BAB 34 💫
Selepas Zheriff selesai solat di surau, dia kembali ke ruang kecemasan, tidak berhenti berdoa, berharap agar Raudhah tidak mengalami apa-apa yang lebih teruk. Doanya mengiringi setiap langkahnya, setiap detik, mengharap agar keadaan Raudhah pulih seperti sediakala.
Beberapa jam berlalu, dan Zheriff yang keletihan akhirnya tertidur di atas kerusi hospital, memeluk harapan yang besar.
"Encik, Encik Zheriff?" Suara lembut seorang jururawat mengejutkan Zheriff. "Kami sudah membawa isteri Encik, Puan Raudhah, ke wad. Namun, dia masih belum sedar. Jika Encik ingin, boleh lah masuk untuk melihatnya."
Zheriff segera bangkit, jantungnya berdegup kencang. "Terima kasih, nurse," jawabnya, suaranya sedikit terketar-ketar. Tanpa berlengah, dia segera menuju ke wad yang diberitahu oleh jururawat tadi, langkahnya penuh debaran.
Ketika Zheriff membuka pintu bilik Raudhah, hatinya bagai ditusuk melihat keadaan wanita yang amat disayanginya itu. Raudhah terbaring kaku, kepala dan tangan berbalut, dan dia masih belum sedar. Zheriff terasa seperti dunia sekelilingnya berhenti berputar. Dia mendekati katil Raudhah dengan perlahan, memegang tangan Raudhah dengan penuh berhati-hati, seolah takut jika dia terlepas memegangnya, Raudhah akan hilang buat selamanya.
"Raudhah... saya sayangkan awak, Raudhah..." bisiknya, suaranya penuh rasa. "Maafkan saya... Demi Harraz, demi anak kita... Jika awak tak mahu anggap saya sebagai suami, tak apa. Tapi saya cuma mahu Harraz merasakan kasih sayang dari kita berdua. Jika awak mahu anggap saya suami, saya akan buat lebih banyak dari itu. Saya janji, Raudhah, saya akan buat lebih baik untuk kita semua."
Zheriff menatap wajah Raudhah yang pucat dan tenang, wajahnya begitu suci dan bersih, bagaikan bidadari yang sedang tidur dalam kedamaian. Zheriff tersenyum sebak, berharap sangat Raudhah dapat mendengarnya.
"Tak lama, saya pergi tandas sekejap. Nanti kalau awak sedar, saya datang macam kilat," kata Zheriff, cuba menenangkan dirinya walaupun hatinya penuh resah.
Namun, baru sahaja Zheriff hendak melangkah pergi, tiba-tiba...
"Zheriff... Zheriff... Jangan pergi... Saya tak kuat... Saya perlukan awak di sini." Raudhah berbicara dengan suara yang lemah, namun penuh keinginan, seperti tidak mahu melepaskan Zheriff walaupun sebentar. Tangannya, yang lemah, cuba menarik tangan Zheriff, ingin merasai kehadirannya.
Zheriff terkejut, langkahnya terhenti. Hatinya berdebar-debar, berlari-lari dengan perasaan yang bercampur-baur. Raudhah membuka matanya perlahan, merenung wajah Zheriff dengan penuh kerinduan yang mendalam. Dia mengukir senyum yang begitu manis, dan Zheriff terasa seperti jantungnya terhenti seketika.
"Sayang... Alhamdulillah, awak dah sedar. Awak okey?" Zheriff berkata dengan suara yang penuh kebimbangan. Dia segera memeriksa keadaan Raudhah, mengusap kepala dan meraba tubuhnya, memastikan tiada kecederaan serius.
Tiba-tiba, dia teringat sesuatu dan di dalam hatinya berbisik, "Alamak, aku panggil dia sayang. Mesti dia marah nanti. Mampus aku."
Raudhah, yang kini memegang tangan Zheriff dengan lembut, merenung Zheriff dengan mata yang masih berkaca-kaca. "Saya okey, Zheriff. Saya... Akhirnya sedar. Zheriff... hidup saya ini tak bermakna tanpa awak. Selama ini, saya cuba menutup hati, saya cuba menghalang diri saya daripada mencintai awak. Saya buat dinding yang tinggi supaya awak tak dapat masuk dalam hidup saya. Tapi sekarang saya tahu... saya tak mampu. Cinta yang saya sembunyikan selama ini, tak pernah pergi. Hati saya... hanya milik awak, Zheriff."
Kata-kata itu begitu menyentuh hati Zheriff, membuatkan dia terdiam, tidak mampu berkata apa-apa, hanya perasaan yang berbicara.
"Ya, sayang... saya tak ke mana-mana. Saya akan sentiasa ada untuk awak, sampai bila-bila. Saya janji, saya sayang awak sangat-sangat," jawab Zheriff, suaranya penuh keikhlasan dan kesungguhan. Wajahnya terukir senyum yang amat lega, seolah-olah dunia yang gelap tiba-tiba menjadi terang.
Raudhah mengangkat tangan Zheriff, membelai pipinya dengan penuh lembut. "Zheriff, maafkan saya. Saya tahu saya banyak sakitkan hati awak. Tapi saya cuma takut, takut untuk memberi peluang lagi. Saya takut saya akan terluka lagi. Tapi sekarang... saya sudah lama memaafkan awak. Cuma hati saya ini keras, Zheriff. Hati saya yang tak boleh menerima awak kembali sebagai suami. Saya takut untuk mencintai awak lagi... Tapi saya sudah maafkan awak, Zheriff. Semua yang telah berlaku, saya maafkan."
Zheriff tidak dapat menahan air mata yang mengalir deras. "Shut! No! Raudhah, saya yang patut minta maaf. Saya yang banyak buat salah. Saya yang ego, saya yang tak pedulikan awak, saya yang tak pedulikan Harraz... Saya benci diri saya sendiri. Saya minta maaf, Raudhah. Saya bersalah... dan saya akan terus menebus dosa saya."
Zheriff menangis dengan perasaan yang terpendam, menyesali setiap perkara yang telah dia lakukan. Hatinya terasa terhimpit dengan rasa kesalahan yang amat berat.
Raudhah memegang wajah Zheriff dengan lembut, menenangkan suaminya. "Sudah, Zheriff. Sudah-sudah la tu. Semua itu dah lepas. Jangan terus menyalahkan diri. Saya dah lama maafkan awak, cuma saya takut untuk membuka hati. Tapi... kita semua layak diberi peluang kedua, kan? Saya tak salahkan awak, saya hanya takut untuk menerima kembali semua yang saya pernah hilang. Tak salah kalau saya maafkan suami saya sendiri. Dan saya sudah maafkan awak, Zheriff."
Zheriff terdiam, mendengar kata-kata Raudhah yang penuh pengertian. Hatinya bagai mekar dengan perasaan yang tidak dapat digambarkan. "Terima kasih... Terima kasih, sayang. Terima kasih sebab memberi saya peluang kedua. Saya janji, saya takkan sia-siakan peluang ini. Dengan izin Allah, kita akan buka buku baru dan tutup buku lama."
Mereka saling berpandangan dalam diam, hanya terbungkam dalam perasaan yang mendalam. Waktu seakan-akan berhenti ketika itu, seolah-olah tidak ada apa lagi yang lebih penting selain mereka berdua. Dengan penuh perasaan yang tulus, mereka tertidur dalam pelukan satu sama lain, penuh harapan bahawa kebahagiaan yang telah lama tertangguh akan datang kembali, membawa bersama sinar baru untuk mereka berdua.
Di Pagi Itu, Datin Sarimah baru sahaja membuka telefon bimbitnya dan membaca mesej WhatsApp daripada Zheriff yang dihantar lewat malam tadi. Sebaik sahaja membaca kandungannya, hati kecilnya tersentak. Tanpa berlengah, dia terus memanggil anak perempuannya.
"Sha! Sha! Cepat datang sini!" panggil Datin Sarimah dengan nada cemas sambil tangannya menggigil sedikit memegang telefon bimbit.
"Ni, tengok ni. Zheriff mesej mama, cakap Raudhah ada dekat hospital. Apa yang dah jadi ni? Mama risau sangat."
"Mama nak pergi hospital sekarang ke?" tanya Elysha sambil mengambil telefon bimbit itu untuk membaca mesej berkenaan.
"Eh, mestilah mama nak pergi sekarang! Raudhah tu kan menantu kesayangan mama. Tapi... siapa nak tengok Harraz? Bibik sibuk mengemas dapur tadi."
Elysha termenung seketika sebelum menjawab, "Kan ada Luqman. Dia boleh tengokkan Harraz. Kejap Sha naik atas bagitahu dia." Elysha segera bergegas naik ke tingkat atas, melangkah dengan pantas.
Di Bilik Luqman
Elysha mengetuk pintu bilik Luqman berkali-kali. "Luq! Luq! Bangunlah kejap."
Luqman membuka pintu dengan wajah mengantuk, rambutnya kusut-masai. "Apa hal pagi-pagi ni, Sha?"
"Luq, aku nak keluar dengan mama pergi hospital tengok Raudhah. Zheriff mesej, katanya Raudhah accident semalam. Kau tengok-tengokkan Harraz boleh? Dia tidur lagi."
"Hm, ok, ok. Nanti aku tengok dia," jawab Luqman malas sambil menguap besar.
Di Bilik Riana
Elysha mengetuk pintu bilik kakaknya pula. "Akak! Akak! Bangunlah kejap!"
Riana membuka pintu dengan wajah keliru. "Apa hal ketuk pintu akak pagi-pagi ni? Orang baru nak tidur balik."
"Akak, Sha dengan mama nak pergi hospital. Raudhah accident semalam. Akak nak ikut tak?"
"Ya Allah! Macam mana boleh jadi? Raudhah ok ke?"
"Dia ok, tapi masih kat hospital. Akak nak ikut ke?"
"Hm, akak nak sangat pergi tengok dia. Tapi, Aish tengah tidur. Kalau dia bangun akak tak ada, menangis meraung lah dia."
"Tak apalah, nanti kalau Harraz bangun menangis, akak tolong tengok kejap eh. Sha dah bagitahu Luq, tapi tak tahulah dia nak bangun ke tak."
"Ok, nanti apa-apa call akak tau."
"Ok lah. Sha pergi dulu." Elysha melambai sambil bergegas turun untuk menemani Datin Sarimah ke hospital.
Di Hospital
Setibanya di hospital, Datin Sarimah kelihatan tidak keruan. Dia berjalan ke hulu ke hilir sambil matanya liar mencari nama Raudhah pada papan tanda wad.
"Mama! Zheriff dah cakap Raudhah dekat tingkat atas. Mama ni panik sangat! Rileks lah, kan Zheriff dah kata Raudhah tak ada apa-apa yang serius," ujar Elysha sambil menarik tangan mamanya menuju ke lif.
Sesampainya di wad, Datin Sarimah meluru ke katil Raudhah dengan air mata bergenang di pelupuk matanya.
"Ya Allah, Raudhah! Kamu ok ke, sayang?" tanyanya dengan suara tersekat-sekat, membelek Raudhah dari kepala hingga kaki.
"Raudhah ok, ma. Accident kecil je. Tak ada apa-apa yang serius. Nasib baik semalam Zheriff ada. Kalau tak, entah apa jadi dengan Raudhah," jawab Raudhah lembut, cuba menenangkan ibu mertuanya yang jelas cemas.
Datin Sarimah menarik nafas lega sambil memegang tangan Raudhah erat. "Yang penting kamu selamat. Tapi... apa sebenarnya yang terjadi?"
Raudhah memandang Zheriff, meminta suaminya menjelaskan.
"Semalam, masa saya nak keluar beli pembalut kepala Harraz, saya nampak Raudhah terbaring dekat tepi jalan. Badannya penuh darah, barang-barang semua hilang. Masa tu, Raudhah tak sedarkan diri. Saya syak ini bukan kemalangan biasa. Macam ada orang rancang benda ni, tapi saya tak tahu siapa," jelas Zheriff dengan nada serius.
"Dah buat laporan polis?" tanya Elysha dengan dahi berkerut.
"Belum lagi. Hari ni atau esok saya uruskan," balas Zheriff, wajahnya kelihatan penat.
"Mama, Harraz ok ke? Siapa yang jaga dia sekarang?" Zheriff bertanya lagi, risaukan anaknya.
"Adik ipar kamu ada, kakak kamu pun ada. Pandai-pandai lah mereka tengok Harraz," kata Datin Sarimah sambil cuba menenangkan anaknya pula.
Di Rumah
Tangisan Harraz mula kedengaran di seluruh rumah. "Nak daddy! Nak daddy!" jeritnya sambil menangis tersedu-sedu.
Luqman kelam-kabut cuba menenangkan Harraz. "Alamak, nak daddy pula. Haish, nak buat macam mana ni? Kalau call Zheriff, kang kacau dia pula."
Riana yang mendengar tangisan itu segera masuk ke bilik Harraz. "Kenapa Harraz menangis ni, Luq?"
"Dia nak daddy. Aku tak tahu nak buat apa."
Riana segera mendekati Harraz dan memeluknya erat. "Harraz, dengar sini sayang. Daddy tengah tengok mommy dekat hospital. Sekejap lagi daddy balik, ok?" katanya lembut sambil mengusap kepala Harraz.
Ajaibnya, Harraz terus berhenti menangis.
Luqman terkedu. "Macam tu je dia diam? Hebat betul akak!"
Riana tersenyum kecil. "Budak macam Harraz ni perlukan belaian kasih sayang seorang ibu. Kalau seorang ayah je yang jaga, tak cukup untuk isi ruang hati dia. Kamu kena ingat, kalau kamu dengan Elysha ada anak nanti, kamu tak boleh biar dia sorang-sorang uruskan anak tu. Kena sama-sama, Luq."
Kembali ke Hospital
Di hospital, suasana menjadi lebih tenang. Raudhah tersenyum kecil mendengar gelagat Elysha yang suka mengusik.
"Dah berbaik ke ni?" tanya Elysha sambil mengangkat kening, cuba menyelidik.
"Hm, dah berbaik lah. Kan, sayang?" Zheriff menjawab sambil menatap wajah Raudhah penuh kasih sayang.
Datin Sarimah tersenyum lebar, air mata bahagia mengalir. "Alhamdulillah. Tak sia-sia mama doa siang malam supaya kamu berdua berbaik semula. Mama nak kamu berdua bahagia sampai ke syurga."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro