Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

1

LUTFI angkat muka dari terus melekat di meja. Mata digosok beberapa kali, sebelum matanya menala ke hadapan. Rata-rata meja kosong. Hanya ada beberapa meja saja yang berpenghuni. Semua sedang fokus menunduk ke bawah, menelaah pelajaran.

Dia mengangkat tangan melepasi kepala, dengan mulut ternganga luas. Bunyi paus biru keluar dari mulutnya, tapi tak cukup kuat untuk mengganggu mereka yang ada.

Dia menjeling skrin laptop yang terpapar laman sesawang Scopus. Tak perlu menunggu panjang, dia dah menjulingkan matanya. Jujur dia kata, keputusan untuk terima tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana memang satu kesilapan yang besar.

Tidur yang sejak Matrikulasi tak pernah cukup, makin tak cukup; rehat yang sejak SPM tak cukup, makin tak cukup; tak payah ulas panjang pasal masa yang ada.

Nak-nak pula sejak dia bonding di Jabatan Forensik. Pegawai yang ada tu bukan main nak bawa dia ke hulu, ke hilir; pergi program sana, sini dengan alasan nak penuhkan resume. Um, excuse me?

Bukan dia tak suka, disayangi semua pegawai yang ada di jabatan tu. Tapi kejadahnya ada kelas pun kena ponteng, tak ke rasa nak azan kat telinga pegawai tu? Lagi pula semester dah hujung-hujung ni ha. Makin galak supervisor nak paksa habiskan KPI semester.

Telefon di bawah buku di hadapan tu bergetar pada skala Ritcher 9.0. Matanya terus beralih arah ke skrin laptop.

JF Evelin.

Hah! Baru kata sikit dah muncul. Mahu tak mahu, dia mencapai telefon yang bergetar.

"You kat mana? Nak ikut I pergi tapak, tak? Ada kes baru," tanpa banyak bicara basa-basi Evelin terus melontarkan soalan.

Ew. Kes baru. Ini bendera merah yang sebenar-benarnya merah ni. Kes yang sebelum ni belum siap lagi, ada pula nak tambah kes lain

"Kes yang hari tu dah siap ke? Rasanya bos dah cakap kena hantar hujung bulan ni," tetap dia tak mahu pergi.

"Bos kata tak apa. Dia nak suruh I pegang kes ni"

"Bos kata tak apa ke, you yang minta kes ni daripada bos"

Evelin meletus ketawa di sebelah sana.

"Tak baik tau you. Bos yang suruh kita pegang kes ni"

"Sejak bila pula you jadi kita?"

Evelin buat suara manja di sebelah sana.

"Ala you... jomlah pegang kes ni"

Dia merenung ke arah jam besar di kaunter depan sana.

"Lagi 15 minit I sampai," cair tahi telinga dengan sorakan Evelin.




KAKI melangkah masuk terus ke lobi sebaik sahaja dia selesai memarkir kereta di bangunan sebelah. Kepalanya sempat menoleh ke arah sekumpulan manusia berdekatan pintu masuk. Dari gaya mereka yang memakai lanyard serta memegang mikrofon, tidak sukar untuk Lutfi meneka bahawa mereka adalah wartawan.

Kenapa pula wartawan ada di sini? Ada selebriti nak datang ke? Pertanyaan itu hanya bermain dalam kepala.

Mata menangkap tulisan di belakang kaunter resepsi di tengah lobi itu.

Amour d' La Jivari.

Oh, Amour d' La Jivari. Antara hotel lima bintang paling terkemuka di dunia dengan perkhidmatan yang disediakan. Kerap kali menjadi pilihan selebriti-selebriti tempatan mahupun antarabangsa untuk mengadakan majlis, atau sebagai tempat untuk menginap. Mungkin disebabkan reputasi hotel yang baik, dan pemiliknya yang dikenali ramai sebagai seorang yang berwibawa, hotel ini juga menjadi destinasi pilihan kerana kehebatan hotel ini dalam menjaga cerita dalam kain para tetamunya.

Tak pernah sekalipun sepanjang dia hidup di muka bumi ini, dia pernah mendengar cerita tidak molek datang dari Amour d' La Jivari. Semuanya indah belaka - baik dari hidangan makanan yang bertaraf dunia, mahupun bilik-biliknya yang kedap segala macam benda.

Tapi kalau semua indah belaka. Seharusnya menimbulkan keraguan, kan?

Lutfi terus melangkah masuk ke dalam lif yang terbuka, sebelum dia menekan nombor aras yang diberitahu Evelin sebentar tadi. Sampai saja di sana, dia terus menunjukkan kad kuasanya pada pegawai polis yang menunggu di hadapan pintu lif. Dia terus dibawa ke arah bilik yang dihadang pita kuning bertulis 'DO NOT CROSS POLICE LINE'.

"Lutfi," Evelin yang berada di koridor luar itu menegur terlebih dahulu tatkala Lutfi mendekati.

"Evelin," dia menunduk sedikit tanda hormat.

"Mangsa YB Yew Guan Loong, 72 tahun. Disyaki dibunuh dengan leher dikelar. Waktu kematian dianggarkan sekitar 2200 hingga 2300 semalam," terus saja Evelin melaporkan kepadanya yang baru memakai sarung tangan dan sarung kaki. Lutfi hanya mengangguk.

"You dah masuk?"

"Dah. Mangsa pun dah dia orang dah bawa ke hospital sebelum I sampai," tak perlu berkata panjang, Evelin mendahului langkah Lutfi ke dalam bilik.

Mata Lutfi terus mengimbas isi bilik. Katil bersaiz raja, dengan dua meja sisi yang di atasnya terletak telefon kabel pada sebelah kiri, dan interkom di sebelah kanan. TV bersaiz besar tergantung pada dinding di hadapan katil, berserta laci separas pinggang.

Pantri berdekatan tandas kelihatan kemas dengan peralatan memasak yang asas ditelangkupkan. Begitu juga dobi disebelah pantri. Meja bulat berserta dua kerusi berkusyen diletakkan berdekatan dengan tingkap yang menghidangkan pemandangan kosmopolitan Jivari.

Di atas kepala katil, tergantung The Capture of Juliers 1622 yang dilukis oleh Peter Paul Rubens. Saiznya lebih kecil daripada yang asal, memandangkan lukisan asal adalah untuk diletakkan di galeri dan bukannya bilik tidur. Lutfi sendiri pernah melihat lukisan yang asal beberapa tahun lepas ketika Kovensyen Seni Rubens berhenti di sini, dan jelas bahawa lukisan di hadapannya ada banyak cela.

Dia berhenti berdekatan dengan kawasan yang dilakar dengan marker putih.

"Ada jumpa apa-apa klu?"

"Tak ada pula kata dia orang. Cuma ini saja klu yang ada," mata Evelin melirik ke arah percikan darah di kerusi dan di lantai.

Lutfi memandang ke arah percikan pada kerusi. Dari percikan itu, dia dapat memutuskan bahawa leher YB Yew dikelar menggunakan senjata tajam.

"Langsung tak ada?"

"Lepas I sampai tadi, ada juga I dengan yang laingeledah tong sampah. Tak ada langsung apa-apa senjata tajam?"

"Kat rumah sampah? Mana tahu kalau housekeeper dah tukar plastik sampah baru?"

"Dalam usaha nak cari kat situ," Lutfi angguk perlahan. Pandangan beralih ke arah Evelin yang memerhatikan keadaan bilik.

"You rasa?" tanpa konteks yang jelas.

"Politik," pendek, tapi cukup untuk memuaskan hati Lutfi.

"YB Yew dah lama sangat dalam politik. Mungkin orang muak dengan dia, sampai dengan bunuh dia saja dapat selesaikan masalah ni"

"Setuju," Lutfi angguk. Hakikatnya, YB Yew terlalu lama menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Semenjak kecil lagi, dia sudah mendengar tentang YB Yew di kaca TV dan juga melalui pembacaan akhbar. Yang baik, mahupun yang buruk. Dia tak dapat menepis kenyataan bahawa YB Yew memang seorang yang bertanggungjawab menjaga kawasannya. Segala masalah yang timbul pasti akan diselesaikan secepat mungkin demi keselesaan masyarakat yang mengundinya.

Walaupun begitu kisahnya, jasa dan penglibatan YB Yew hari ini dilihat tak lagi relevan. YB Yew hanya berkempen menggunakan isu yang sama setiap kali pilihan raya menjelma. Perkauman, agama, dan perlembagaan negara. Silap hari bulan, pengundi yang dari awal menyokong YB Yew dah hafal pun skrip YB Yew.

Kaum kita ditindas, agama kita tak dibenarkan untuk dianuti, perlembagaan tak kata pemimpin boleh ambil rasuah, dan macam-macam lagi.

Lutfi meninggalkan Evelin yang sedang ralit bertukar pendapat dengan pegawai forensik lain yang ada di situ, dia membawa kaki ke arah tandas.

Pintu dibuka dan dia menjenguk masuk. Tiada yang mencurigakan. Ditutup semula pintu itu dan beralih ke arah pantri.

Dua jari dilarikan atas kaunter, lalu diangkat. Bersih. Langsung tiada habuk. Bilik ini dijaga sebaiknya. Peti ais kecil di bawah kaunter dibuka. Penuh dengan pelbagai minuman beralkohol dan tidak beralkohol.

Satu ruang di pintu peti menangkap perhatiannya. Pegawai forensik berdekatan dipanggil.

"Bahagian ni memang kosong ke? Ada tanya pihak pengurusan?" negatif jawapan yang Lutfi terima.

"Tanya pengurusan tentang ni. Dia orang memang tinggal ruang kosong ke, atau sebenarnya ada air juga diletak kat sini," pegawai itu hanya mengangguk dan terus melangkah keluar dari bilik.

Lutfi menutup semula pintu peti. Beralih ke arah mesin basuh, pintunya ditarik kuat. Terus saja dia menangkap sesuatu di dalam.

"Evelin," dia menoleh ke arah Evelin dengan muka tak berekspresi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro