Bab 15
Tak boleh tidur! jerit Ian dalam hati.
Tadi waktu tengah buat kerja, bukan main lagi mata macam dibuai-buai suruh lelap. Tapi bila dah dapat port elok, hilang pula mengantuknya. Agaknya sebab tak dapat bantal busuk kut? Ah! Mengarut!
Tak tidur dari semalam dan pagi tadi terus ke kelas, maka jumlah jam berjaga hampir 48 jam. Gila kau, Ian! Dulu-dulu masa jaga plant tengah trial run pun kau curi-curi tidur berganti dengan Pian dan Reydha. Itu pun setakat jaga dan pantau. Bukan nak kena buat apa sangat pun kalau semuanya smooth. Tapi ini?
Jumaat separuh hari di kafe. Petang ambil mama. Malam baking. Sabtu pagi kelas sampai ke petang dan lepas aje kelas tadi terus ke kafe. Marathon versi gila. Mujur tak terlelap masa drive tadi!
Ah, mana nak cari mood tidur ni? Baca Facebook? Itu cari pasal namanya. Bila buka Facebook, mulalah terbaca macam-macam. Kadang-kadang tu, status member yang tak ramai mana sejak dia buat akaun baru ni tak adalah menarik mana. Yang menariknya link-link dari page kepochi pasal hal tepi kain orang lain. Membaca komen-komen mak cik bawang tambah buat hilang mengantuk jadinya. Jari masing-masing, kemain lagi. Kuku tak pernah potong agaknya. Tajam nau sampai jari yang menaip ayatnya keluar perkataan berbisa.
Instagram.
Lama jarinya melekap di ikon berbentuk kamera itu sampaikan keluar simbol pangkah. Keluhan dilepas perlahan. Bak kata Ammar, nak move on? Ini yang perlu dibuang dulu. Maka buanglah!
Senyum puas hati terbit dihujung bibirnya. Lega rasa hati dibuatnya walaupun esok-esok belum tentu lagi dia tak akan install semula perisian yang sama. Yang penting, untuk hari ini dia dah cuba ikut saranan Ammar. Good job, Ian. Keep it up!
Ah... Sudahlah, Ian. Tidurlah. Kejap lagi pukul 11 nak bangun. Nak hidup zaman sekarang kena berduit. Nak berduit kena kerja tapi perlu juga ada rehatnya. Tidurlah! Dan tak berapa lama selepas itu, dia benar-benar terlelap sampailah wajah Adam yang berpakaian serba putih tiba-tiba melambai ke arahnya.
"Adam!" panggil Ian bersungguh. Tapinya Adam terus melambai dan langkah kaki Ian nampaknya semakin buat dia menjauhi Adam.
"Adam! Kau okey tak ni? Tunggulah aku! Kau tunggu dekat situ!" jerit Ian.
Adam tak menjawab. Cuma menggeleng dengan wajah muram. Tangannya terus melambai seolah-olah mahu Ian pantas datang dekat padanya.
"Ya Allah, kenapa ni? Adam! Kau boleh tak berdiri aje dekat situ. Jangan bergerak. Macam mana aku nak tolong kau kalau kau makin jauhkan diri dari aku?" marah Ian beria-ia.
Adam cuma menggeleng. Sambil terus melambai tangan yang sebelah lagi hulurkan telefon bimbit ke arahnya dari jauh.
"Kau nak aku call kau? Hah? Macam mana? Aku tak ada nombor kau... Aku..."
Ian terdiam seketika. Dia pandang keliling. Kosong. Mana perginya Adam tadi? Ah sudah!
"Adam!!!" jerit Ian sekuat hati tapi bayang Adam langsung tak ada.
"Adam!!!" jeritnya lagi.
"Oiii... Oiii... Apa ni?"
Ian menoleh. Terkebil-kebil dia dibuatnya bila wajah Ammar nampak berkerut memandangnya. Miqdad dan Razin pun ada sama.
"Kau orang dah kenapa?" soalnya.
"Kau tu dah kenapa? Dari luar kami dok dengar. Adam! Adam! Nasib baik kafe dah tutup, bhai. Kalau tak, lari customer!" balas Ammar serius. Miqdad dan Razin pula simpan sengih.
"Aku jerit nama Adam ke?" soal Ian, polos.
"Haah, bos. Bos jerit macam ni. Adam! Adam! Kau kat mana? Aku kat dalam. Kau kat luar ke?" sahut Miqdad sebelum kepalanya disekeh perlahan dek Ammar.
"Jangan nak loyar buruk sangat!"
Miqdad sengih.
"Tang panggil nama tu betul dah bos. Ayat belakang tu dia bagi penambah perisa. Abaikan," jelas Razin.
Ian tunduk, mengeluh. Wajahnya diraup perlahan dengan tangan. Perlahan-lahan dia beristighfar berkali-kali. Hati rasa tak tenang, tapi tak pasti sebab apa.
"Cef tu nama Adam ke? Garang sangat ke dia sampai terbawa-bawa dalam mimpi?" soal Ammar, serius.
Ian menoleh seraya meggeleng.
"Tak ada apalah. Aku nak solat. Kejap lagi aku tolong kau orang kemas."
"Tak payah. Budak berdua ni kemas. Kau setelkan oder aje. Kau dah okey ke ni? Kau baru lelap 15 minit kut!"
Ian angguk. Miqdad dengan Razin terus beredar sambung kerja mengemas yang tertangguh.
"Kalau tak okey, tak apa. Sambung lelap. Aku pun dah mula kerja, better siapkan sampai habis. Kan?"
Ian mengeluh. Lambat-lambat dia angguk mengiakan.
"Kenapa ni? Adam tu siapa sebenarnya?" soal Ammar.
Ian pandang muka Ammar. Mengeluh lagi. Masih berkira-kira nak buka cerita. Setakat mereka berkawan, tak banyak yang dia bercerita pasal kisah lama punca dia balik ke Perlis tahun lepas. Ammar cuma tahu yang dia accident untuk selamatkan seorang perempuan yang dah kahwin dengan lelaki lain tapi cerita keseluruhannya, Ian belum cukup kuat nak berkongsi.
"Kalau kau rasa tak sesuai nak cerita, aku no hal, bro. Aku sambung kerja, eh?" sahut Ammar bila soalannya tidak berbalas.
"Adam tu suami dia."
Langkah Ammar terhenti di depan pintu pejabat. Dia berpaling dengan kening berkerut.
"Dia ayah pada budak yang kau nampak aku dok tengok dekat Instagram selama ni," tambah Ian lagi.
"Nayla Hanani?" soal Ammar.
Ian angguk perlahan.
"Nayla Hanani. Anak kepada Naurah Tihani dan juga Adam Yussuf. Dan Naurah Tihani tu jugalah punca aku di sini. Sekarang," jelas Ian, lambat-lambat.
"Dan mimpi kau tadi tu..."
Ian jongket bahu seraya menggeleng. Wajahnya nampak kusut ditambah pula dengan mata bengkak tak cukup rehat.
"Entahlah, Mar. Aku kira, aku boleh lari jauh. Tinggalkan semua cerita lama. Buka cerita baru. Aku kenalkan diri aku dengan nama baru. Life baru. Kerja yang baru. Tapi rupa-rupanya lagi aku cuba lari, makin aku dekat dengan dia orang..."
"Kalau macam tu, jangan lari. Jalan macam biasa. Allah tu ada, Ian. Dia Maha Memerhati. Dia Maha Mengetahui. Ikut saja perancangan dia. Baik atau buruk pada kita, pada Allah tiap satu tu ada hikmahnya."
Ian angguk mengiakan. Kata-kata Ammar tadi, satu pun tak ada salahnya. Semuanya benar belaka. Kalau pun dia lari sampai ke Marikh, kalau Allah dah kata akan jumpa. Maka, jumpalah.
"Dah. Pergi solat. Aku nak sambung kerja," sambung Ammar.
"Mar..."
Ammar berpaling lagi untuk kesekian kalinya.
"Thank you!"
Ammar senyum.
"Kita kan geng!"
Ian sengih. Hilang sekejap rasa tegang di mukanya sejak tadi. Allah Maha Mengetahui dan doanya moga di mana saja Adam berada saat ini, moga dia baik-baik saja.
Amin.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro