42 : LUTH MAHFUZ [TAMAT]
"Awak rasa sakit lagi?" Fatihah berlabuh sedikit jauh dari tempat baringan Mahfuz setelah menutup lampu bilik. Lampu tidur sahaja yang dibiarkan terpasang. Dia yang bertudung sarung masih segan dengan lelaki itu meskipun telah sah bergelar suami isteri.
Mahfuz menggeleng. Usai solat isyak, terus lelaki itu masuk ke bilik dan termenung sendiri. Wajah isterinya dilihat lama.
Hal siang tadi tidak diketahui Fatihah pun. Kehadiran Khairul berakhir dengan halauan Mahfuz. Ditambah dengan penat mengemas siang tadi dan sakit kakinya, Mahfuz hanya mahu berehat.
"Awak ada masalah ke? Kenapa saya tengok macam kusut je..." Gadis itu berasa lain. Mahfuz yang siang tadi amat ceria.
"Ummi beritahu saya... Untuk tunggu lagi satu kali tempoh suci sebelum dapat bersama awak," lelaki itu tersenyum kecil. Ruang kosong di sebelah ditepuk perlahan. "Duduklah sini."
"Ummi kata apa lagi pada awak?" bimbang Fatihah. Dia berasa tidak sedap hati. Pasti Mahfuz telah tahu betapa hinanya dia sewaktu dahulu.
"Itu sahaja," balas Mahfuz separa berbisik. Dia menarik nafas dalam. Sangkaan buruk cuba diletak jauh-jauh kerana tak mahu gadis bertudung litup itu terasa hati. Padanlah walid ada menasihatinya tempoh hari mengenai aib dan zaman jahiliyah seseorang. Orang yang dimaksudkan itu ialah Fatihah.
"Oh..." Senyuman kecil terbentuk di bibir gadis itu. Dia perlahan-lahan datang mendekati Mahfuz. "Kenapa awak sakit dada siang tadi?"
"Penat... Banyak sangat fikir... Sakit kaki lagi..." ujar Mahfuz satu per satu. "Mungkin sebab saya minum kopi semalam. Banyak sebab boleh develop rasa sakit ni."
"Awak sakit apa sebenarnya?" soal Fatihah polos. Hingga sekarang dia tidak mengertai mengapa orang muda seperti Mahfuz boleh ada sakit jantung.
"Jantung saya ada defect sikit dekat bahagian ventricle. Benda ni terjadi sejak saya dalam rahim ummi. Jadi... Macam tu lah," Mahfuz tersenyum sahaja. Fatihah kelihatan tidak mengesyaki tentang aib yang telah terbuka mentah-mentah pada Mahfuz. Andai gadis itu tahu , bersua muka dengan suaminya pun tidak mahu sampai bila-bila.
Tangan kasar Mahfuz menarik lengannya meminta untuk berbaring. Fatihah menuruti dan terus mendaratkan kepala beralaskan bantal di sebelah lelaki itu.
"Fatihah, saya nak cakap sikit boleh?" soal Mahfuz.
"Apa?" Kening gadis itu diangkat. Sengaja mahu mengajuk suaminya. Bibir masih tidak lekang dengan senyuman. Mata hazel itu mahu ditatap sedalam-dalamnya.
"Saya terima semua baik dan buruk awak. Awak dah jadi sebahagian daripada hidup saya. Kalau awak sakit, saya pun sakit juga. Kebahagiaan awak, juga kebahagiaan saya," tutur lelaki itu.
"Saya tak nak awak rasa tersisih bila duduk dekat rumah ni sebab awak dah jadi isteri saya." Senyuman manisnya membalas lekukan bibir Fatihah. Dia merapati tubuh gadis itu lalu memeluknya.
Perbuatan itu membuatkan Fatihah terkesima. Tiba-tiba tubuh kurusnya dipeluk Mahfuz. Lelaki itu diam, begitu juga bibir sendiri yang terketap rapat. Hangat kasih sayang si dia mengalir perlahan-lahan. Fatihah selalu berfikir layakkah dia untuk menjadi isteri lelaki baik seperti Mahfuz.
"Kita mulakan hidup baru. Yang lama biarkan sebagai pengajaran bukan sebagai hukuman," bisik lelaki itu.
Kata-kata itu menusuk ke kalbu si gadis. Maksiat lampaunya terlayar di minda. Terlalu banyak zina telah dilakukan seperti perempuan liar. Khairul juga telah melayannya bagaikan haiwan pelepas nafsu. Baru hari ini ada lelaki yang mahu menerima diri itu. Pelukan ikhlas Mahfuz tidak bermaksud apa-apa. Lelaki itu hanya mahu mengkhabarkan pada Fatihah bahawa dia akan sentiasa ada. Jauh bezanya jika dengan Khairul. Khairul memeluk dengan nafsu, dipaksa jua melakukan apa sahaja keinginannya walaupun Fatihah tidak mahu.
"Allah ampunkan ke seteruk mana dosa seseorang?" Fatihah membisik. Perlahannya suara dapat didengar kerana Mahfuz masih memeluk tubuhnya. Dia menundukkan pandangan tak mahu bertentang mata dengan lelaki itu. Alunan dada suaminya dapat dirasai, begitu juga degupan jantung yang masih belum stabil.
Lelaki itu mengangkat wajah sendiri. Perlahan-lahan dilepaskan pelukan itu. "Ya, Allah Maha Pengampun. Rahmat Allah itu luas. Bila mana hambanya bertaubat dan tidak mengulang maksiat itu lagi, itulah sebaik-baik taubat."
Mahfuz tidak bermaksud mahu menghukum sesiapa. Mimpi sewaktu koma samar-samar dalam ingatan, namun cukup mengkhabarkan darjat dan kehormatan yang dimiliki ini mampu ditarik Allah begitu sahaja. Maka tiada asbab untuk dia merendahkan orang lain sedang yang dimiliki ini hanyalah pinjaman semata-mata.
Fatihah cuba mengoyak senyuman. Dia mengangguk kecil. Badan dirapatkan ke arah suaminya perlahan-lahan. Kepala pun dibaringkan di atas tilam. Dia mengecilkan tubuh di sebelah lelaki itu. Wajah berona merah tatkala Mahfuz mengalas kepalanya dengan lengan sendiri.
"Badan awak rasa sakit lagi?" soal Mahfuz. Diintai separuh wajah sang isteri. Helaian rambut yang terkeluar dari tudung dibaiki lelaki itu. Tiada desakan untuk Fatihah menanggalkan tudung. Dia menghormati gadis itu. Lagipun mereka tidak boleh membuat hubungan intim sebelum tempoh yang ditetapkan ummi berakhir. Ini demi kebaikan mereka berdua juga. Rahim yang mahu menanggung benih perlulah suci agar tiada masalah keturunan nanti. Tak mahu tiba-tiba Khairul datang dan mengaku itu anaknya kelak. Tiga kali tempoh suci sudah cukup buat menyucikan rahim yang pernah dinodai dahulu.
"Sakit lagi. Semalam saya mimpi macam-macam. Tengah malam pun..." bisik gadis itu. Dia hanya menekur badan suaminya.
"Kalau ada apa-apa, gerak saya. Saya boleh teman awak nak ke tandas tengah malam nanti," ujar Mahfuz. Disedapkan hati Fatihah, tak mahu apa-apa makhluk mengganggu ketenteraman gadis itu. Dahi Fatihah dikucup sekilas. "Saya ada," yakinnya.
Fatihah masih tidak percaya. Benar, dirinya sedang disayangi oleh seorang lelaki. Hatinya menjadi sebak dalam kebahagiaan yang tersemi. Air mata berlinangan sedang tiada secebis pun perasaan sedih hinggap. Layanan Mahfuz padanya bagai seorang permaisuri hati padahal hakikat diri itu hanyalah seorang penzina di masa lampau.
Hangat jari lelaki itu mengesat kelopak mata Fatihah yang terkatup. "Kenapa awak pilih saya?" soal Fatihah.
"Sebab awak jawapan pada istikarah saya. Saya tahu awaklah yang terbaik untuk jadi isteri saya, yang akan melengkapi segala kekurangan saya. Dengan rahim awak, akan lahirnya zuriat saya. Saya nakkan seorang isteri yang bersungguh menuntut ilmu, supaya nanti anak-anak saya juga akan mempunyai kesungguhan tu. Kerana Allah juga, saya akan belajar mencintai awak."
Jawapan itu menghangatkan lagi kelopak mata Fatihah. Air mata mengalir bersebelahan bibir yang terlekuk dengan senyuman nipis.
"Kenapa awak nak saya jadi suami awak?" soalan itu dikembalikan pada Fatihah.
"Sebab saya nak suami yang mencintai Allah sebelum saya... Saya tahu betapa peritnya hidup dalam jahiliyah, sakit sangat... Jadi saya nak seseorang yang akan bimbing saya dan menjadi peneman hidup saya. Saya nak dengan rahim ni... Akan terbawa benih cinta selama sembilan bulan. Anak-anak yang akan lahir, saya nak didik bersama-sama dengan awak. Saya tak nak zuriat saya terperangkap dalam lembah jahiliyah macam yang telah saya lalui," dalam tangisan Fatihah memberi jawapan.
" Jadi... Jawapan kita sama," bisik Mahfuz. Segala air mata isterinya dikesat dengan telapak tangan lalu kepala Fatihah didakap rapat.
Fatihah tersenyum gembira. Lengannya diangkat untuk memeluk tubuh lelaki itu. Hangat kasih sayang mengalir menemani pasangan itu. Kedua-dua tubuh telah lesu menguruskan hal siang tadi. Mereka mula menurunkan kelopak mata dalam hangat yang disalurkan.
***
Luth melihat bentangan kawasan perkarangan rumah. Larian kecil anak-anak yang sedang bermain di atas kawasan berumput menggamit kenangan lama. Dia terlalu degil dahulu, ibu hendak pakaikan selipar pun tidak mahu. Bilangan anak-anak yang sedang bermain ada dalam 10 orang kesemuanya. Terdapat dua orang penjaga perempuan sedang menurut serta waktu riadah itu. Tidak sangka banyak perkara yang masih belum berubah. Meja lama yang mana digunakan Mawar buat menyorok masih ada dan kukuh buat diguna pakai. Ibu masih tidak membuang meja itu.
Tulang belakang disandarkan pada bahu kerusi rotan. Mawar di bilik sedang mengemas memandangkan mereka baru tiba. Dia pula dipaksa berehat sahaja.
Kedengaran tangisan kecil sayup-sayup dibawa bayu. Luth menoleh ke pintu pagar berdekatan bahu jalan. Dia yang sedang mengambil angin petang terus bangun mahu melihat punca tangisan. Mata diliarkan ke kiri dan kanan rumah asuhan. Dari lantai berumput hijau, Luth memanjangkan langkah ke kawasan bergurapkan tar yang menuju ke jalan.
Tangisan itu makin jelas dan bingit.
Kaki lelaki itu terhenti di hadapan pagar besi perkarangan rumah. Luth pun membuka pintu pagar itu. Dia jadi panasaran. Berkerut dahinya apabila tiada apa yang berlegar di luar.
Kemudian, lelaki itu toleh pula ke bahagian longkang berbentuk 'V'. Alangkah terkejutnya di situ terdapat jasad kecil yang sedang bergerak-gerak. Kaki dan tangannya terkapai-kapai di udara. Kulit pun masih merah seperti baru dilahirkan beberapa hari yang lalu.
"Allah..." Luth segera terjun ke longkang. Dia mendukung bayi kecil yang berbalut kain batik itu. Terpejam erat mata menangis kelaparan. Malah suara bayi itu makin menghilang.
Jantung Luth berdetak hebat. Tiada satu manusia pun yang sedang lalu lalang tika itu. Pasti bayi itu telah ditinggalkan lama di longkang. Ibunya tidak kelihatan. Langit senja memancarkan terik matahari.
Tangisan si kecil reda apabila Luth membaringkan kepalanya ke dada. Hangat dan degupan jantung lelaki itu dapat dirasai bayi berkenaan. Tangan kecilnya menggenggam di dalam pelukan Luth.
Bayi ini sihat elok. Tiada pun cacat cela. Langkah disegerakan Luth untuk masuk ke dalam rumah. Penjaga di perkarangan rumah segera menutup pintu pagar yang dibuka Luth. Mereka berkerut hairan melihat lelaki berkenaan terkocoh-kocoh mahu masuk kd rumah.
Tidak sempat mengetuk pintu, Luth menerjah sahaja ke dalam bilik. Mawar dicarinya. Dada masih mengalunkan nafas kencang. Rasa sebak melihat bayi kemerahan itu hadir menghimpit jiwa. Entah mengapa dia dapat merasai keperitan bayi itu kehilangan ibu.
"Abang bawa apa tu?" Mawar yang sedang meletakkan kain baju di rak terhenti. Gadis itu berdiri tegak sambil melihat apa yang ada di dalam pegangan suaminya.
"Abang jumpa bayi ni dekat longkang depan rumah..." terang Luth. Tangisan anak itu kembali memekik kerana kelaparan. Air mata meleleh di pipi merah si kecil.
Mata Mawar membulat terkejut. Luth dipersilakan untuk duduk di birai katil. Lengan suaminya dipegang. Ada satu hidupan yang baru hendak bernafas dalam pegangan Luth. Mawar terkesima, lidahnya kelu. Dia tidak pernah melihat bayi yang baru-baru lagi dilahirkan. Besar bayi itu umpama anak patung.
"Mawar... Dia lapar ni," bimbang Luth. Apa yang dibuat tidak juga dapat memujuk. Tangisan nyaring anak kecil berkenaan kekal memecah benak.
Mawar tidak mampu berbuat apa-apa. Bayi itu diam dalam ribaannya. Tiada susu badan yang mengalir namun sangkaan si kecil itu berbeza apabila puting payu dara masuk ke dalam mulutnya. Kelopak mata kecil terpejam rapat. Tekak bayi itu sedang kehausan. Air yang ditelan hanyalah liur sendiri. Mana mungkin Mawar punyai susu sedang gadis itu tidak pernah mengandung dan bersalin. Di mana hormon ibu mengandung hendak hadir?
Luth menyuruh Mawar bersandar pada bahu katil khuatir belakang isterinya akan lenguh akibat meriba anak itu terlalu lama. Lelaki itu mengambil satu bantal pula lalu badan bayi berkenaan ditinggikan. Selesanya si kecil hingga tidak bersuara.
"Abang..." bisik Mawar. Liur ditelan kesat. Bibir merah bayi itu bergerak menghisap, tangan pula tidak terkapai-kapai lagi. Separuh wajahnya terlindung disebalik baju Mawar.
"Mawar tak ada susu," sambung Mawar. Dipandang wajah Luth lama.
"Tak apa... Biar dia tidur dulu," jawab Luth. Wajah suci itu dielus jari telunjuknya. Dia menarik nafas dalam.
Ini anak terbuang. Sama seperti hakikat diri itu. Kerana dibuang meratalah Luth jadi liar seperti haiwan. Maksiat dilakukan tanpa secebis rasa bersalah. Lama juga si kecil menggerakkan bibir sambil mengharapkan susu untuk keluar. Lima minit berlalu, Luth dan Mawar mendiamkan diri. Hisapan bayi itu makin perlahan dilewati masa. Barangkali telah penat menangis seharian, lalu dipilih untuk tidur di atas ribaan yang disangkakan ibunya.
"Nanti abang beritahu ibu," khabar Luth. Tubuh anak itu dialihkan ke tengah-tengah katil mereka perlahan-lahan. Telapak tangan besar lelaki itu menepuk tubuh bayi pungutnya hingga si kecil itu terlelap lena.
"Abang... Maaflah, Mawar tak ada susu. Nanti kita cari susu formula sekejap lagi," cadang gadis itu. Mawar turut sayu, dia tidak sanggup buat melihat bayi menangis kelaparan.
Luth mengangguk setuju. Wajah bayi itu ditatapnya lama. Tidak tahu sama ada jantina yang dimiliki lelaki atau perempuan. Jasad kecil itu masih lemah. Kulit kemerah-merahannya diselimuti sehelai kain batik yang baru diambil Mawar. Kepala pula ditinggikan sedikit dengan lipatan kain baju untuk membuatkannya selesa. Barulah Luth mampu tersenyum lega.
"Mawar, nak tak kita jaga bayi ni?" Tiba-tiba sahaja Luth terlintas niat itu.
"Abang betul-betul maksudkan?" soal Mawar kembali. Dia yang mahu kembali mengemas menoleh ke arah suaminya.
"Ya. Abang... Tak nak bayi ni besar jadi jantan sampah macam abang. Abang nak jaga dia dengan kasih sayang dan ilmu agama. Itupun kalau Allah izinkan abang untuk hidup lama dengan kanser ni," nada suara diperlahankan kerana takut si kecil ini terjaga. Luth terduduk di birai katil sambil memandang isterinya.
"Mawar ikut abang," jawab Mawar. Niat ikhlas Luth disambut gadis itu baik.
"Nanti kita beritahu ibu untuk failkan kelahiran bayi ni dan dokumen anak angkat. Dan abang ada satu permintaan lagi..."
"Ya, abang." Mawar menanti sambungan ayat suaminya.
"Abang nak bayi ni jadi anak susuan Mawar. Supaya dia jadi mahram kita."
"Tapi... Macam mana? Mawar tak mengandung lagi..." Berkerut kening gadis itu.
"Kita boleh usaha dan jumpa doktor. Supaya Mawar boleh ada susu walaupun tak pernah lahirkan anak... Abang rasa ada je pil hormon dekat luar sana... " Begitu tekad Luth mahu mengambil anak itu.
"Abang tak main-main, kan?" Senyuman Mawar terbentuk. Matanya dipencilkan melihat wajah lelaki botak itu.
"Tak, sayang. Duduk sini," Luth tertawa halus. Takkanlah dia mahu bergurau. Mungkin suatu hari nanti, Allah akan menarik ajalnya lebih awal. Mungkin dia tidak akan sempat menimang cahaya mata. Masa yang berbaki mahu digunakan untuk pengalaman menjadi seorang ayah.
Mawar meninggalkan lipatan baju dan berlabuh di sebelah sang suami. Peha mereka bertemu, mata pula saling bertaut.
"Sayang... Abang betul-betul maksudkan," tutur Luth lembut. Kedua tangan Mawar dipegang dan diusap dengan penuh kasih. "Abang nak ada anak dengan Mawar tapi abang tak tahu rezeki tu ada atau tidak memandangkan dengan tahap kesihatan abang. Boleh jadi abang akan pergi dahulu. Ya, abang tak nafikan kita perlu berusaha. Tapi..."
"Mawar faham," potong Mawar. Mereka baru bernikah tidak sampai seminggu. Mawar dapat lihat dengan kaca mata sendiri bagaimana sakit itu menyerang Luth setiap hari. Di waktu pagi terkadang Luth terlalu sakit kepala hingga tak mampu membuat apa-apa kerja. Di waktu malam juga sama. "Tapi janji yang abang akan terus kuat untuk lawan sakit ni?"
"Ya... Abang cuba." Senyuman Luth tertarik hingga telinga. Dia memeluk tubuh si bunga erat lalu dicium pipi Mawar tiga kali.
Tahulah Mawar suaminya memang mahukan anak. Mawar ikut tersenyum sekali. Tubuhnya dilepaskan lelaki itu kerana Luth mahu kembali menemani si kecil yang baru dijumpai.
Perlahan-lahan kepala direhatkan ke sebelah bayi itu. Wajah suci di hadapannya ditatap lama. Luth mahu melihat hidupan yang baru hendak bernafas di hadapan mata. Dua ulas bibir bayi itu tiba-tiba membentuk senyuman kecil dalam lena.
Pilihan tidak ada untuk tentukan di mana kita akan lahir. Ada yang diberi rezeki untuk lahir dalam keluarga alim. Ada juga diuji untuk lahir dalam keluarga yang dhaif. Ada juga insan yang diuji dengan seberat ujian untuk lahir tanpa keluarga.
Namun, apabila menginjak dewasa semua manusia diberikan cahaya akal buat menentukan yang baik dan buruk. Dengan itu, akan bermulalah jalan mencari Hidayah.
Di akhir kehidupan, hanya satu yang dimahukan. Jalan ke syurga, moga hentian akhirnya indah.
Segalanya telah tertulis di Luh Mahfuz. Berusahalah ke jalan yang lurus kerana manusia tidak tahu bagaimana pengakhiran yang telah tersurat.
Pilihan sentiasa ada. Antara dua jalan, syurga atau neraka.
***
TAMAT
***
Terima kasih kepada pembaca setia. Apa perasaan dah habis 42 bab ni?😭 Sila cakap sampai tak pengajaran dan nyatakan apa pengajaran yg kalian dapat. 😉
~author
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro