Bab 59 💫
Kembali ke hospital
"Tak sempat pula Zheriff nak beli hadiah untuk Raiees ni. Tak apa, nanti ada masa, Paksu belikan, ya? Alahai, comelnya budak ni, geram Paksu!" ujar Zheriff sambil mendukung lembut bayi kecil itu.
Tiba-tiba, Elysha tersedar daripada lenanya. Pandangannya kabur seketika sebelum matanya tertancap pada lelaki yang sedang berdiri di hadapannya.
"Eh, Zheriff? Raudhah tak datang ke?" soalnya dengan nada penuh harapan. Dia benar-benar merindui kakak iparnya.
Zheriff menghela nafas panjang. "Tak, aku tak bagi dia ikut sebab—"
"Sebab apa?" Elysha mengerutkan dahi.
"Sebab dia tu tengah pregnant! Dah sarat! Karang aku bawak ke sini, ada sajalah rungutnya. Lenguh sana, lenguh sini. Tak pasal-pasal terberanak dalam kereta pula nanti," ujar Zheriff dengan nada berseloroh, sengaja mahu mengusik.
Elysha tersentak. Matanya membulat. "Raudhah… mengandung? Nak bersalin dah? Serius?! Hmh... Makin bertambah lah cucu Dato' Zayn dan Datin Sarimah! Nanti." katanya teruja walaupun tubuhnya sendiri masih lemah selepas melahirkan.
"Ya, tak lama lagi dia akan bersalin," sahut Zheriff sambil melirik ke arah bayi dalam pangkuannya. "Alahai, comelnya Raiees ni."
"Ish, asal kau tak bawa kakak ipar kesayangan aku tu hah?! Kau tahu tak aku rindu dia!" rungut Elysha, mencebik seperti kanak-kanak.
Zheriff menjeling. "Nanti-nanti aku bawaklah. Hidup lagi dia tu. Ada je! Herghh!" Dia kemudian beralih ke arah bayi itu. "Raiees, tengok mama awak ni! Nanti dah besar jangan jadi macam dia tau!"
"Eh, sudah, sudah! Dari dulu sampai sekarang, dah ada anak pun nak bergaduh lagi ke?" tegur Datin Sarimah, menggelengkan kepala.
Serentak itu, Raiees mengeluarkan bunyi kecil. "Uwaa…"
Zheriff tersengih. "Ha! Mama tengok ni, dia gelak!"
"Malu lah sikit, dah ada anak, perangai tak berubah!" bebel Datin Sarimah lagi.
Zheriff dan Elysha akhirnya diam, tidak mahu memanjangkan perbalahan kecil mereka. Perlahan-lahan, Zheriff menyerahkan Raiees kepada Elysha. "Nah, ambil anak kau."
Zheriff menunggu beberapa hari sehingga Elysha dibenarkan keluar dari wad. Sebaik sahaja semuanya selesai, dia segera menghantar mesej kepada Raudhah.
'Assalamualaikum, Raudhah. Saya duduk KL dalam dua tiga hari lagi, lepas tu saya balik Kedah, ya awak jangan risau, Harraz tak buat perangai pun dia ok je.'
Setelah Elysha dibenarkan keluar dan berpantang di rumah Datin Sarimah, Zheriff membuat keputusan untuk pulang ke rumah Maksu Salehah. Namun sebelum bertolak, dia menghantar satu lagi mesej penting.
'Assalamualaikum, Aizat. Saya nak bagitahu yang saya dah tak perlukan bodyguard lagi. Bukan sebab kerja korang tak bagus, tapi sebab saya dah ada rancangan sendiri. Terima kasih untuk semua yang korang dah lakukan, terutama sekali dalam menjaga Puan Raudhah. Kerja korang memang tip-top! Tolong sampaikan penghargaan saya kepada yang lain, ya.'
Dia menekan butang hantar, lalu tersenyum kecil.
Sebelum pulang, dia singgah sebentar di sebuah kedai bayi. Dia tahu Raudhah belum sempat membeli keperluan untuk bayi mereka.
"Harraz! Kita shopping baju baby sikit, okay? Harraz ambillah apa nak ambil. Kedai ni besar!" katanya sambil menggenggam tangan anaknya yang kelihatan begitu teruja.
"Okay!" balas Harraz, menunjukkan isyarat ‘OK’ dengan penuh semangat.
Lewat petang itu, mereka akhirnya tiba di rumah Maksu Salehah. Sejurus kereta berhenti, Harraz terus membuka pintu dan meluru keluar dengan penuh keterujaan.
"Mommy!" jeritan nyaringnya bergema di laman rumah.
Raudhah yang berada di dalam segera keluar menyambut anaknya. Namun, matanya hanya tertumpu kepada Harraz, bukan kepada lelaki yang berdiri di belakang.
"Sayang! Dah balik dah? Macam mana? Happy tak?" tanya Raudhah sambil mendukung anak kecil itu.
"Happy! Anak aunty Sha comel sangat! Tapi Harraz lagi comel!" balasnya, mengerling dengan gaya comel.
"Alahai, ye ke? Jom masuk! Maksu masak sedap hari ni!" Raudhah menarik tangan anaknya masuk ke dalam rumah tanpa sedikit pun menoleh ke arah Zheriff.
Dari belakang, Zheriff hanya mampu memerhati. Dia menarik nafas panjang, menggumam perlahan.
"Sambut anak je… Suami dia ni takdenya nak disambut."
Zheriff masuk ke dalam rumah dan disambut oleh Maksu Salehah.
"Ha, Zheriff! Mai masuk makan. Drive jauh kan? Letih bawa kereta jauh-jauh ni," ujar Maksu Salehah.
"Ha… Yelah, Maksu," balasnya, lalu menarik kerusi untuk duduk.
Sementara itu, di meja makan, Harraz mendapat layanan penuh daripada Raudhah. Zheriff menjeling, cemburu.
"Daddy takde ke?" tanyanya, mengharap perhatian.
Raudhah menjeling sekilas. "Tak payah nak mengada!" ujarnya tegas, namun dia tetap tidak berpaling ke arahnya.
Sebulan berlalu. Raudhah diminta oleh doktor untuk datang ke hospital lebih awal bagi persediaan bersalin. Hospital swasta yang mereka pilih agak jauh dari rumah Maksu Salehah, jadi langkah awal perlu diambil.
Malam sebelum ke hospital, Raudhah sibuk mengemas barang-barangnya.
Keesokan harinya, mereka semua bersiap untuk bertolak. Hanya tinggal masa untuk Raudhah merasakan kesakitan sebenar sebelum melahirkan anaknya.
"Raudhah, banyakkan berdoa ya masa nak bersalin nanti. Maksu doakan semua dipermudahkan," ujar Maksu Salehah, menggenggam erat tangan Raudhah.
Raudhah tersenyum lemah. "Terima kasih, Maksu."
"Zheriff pun sama. La ni dia takdak, dia dekat surau. Sembahyang hajat katanya, dia bawa Harraz sekali. Dia doa supaya urusan bini dia ni dipermudahkan," sambung Maksu Salehah lagi.
Raudhah tersentak. Dadanya tiba-tiba terasa sebak. Dia menghela nafas dalam-dalam.
Dia sedar… semakin hari, semakin dia melihat kesungguhan lelaki itu.
Lelaki yang dulunya penuh dengan egonya sendiri.
Lelaki yang sering berbalah dengannya.
Lelaki yang kini… berusaha keras untuknya.
Dan saat itu, air matanya mengalir perlahan.
Jam 4 pagi, keheningan malam dipecahkan oleh rintihan halus Raudhah. Dia mengerang perlahan, wajahnya berkerut menahan sakit yang kian mencengkam.
Zheriff yang tidur di sofa kecil di sudut bilik tersentak. Pandangannya yang kabur segera tertancap pada Raudhah yang menggenggam erat selimut.
"Raudhah! Awak dah sakit ke?" Suaranya bergetar, cemas menyelimuti dirinya.
Raudhah hanya mengangguk, nafasnya pendek-pendek menahan kontraksi yang semakin kuat.
Zheriff melompat dari tempat duduknya, berlari keluar mencari bantuan. "Nurse! Nurse!" suaranya bergema di sepanjang koridor hospital, menarik perhatian jururawat bertugas.
Seorang jururawat segera menghampiri. "Ya, Encik Zheriff. Ada apa?"
"Isteri saya nak bersalin! Wad 4! Cepat, tolong!" paniknya semakin menjadi-jadi.
"Baik, Encik. Sila bertenang. Kami akan segera bawa Puan Raudhah ke bilik bersalin," kata jururawat itu dengan tenang sebelum memberi isyarat kepada pasukannya.
Zheriff kembali ke bilik, menggenggam tangan Raudhah erat. "Sayang, bertahan, ya. Saya ada di sini," bisiknya penuh kasih.
Raudhah hanya mengangguk, air mata menitis perlahan.
Ketika tiba di bilik bersalin, Zheriff menoleh ke arah jururawat. "Saya suami dia. Saya boleh masuk?"
"Ya, Encik. Suami boleh masuk," balas jururawat itu.
Zheriff segera berdiri di sisi Raudhah, memegang tangannya seerat mungkin.
"Sayang, tarik nafas... Lepaskan perlahan-lahan... Saya ada dengan awak," suaranya lembut, cuba memberi kekuatan kepada isterinya yang sedang bertarung nyawa.
Masa seakan berlalu begitu perlahan. Raudhah menggenggam tangan Zheriff dengan kuat, kesakitan semakin memuncak.
Hingga akhirnya—
"Uwaaa! Uwaaaa!"
Tangisan bayi memecah keheningan. Zheriff terpaku, air mata bergenang di tubir matanya.
Doktor tersenyum, lalu meletakkan bayi kecil itu ke dada Raudhah.
"Alhamdulillah... Anak kita, sayang," suara Zheriff bergetar, penuh syukur dan haru. Dia mengusap lembut kepala isterinya, matanya tidak mampu lepas daripada wajah bayi mereka.
Raudhah, walau keletihan, tersenyum dalam linangan air mata. "Assalamualaikum anak mommy... Alhamdulillah awak dah keluar dengan selamat." bisiknya lemah.
Zheriff hanya menatapnya dengan penuh rasa cinta. "Terima kasih sayang... Sebab bertarung nyawa lahirkan anak kita," katanya sambil mengelus pipi isterinya.
Setelah semuanya selesai, Raudhah dibawa ke wad untuk berehat. Bayi mereka dibawa sebentar untuk pemeriksaan sebelum diserahkan kembali kepada ibu yang baru melahirkannya.
Di dalam wad, kebahagiaan memenuhi ruang. Senyuman Zheriff tidak lekang dari bibirnya.
Maksu Salehah yang sudah terjaga dari tadi menegur dengan nada usikan. "Ha, anak dah dua, mak dengan ayahnya bila nak berbaik?"
Zheriff hanya menggeleng sambil tersenyum kecil, namun hatinya sedikit terusik dengan kata-kata Maksu Salehah.
Dia mencapai telefonnya dan menaip mesej kepada ibunya.
'Assalamualaikum, mama. Raudhah baru selamat lahirkan anak perempuan. Alhamdulillah, sihat dan normal. Cucu perempuan pertama mama ni! Kalau mama tak sibuk, datanglah jenguk Raudhah. Kami di hospital sekarang.'
Dia menekan butang hantar. Senyuman kecil terukir di bibirnya.
Tidak lama kemudian, seorang jururawat masuk, menolak troli kecil yang menempatkan bayi mereka.
"Assalamualaikum," sapanya lembut.
"Waalaikumsalam... Terima kasih, nurse," balas Zheriff dengan senyuman lebar.
"Zheriff dah azankan anak, dak lagi?" tanya Maksu Salehah.
Zheriff tersentak. "Belum lagi!"
Dia segera menghampiri bayi kecil itu, mendekatkan bibir ke telinganya lalu mengumandangkan azan dengan penuh syahdu.
"Allahu Akbar... Allahu Akbar..."
Setiap lafaz azan yang dilantunkan mengalir dari hatinya yang penuh rasa syukur.
Usai azan, Zheriff menatap wajah si kecil dengan penuh kasih. "Assalamualaikum, puteri daddy... Terima kasih sebab hadir dalam hidup mommy dan daddy. Kehadiran awak melengkapkan keluarga kita," bisiknya perlahan, air matanya kembali menitis.
Dia mendukung bayi itu, lalu berjalan ke sisi Raudhah. Ketika menyerahkan si kecil kepada isterinya, matanya bertaut lama dengan Raudhah.
Tanpa sedar, Raudhah turut menatapnya dalam-dalam.
"Terima kasih, sayang... Sebab bertarung nyawa lahirkan anak abang," ujar Zheriff, suaranya bergetar dengan emosi.
Raudhah terpana. Hatinya luluh mendengar kata-kata itu.
Dia hanya mengangguk perlahan, meskipun tidak memandang suaminya, dia tetap akan cintakan Zheriff hingga akhir hayatnya, namun ego menyelubungi diri.
Di rumah Datin Sarimah
Ketika jam menunjukkan pukul lapan pagi, Datin Sarimah baru saja membuka telefonnya. Sebaik membaca mesej Zheriff, matanya membesar.
"Eh! Raudhah dah bersalin! Anak perempuan!" serunya teruja.
"Laa, ye ke, ma? Alhamdulillah!" balas Elysha yang sedang berpantang di sofa. "Mesti mama suka dapat cucu perempuan pertama ni!" dia mengusik ibunya.
"Mestilah! Ni mana papa kamu? Sekarang juga mama nak pergi Kedah!" Datin Sarimah bergegas bangun, mencari suaminya.
Riana, yang baru muncul dari dapur, menyampuk, "Ma, Ana nak ikut tapi... Fikry katanya dia nak datang jenguk Aish hari ni."
Elysha mengangkat kening. "Mimpi apa pulak Fikry nak datang tiba-tiba ni?"
Riana menghela nafas. "Entahlah... Dia selalu macam ni. Datang ikut suka hati. Akak malas nak berbincang dengan dia. Kalau tanya, jawapan dia asyik sibuk kerja."
Elysha diam, namun riak wajahnya jelas menunjukkan dia turut berasa curiga.
Di hospital, kebahagiaan baru saja bermula.
Zheriff dan Raudhah, dengan bayi perempuan mereka di sisi, sama-sama tahu bahawa hidup mereka kini akan lebih bermakna.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro