Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 61 💫

Seminggu telah berlalu. Masa berlalu begitu pantas, seolah-olah detik-detik itu berlari meninggalkan kenangan tanpa menoleh ke belakang.

Raudhah duduk di sofa ruang tamu, memangku anak kecilnya, Hawra. Di sebelahnya, Harraz khusyuk membina lego, tidak terganggu oleh suasana sekeliling. Namun, mata Raudhah tidak lepas daripada memerhati Zheriff dan Hanissa yang rancak berbual di anjung rumah. Hatinya bergetar dengan persoalan yang tidak terucap.

"Apa sebenarnya yang diaorang bincangkan? Kenapa setiap hari perempuan itu datang ke sini?" gumamnya dalam hati, matanya tajam menjeling mereka berdua.

Rasa ingin tahu yang membuak-buak membuatkan Raudhah bangkit dari sofa. Dia mahu mendekati mereka, mahu tahu apa yang sedang berlaku. Namun, langkahnya terhenti di ambang pintu apabila Zheriff menyedari kehadirannya.

"Eh, sayang! Kenapa berdiri tercegat di situ? Nak minta tolong apa-apa ke?" tanya Zheriff sambil tersenyum, lalu menghampiri Raudhah untuk mengambil Hawra dari dukungannya.

"Meh saya jaga dia! Awak pergilah berehat. Mesti awak penat, kan?" ujar Zheriff lembut, tangannya menghulur untuk mengambil Hawra.

Raudhah hanya diam. Tanpa banyak bicara, dia menyerahkan Hawra kepadanya.

Hanissa yang sejak tadi memerhati, tiba-tiba bersuara, "Alahai, comelnya Hawra! Dah la mak dan ayahnya elok, anak pun makin elok. Putih bersih! Saya ni teringin juga nak ada anak lagi, tapi apakan daya... dah tua."

Zheriff ketawa kecil sambil mengusap kepala anaknya. "Dah dua minggu dah usia dia ni."

"Oh ya ke... cepatnya masa berlalu." balas Hanissa, seolah-olah ada sesuatu di sebalik kata-katanya.

Raudhah mengetap bibir. Perasaan tidak enak menjalar di hatinya.


Sementara itu, di rumah Datin Sarimah, suasana sepi dan muram menyelubungi ruang.

Di dalam bilik, Riana sedang bersiap untuk ke mahkamah. Wajahnya suram, matanya sembap—air mata tidak berhenti menitis. Hatinya remuk. Hari ini adalah hari yang akan mengubah hidupnya selama-lamanya.

Elysha yang melihat keadaan kakaknya itu, segera menghampiri dan menggenggam tangan Riana.

"Akak... sudahlah, jangan menangis lagi. Semua ini takdir. Dah tertulis. Akak kena kuat, okay? Ada hikmah di sebalik semua yang berlaku." ujar Elysha, cuba menenangkan.

Riana mengesat air matanya, cuba menguatkan diri.

"Jom, akak. Jangan sampai Aish tahu akak selalu menangis. Nanti banyak pula soalan dia tu." ujar Elysha, menarik lembut tangan kakaknya keluar dari bilik.

Di ruang tamu, Luqman yang sedang mendukung bayi kecil, mengerutkan dahi melihat Elysha yang sudah bersiap untuk keluar.

"Eh, kau bukan ke tak habis pantang lagi? Ada lagi beberapa hari nak habis pantang! Nak bawa kereta dah?" tegurnya.

Elysha hanya menjulingkan mata. "Alah, kau diam jelah. Lagi 2 3 hari je pun! Lagipun mama bukan ada kat rumah sekarang!" katanya sebelum melangkah keluar.


Di dalam kereta, Arish, anak kecil Riana, mula bertanya dengan wajah polos.

"Mama! Aunty Sha, ini tempat apa?"

Riana terdiam. Hatinya sebak.

Elysha segera mencelah, "Akak, akak pergilah dulu. Aku akan cakap dengan Aish."

Apabila Riana keluar dari kereta dan melangkah masuk ke mahkamah, Arish semakin gelisah.

"Aunty! Mama pergi mana?"

Elysha menarik nafas panjang, cuba menyusun kata. "Mama ada hal sikit. Takpe... nanti Aish dah besar, Aish akan faham."


Di dalam mahkamah, suasana tegang tetapi penuh profesionalisme.

Hakim memandang Riana dengan wajah serius. "Adakah Puan Riana bersetuju dengan keputusan ini?"

Riana mengangguk, tetapi air mata yang mengalir tidak dapat dikawal.

"Encik Fikry? Bersedia untuk melafazkan talak?"

Fikry menarik nafas dalam. "Sebelum itu... saya ada sesuatu untuk dikatakan."

Riana mengangkat kepala, memandangnya dengan mata berkaca.

"Ana... saya tetap akan sayangkan awak sampai bila-bila. Saya juga akan sayang anak kita sampai bila- bila. Meskipun saya perlu pergi awak dan Aish tetap di hati saya sampai ke syurga. Dan yang terakhir... harta milik papa awak, saya akan serahkan kesemuanya. Saya takkan ambil walau satu sen."

Riana menggigit bibir, cuba menahan tangisnya. Namun, kata-kata Fikry itu seperti pisau yang menghiris hatinya.

Hakim mengangguk. "Baik, mari kita mulakan."

Fikry menarik nafas, sebelum lafaznya bergema di dalam mahkamah.

"Tisya Riana binti Dato' Ahmad Zayn... mulai hari ini, aku ceraikan kau dengan talak satu."

Seperti kaca yang pecah berderai, air mata Riana jatuh lebih deras. Fikry menunduk, menahan perasaan yang berkecamuk dalam dirinya.


Selepas segala urusan selesai, Riana melangkah lesu ke kereta. Namun, sebelum sempat dia membuka pintu, suara kecil Arish bergema.

"Papa!"

Anak kecil itu berlari, memeluk ayahnya dengan erat.

Fikry berlutut, mendakap anaknya dengan penuh kasih. "Sayang papa... maafkan papa, ya? Papa tahu papa tak selalu ada untuk Aish dan mama. Tapi papa nak Aish tahu, papa tetap sayangkan Aish. Hari ini, papa kena pergi... Tapi kalau ada rezeki, kita akan jumpa lagi, ya?"

"Papa nak pergi mana?" suara kecil itu penuh kebingungan.

Fikry cuba tersenyum walaupun hatinya luluh. "Papa nak balik rumah nenek."

"Tapi kenapa? Kenapa papa tak boleh balik dengan kita?"

Fikry mengusap rambut anaknya, menahan sebak. "Maafkan papa, sayang... Suatu hari nanti, Aish akan faham."

Aish menangis, cuba menggenggam tangan ayahnya agar tidak pergi. Namun, Fikry melepaskan pelukan itu perlahan-lahan.

Riana menarik tangan anaknya masuk ke dalam kereta. Soalan demi soalan keluar dari mulut Aish, tetapi Riana hanya mampu diam. Tiada jawapan yang mampu mengurangkan kesakitan ini.

Dan saat kereta itu berlalu pergi, Fikry hanya berdiri di situ, melihat mereka menjauh.

Sekali lagi, dia kehilangan wanita yang paling dia cinta.

Dan kali ini... untuk selama-lamanya.



Petang itu, langit redup berarak perlahan, ombak pantai beralun tenang, seolah-olah memahami hati yang sedang mencari damai.

Di rumah Maksu Salehah, Zheriff melangkah ke dapur dengan wajah penuh tanda tanya.

"Maksu, mana Raudhah? Petang-petang macam ni dia hilang ke mana takkan hilang begitu saja? Tadi ada, sekarang entah ke mana. Hawra kalau menangis cari mommy dia, jenuh nak cari?" rungutnya sambil menepuk lembut kepala anak perempuannya yang lena dalam dakapan.

Maksu Salehah tersenyum kecil, sudah lali dengan keresahan Zheriff.

"Dia pi pantai, berjalan kaki ja. Katanya nak tenangkan fikiran. Jauh juga tu, dalam 400 meter dari sini." Maksu menoleh memandang Zheriff yang mula gelisah. "Kalau Zheriff nak pi jenguk dia, pi lah. Manalah tahu dah sejuk hatinya tu."

Zheriff mengangguk. "Oh ya? Kalau macamtu sekarang juga Zheriff pergi, Zheriff dah ada rancangan juga." dia keluar dari rumah membuka bonet kereta.

Dia mencapai sekuntum bunga mawar merah dari bonet kereta sebelum berpaling ke arah Harraz.

"Harraz, ingat rancangan kita? Daddy dah bagitahu tadi! Kalau berjaya, daddy belanja Lego!"

Harraz tersengih nakal. "Ok, daddy!"

Hawra masih lena dalam dakapan Zheriff, dan mereka segera bergerak ke pantai.


Di Pantai

Raudhah duduk di atas batu besar, memandang ombak yang memukul pantai dengan lembut. Angin sepoi-sepoi menyentuh wajahnya, membelai selendangnya.

"Haih... tenangnya di sini," gumamnya perlahan, membiarkan fikirannya berlayar bersama bayu laut.

Namun, ketenangannya terganggu apabila suara yang amat dikenalinya menyapa.

"Hai, Tuan Puteri. Cantik kan, pemandangan pantai ni?"

Raudhah menoleh. Zheriff berdiri di sebelahnya, tersenyum sambil mendukung Hawra.

"Awak buat apa dekat sini? Jangan ganggu ketenangan saya," ujarnya, cuba menyembunyikan debar di hati.

Zheriff menarik nafas panjang. "Sebenarnya, hajat beta datang kemari hanyalah untuk memujuk hati tuan puteri."

Raudhah tersenyum kecil tetapi cepat-cepat membuang pandang ke laut. "Tak payah nak berbeta-beta sangatlah! Awak ingat ini istana ke?"

"Maafkan beta, wahai tuan puteri, jika beta pernah mengguris hati tuan puteri. Hampir setahun beta memujuk tuan puteri, tidakkah ada ruang di hati tuan puteri untuk mengampuni beta?"

Raudhah diam. Hatinya bergetar, tetapi egonya masih bertahan.

"Ampunilah beta, wahai tuan puteri. Demi anakanda kita dan kasih beta kepada tuan puteri, sudikah tuan puteri kembali ke pangkuan beta?"

Raudhah cuba menahan senyum, tetapi bibirnya sudah mula mengukir kebahagiaan.

"Tuan puteri kecil sudah bersetuju. Tuan puteri bila pula?" tanya Zheriff sambil mencium dahi Hawra.

Tiba-tiba, Harraz berlari ke arah mereka, membawa sekuntum bunga mawar. Dengan gaya dramatik, dia melutut di hadapan Raudhah.

"Mommy, will you forgive Daddy?"

Raudhah terkedu. Dia memandang bunga di tangan Harraz, kemudian ke wajah suaminya yang menanti dengan penuh harapan.

"Yang bapaknya berbahasa istana, anaknya pula berbahasa Inggeris?" gumamnya, namun hatinya mulai sejuk.

Harraz tersengih. "Daddylah yang ajar!"

Raudhah akhirnya menghela nafas dan mengambil bunga itu. "Mommy tak suka bunga, tapi mommy suka sekuntum bunga. Pandai pula kamu tahu."

"Daddy yang cakap," balas Harraz pantas. "So? Yes or no?"

Raudhah mengangguk. "Yes."

Zheriff tersenyum lebar, penuh rasa syukur. Dia mengeluarkan seutas cincin dan menyarungkannya ke jari Raudhah.

"Betul ni? Awak maafkan saya?" soalnya, seakan tidak percaya.

Raudhah tersenyum lembut. "Terima kasih kerana tidak pernah berhenti memujuk hati saya. Cinta saya kepada awak tak pernah hilang, cuma saya perlukan ruang."

Zheriff menggenggam erat tangannya. "Setelah hampir setahun beta memujuk hati tuan puteri, akhirnya tuan puteri mengampuni beta. Beta amat menyayangi dan mencintai tuan puteri!"

Raudhah ketawa kecil. "Mana awak belajar bahasa istana ni?"

"Di mana beta belajar itu tidak penting. Yang penting, beta berjaya menambat hati tuan puteri!"

Mereka sama-sama ketawa, bahagia dalam detik yang akhirnya mempertemukan hati mereka kembali.


















Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro