SATU
"HAI daddy..." satu suara manja muncul menyapa.
Kelihatan batang tubuh kecil molek berdiri sambil tersenyum depan pintu bilik Gibran. Cepat-cepat tangan menyelitkan frame gambar ke bawah bantal.
"Hai! Anak daddy dah balik?" reaksi muka dikawal sebaik mungkin. Jangan nanti anaknya meneka yang dia sedang menggelamun.
"Yelah. Manja cari daddy dekat bawah lagi. Tapi tak jumpa. Lepas tu manja naiklah bilik daddy. Manja tahu daddy mesti ada dalam bilik. Tengok-tengok, betul. Ni, dah jumpa." melompat anak itu duduk bersebelahan si ayah. Kepala turut dilentok manja pada bahu.
"Amboi... Cerianya anak daddy hari ni. Ada apa-apa ke?" teka Gibran.
Selalu puteri tunggalnya ini bila balik sekolah, jarang menunjukkan wajah ceria seperti sekarang. Lebih banyak menghabiskan masa memerap dalam bilik selepas waktu sekolah. Sampai dia sendiri jadi risau bila si anak susah mahu keluar beriadah dengan teman-teman.
"Cuba teka kenapa?"
Manja melepaskan pautan ditangan Gibran. Keningnya diangkat sekali dua meminta si ayah menjawab.
"Taklah nak teka. Selalu daddy teka semua tak betul. Manja bagitahu aje, daddy dengar." Gibran balas reaksi ceria si anak. Dia pun tahu juga nak buat permintaan.
"Alah, cubalah teka dulu. Daddy kata daddy hebat teka-teka masa sekolah dulu. Cepatlah..." rengek Manja menggoyang-goyang lengan si ayah.
"Kalau salah?"
"Hmm... daddy belanja Manja dengan makan aunty Julia."
"Daddy dah agak dah. Ok. Tapi kalau betul."
"Kalau betul, err... Manja tunjukkan sesuatu pada daddy."
"Mm... okey. Tapi macam pelik aje." Gibran kerut kening.
"Tak peliklah. Cuba daddy teka dulu. Kenapa Manja seronok sangat hari ni?"
Gibran diam. Cuba meneka dengan pertanyaan si anak. Memang berlainan benar dia melihat riak wajah itu hari ini. Selalunya Manja pasti akan keletihan lepas balik sekolah. Paling tidak pun tidur kalau tiada kelas agama petang. Tapi hari ni, nampak berbeza.
"Erm... Manja lulus ujian?"
"Mana daddy tahu?"
Gibran tersenyum lebar.
"Mestilah daddy tahu. Anak daddy yang manis ni memang anak yang bijak dan hebatkan." pipi si anak dicubit perlahan. Bukan senang dia nak meneka dengan tepat. Selalu saja kena upah bila salah menjawab. Tapi kali ni tidak.
"Tapi, itu sebab yang kedua. Sebab pertama lain."
Terangkat kening Gibran mendengar. Senyum si anak buat dia terfikir yang Manja seperti menyimpan sesuatu darinya untuk terus meneka.
"Eh, macam tu pula? Kena ada sebab pertama dengan kedua ke?
Laju Manja mengangguk.
"Yelah. Baru cukup syarat."
Dan sekali lagi Gibran diam untuk cuba meneka. Jangan-jangan anaknya terpilih dalam acara sukan sekolah. Pertama kali dan mungkin itu yang membuatkan anaknya gembira sangat-sangat.
"Manja terpilih untuk sukan sekolah kot?" sekali lagi Gibran mencuba nasib meneka.
"Tak."
"Manja dipilih jadi pengawas?"
"Sorry. Manja tak minat."
"Pelajar terbaik dalam kelas?"
"Dah tentulah. Inikan anak daddy. But you are still wrong."
Gibran menggaru kepala. Dah kalau semua yang dia teka tak ada yang betul. Habis apa jawapannya?
"Hah! Ni mesti ada budak baru dalam kelas Manjakan? Daddy rasa ye. Kali ni jawapan daddy mesti betul punya." Gibran petik jari. Penuh yakin dengan jawapan yang diberi.
Sebaliknya Manja sudah tergelak terbahak-bahak. Kelakar dia tengok daddynya bila terlalu yakin dengan jawapan sendiri. Mana boleh bagi daddy menang. Rugi besarlah dia tak dapat makan makanan kegemarannya nanti.
"Salah, salah, salah!" Manja jelir lidah sambil tersengih.
"Semua salah?"
"Yup! Tak ada satupun yang betul."
Panjang muncung Gibran mendengar apa yang diberitahu si anak.
"Sebab tulah daddy tak nak teka. Bila daddy teka, memang tak pernah tepat dengan jawapan Manja. Cuba bagitahu daddy apa jawapannya."
"Mana boleh... rahsialah."
"Haa... ni tak adil. Allah marah tau kalau kita mungkir janji."
"Ok ok." Manja angkat tangan tanda mengalah. Dia tahu, bila daddy sebut nama Allah, bermakna dia kena tahu apa hukum agama sekaligus.
"Daddy betul nak tahu?"
"Mestilah nak tahu. Buat teka-teki, kenalah tahu jawapannya apa. Cepat, bagitahu daddy apa dia."
"Hmm... malulah nak cakap."
"Eh, malu pula. Bukan ada sesiapa pun dekat sini. Kita berdua aje. Cakap cepat. Daddy tak sabar nak tahu ni." Gibran mendekatkan telinganya pada si anak.
"Betul daddy nak tahu?"
Bulat mata Gibran mendengar.
"Iye... Cepatlah. Daddy merajuk nanti baru tau."
"Okey okey."
Kali ini Manja pula terpaksa mengalah juga bila Gibran membuat ugutan mahu merajuk.
"Sebenarnya...." lambat-lambat sebutan ayat keluar dari mulut.
Penuh kesabaran Gibran menunggu si anak bercakap walaupun dalam hatinya teruja sangat-sangat untuk tahu lebih cepat.
"Ada cikgu baru dekat sekolah, Manja!" penuh ceria reaksi Manja memberitahu.
Tapi Gibran, terpinga-pinga buat seketika.
"Kenapa? Daddy tak suka ke ada cikgu baru masuk sekolah Manja?"
"Eh, sukalah mana boleh tak suka. Nanti anak daddy ni lagi bersemangatlah nak belajarkan? Maklumlah, cikgu sekarang ni banyak yang comel-comel."
Biarpun hujung ayat Gibran perlahan, tapi telinga si anak lebih peka mendengar.
"Wah! Daddy tahu cikgu baru comel? Hebatlah daddy." Manja sudah seronok bertepuk tangan.
Gibran tersengih tayang gigi. Mana pula dia tahu. Dia cuma main teka-teka aje.
"Daddy tahu, cikgu tu baik sangat, suka tolong orang, cakap lembut-lembut, dan paling manja suka dia tak suka marah-marah. Manis aje."
"Yelah tu. Manja baru kenal bolehlah cakap macam tu. Cuba dah lama nanti, mesti dia jadi garang macam singa. Aummm...!" Gibran buat memek muka.
"Daddy jangan risau ye. Manja janji, Manja akan jadi anak yang baik dan hebat untuk daddy. Daddylah orang yang paling Manja sayang. Sayang... daddy." hinggap satu ciuman di pipi Gibran sekaligus.
Memang itu sajalah modal si anak kalau nak buat dia terlebih percaya. Tapi dia memang percayakan zuriatnya itu. Beruntung dirinya. Walaupun Manja tak pernah merasa kasih sayang ibu, tapi pergaulan dan batasnya sentiasa dipegang anaknya itu.
"Bye daddy. Manja turun dulu." panjang langkah kaki Manja berlari menuju ke depan pintu untuk keluar.
"Nak kemana tu?" Gibran tegak memandang. Tapi kelibat si anak sudah menghilang. Menggeleng dia sekejap. Ligat betul anak gadisnya itu.
"Nak bagitahu Mak Lela." kepala dijenguk sedikit dari celah pintu.
"Eh?" terkejut Gibran. Ingatkan anaknya tak dengar apa yang ditanya.
Tapi Manja sudah menghilang pergi. Menggeleng Gibran melihat tingkah si anak. Nama pun budak-budak. Walaupun Manja sudah berusia 10 tahun, tapi seperti baru 5 tahun usia anaknya itu dirasakan. Terlebih manja, dan sentiasa mahukan perhatian. Manja, satu-satunya yang dia ada.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro