Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Prolog

"HMMM... Kenapa pak cik nak kahwin dengan saya?" soal Rina tanpa mampu ditahan lagi.

Soalan ini pernah ditanya dahulu, namun dia ingin bertanya lagi. Jawapan Hafiz cintakan dia, tidak cukup meyakinkan. Baru sahaja kenal, takkan sudah cinta? Hairan bin ajaib. Sudah tidak ada perempuan lain lagikah di dunia ini sehingga dirinya yang menjadi pilihan?

Hafiz merauk rambutnya ke belakang. Wajah Rina dipandang lama. Oh, tolonglah jangan panggil aku pak cik lagi. Bukannya tua sangat pun.

"Boleh tak Rin jangan panggil abang pak cik? Kan lebih manis kalau panggil abang aje. Lagipun boleh praktis dari awal. Kata orang, practise make perfect. Dah kahwin nanti senang."

Entah kenapa Rina merasa geli-geleman tiba-tiba. Automatik tubuhnya menggeletik semacam. Kalau sebelum ini Hafiz suruh panggil Abang Hafiz, sekarang nak kena panggil abang sahaja. Nampak lain sangat bunyinya. Nak panggil abang satu hal. Dirinya dipanggil Rin satu hal. Hesy, tak pernah lagi seumur hidup orang panggil dia Rin. Nampak pelik.

Walaupun fizikal lelaki di hadapannya ini muda belia, kacak dan bergaya, tetapi itu tetap tidak dapat mengubah pendirian kiraan Matematik yang terpahat dalam akal Rina. Lelaki di hadapannya ini 35 tahun okey. 35 tahun. Ini bermakna, jarak umur mereka lebih kurang 16 tahun. Oh, jauhnya.

"Kenapa panggil Rin? Kenapa tak Rina?"

Hafiz senyum.

"Sebab Rin istimewa dalam hati abang. Lagipun tak bestlah kalau panggil Rina, sebab semua orang dah panggil dengan nama tu. Mestilah abang nak panggil dengan nama yang lain pula, kan?"

"Hmmm... Apa-apa ajelah. Soalan saya yang mula-mula tadi, awak tak jawab lagi. Sebab apa awak nak kahwin dengan saya? Kalau nak diikutkan, saya ni bukannya layak untuk awak pun. Saya ni nama saja perempuan, tapi saya ni pemalas, tak pandai masak, tak pandai buat kerja rumah. Saya ni kasar, tak macam perempuan lain. Mak cakap saya ni perempuan tak serupa perempuan. Saya takut nanti, kalau awak kahwin dengan saya, umur awak tak panjang. Saya takut awak dapat sakit jantung pula, tengok perangai saya nanti," terang Rina panjang lebar.

Memang nampak sangat pemalasnya ni. Ketika Mak Cik Joyah dengan ibu Hafiz sedang sibuk memasak hidangan makan tengah hari, dia boleh pula ajak anak teruna orang pergi ke sawah di belakang rumah. Untuk membuat perhitungan terakhir katanya.

Hafiz gelak kuat. Kelakar sungguh gadis ini. Disebabkan Rina, dapat sakit jantung pun dia sanggup. Sedangkan kopi masin yang dibuat Rina pun sanggup ditelan. Maklumlah, hati dah jatuh suka.

"Tak apa... Abang tak kesah semua tu. Tak pandai masak pun tak apa, tak pandai kemas rumah pun tak apa... Nanti lepas kahwin, semua tu Rin boleh belajar, kan? Abang sanggup jadi gurunya," ujar Hafiz dengan tawa yang masih bersisa.

Rina sekadar mencebik. Ya sangatlah tu. Sebelum kahwin, semuanya sanggup. Itu sanggup, ini sanggup. Itu tak kesah, ini tak kesah. Ayat-ayat semuanya manis bergula. Nanti bila sudah kahwin, entah-entah periuk belanga semua terbang melayang.

"Sebab utama awak nak kahwin dengan saya?" soal Rina lagi apabila dirasakan soalan itu masih belum berjawab.

"Sebab apa abang nak kahwin dengan Rin? Sebab... Rin adalah jodoh yang telah ditetapkan untuk abang. Rin merupakan pemilik rusuk kiri yang abang cari selama ni."

"Yakinnya awak?"

"Memang cukup yakin. Sejak pertama kali abang bertemu dengan Rin, jantung abang berdegup bagai nak gila. Bila pandang wajah Rin, abang terpaku keras, tapi nasib baik bernyawa lagi ni." Hafiz sengih lagi.

"Lagipun sebelum tu abang memang dah pasang niat, jika mana-mana gadis mampu membuatkan hati abang berdebar tak menentu, maknanya dia memang jodoh abang. Sebab tu, abang tak tunggu lama untuk masuk meminang Rin."

"Pertama kali kita bertemu?" soal Rina. Rasanya pertama kali dia bertemu dengan Hafiz, bukan main sakan lelaki itu menggelakkannya kerana melatah. Tidak ada pula tanda-tanda terpaku keras, jantung berdegup bagai. Betul ke itu pertemuan pertama mereka? Ataupun sebelum dari itu lagi mereka pernah bertemu? Dahinya berkerut tiga, sedang memikir sesuatu. Lupa ingatankah dia?

"Takkan tak ingat kut? Di depan Masjid Putra, di Putrajaya. Masa tu Rin tengah jual kalendar sekolah. Takkan dah lupa pada abang yang jadi penyelamat Rin? Habis semua kalendar Rin abang beli. Kalau boleh, dengan Rin sekali abang nak beli." Hafiz senyum lagi. Entah kenapa sejak kenal dengan Rina, dirinya terlalu murah dengan senyuman. Asyik hendak tersenyum sahaja.

"Oh..." Lelaki ini rupa-rupanya. Baru Rina memperoleh ingatannya kembali. Itupun setelah jenuh dia memerah otak. Lelaki yang disangkakan bisu pada pertemuan pertama dahulu. Tetapi waktu itu, memang lelaki inilah yang menjadi heronya. Kalau tidak... berpeluh dia hendak menghabiskan jualan kalendar sekolah.

"Ingat pun. Rin tak fikir ke pertemuan pertama kita cukup bermakna?"

"Kenapa?" soal Rina sepatah.

"Sebab pertemuan kita di hadapan masjid. Ini bermakna Allah memang hendak kita mendirikan masjid," ujar Hafiz. Dia senyum lagi. Siapa yang tengok memang boleh cair. Sweet gila.

"Oh..." Hanya itu yang terucap oleh Rina. Tiba-tiba dia kehilangan kosa kata. Kalau tidak, sebelum ini dialah yang becok semacam.

"Jadi... Rin sudi berkahwin dengan abang? Kalau padi katakan padi, tidak hamba tertampi-tampi. Kalau sudi katakan sudi, tidak abang ternanti-nanti."

Rina diam. Tiada jawapan yang terluah dari bibir kecilnya. Bukan main lagi orang tu, siap berpantun bagai. Apa yang hendak dijawabnya... Kalau ditanya soal hati, memang dia tidak ada hati langsung dengan lelaki ini. Sudahlah lebih tua 16 tahun daripadanya.

Hesy, lagipun dia memang belum terfikir pun untuk berkahwin dalam masa terdekat ini. Hendak masak untuk makan sendiri pun dia tidak mampu lagi, inikan pula hendak bagi anak teruna orang makan. Silap hari bulan, mahu lelaki di hadapannya ini keracunan makanan nanti. Kalau pun lelaki di hadapannya ini tidak kesah dia tidak pandai memasak, bagaimana pula dengan emak mentuanya nanti?

"Tapi... Saya ni melatah orangnya."

Eh... Kenapa ayat itu pula yang terkeluar dari mulut aku ni, bebel Rina dalam hati. Sepantas kilat tangan kanannya menampar mulut comel yang terlepas cakap tadi. Maklumlah, ayat tadi seolah-olah menyatakan kesudiannya menerima lelaki itu, malah berharap pula agar lelaki itu sudi menerima kelemahannya.

Mungkin disebabkan kelemahannya ini dia teringatkan Hisyam. Bila Hisyam tahu sahaja dia yang kaki latah ini, terus sahaja lelaki itu cari perempuan lain. Memang dasar lelaki kurang asam jawa. Hendak yang sempurna sahaja.

Hafiz gelak kuat. Bila teringat kejadian Rina melatah di rumah pagi tadi, memang dia rasa kelakar. Rasa hendak putus urat kentutnya gelakkan Rina. Masuk kali ini sudah dua kali dia lihat Rina melatah. Muda-muda macam ini pun sudah melatah, ya? Tetapi dia tidak kesah. Apa ada hal semua itu? Setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya sendiri. Semua itu akan diterima dengan hati yang terbuka. Lagipun bab melatah inilah yang jadi penyeri hidupnya nanti.

Eh-eh, dia boleh gelak pula. Rina semakin panas hati melihat gelagat Hafiz. Bukan main sakan lagi gelak tu, macam tidak ada tanda hendak berhenti sahaja. Ini mesti gelakkan aku sebab melatah pagi tadi. Dulu pun dia gelakkan aku juga. Hesy, geramnya...

Wajah lelaki yang hampir merah padam itu dijeling sekilas. Bila lelaki itu tergelak ataupun tersenyum manis, pasti akan terserlah lesung pipitnya yang sebelah kanan itu. Semasa Hafiz pulang ke Kuala Lumpur hari itu baru dia perasan. Pelik, lelaki itu pun ada sebelah lesung pipit sahaja, sama seperti dirinya. Tiba-tiba dia teringat teori yang dibuat oleh Zurith dahulu.

"Aku tahu... Lesung pipit yang sebelah kanan tu, mesti ada dekat bakal suami kau. Maknanya... Kau kena cari bakal suami yang ada lesung pipit sebelah kanan tau. Barulah match."

Rina melongo. Kena cari bakal suami yang ada lesung pipit sebelah kanan. Buat masa sekarang, hanya Hafiz lelaki yang dikenalinya yang mempunyai lesung pipit sebelah kanan. Adakah ini bermakna, Hafiz adalah jodohnya? Bagaimana pula mimpi berkahwin dengan Hafiz yang selalu dialaminya? Rina memicit pelipis yang terasa berdenyut tiba-tiba. Terasa seperti hendak pitam sekarang juga.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: