Bab 62 ✨
Tiga bulan telah berlalu. Kebahagiaan yang mereka dambakan akhirnya kembali mekar, seiring dengan azam baru yang tertanam di awal tahun ini. Raudhah dan Zheriff bertekad untuk membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka. Namun, masih banyak perkara yang belum terungkai, masih ada rahsia yang belum terungkap.
Pada suatu petang yang tenang, di dalam bilik yang nyaman, Raudhah duduk mendukung Hawra yang semakin membesar di ribanya. Tangannya perlahan-lahan menepuk lembut anaknya agar terus lena. Namun, fikirannya jauh melayang, memikirkan sesuatu yang sudah lama cuba dia lupakan.
"Abang..." suara Raudhah lirih, namun cukup untuk menarik perhatian Zheriff.
"Hmm? Kenapa, sayang?" Zheriff berpaling ke arahnya.
Raudhah menarik nafas panjang sebelum menyambung, "Tiba-tiba saya teringat pasal mak..."
Zheriff diam sejenak, merenung wajah isterinya yang kelihatan sayu. Dia mengangguk perlahan. "Ya, sayang... Agaknya macam mana keadaan mak awak sekarang? Duduk seorang diri di kampung... Dah bertahun-tahun kita tak menjenguk dia, kan?"
Raudhah menghela nafas berat. "Itulah... Saya tertanya-tanya, sampai bila saya kena berjauhan dengannya? Walau apa pun yang terjadi, dia tetap ibu kandung saya. Tapi, abang... kenapa masa dulu dia begitu marah? Apa salah kita sebenarnya?"
Zheriff menatap wajah isterinya penuh simpati. "Mungkin ada perkara yang kita tidak tahu, sayang... Sebab itu, ada baiknya kalau kita pergi berjumpa dengan mak. Mungkin selama ini dia sebenarnya menunggu kita kembali. Jangan risau, kalau apa-apa jadi, saya ada dengan awak. Maksu pun ada. Kita semua ada di belakang awak, sentiasa menyokong awak, Tuan Puteri."
Raudhah mengangkat wajahnya dan tersenyum tipis. "Baiklah, Tuan Putera. Kali ini, Tuan Puteri akan lebih kuat... Terima kasih, abang."
Di luar bilik, Maksu Salehah tanpa sengaja terdengar perbualan mereka. Hatinya tiba-tiba terasa berat. Dia menyedari satu perkara—apabila Raudhah dan Zheriff kembali ke Kuala Lumpur, dia akan kembali keseorangan. Sunyi dan sepi seperti dulu. Wajahnya mendung, seolah-olah kehilangan sinar.
Keesokan Harinya
Pagi itu, Raudhah dan Zheriff bersiap-siap untuk bertolak ke kampung Mak Timah. Sebelum pergi, mereka memberitahu Maksu Salehah.
"Maksu, hari ni Raudhah nak pergi jumpa mak... Harap-harap semuanya baik-baik saja," kata Raudhah sambil mendukung Hawra yang masih mengantuk.
"Oh... ya ka? Pi lah... Maksu pun dah lama tak jumpa dia. Tapi maksu tak sedia lagi nak jumpa dengan mak kamu tu. Kisah lama dulu... buat hubungan kami renggang," ujar Maksu Salehah dengan suara perlahan.
Raudhah menggenggam tangan Maksu Salehah erat. "Tak apalah Maksu... Kami pergi sekejap je. Nanti kami balik semula ke sini. Maksu jaga diri ya?"
Maksu tersenyum hambar. "Ha'ah... Pesan dekat Zheriff, bawa kereta elok-elok. Jaga Raudhah baik-baik."
"Jangan risau, Maksu. Saya jaga Raudhah dan anak kitaorang." sahut Zheriff sebelum mereka melangkah keluar.
Sebelum pergi, Zheriff menyelinap masuk ke bilik Maksu dan meletakkan sejumlah wang di atas laci. Bersama wang itu, dia tinggalkan sekeping nota:
"Untuk Maksu, belilah apa yang perlu. Terima kasih kerana selalu ada untuk kami."
Dengan senyuman kecil, dia menutup pintu bilik dan melangkah keluar.
Di Rumah Mak Timah
Setibanya di halaman rumah Mak Timah, Raudhah terkejut melihat keadaan rumah itu. Dinding kayunya tampak lusuh, halaman dipenuhi dedaunan kering, dan pintu depan tertutup rapat.
"Kenapa rumah mak nampak macam dah lama ditinggalkan?" bisiknya perlahan.
Zheriff memandang sekeliling dengan kerutan di dahi. "Jom turun, kita tengok dulu."
Mereka melangkah ke depan pintu dan Raudhah memberi salam.
"Assalamualaikum, mak... Mak, ooo mak!" panggilnya sambil mengetuk daun pintu.
Namun, tiada jawapan.
Raudhah menolak daun pintu perlahan-lahan. Anehnya, tidak berkunci.
"Eh, tak kunci ke?" gumamnya.
Mereka melangkah masuk dengan penuh berhati-hati. Rumah itu sunyi, hanya bunyi angin yang menyusup melalui celahan tingkap yang sedikit terbuka.
Di salah satu bilik, pintunya terkuak sedikit. Raudhah mendekat.
"Mak...?" panggilnya, suaranya bergetar.
Di dalam bilik itu, Mak Timah sedang terbaring di atas katil usang.
Raudhah mendekati perlahan dan menyentuh tangannya. "Mak... ini Raudhah. Raudhah datang, mak."
Mak Timah perlahan-lahan membuka matanya. Saat matanya bertemu dengan wajah anaknya, air matanya menitis serta-merta.
"Raudhah...? Betul ke ini Raudhah? Ya Allah... mak tak mimpi kan?" Suaranya bergetar menahan sebak.
Raudhah tersenyum dengan mata berkaca. "Ini Raudhah, mak... Raudhah datang untuk minta maaf. Jangan marah Raudhah lagi ya, mak?"
Harraz yang berdiri di sisi ibunya segera mencelah, "Assalamualaikum, Tokmi! Saya Harraz Mikhael. Ini adik saya, Hawra Mikhayla!"
Mak Timah tergelak kecil dalam tangisnya. "Waalaikumsalam... Subhanallah, pandainya bercakap? Comelnya adik dia! Siapa ajar ni?"
Harraz tersengih. "Daddy!"
Mak Timah menoleh ke arah Zheriff yang sejak tadi berdiri di belakang Raudhah.
"Hmm... mak," Zheriff menyapa dengan hormat, menghulurkan tangan untuk bersalam.
Mak Timah menyambutnya, namun air matanya semakin deras mengalir. Dia menatap Raudhah lama sebelum berkata, "Bukan Raudhah yang sepatutnya minta maaf, nak... Tapi mak. Mak yang berdosa. Sebab dendam lama, mak tak restu perkahwinan korang. Disebabkan dendam itu, mak sanggup kehilangan anak mak sendiri..."
Raudhah menelan sebak. "Mak... dendam apa yang mak maksudkan?"
Mak Timah menghela nafas berat. "Dendam yang selama ini membelenggu hidup mak, nak... Tapi, rasanya sudah tiba masa untuk mak lepaskan semuanya. Kalau boleh... bawak mak jumpa Dato' Zayn."
Raudhah mengerutkan dahi. "Dato' Zayn? Papa Zheriff? Apa kaitannya dengan semua ini?"
Mak Timah menundukkan kepala. "Ada banyak perkara yang kamu berdua perlu tahu..."
Raudhah berpaling ke arah Zheriff, mencari kepastian.
"Abang... kita bawak mak jumpa Papa?"
Zheriff mengangguk. "Boleh! Jom. Kita selesaikan semua ini, sayang. Dah tiba masanya."
Mak Timah tersenyum lemah. "Terima kasih, nak..."
Dan tanpa mereka sedari, hari itu adalah permulaan kepada kebenaran yang bakal mengubah segalanya.
Dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, Raudhah mengirim mesej kepada Maksu Salehah.
"Maksu, Raudhah tengah bertolak ke KL sekarang. Ada urusan penting. Mungkin esok baru Raudhah balik rumah maksu ya. Jangan risau, tak lama pun. Lepas semua ni selesai, Raudhah balik."
Setelah beberapa jam memandu, akhirnya mereka tiba di rumah Datin Sarimah. Hari itu hujung minggu, suasana di dalam rumah riuh dengan suara anak-anak kecil—Raeeis dan Arish ketawa riang, bergema di ruang tamu.
Zheriff mengetuk pintu sebelum memberi salam. "Assalamualaikum..."
Pintu terbuka, dan muncul Elysha dengan wajah teruja. "Waalaikummussalam! Aaa... Raudhah! Rindu gila dekat kau! Besar betul anak kau ni!" Dia terus memeluk Raudhah erat.
Zheriff tersenyum sinis. "Eh, isteri aku je yang kau sambut? Suami dia ni kau buat tak nampak?"
Elysha menjeling. "Kau masuk sendiri je lah, abang oi. Tak kuasa aku nak sambut."
Raudhah tergelak kecil sebelum Elysha akhirnya perasan seorang wanita tua bertongkat di sebelah Raudhah. Wajah Elysha berubah, lebih serius dan penuh hormat. "Eh, makcik... Jemput masuk. Kita kena utamakan orang yang lebih tua."
Dia memimpin Mak Timah duduk di sofa. Raudhah mendukung Hawra yang mula meragam manakala Harraz sudah berlari ke ruang permainan untuk bermain dengan sepupunya, Arish.
Sementara itu, Luqman yang sedang mendukung Raeeis tersenyum melihat mereka.
"Ha, tulah Raeeis. Besar dah dia. Beza sebulan je dengan Hawra ni." kata Zheriff.
"Oh, betul-betul kau letak nama Raeeis, Sha?" Raudhah mengusik. "Pendek sangat nama tu!"
Elysha ketawa kecil. "Alah, senang nak panggil. Nak isi borang pun senang asalkan ada nama sudah."
Namun, kunjungan Raudhah kali ini bukan sekadar ziarah biasa. Dia menarik nafas dalam sebelum berkata, "Sha, aku datang ni sebab mak aku ada sesuatu yang dia nak cakap. Kau boleh panggil mama, papa, dan kak Riana sekali?"
Elysha mengerutkan dahi. "Eh, benda apa? serius ni?"
Raudhah mengangguk. "Serius, Sha. Katanya ini penting."
Tanpa banyak soal, Elysha naik ke tingkat atas mengetuk pintu bilik ibu bapanya. "Mama, papa!"
Datin Sarimah yang baru selesai bersiap membuka pintu. "Kenapa, Sha? Bising betul kat bawah tu, siapa datang?"
"Mak Raudhah, mama. Dia cakap ada benda penting nak beritahu. Mama turunlah dengan papa sekali. Sha nak panggil Kak Riana pula."
Beberapa minit kemudian, semua sudah berkumpul di ruang tamu. Orang terakhir yang turun adalah Dato' Zayn. Namun, sebaik matanya menangkap wajah Mak Timah, langkahnya terhenti di tangga. Dada terasa sesak, hatinya mula berdebar tanpa sebab yang jelas.
"Kenapa aku rasa tak sedap hati ni? Kenapa wajah wanita tu seperti mengingatkan aku kepada seseorang?" bisiknya dalam hati.
Dia cuba menenangkan diri, lalu melangkah turun dengan wajah tenang. Tetapi jauh di sudut hati, ada kegelisahan yang mula merayap.
Di sofa, Mak Timah menghela nafas panjang sebelum bersuara, suaranya tegang dan sarat dengan perasaan. "Baiklah, kalau semua sudah ada di sini, saya nak berterus terang tentang kisah lama saya. Sebab cerita ini ada kaitan dengan keluarga Dato' dan Datin."
Semua yang berada di dalam rumah terdiam. Suasana bertukar tegang, masing-masing cuba memahami apa yang ingin disampaikan oleh wanita tua itu.
Datin Sarimah berkerut dahi. "Kisah lama? Apa maksud makcik?"
Mak Timah menggenggam erat tongkatnya. "Saya tahu selama ini Dato' dan Datin tertanya-tanya kenapa saya tak merestui perkahwinan Raudhah dan Zheriff. Saya nak jelaskan hari ini."
Dato' Zayn masih diam, tetapi matanya tajam meneliti setiap riak wajah Mak Timah.
"Alasan saya tidak merestui perkahwinan mereka... adalah kerana dendam."
Semua mata membulat.
"Dendam?" Datin Sarimah mengulang dengan nada terkejut. "Maksud makcik?"
Mak Timah menarik nafas panjang. "Ya. Saya pernah berdendam. Tapi niat saya datang hari ini bukan untuk menuntut apa-apa, bukan untuk mengungkit kisah lama. Saya hanya mahu menceritakan kebenaran. Supaya anak-anak kita tahu halal dan haram."
"Siapa yang awak berdendam dulu tu?" Dato' Zayn akhirnya bersuara, suaranya dalam dan penuh teka-teki.
Mak Timah memandangnya tajam, lalu berkata perlahan tetapi cukup jelas, "Saya berdendam... dengan Dato'."
Seluruh ruang tamu seakan sunyi. Raudhah menelan air liur, Elysha memandang ibu bapanya, dan Zheriff menggenggam erat tangan isterinya.
"Apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa awak berdendam dengan saya?" Dato' Zayn bertanya lagi, suaranya lebih serius.
Mak Timah menghela nafas sekali lagi sebelum berkata, "Kalau Dato' mahu tahu semuanya... saya perlu bertemu dengan Dato' secara peribadi. Ada sesuatu yang harus saya jelaskan sendiri kepada Dato'."
Mata Dato' Zayn semakin tajam. "Kenapa saya rasa seperti saya pernah mengenali awak sebelum ini?"
Mak Timah tersenyum kelat. "Sebab Dato' memang pernah mengenali saya."
Dan ketika itu, jantung Dato' Zayn seperti berhenti berdegup seketika.
Rahsia lama yang terkubur... kini menuntut untuk didedahkan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro