Bab 53 💫
Pagi itu, Encik Dafi melangkah masuk ke perkarangan rumah Maksu Salehah, matanya liar meneliti suasana sekeliling. Namun, yang paling menarik perhatiannya adalah sebuah kereta mewah yang tersergam indah di halaman rumah.
"Wah! Wah! Wah! Cantiknya kereta ni! Mewah berkilat! BMW pulak tu! Haritu lain, ni lain pula. Kaya sungguh Raudhah ni rupanya! Kalah aku!" Encik Dafi bersuara teruja, matanya membulat memerhati setiap inci kenderaan itu.
Dia mendekati tangga rumah dan memberi salam.
"Assalamualaikum... Assalamualaikum... Raudhah!" laungnya sambil menjenguk ke kiri dan ke kanan, menanti kemunculan gadis itu.
Namun, bukan Raudhah yang menyahut, sebaliknya suara seorang wanita berusia kedengaran.
"Waalaikummussalam... haishh, sapa pulak pagi-pagi buta mai sini dok terjerit-jerit panggil Raudhah ni?" Suara Maksu Salehah kedengaran dari dalam rumah, bernada curiga.
Encik Dafi tersengih, lalu menjawab dengan penuh yakin.
"Oh, saya Ahmad Dafi, bos Raudhah! Saya datang ni ada bawa buah tangan sikit."
Maksu Salehah merenungnya atas bawah, bibirnya diketap sedikit.
"Bos? Bos dia? Hmm... sat na, maksu pi panggil dia." Maksu Salehah berlalu masuk ke dalam rumah sambil menggeleng kecil.
Di dalam, dia menjerit memanggil Raudhah dengan nada yang lebih kuat.
"Raudhah! Raudhahhh! Mai tengok sat! Tu ha ada lelaki mai cari Raudhah, katanya bos Raudhah, Dafi nama dia!"
Raudhah yang baru selesai bersiap, terkedu seketika. Nama Encik Dafi bergema di benaknya. Jantungnya berdegup kencang, hatinya mula berasa cemas.
"Hah? Bos? Ya Allah... kenapa dia sampai datang rumah?"
Dia menarik nafas panjang sebelum melangkah ke luar rumah dengan wajah sedikit tegang.
"Eh bos! Bos buat apa dekat sini?" suara Raudhah sedikit gementar.
Encik Dafi tersenyum sambil menghulurkan sebekas makanan.
"Saja je datang... ni, saya bawa buah tangan untuk awak."
Raudhah menyambutnya dengan senyuman kelat.
"Oh, terima kasih bos!"
Namun, Encik Dafi tidak berhenti di situ. Matanya kembali tertancap pada kereta mewah di halaman.
"Eh ni kereta awak ke? Cantik! Berkilat! Mahal ni!"
Raudhah tersenyum kecil, cuba mengawal reaksi.
"Eh, bukan... bukan saya punya. Ni kereta abang saya."
Tiba-tiba, dari dalam rumah, Maksu Salehah bersuara lagi, kali ini kepada seseorang di dapur.
"Zheriff! Pi la tengok sapa mai rumah tu! Mai pagi-pagi hantar makanan, maksu pun hairan."
Tanpa banyak soal, seorang lelaki muncul dari dalam rumah, melangkah tenang ke hadapan.
"Oh, ni abang awak ke Raudhah?" Encik Dafi bersuara sambil menghulurkan tangan.
Namun, sebaik sahaja Zheriff memandang wajahnya, dia terdiam seketika. Matanya mengecil, bibirnya tertutup rapat. Hatinya bagai dihentam sesuatu yang kuat.
"Macam kenal muka mamat ni... Ya Allah! Ni la Dafi yang banyak hutang dengan syarikat papa! Sampai dua puluh ribu, bertahun tak bayar! Hah, kau tunggu! Maklumat kau ada dekat hujung jari aku je! Tunggu la, silap hari bulan aku hantar kau masuk lokap!" Zheriff menggerutu dalam hati, matanya tajam menikam wajah Encik Dafi.
Namun, di luar, dia masih mengekalkan senyumannya.
"Saya Zheriff, abang Raudhah. Salam kenal?" ujarnya sinis sambil menyambut huluran tangan Encik Dafi.
Encik Dafi masih belum menyedari bahaya yang sedang menantinya.
"Ohh! Luar biasa orangnya! Handsome, sado, kaya... patutlah adiknya pun cantik! Mesti abang kerja besar kan?"
Zheriff mengangkat kening sedikit, nadanya semakin sinis.
"Biasa ja... CEO, pewaris harta keluarga... Papa saya Dato', tapi saya ni biasa ja, kerja takdelah besar mana."
Encik Dafi tergelak kecil.
"Besar sangat dah tu! Patutlah abang kaya raya! Untung saya kalau dapat abang ipar macam abang ni!"
Mata Zheriff hampir membulat.
"Abang ipar?! Merepek apa dia ni?" desisnya dalam hati.
Raudhah yang berada di sebelah hampir ketawa, tetapi cuba menahan diri. Namun, saat itu, suara seorang kanak-kanak bergema dari dalam rumah.
"Mommy! Mommy! Daddy! Daddy!"
Langkah kecil berlari-lari ke anjung rumah. Seorang budak lelaki comel dengan wajah polos berdiri di hadapan mereka.
Raudhah tersentak. Jantungnya seakan berhenti berdetak. Dia menoleh ke arah Zheriff yang juga sudah menegang.
"Mommy!" Harraz menjerit kecil, wajahnya ceria melihat Raudhah.
Namun, kegembiraan itu tidak sama dengan riak wajah Encik Dafi yang semakin keliru.
"Mommy? Budak ni panggil awak mommy?!" wajahnya berubah serta-merta.
Raudhah tidak sempat menjawab apabila Zheriff menyampuk dengan nada tegas.
"Macam ni bro! Terus teranglah aku cakap! Raudhah ni bini aku! Aku suami dia! Budak ni anak aku! Dan kereta yang berkilat tu? Kereta aku! Kereta yang Raudhah pakai sebelum ni? Hadiah aku untuk dia!"
Encik Dafi hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
"Ni suami awak? Raudhah... awak kata awak belum kahwin? Tapi... tapi kenapa awak tipu saya?! Kenapa awak bagi saya harapan palsu?!" suara Encik Dafi mula bergetar, jelas terguris dengan kenyataan itu.
Namun, sebelum Raudhah sempat bersuara, Zheriff sudah menapak ke hadapan, berdiri tegak di hadapan Encik Dafi.
"Eh! Apa yang kau nak sakit hati sangat ni? Kau bos dia je kan? Apa hak kau nak cakap pasal harapan palsu? Mustahil la takde orang nak kahwin dengan bini aku yang cantik ni!" kata-kata Zheriff tajam menikam.
Raudhah menarik nafas dalam. Dia tahu dia perlu menjelaskan segalanya.
"Saya minta maaf, bos. Saya rahsiakan perkahwinan saya sebab dalam syarat syarikat, bos cuma nak pekerja wanita yang belum berkahwin. Saya terpaksa buat macam ni untuk dapatkan kerja. Saya betul-betul minta maaf..."
Encik Dafi diam. Dadanya terasa berat. Matanya merayap ke wajah Raudhah, kemudian ke arah Zheriff yang berdiri seperti pelindung di sisinya.
“Apa benda lah buat syarat nak staf yang tak kahwin lagi? Nak menggatal la tu,” detik hati Zheriff dengan sinis.
Namun, dia mengawal raut wajahnya. Senyuman kecil terukir, tetapi dalam hatinya ada api yang mula membakar.
"Tak apa. Aku pun minta maaf... sebab buat syarat macam tu," ucapnya perlahan sebelum berlalu pergi. Namun, langkahnya yang tenang menyembunyikan badai dalam jiwa. Rasa marah dan niat jahat mula mencengkam fikirannya.
"Dah lah berhutang dengan banyak syarikat, duit pun entah ada ke tak. Bila-bila masa je boleh bangkrap!" Zheriff mengetap bibir.
Raudhah yang berdiri di hadapannya menarik nafas panjang sebelum menggenggam erat tangan anaknya, Harraz. Dengan langkah laju, dia membawa Harraz masuk ke rumah tanpa menoleh lagi.
Sampai sahaja di bilik, dia menutup pintu dengan sedikit kasar. Harraz memandangnya dengan mata penuh tanda tanya.
Raudhah menghela nafas dan merendahkan tubuh, tangannya menutup lembut kedua-dua belah telinga anaknya. Dengan nada berbisik tetapi tegas, dia berkata, “Ish, awak ni kenapa? Sibuk je!”
Di luar, Zheriff hanya bersandar di pintu dengan tangan bersilang. Bibirnya melengkung nakal.
"Apa yang sibuknya? Saya cuma cakap benda yang betul," ujarnya dengan gaya berlagak. "Kembanglah saya bila dia puji-puji saya handsome, sado, segak, kaya, kereta besar. Fuhh! Mesti dia rasa tercabar!"
Raudhah merenungnya tajam. "Siapa suruh awak cakap yang kita dah kahwin? Siap saya dah ada anak lagi!" suaranya meninggi.
Zheriff mendengus. "Eh, salah ke saya cakap benda betul? Awak nak sangat rahsiakan semua tu kenapa? Awak tahu tak siapa bos awak tu? Saya kenal dia. Nama dia Ammad Dafi. Umur 30 tahun. Bos Zenith Tech Solutions. Dah berhutang dengan banyak syarikat, termasuk syarikat papa saya. Berpuluh ribu, bukan sikit!"
Raudhah menggeleng, tidak percaya. "Encik Dafi? Tak mungkin! Dia baik, mana ada muka orang yang berhutang."
"Awak ni naive sangat, Raudhah. Awak tahu tak semua hutang dia kena bayar lagi sebulan? Kalau tak, dia memang kena!"
Raudhah mendengus, memeluk tubuh. "Awak ni kenapa? Fitnah orang sesuka hati!"
"Lah, saya ada bukti! Biodata dia semua dalam genggaman saya."
Raudhah mengangkat tangan, menolak segala kata-katanya. "Saya tak nak dengar!"
Zheriff memerhatikan Raudhah yang terus berkeras. Dia mendengus kecil sebelum beredar ke anjung rumah. Angin pagi berhembus lembut, tetapi hatinya masih bergelora.
Keesokan Harinya…
Raudhah memegang kepalanya yang terasa semakin berat. Denyutan yang bermula sejak pagi kini bertambah teruk. Peluh dingin membasahi dahinya.
Zheriff, yang kebetulan melintas di hadapan bilik, melirik ke dalam dan melihat keadaan Raudhah yang lemah. Hatinya bergetar.
Dia mengetuk pintu dan menolak sedikit. “Raudhah, awak okay?”
Tiada respons.
Dia beralih kepada Harraz yang sedang leka bermain telefon di sisi ibunya. “Harraz, mommy kenapa?”
Anak kecil itu hanya mengangkat bahu.
Rasa tidak sedap hati menguasai diri. Zheriff segera ke dapur, menemui Maksu Salehah yang sedang menikmati kuih di meja.
"Maksu! Raudhah nampak tak sihat. Saya risau, tapi kalau saya masuk, takut dia marah pula," ujarnya gusar.
Maksu Salehah segera bangkit. "Lah, pasal apa pula? Sakit kepala lagi ka? Mai maksu tengok."
Mereka melangkah masuk ke bilik. Maksu Salehah duduk di sisi Raudhah, tangannya memegang dahi wanita itu.
"Ya Allah, panas badan ni! Raudhah, sakit kepala sangat ka?"
Raudhah mengangguk lemah. “Sikit je, maksu…”
"Kalau dah sampai macam ni, kena pi klinik la!" ujar Maksu Salehah tegas.
"Tak payah la, maksu. Makan ubat, nanti baiklah ni," balas Raudhah, walaupun tubuhnya semakin longlai.
Maksu Salehah menjeling. "Eh, pi la klinik! Mana tau mengandung ka apa! Pi Zheriff bawak!"
Raudhah tersentak. "Tak nak la pergi dengan dia tu," gumamnya, merujuk kepada Zheriff.
"Raudhah! Jangan degil. Kalau betul awak mengandung, kesian dekat baby dalam perut tu!" suara Zheriff kini serius.
Raudhah menggigit bibir. "Sibuk je macam doktor pulak!"
Namun, setelah memikirkan kesihatannya sendiri, dia akhirnya mengalah. Dengan berat hati, dia bangun perlahan.
"Fine! Saya pergi," katanya, nadanya masih tidak puas hati.
"Bagus! Harraz, jom kita temankan mommy," Zheriff tersenyum, mendukung anak mereka ke arah kereta.
Sebelum beredar, Raudhah menyalami Maksu Salehah.
"Ha, bagus. Jangan keras kepala sangat. Dengar cakap suami tu!" ujar Maksu Salehah.
Raudhah hanya mendengus perlahan sebelum melangkah keluar dari rumah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro