"Baik," jawab Marjaan ringkas.
Selesai kerja masak-memasak, Mak Busu dan Marjaan sibuk menghidang. Dato Mukmin dan Datin Noraihan sampai tidak lama kemudian bersama Ustaz Wadie. Marjaan sempat menjeling sejenak ke tengah rumah dan mendapati Nawfal Husaini tiada bersama. Lelaki itu tidak dijemput ayahnya makan tengah hari di sini. Marjaan sedikit kecewa.
Datin Noraihan turun ke dapur, melihat apa yang dilakukan Mak Busu. Marjaan sedang menyiapkan puding. Puding jagung itu disediakan lebih awal. Semasa hendak menghidang, dia hanya menghiasnya dengan Nata De Coco dan buah strawberi segar.
"Sedap nampaknya puding tu," tegur Datin Noraihan dengan ramah.
"Datin... Buat apa turun ke dapur? Di sini faham-faham sahajalah. Nanti habis bajunya kotor," kata Mak Busu membalas keramahan wanita itu dengan mesra.
"Mana ada kotor... Bersihnya dapur ni," puji wanita itu sambil memerhati sekeliling dapur.
"Rumah kampung sahaja, Datin," balas Mak Busu merendah diri.
"Saya suka suasana kampung begini. Dekat dengan hutan. Udara pun bersih."
"Tapi di sini ada masa-masanya banyak nyamuk, terutama musim hujan."
"Itu perkara biasa," balas Datin Noraihan.
Dia sudah pun duduk di kerusi kayu, menghadap meja makan. Di atas meja ada sebahagian daripada hidangan yang ditinggalkan untuk dinikmati Mak Busu dan Marjaan.
"Mak Busu, puding dah siap ni," kata Marjaan.
"Biar Mak Busu hantar ke depan."
Marjaan angguk sahaja. Dia memandang Datin Noraihan yang sejak tadi asyik memandang kepadanya. Tidak berkelip mata wanita itu memandang Marjaan yang hanya bertudung pendek dan tidak mengenakan niqab. Wajah Marjaan agak berpeluh selepas bertungkus lumus membantu Mak Busu memasak. Marjaan menyapu wajahnya dengan tisu agar peluh yang mengalir dapat dikeringkan.
"Marjaan tingkatan berapa?" tanya Datin Noraihan.
"Tingkatan lima."
"Baru tujuh belas tahunlah?"
"Sembilan belas tahun," beritahu Marjaan.
"Sebenarnya saya terlewat masuk ke sekolah di sini. Sebelum ni saya bersekolah di Kuala Lumpur dan duduk dengan mama. Tapi lepas dapat keputusan SPM yang teruk, saya tak sekolah hampir setahun. Lepas tu mama minta saya sambung belajar di sini," kata Marjaan, tidak malu menceritakan perihal dirinya yang mendapat keputusan yang langsung tidak membanggakan.
"Jadi mengulangi SPM di sini?"
Marjaan menggeleng.
"Saya akan mengambil peperiksaan Sijil Menengah Agama. Dalam bidang agama. Tu kehendak babah," kata Marjaan berterus terang.
Datin Noraihan mengangguk.
"Jika lulus cemerlang, Marjaan akan sambung lagi belajar?"
"Mungkin," balas Marjaan ringkas.
"Kalau tak nak sambung belajar, kahwin sajalah!" kata Datin Noraihan sambil tersenyum kecil.
Marjaan diam sahaja. Mak Busu kembali ke dapur dan berkata; "Marjaan, sendukkan Mak Busu nasi. Sebaiknya Datin makan bersama suami Datin di atas," kata Mak Busu sambil tersenyum.
"Biarlah saya makan bersama kamu berdua di dapur. Boleh, kan?"
Mak Busu hanya tersenyum lalu meminta Marjaan menyenduk nasi ke dalam tiga biji pinggan.
"Silakanlah, Datin."
"Hesy, janganlah berdatin-datin. Panggil sahaja Kak Nor."
Mak Busu tersenyum lagi. Dia senang dengan keramahan dan kebaikan yang ditunjukkan Datin Noraihan.
"Ha, apa lagi Marjaan? Marilah makan. Yang kau tercegat lagi tepi meja tu, kenapa?" tanya Mak Busu sambil memandang hairan ke wajah Marjaan.
Sebenarnya Marjaan sudah hilang selera biarpun makanan yang terhidang begitu enak. Dia rasa tidak selesa dengan pandangan mata Datin Noraihan, bagaikan sedang menyimpan sesuatu niat jauh di sudut hatinya. Entah mengapa, Marjaan harus berfikiran begitu.
"BAIKLAH. Selesai sudah pelajaran kita tentang solat jenazah. Jangan nanti ada yang pergi rukuk dan sujud depan jenazah. Faham semua?"
"Faham!" jawab seisi kelas.
"Jangan ada yang tak faham-faham lagi. Ana bagi satu das rotan kat punggung," kata Nawfal Husaini lagi sambil menjeling rotan yang terletak di atas mejanya.
"Sebelum semua balik, ada satu latihan praktikal yang harus dikerjakan seisi kelas. Tiada sesiapa pun yang boleh lari ataupun mengelak," tambah Nawfal Husaini dengan suara yang tegas. Dia memandang ke arah belakang kelas lantaran ada yang ingin bangun dan keluar.
"Ada buat apa lagi, ustaz?" tanya Shafiq, ketua kelas.
"Semua dikehendaki pergi ke surau."
"Tapi belum masuk waktu zohor ni, ustaz. Kami semua dah lapar." Ada suara yang membantah.
"Ana tahu. Semua dah lapar. Sabar dulu. Sabar tu sebahagian daripada kesempurnaan iman. Praktikal ni diadakan untuk menjelaskan lagi apa yang kita baru pelajari tadi," balas Nawfal Husaini.
"Baiklah semua! Kita ke surau sekarang!" kata Nawfal Husaini sambil memberi isyarat agar semua mengikutnya ke surau.
Semua pelajar pergi ke surau. Sebelum naik ke surau, semua pelajar diarah mengangkat wuduk terlebih dahulu. Sebaik sahaja melangkah masuk di pintu surau, semuanya terkejut. Ada sekujur mayat yang sudah siap dikafankan di tengah-tengah surau. Suara hingar bingar kedengaran. Ada yang mulai ketakutan.
"Takutkah?" duga Nawfal Husaini.
"Kita semua akan menuju kematian. Kenapa harus takut? Masuk semua. Kita solatkan jenazah ni."
Suara hingar lagi. Ada yang sudah laju menuruni tangga.
"Fikri! Salman! Kamu jangan cuba nak lari. Masuk semula!" Tegas suara Nawfal Husaini.
Semua pelajar masuk semula. Mereka berdiri agak jauh dari mayat yang terbujur kaku itu. Ada yang berbisik-bisik sesama mereka.
"Betul-betul mayat ke?" tanya Salim.
"Aku nampak dadanya macam berombak-ombak aje," jawab Mustakim pula.
"Shafiq! Pastikan semua anak buah anta tu ikut apa yang ustaz suruh buat. Mulakan solat jenazah. Jangan ada lagi yang soksek-soksek berbisik. Hormati jenazah!" kata Nawfal Husaini.
Semua pelajar, lebih kurang lapan belas orang mulai membuat barisan. Saf solat jenazah hendaklah dibuat sekurang-kurangnya tiga baris walaupun baris itu pendek. Syarat sah solat jenazah, menutup aurat, bersih daripada hadas kecil dan besar dan menghadap kiblat. Solat jenazah dimulakan dengan berdiri dan lafaz niat. Diikuti takbir empat kali termasuk takbiratulihram.
Kemudian membaca surah al-Fatihah dan selawat lalu diakhiri dengan doa. Sebagai imam, Shafiq dikehendaki berdiri dekat dengan bahu mayat lelaki. Selesai bacaan, haruslah memandang ke sebelah kanan dan kiri semasa memberi salam.
Segala yang baru dipelajari tadi dipraktikkan dengan sebaik-baiknya. Nawfal Husaini hanya mengawasi dari belakang. Dia berdiri sambil menyandarkan badannya ke dinding.
Setelah selesai memberi salam, Nawfal Husaini meminta Shafiq membuka untuk melihat wajah si mati. Bagaimana keadaan mayat yang sudah terpisah nyawa dan badan. Shafiq terpaksa menurut permintaan Nawfal Husaini biarpun dibayangi rasa takut. Perlahan-lahan dia membuka kafan itu dengan tangan yang menggigil. Sementara teman-teman sekelasnya yang mengelilingi mayat itu menanti dengan penuh debaran.
Sebaik sahaja kain kafan dibuka, terserlah wajah mayat yang pucat lesi. Semua yang ada terkejut.
"Eh, ni pak cik kantin!" kata Shafiq dengan suara yang agak kuat.
"Bila agaknya dia mati? Tadi elok aje," ucap Salim pula.
Tiba-tiba mayat itu bergerak lalu terus bangun dan duduk berlunjur.
"Aku hidup lagi daaa..." kata pak cik kantin atau nama sebenarnya Pak Samad sambil memandang ke arah semua pelajar yang mengelilinginya.
Semua pelajar terkejut. Ada yang sepantas kilat berlari ke pintu surau lalu terjun sahaja tanpa menggunakan tangga. Lari macam tidak cukup tanah. Ada yang terduduk di lantai tidak berupaya untuk bangun apabila seluruh tubuh dan lutut lembut seperti jeli. Sudahlah jatuh terduduk, dipijak pula oleh rakan-rakan yang bertolakan hendak lari dari situ.
"Bertenang semua! Ni lakonan sahaja!" kata Nawfal Husaini.
"Ustaz!" jerit para pelajarnya yang masih ada di dalam surau itu hampir serentak.
"Jangan marah pada saya. Kita semua bakal jenazah. Apa salahnya kita cuba praktikkan dengan sebaik-baiknya? Jadi, lepas ni jangan takut lagi. Okey?"
"Siapa yang kelaparan tu, bolehlah ke kantin," kata Pak Samad sambil tersengih.
Semua menggeleng dan beredar.
MENCINTAI Allah haruslah disertai dengan bukti kehambaan kepada-Nya tanpa berbelah bahagi. Demi membuktikannya, ditinggalkan keenakan beradu di tilam empuk. Nawfal Husaini hanya tidur selama lima jam sahaja sehari semalam.
Sebelum tidur dia sering menghabiskan masanya dengan membuat tulisan khat. Itu salah satu daripada kemahirannya. Malah kelas khat di sekolah, dialah yang jadi tenaga pengajar. Suatu masa dahulu, dia pernah belajar khat menggunakan batang resam diraut dengan baik di hujungnya, kemudian dicelup ke dalam dakwat. Namun sekarang sudah ada mata pen yang cantik dan mudah untuk menulis. Paling utama, pen itu tidak akan mengotori jari dengan dakwat hitam ataupun biru.
Setelah selesai mengaji al-Quran, dia teringat sudah lama tidak berqasidah. Sesekali kalau ada majlis di sekolah, dia akan berqasidah. Pelajar yang diasuh untuk berqasidah turut mengambil bahagian dalam sesuatu majlis. Di sekolah ada kumpulan qasidah mereka sendiri. Terkadang mereka dipanggil untuk membuat persembahan di sekolah lain ataupun ketika pertandingan diadakan.
Qasidah itu dilagukannya dengan penuh syahdu bagai menyatakan kesedihan hatinya sendiri. Dia hanya mengadu kepada Allah Azzawajalla.
Sudah lama hati merindu
Dengan kekasih yang satu
Bilakah masa dapat bertemu
Dengan kekasih agung-Mu
Kakiku kan terus melangkah
Menuju ke bumi Madinah
Selangkah demi selangkah
Dekatkanlah kami Ya Allah
Hamko bolana Ya Rasulullah
Hamko bolana Ya habiballah
Undanglah kami Ya Rasulullah
Undanglah kami Ya Habiballah
Ihsan Google
Beberapa titis air matanya gugur kerana rindukan Madinah dan Mekah. Dia teringat perjalanan terakhirnya ke sana sekitar tiga tahun yang lalu. Betapa rasa rindu itu memuncak semula sehingga dia menangis kesedihan. Apakah dia masih diberi peluang untuk mengunjungi Kaabah?
Ya Allah, semoga Engkau rezekikan aku sekali lagi dapat datang ke sana, doanya perlahan.
Dalam kesunyian yang padu itu, dia teresak lagi teringatkan pelbagai peristiwa yang tiba-tiba melintas laju di hadapan mata.
Aku seorang pendosa, aku mengharap keampunan-Mu, Ya Allah.
Kekhusyukannya terganggu apabila dia terdengar suara yang begitu dekat di tepi dinding. Suara itu berbisik perlahan, menyeru namanya; "Ustaz."
Apakah suara itu hanya khayalannya sahaja?
"Ustaz!" Panggilan itu ternyata lebih kuat.
Nawfal Husaini membuka pintu pondok lalu terus turun. Dia mendapati ada sesusuk tubuh manusia yang berdiri di tepi pondoknya. Dia menyuluh ke arah kaki yang memakai sandal. Kaki itu tidak berstoking, ternampak jari-jari dan kukunya yang bersih.
Astaghfirullah! ucapnya dalam hati.
"Marjaan! Apa anti buat di pondok ana ni? Pada waktu-waktu malam macam ni?" Walaupun dia ingin marah tetapi entah mengapa kemarahan itu terbenam jauh ke dasar hati. Ada perasaan lain yang menyelinap perlahan-lahan, membelai hatinya yang sedih itu dengan rasa ceria yang luar biasa. Dia sendiri tidak dapat mentafsirkannya. Dalam sedih, marah dan kecewa, tiba-tiba datang rasa senang dan bahagia melihat susuk Marjaan di hadapannya.
"Pergi balik, Marjaan!" pintanya perlahan, bimbang suaranya didengari orang. Pondoknya terlalu dekat dengan pondok-pondok pelajarnya yang berceratuk dalam sepi.
"Ustaz, ada perkara saya nak tahu..."
"Sudahlah, Marjaan. Pergi balik! Perbuatan anti ni boleh mendatangkan fitnah. Pergi balik sekarang!" Suaranya menjadi lebih tinggi beberapa oktaf. Dia tidak ingin melayani Marjaan di situ. Semuanya akan memburukkan keadaan.
Tubuh Marjaan bergegar, terdengar esakan perlahan.
"Pergilah Marjaan!"
"Ustaz," seru Marjaan dalam esakan.
"Ana cakap pergi!"
"Ustaz, saya benci ustaz." Marjaan terus berlalu setelah mengungkap perkataan itu.
Nawfal Husaini terpaku sahaja bagai patung bernyawa. Perkataan benci yang baru diungkapkan Marjaan meramas-ramas hatinya sehingga dia merasa sakit tidak terperi. Kesakitan itu hanya difahami oleh orang yang melaluinya sahaja.
MARJAAN menolak pintu dapur perlahan-lahan lalu menyelinap masuk. Dia memandang pintu bilik Mak Busu yang bertutup rapat. Dia menarik nafas lega. Kemudian perlahan-lahan dia masuk ke dalam kamarnya. Lampu bilik dibuka. Jantungnya bagaikan gugur tatkala melihat Mak Busu sedang duduk di kerusi seperti menunggu kepulangannya.
"Kau pergi mana, Marjaan?" Suara tegas Mak Busu membuatkan Marjaan kecut perut.
Dia tidak sangka Mak Busu sedar dan tahu dia keluar tadi. Dia sangka Mak Busu tidur. Sedangkan Mak Busu setiap pagi bangun sekitar jam empat pagi untuk mengerjakan solat tahajud dan tidak akan tidur hingga masuk waktu subuh.
"Errr..." Marjaan tidak dapat menjawab soalan yang begitu mudah. Ke mana dia pergi pada waktu dinihari begini?
"Apa yang akan terjadi sekiranya babah kau tahu kau keluar waktu-waktu macam ni? Ke mana kau pergi? Kau pergi jumpa siapa? Beritahu Mak Busu sekarang juga!"
Marjaan cuba membendung air mata daripada gugur. Tadi di sepanjang perjalanan balik ke rumah, air matanya sudah gugur bagaikan mutiara putus. Kini dia dihadapkan pula dengan pertanyaan Mak Busu yang bertalu-talu ingin tahu.
"Jangan kau cakap kau pergi jumpa lelaki. Beraninya kau, Jaan. Kau tak fikir akibatnya?" Mak Busu tiba-tiba berubah menjadi tegas. Dia benar-benar marah melihat anak saudaranya itu keluar malam ke destinasi yang tidak diketahuinya.
"Mak Busu... Janganlah marah-marah Jaan macam ni..." Tangisan Marjaan sudah pun pecah.
"Jaan tak bersedia nak bercerita dengan Mak Busu sekarang. Mak Busu keluarlah dari bilik ni. Jaan nak berehat."
Marjaan sedikit kecewa. Mak Busu yang dianggapnya sporting dan baik tiba-tiba berubah tingkah apabila dia tertangkap basah begini. Mengapa? Mengapa ini harus terjadi? soal hati Marjaan sambil menghempas tubuhnya ke atas tilam. Dia meniarap sambil menekup muka ke atas bantal. Air mata sedih dan kecewa membanjiri bantal.
MESYUARAT antara mudir, ustaz dan ustazah di sekolah berakhir. Agenda utama adalah pelantikan Ustaz Wadie secara rasmi sebagai penolong Ustaz Hanafi. Juga dibentangkan laporan kewangan untuk bulan itu. Ustaz Hanafi bersyukur segala yang disyakinya nyata meleset. Kewangan begitu baik dan hampir sempurna. Ditambah dengan bantuan yang baru dihulur Dato Mukmin berjumlah 100K, membuatkan dia menarik nafas lega. Untuk tiga atau empat bulan ke hadapan, tiada masalah kewangan yang bakal mereka lalui. Semuanya akan berjalan lancar.
Ustaz Wadie menyaingi Nawfal Husaini bergerak laju meninggalkan bilik mesyuarat.
"Anta nak ke mana laju-laju sangat ni? Bukannya ada kelas. Hari ni kan Sabtu," ucap Ustaz Wadie.
"Ana nak ke surau. Sempat lagi ni solat duha," kata Nawfal Husaini sambil melihat jam tangannya. Jam menunjukkan pukul 11.30 pagi. Mereka memulakan mesyuarat agak awal tadi, sekitar pukul lapan.
"Sekali-sekala tinggal tak apa. Ana nak cakap sikit dengan anta."
"Pasal apa?" tanya Nawfal Husaini sambil berhenti melangkah.
Mereka berdua berdiri saling berhadapan di ruang kaki lima yang kosong.
"Ana akan melamar seorang gadis tidak lama lagi," kata Ustaz Wadie sambil mata kuyunya merenung wajah Nawfal Husaini.
"Baguslah. Tahniah. Anta akan mengakhiri zaman duda anta tu," kata Nawfal Husaini sambil tertawa kecil.
"Kenapa ek? Apa salahkah kalau jadi duda ni? Selalu dipandang sinis. Serupa jugalah dengan janda, ataupun ibu tunggal. Masyarakat pandang sinis. Ana peliklah," ujar Ustaz Wadie. Wajahnya kelihatan tegang sedikit. Kulitnya yang sawo matang kelihatan sedikit memerah walaupun ia tidak terlihat begitu jelas.
"Eh, sinis ke ucapan ana tadi? Ana ikhlas," balas Nawfal Husaini.
"Ikhlas? Tapi tak perlulah anta sebut soal mengakhiri zaman duda... Bagi ana tu dah sinis, macam menyindir."
"Ana minta maaf. Ana tak berniat hendak menyindir. Tapi itu kan kenyataan. Anta pernah berkahwin."
"Aku gagal dalam perkahwinan bukan sebab salah aku. Salah bekas isteri aku!" kata Ustaz Wadie mulai berbahasa aku pula. Nyata dia mula diamuk perasaan marah.
Nawfal Husaini memegang bahu Ustaz Wadie dengan lembut.
"Ya, sudahlah. Lupakan apa yang ana cakap tadi. Maaf sekali lagi. Ana sudah lambat untuk mengerjakan solat." Dia terus meminta diri untuk beredar.
Ustaz Wadie memandang dengan perasaan yang bercampur baur. Entah mengapa dia merasakan Nawfal Husaini bagaikan satu ancaman. Ketenangan wajah dan aksi lelaki itu terasa menggugat kewibawaan dirinya. Dan perasaan itu amat sukar untuk dia lupakan begitu sahaja. Lelaki itu punya keistimewaan yang tiada pada insan lain. Diam-diam dia mengakui hakikat itu.
Tapi Nawfal, kau belum kenal siapa sebenarnya Wadie, ujar hati Ustaz Wadie sambil memerhati langkah Nawfal Husaini yang semakin dekat dengan surau.
Tiada persoalan yang berat ketika diri sudah kuat. Hanya orang yang lemah sahaja akan mudah menyerah. Dan tidak ada masalah yang menyakiti ketika kepahitan hidup ini sudah dilalui. Semuanya akan lali.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro