Bab 47 💫
Senja hampir berlabuh, menyelimuti halaman rumah agam milik Datin Sarimah dengan cahaya jingga keemasan. Angin petang bertiup lembut, membelai dedaunan yang menari perlahan. Namun, ketenangan itu terganggu oleh ketukan di pintu utama, diiringi dengan suara seseorang memberi salam.
"Assalamualaikum... Assalamualaikum..."
Riana yang sedang berada di meja makan, tersentak. Suara itu... Terlalu dikenali. Dahi berkerut, hatinya bergetar dengan satu rasa yang sukar diungkapkan.
"Eh, macam suara Raudhah je? Kejap, akak tengok!"
Dengan langkah tergesa, Riana menuju ke pintu. Saat dia membuka daun pintu, wajah Raudhah muncul di hadapannya, dengan senyuman tipis yang seakan cuba menyembunyikan sesuatu.
"Raudhah! Ya Allah, rindunya akak dekat Raudhah! Harraz pun, rindu sangat dekat dia. Eh, Zheriff tak datang sekali ke?"
Riana menjenguk ke luar, mencari kelibat adik lelakinya. Namun, hanya Raudhah dan anak kecilnya, Harraz, yang berdiri di hadapannya.
Raudhah tersenyum kecil, matanya jelas menahan sesuatu yang tidak mampu diluahkan. "Tak, dia sibuk kerja, kak. Sejak kebelakangan ni, dia memang asyik sibuk. Tu yang Raudhah datang sendiri. Rindu nak jumpa akak mama... dan 'mak buyung' tu."
Riana mengangguk perlahan. "Oh... Takpelah, jom masuk! Kejap akak panggil mama, dia ada dekat belakang rumah tu. Katanya nak bersihkan halaman belakang, sambil bersenam sikit."
Raudhah mengangguk, melangkah masuk bersama Harraz.
Di satu sudut rumah, Arish sedang tekun menyusun mainan. Tiba-tiba, matanya tertangkap sosok Harraz yang baru sahaja masuk.
"Harraz! Sini! Main toys!" jeritnya penuh semangat.
Harraz menoleh ke arah ibunya dengan mata bersinar kegembiraan. "Mommy! Mommy! Aish ajak main toys! Harraz nak pergi main boleh?"
Raudhah tersenyum, mengusap kepala anaknya dengan penuh kasih sayang. "Boleh, sayang... Pergilah main. Tapi main elok-elok ya."
Harraz tersengih lebar sebelum berlari ke arah Arish. Raudhah hanya mampu memandang anaknya dengan penuh kasih. Sekurang-kurangnya, Harraz ada seseorang untuk menemaninya. Tidak seperti dirinya...
Di meja makan - perbincangan hati ke hati
Raudhah melangkah ke meja makan, di mana Elysha sedang menikmati aiskrimnya yang entah sudah berapa lama tidak habis-habis.
"Sha, baby sihat? Dah buat check-up ke?" soal Raudhah, cuba menceriakan suasana.
Elysha tersenyum. "Dah... Alhamdulillah, semuanya sihat. Luqman jaga aku baik sangat. Lembut je, tapi ada tegasnya juga. Cuma hari ni dia keluar, pergi butik. Mama suruh. Kejap lagi balik la tu."
Raudhah mengangguk perlahan. "Untung kau, Sha... Walaupun perkahwinan kau dengan dia tak dirancang, tapi kita tak tahu takdir Tuhan. Kadang-kadang, benda yang kita tak pernah jangka pun boleh terjadi."
Elysha termenung sejenak sebelum tersenyum nipis. "Betul... Aku dulu rasa takut, rasa sedih... Tapi bila fikir balik, dia baik, handsome pulak tu. Tak rugi aku terima dia. Biarlah Tuhan jadi saksi ke semuanya."
Raudhah ketawa kecil. "Kau dah fikir nama untuk baby?"
Elysha mengangguk pantas. "Mestilah! Kalau baby boy, aku nak namakan Raiees. Kalau baby girl, Ammara. Simple je. Tak nak nama panjang-panjang. Contohnya, Raiees bin Muhammad Luqman Hakim. Kan senang? Tak payah susah-susah isi borang panjang-panjang."
Raudhah ketawa kecil. "Macam-macam lah kau ni, Sha. Aku tak tahu lah nanti anak kau macam mana nak survive ada mak macam kau ni."
Elysha menjeling tajam. "Hoi, baik-baik sikit! Haaa..."
Raudhah tergelak. "Apa-apa je lah, Sha... Anak kau kan?"
Namun, tiba-tiba Elysha mengubah topik. Matanya merenung Raudhah dengan penuh tanda tanya.
"Zheriff tak datang ke? Dulu bukan main lagi, tak boleh berpisah langsung dengan kau."
Raudhah terdiam. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum menjawab, "Sekarang dia sibuk kerja, Sha... Sampai hari cuti pun kerja. Aku tak tahu apa yang dia kejar sangat. Aku cuba faham... Aku cuba bertahan..."
Nada suara Raudhah berubah, ada kesayuan yang cuba disembunyikan.
Elysha mengetap bibir. "Tak boleh jadi ni! Dia tak boleh abaikan kau macam ni! Kau tu bini dia! Tak kira kerja banyak mana pun, dia sebagai seorang suami tetap kena luangkan masa dengan kau dengan anak kau!"
Raudhah cuba mengukir senyuman. "Aku tak nak ganggu dia, Sha. Aku faham dia sibuk. Aku tak nak dia rasa aku membebankan. Lagipun, dah sebulan perkara ni berlalu... Aku pun tak tahu nak cakap macam mana."
Elysha mendengus. "Aku kenal abang aku tu. Dia kalau dah mula kerja, dia nak siapkan sampai habis. Tapi kerja ni takkan pernah habis! Anak bini pun jangan sampai terabai!"
Raudhah hanya diam.
Tiba-tiba, langkah kaki bergema dari belakang. Riana muncul bersama Datin Sarimah.
"Raudhah, datang dengan Harraz je ke? Zheriff mana?"
Soalan pertama itu membuatkan hati Raudhah semakin berat. Namun, dia cuba berlagak biasa. "Zheriff kerja, ma. Sejak dua menjak ni dia sibuk sangat."
Datin Sarimah mengerutkan dahi. "Cuti pun kerja? Dulu papa kerja sibuk, tapi takdelah sampai cuti pun tak balik rumah."
Raudhah tersenyum hambar. "Mungkin dia betul-betul busy, ma."
Namun, Datin Sarimah tidak mudah menerima alasan itu. "Mama kenal anak mama tu. Dia kalau dah mula kerja, dia nak siapkan sampai habis. Tapi kerja ni takkan pernah habis! Benda ni boleh tunggu, keluarga tak boleh! Sama lah macam butik mama, sampai bila pun takkan siap kalau nak kejar sempurna!"
Raudhah menunduk, cuba menahan sebak yang semakin menyesak di dada.
Manakala Riana, memahami bagaimana perasaan Raudhah, kerana Fikry juga sibuk di UK, sehinggakan tiada masa untuk keluarga.
Cuti hujung minggu berlalu begitu sahaja. Namun, bukannya Raudhah kembali segar untuk bekerja, sebaliknya, fikirannya masih jauh melayang, terapung-apung dalam lautan keresahan yang sukar ditafsirkan. Sejak dia melangkah masuk ke pejabat pagi itu, dia sudah berasa tidak keruan.
Tangan memegang pen, tetapi jemarinya tidak bergerak menulis. Skrin komputer di hadapannya menyala, tetapi huruf-huruf di atasnya hanya kelihatan seperti bayangan kosong yang tidak bermakna.
Dia termenung.
Dan terus termenung.
Fikirannya bercelaru, perasaannya berkecamuk.
Dari jauh, Encik Dafi, yang terkenal dengan sikap tegas tetapi prihatin, memerhatikan tingkah lakunya. Lelaki itu menghela nafas perlahan sebelum melangkah menghampiri.
"Raudhah? Raudhah?"
Tiada respons.
"Raudhah!"
Masih tiada tanda-tanda wanita itu sedar.
"Raudhah!"
Kali ini, suara Encik Dafi lebih kuat, diiringi dengan tepukan di meja.
"Mak kau! Eh, bos!" balas Raudhah terkejut, hampir melompat dari tempat duduknya.
Encik Dafi berpeluk tubuh, matanya tajam menikam wajah Raudhah. "Awak kenapa ni, Raudhah? Saya perhatikan sejak minggu lepas lagi, awak asyik termenung. Hari ini pun sama. Awak ada masalah ke?"
Raudhah menggigit bibir. Matanya cuba mengelak daripada bertemu pandang dengan Encik Dafi.
"Tak ada apa-apa, bos. Maaf kalau saya nampak tak fokus kebelakangan ni. Saya janji saya akan perbaiki. Mungkin saya cuma mengantuk." jawabnya sepatah-sepatah, nada suaranya hambar.
Encik Dafi mendengus kecil. "Saya dah cakap sebelum ni, kalau ada masalah, beritahu saya. Saya tak mahu staf saya bekerja dalam keadaan fikiran berserabut."
Raudhah mengangguk perlahan, sekadar untuk menamatkan perbualan itu.
Melihat reaksinya yang masih dingin, Encik Dafi tidak berkata apa-apa lagi. Namun, sebelum dia melangkah pergi, dia sempat meletakkan secawan kopi di atas meja Raudhah tanpa sebarang kata.
Raudhah mengerutkan dahi.
"Eh, dia ni kenapa? Aku mana minum kopi! Herh, nak tunjuk caring konon, menyampah!" rungutnya dalam hati.
Dengan malas, dia mencapai cawan kopi itu dan menoleh ke arah meja belakang, di mana Zura, rakan sepejabatnya, sedang sibuk menaip sesuatu.
"Zura, kau nak kopi tak? Aku tak minum kopi. Bos kesayangan kau tu la bagi."
Zura berpaling, kemudian tersengih kecil sebelum menyambut huluran Raudhah. "Eh, betul ni? Thanks, Raudhah!"
Raudhah hanya mengangguk sebelum kembali memandang skrin komputernya.
Petang itu, ketika jam menunjukkan hampir waktu pulang, pejabat sudah mulai lengang. Satu demi satu staf meninggalkan tempat kerja masing-masing.
Raudhah sedang mengemas mejanya apabila tiba-tiba Encik Dafi menghampirinya sekali lagi.
"Raudhah, awak tak rasa sakit perut ke?"
Kening Raudhah berkerut. "Sakit perut?"
Encik Dafi mengangguk perlahan, wajahnya seolah-olah menyimpan sesuatu yang tidak terluah.
"Ya... Awak tak rasa apa-apa? Tak ada rasa tak selesa ke?"
Raudhah semakin keliru. "Bos, saya elok je ni. Tak sakit perut pun. Kenapa bos tanya macam ni? Muka saya nampak macam orang sakit perut ke?"
Encik Dafi tersenyum hambar. "Oh, ya ke? Tak ada apa-apa la kalau macam tu. Saya saja je tanya."
Raudhah mengangkat bahu. "Macam-macam lah bos ni... Kalau tak ada apa, saya balik dulu, ya."
Dia mencapai beg tangannya dan melangkah keluar dari pejabat, tanpa menyedari mata Encik Dafi yang terus memerhatikannya pergi.
Sejurus selepas Raudhah menghilang di balik pintu, mata Encik Dafi beralih ke sudut lain pejabat.
Zura.
Wanita itu sedang terduduk di kerusinya, wajahnya berpeluh-peluh, tangannya menggenggam perutnya erat seolah-olah menahan kesakitan yang tidak tertanggung.
Encik Dafi memandangnya dengan pandangan tajam.
"Si Raudhah ni... Dia bagi kopi tu dekat Zura ke?"
Matanya mengecil.
Tangannya menggenggam erat di sisi tubuh, seperti targetnya tidak mengenai sasaran.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro