Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 38 💫

Baru sahaja lima minit selepas Elysha menjejakkan kaki ke dalam bilik Harraz, suasana yang pada mulanya sunyi mula bertukar hingar-bingar dengan suara si kecil.

"Daddy! Daddy! Daddy!" panggil Harraz dengan suara kuat, wajahnya jelas menunjukkan kerinduan pada Zheriff.

"Harraz, tidur dulu ya. Nanti daddy datang, ok?" Elysha cuba menenangkan Harraz sambil mendukungnya perlahan-lahan. Harraz mula diam, tetapi masih merengek kecil.

Namun, suara lain tiba-tiba menyusul. "Aunty... Mana mama?" Arish membuka matanya sedikit, suaranya sayup-sayup tetapi penuh harapan.

"Mama pergi butik kejap. Sekejap je, nanti dia balik lah," jawab Elysha sambil membetulkan selimut Arish.

"Ohh... Tapi Aish nak mama sekarang," balas Arish dengan wajah mendung.

"Eh, tak payah nak mengada-ngada, Aish! Nanti mama balik lah!" Elysha cuba mengawal nada suaranya. Namun, matanya tiba-tiba tertancap pada jarum jam yang tergantung di dinding bilik Harraz.

"Ya Allah, pukul sebelas tengah hari dah?! Aish! Mandi sekarang! Tengah hari dah!" Elysha berkata dengan nada panik, memandang Arish yang masih bergolek-golek di atas katil.

"Tak nak mandi..." jawab Arish perlahan, suaranya sengaja diperlahankan, tetapi cukup untuk Elysha mendengarnya.

"Jangan nak buat drama! Bangun sekarang, pergi mandi!" Elysha menegas, matanya sudah mula mencerlang.

"Tapi... Tapi... Harraz boleh je tidur tak mandi lagi," Arish cuba memberi alasan, mengharapkan simpati.

"Harraz tu sakit! Awak sihat, tak ada alasan nak tak mandi. Bangun sekarang sebelum aunty jadi Hulk betul-betul!" Suara Elysha semakin tinggi.

"Elleh, aunty pun tak mandi lagi, kan?" jawab Arish dengan senyuman nakal, cuba mencabar kesabaran Elysha.

Elysha menarik nafas panjang, cuba menahan diri. "Aish, kalau sekali lagi mulut kamu tu menjawab, siap kamu. Jangan sampai aunty panggil kamu Datin Sarimah junior!"

"Ahhh... Tak laratlah, aunty... Mandi esok tak boleh ke?" Arish mengeluh panjang, mengada-ngada menundukkan badan seperti orang lemah.

"Esok? Tak ada esok! Sekarang juga! Kalau tak, aunty heret awak masuk bilik mandi!" Elysha menarik tangan Arish, membawa dia ke bilik air di bilik Harraz.

"Tapi... Sejuklah air tu!" protes Arish sambil cuba melarikan diri.

"Tahanlah sikit! Lelaki kena kuat, jangan lembik. Kalau macam ni, nanti perempuan tak pandang!" balas Elysha sambil menyiram Arish dengan air sejuk.

"Aaaa! Sejuk! Aunty, tak boleh ke mandi air panas tu?" Arish menggigil, badannya tersentak.

"Air kolah ni je pun, tak ada sejuk sangat! Bukan air ais. Kalau awak asyik mengada, macam mana nak jadi lelaki sejati?" Elysha mengomel sambil meninggalkan Arish untuk mandi sendiri. "Cepat mandi! Jangan harap aunty nak tunggu."

Sambil itu, Elysha bergegas ke bilik Riana untuk mencari baju ganti Arish. Dia mencari dengan pantas, tetapi fikirannya tetap melayang memikirkan dua budak kecil yang ditinggalkan sebentar tadi.

Di bilik Harraz, Harraz cuba bangun sendiri. Matanya terpaku pada gelas berisi air di atas rak. Dia menghulurkan tangan, tetapi gelas itu terlalu jauh untuk dicapai. Harraz terus berusaha, walaupun badannya tidak sekuat dahulu.

Tiba-tiba...

Pranggg!

Gelas itu jatuh ke lantai, pecah berkecai. Air melimpah ke seluruh lantai bilik.

Harraz tersentak, wajahnya penuh rasa bersalah. Kakinya hampir melangkah ke serpihan kaca, tetapi dia teragak-agak.

"Aunty!" Harraz menjerit kecil, panik dan bingung.

Di bilik mandi, Arish yang baru selesai mandi segera keluar, hanya bertuala di pinggang. "Aunty! Apa bunyi tu? Apa jadi?" tanya Arish sambil cuba mendekat ke serpihan kaca yang berceceran di lantai.

"AISH! BERHENTI! Jangan jalan situ!" jerit Elysha yang baru sampai ke pintu bilik Harraz. Wajahnya cemas melihat Arish yang hampir memijak serpihan kaca.

"Stay kat situ! Jangan bergerak, Aish! Bahaya!" Elysha memekik, suaranya bergema hingga ke dapur.

Elysha segera berlari ke bawah, memanggil bibik. "Bibik! Bibik! Kaca pecah dekat bilik Harraz! Bahaya tu, Sha tak berani nak kutip!"

Bibik yang sedang memasak terus menutup api. "Sha, jangan buat apa-apa! Tunggu bibik. Bahaya kalau serpihan kaca kecil-kecil tu masuk kulit. Bibik ambil penyapu, tunggu bibik datang."

"Ok! Cepat ya, bibik!" Elysha naik semula ke bilik Harraz, bimbang sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Dia berdiri di depan pintu bilik Harraz, memegang baju ganti Arish di tangannya. "Aish, tangkap ni! Pakai baju sekarang," kata Elysha sambil membaling pakaian ke arah Arish yang menunggu di tepi pintu.

Bibik tiba tidak lama kemudian dengan penyapu dan alat pembersih. "Mana kaca tu? Jangan ada sesiapa dekat sini, Sha!" kata bibik, tegas dan berpengalaman.

"Ni, bibik! Sha jaga budak-budak ni dulu. Bibik sapu ya, pastikan tak ada serpihan tinggal," Elysha meminta sambil memerhatikan Harraz yang duduk di tepi katil dengan wajah sugul.

Setelah kawasan dibersihkan, Elysha kembali ke bilik Harraz. Dia duduk di tepi Harraz, memegang bahu kecil itu dengan lembut. "Harraz, macam mana gelas tu boleh jatuh? Bahaya tau. Kalau nak apa-apa, panggil aunty. Jangan buat sendiri, ya?" suara Elysha melembut, walaupun hatinya masih cemas.

"Sorry aunty... Harraz dahaga sangat tadi," jawab Harraz dengan suara perlahan, wajahnya penuh rasa bersalah.

"Tak apa, Harraz. Tapi lain kali jangan buat lagi, ok? Daddy awak marah kalau tahu ni. Kalau awak sakit lagi macam mana? Hah? Kita semua risau, tahu?"

"Ok... Harraz janji lepas ni tak buat lagi," jawab Harraz sambil menunduk.

Elysha tersenyum kecil, mencuit pipi Harraz dengan penuh kasih. "Bagus. Dah, jom mandi. Aish, sikat rambut tu, dah macam singa kena hujan!" Elysha memandang Arish, membuatkan dia tersipu-sipu sambil menyikat rambut.

Dalam hati Elysha, dia berdoa agar semuanya berjalan lancar. Menjaga dua budak lelaki ini bukan mudah, tetapi dia tahu, mereka adalah anugerah paling berharga dalam hidup keluarga mereka.

Di satu sudut sebuah pusat membeli-belah mewah, Zheriff dan Raudhah berjalan beriringan. Tangan mereka saling berpegangan erat, seolah-olah tiada apa yang mampu merenggangkan hubungan mereka. Wajah mereka penuh dengan kebahagiaan, menzahirkan cinta yang mereka bina walaupun banyak ranjau yang telah ditempuh.

"Awak, saya rasa saya nak belikan awak sesuatu yang istimewa," ujar Zheriff sambil tersenyum kecil. Matanya tertumpu pada sebuah kedai emas yang bercahaya terang di hadapannya.

"Hah? Beli apa lagi? Awak ni... Dah lah hari ni belanja saya tengok wayang, belikan telefon baru, belanja makan, mainan Harraz, baju lagi... Cukup-cukuplah tu," kata Raudhah, menggeleng kecil sambil memandang beg-beg yang penuh di tangan Zheriff.

"Eh, suka hati saya lah. Duit saya, kan? Lagipun, saya belikan untuk isteri dan anak saya juga. Tak rugi pun," balas Zheriff dengan nada berlagak.

Raudhah menjeling tajam. "Ish, perangai nak berlagak je lebih. Sama betul perangai dengan adik awak. Patutlah asyik bergaduh je dengan Elysha."

Zheriff ketawa kecil, lalu menarik tangan Raudhah perlahan-lahan menuju ke dalam kedai emas. "Dah, jom masuk. Buang masa layan awak punya komplen."

"Eh, tak payah tarik-tariklah!" protes Raudhah, namun dia tetap menurut. Matanya terbeliak sebaik sahaja masuk ke dalam kedai itu. Susunan barang kemas yang bersinar-sinar seperti memanggilnya untuk memandang.

"Cantiknya!" Raudhah teruja sambil menunjuk ke arah seutas cincin dengan rekaan elegan dan batu berlian besar yang bersinar terang.

"Eleh tadi kemain tak payahlah, dah beli barang banyak dah." kata Zheriff sambil menjeling tajam.

"Shut! Diam!" Raudhah menampar bahu Zheriff.

"Ha, awak suka yang tu? Keluarkan lah yang tu," arah Zheriff kepada pekerja kedai emas itu, yang hanya tersenyum melihat gelagat pasangan suami isteri itu.

"Cincin ni limited edition, Encik. Hanya ada satu sahaja di kedai kami. Kalau suami puan belikan, memang puan sangat bertuah," kata pekerja itu sambil menghulurkan cincin kepada Raudhah.

Raudhah memegang cincin itu dengan hati-hati. "Wow, cantiknya! Tapi... Awak yakin ke nak belikan cincin mahal ni untuk saya?"

Zheriff menelan air liur melihat harga cincin itu. "Eh, yakinlah. Semua untuk awak, sayang," jawabnya, cuba menyembunyikan keterkejutan.

Raudhah tersenyum manja. "Awak ingat lagi tak cincin kahwin kita yang saya lempar tu."

"Ha, cincin tu pun tak semahal ni, tau. Kalau awak lempar cincin ni lagi, saya gadai terus," gurau Zheriff, cuba mengusik isterinya.

"Awak ni kan..." Raudhah ketawa kecil. "Ok, saya janji. Cincin ni saya akan jaga elok-elok."

Zheriff tersenyum lega sebelum menyerahkan kad untuk pembayaran. "Berapa ya totalnya?"

"Dua belas ribu sembilan ratus, Encik," jawab pekerja itu dengan tenang.

Zheriff sedikit terkejut, namun tetap berlagak tenang. "Pakai kad, ya." Dia menekan kadnya pada mesin pembayaran dan menghela nafas lega selepas transaksi selesai.

"Awak, terima kasih banyak-banyak tau," ujar Raudhah sambil memeluk lengan Zheriff dengan erat. "Saya sayang awak ketat-ketat!"

"Sayanglah, habis dua belas ribu sembilan ratus," balas Zheriff sambil tersenyum kecil. Dia kemudian mengeluarkan satu sesuatu benda yang sangat kecil dari poketnya.

"Ni, benda ni kecil je, tapi penting. Letak dekat gelang awak. Dia ada magnet, takkan jatuh melainkan awak cabut. Ingat, jangan buang!" pesan Zheriff.

Raudhah mengerutkan dahi. "Awak ni, benda apa kecil sangat ni?"

"Tak payah banyak tanya. Awak jaga je."

Raudhah hanya mengangguk sambil memandang cincinnya dengan penuh rasa cinta. "Ya Allah, cantiknya cincin ni!"

Pekerja kedai itu tersenyum memandang mereka. "Semoga hubungan puan dan suami semakin bahagia. Jaga cincin tu baik-baik puan, bukan senang suami nak belikan isteri cincin semahal tu."

"Terima kasih," balas Raudhah sebelum mereka melangkah keluar dari kedai emas itu.

Namun, kebahagiaan mereka terhenti seketika apabila satu figura yang tidak asing bagi mereka sedang berdiri tidak jauh dari pintu kedai. Melissa, dengan senyuman penuh muslihat, sedang berjalan menghampiri mereka. Wajahnya memancarkan niat yang sukar ditebak, seolah-olah dia sudah lama menjejaki langkah mereka.

Raudhah terpaku. "Melissa? Apa awak buat kat sini?"

Melissa tersenyum sinis, matanya menjelajah ke arah beg-beg di tangan Zheriff. "Hai beli emas ke?" tanya Melissa.

Zheriff mengecilkan matanya, suaranya tegas. "Eh, tak lah beli kapak nak pancung kepala perempuan macam kau, kau nak apa, Melissa? Semak lah kau ni." nada Zheriff mula meninggi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro