36 : Hadiah Balqis
"Kau boleh jalan tak ni?" Arif memegang tangan sahabatnya dengan penuh kebimbangan. Kunci kereta ditekan punat sebelum dia kembali fokus pada Mahfuz.
"Boleh, nurse dah ajar aku fisioterapi macam-macam. Aku dah pandai dah jalan sendiri," terang Mahfuz. Tongkat ketiak itu membantu dia melangkah perlahan-lahan di beranda rumah pengajian. "Kenapa kau tak nikah minggu lepas?"
"Aku tunggu kau," balas Arif. Sliding door utama ditarik ke tepi.
Jawapan itu membuatkan Mahfuz tersenyum kecil. Langkahnya diteruskan ke kiri aras satu. Dia mahu masuk ke pejabat dan berehat di sana. "Jadi bila nak kahwin?"
"Esok, boleh?" sengih Arif. Memandangkan Mahfuz sudah keluar hospital sejak semalam, maka majlis akad nikah boleh diteruskan secepat mungkin. Mujurlah Aida itu seorang gadis yang memahami, tidak salah Arif pilih Aida untuk dibuat isteri.
"Boleh, Arep. Tapi aku mampu tengok dari jauh je la atas kerusi. Kaki aku ni bersimen lagi." Setiap langkahan dijaga Mahfuz. Dia takut tersalah langkah hingga tulang tibia sakit kembali. Nanti tak pasal-pasal dunianya gelap.
"Ha, tahu pun kaki tu bersimen tak elok lagi. Nak jalan pun sakit. Kenapa kau degil nak ke sini?" Sakit pula hati Arif.
"Simen sikit je pun. Dah masuk besi, nanti okay lah. Aku bosan duduk rumah," omel Mahfuz. Akhirnya mereka tiba di hadapan pintu pejabat rumah pengajian itu. Ruang kerja di dalam tidak terlalu luas, namun terdapat dua biji sofa empuk untuk mengalu-alukan tetamu semasa hari-hari penting.
Mahfuz menghenyakkan punggung ke atas sofa. Kaki kanan yang berplaster putih dialaskan sebiji bantal huluran Arif.
"Aku dengar cerita, kau tengah merancang untuk kahwin dengan Fatihah." Arif turut berlabuh di sebelah sahabatnya. Hari ini Mahfuz hanya berjubah putih dan berkain pelikat. Wajah pun masih pucat seperti orang sakit.
"Aku nak kenal dia," Mahfuz tersenyum kecil. "Dan buat masa ni, aku selesa je dengan dia. Kau rasa dia okay tak?"
"Pendapat aku? Hm..." Kening sengaja dikerutkan Arif. Dia mengetuk pelipis sendiri bagi memutar kotak ingatan. "Fatihah ni baik je. Bahasa dia pun elok, hormat orang tua. Rajin lagi... Dia buat pulut kuning untuk budak-budak tahfiz hari tu, sedap tau rendang daging dia. Rugi kau tak rasa."
"Kenapa buat pulut kuning?" soal Mahfuz.
"Masa kau koma, walid ada buat bacaan yassin dan solat hajat. Fatihahlah yang banyak tolong ummi buat pulut kuning. Budak-budak Balawi ni kan hampir 150 orang juga. Bayangkanlah dia buat sorang-sorang je." Arif sendiri mahu Fatihah dan Mahfuz disatukan. Dia tahu Fatihah sudah lama memendam rasa pada sahabatnya.
Khabaran itu membuatkan Mahfuz tersenyum dalam diam. Harus dicari juga masa buat berbual dengan gadis itu. Asyik guna ummi sahaja sebagai orang tengah.
"Mahfuz, apa cerita dengan Balqis?Tiba-tiba je datang sini... " soal Arif.
"Walid kata memang dia tengah cari asatizah baru untuk ajar pelajar kita. Balqis pula dah datang dan lulus temu duga dengan walid, sebab itulah dia jadi ustazah dekat sini sekarang ni. Kalau kau nak tahu, Balqis tu budak pandai tau dalam kelas aku. Jadi aku tak hairanlah kalau dia boleh masuk ke sini dengan senang. " Mahfuz mendongakkan wajah ke atas. Dia merehatkan kepalanya pada bahu sofa. Malas mahu melayan soal cinta silam.
" Kau okay tak nak kerja sekali dengan dia? "
"Aku okay. Tak jadi masalah pun," sengih Mahfuz. Dia cuba untuk meneutralkan diri tanpa menghadirkan apa-apa perasaan. Cukuplah untuk tahu Balqis itu tunangan orang.
"Aku rasa lebih baik kau bernikah dengan Fatihah cepat-cepat. Kalau masing-masing dah sama-sama suka."
"Siapa kata aku suka Fatihah? Aku kawan je dengan dia. Sama je macam aku berkawan dengan ustazah yang lain dekat sini," nafi Mahfuz. Dia terkadang takut juga untuk berharap pada yang tidak pasti. Urusan jodoh ini diserah sahaja pada Allah setelah membuat usaha.
"Pembetulan. Kau berkawan dengan Fatihah untuk berkahwin. Persahabatan korang bukan sekadar berkawan tapi untuk kenal hati budi masing-masing."
"Ya..." Wajah diraup Mahfuz. Kenapalah ummi memberikan dia tempoh dua bulan untuk berkenalan dengan Fatihah? Baginya, empat minggu sahaja sudah cukup.
Tok tok
"Waalaikumsalam, masuklah," lelaki itu menjawab salam dari luar seraya membaiki kedutan jubah putihnya.
Selepas pintu bilik pejabat ditolak, mata Mahfuz terus bertentang dengan sepasang mata hitam yang membulat elok. Pandangan segera dialihkan ke arah lain.
"Ada hajat apa kamu datang ke pejabat?" soal Mahfuz. Dia pernah mempunyai perasaan pada gadis ini disebabkan rupa parasnya.
"Tak ada apa. Hajatnya cuma untuk melawat orang yang baru keluar hospital," jawab Balqis lembut. Dia menapak ke dalam pejabat tanpa gentar meski ada dua orang lelaki di situ. Tudungnya yang berwarna merah jambu tampak padan dengan sehelai purdah hijau turqoise muda. Dikenakan pula dengan kaca mata yang lagi membuatkan wajahnya enak dipandang.
"Oh, terima kasih," balas Mahfuz. Secalit senyuman menghargai kedatangan Balqis.
"Ana ada buah tangan sikit ni. Terimalah." Gadis itu memaksudkan beg kertas di pegangannya. Dia meletakkan hadiah itu ke atas meja tanpa disuruh.
"Terima kasih. Balqis dah cari rumah sewa dekat area ni?" Kening Mahfuz terangkat menanti jawapan.
"Belum. Kalau boleh nak mohon lama sikit duduk dekat bilik atas. Boleh ke ustaz?" Balqis memandang Mahfuz jauh ke dalam mata hazelnya. Dalam diam perbuatan Balqis yang cuba meninggalkan rasa di hati Mahfuz diperhatikan Arif.
"Bukan apa... Kalau Mawar dah kahwin dengan abang angkat dia, tinggallah Fatihah dan kamu je. Dan kalau Fatihah nikah dengan ana, kamu akan tinggal berseorangan di tingkat atas. Jadi tak eloklah kalau macam tu. Lebih baik kamu cari rumah sewa sekitar sini secepat mungkin," terang Mahfuz pula. Bau wangian gadis itu membelai rongga hidungnya. Arif turut sedar bau minyak wangi yang dipakai Balqis sedang memenuhi atmosfera.
" Ustaz memang nak kahwin dengan Fatihah?" Dengan tenang Balqis menyoal. Kerdipan matanya pun lembut sahaja untuk menampakkan ukiran eyeliner yang menambah seri.
"Insya Allah." Senyuman kecil terbentuk. Hingga ke saat itu hasratnya untuk bernikah dengan Fatihah ada namun masih belum kuat.
"Ramai je ustazah dekat sini, ustaz tak tertarik?" cadang gadis berpurdah itu.
"Ana masih melihat yang mana padan dan nampak gayanya Fatihahlah ada pada carta teratas."
"Carta pertama pun kadang-kadang boleh berguling jatuh ke bawah," dengan halus Balqis mahu menusuk. Jelas kelihatan Mahfuz punya perasaan pada Fatihah dan begitu juga dengan gadis bertudung bidang 45 itu.
Tok tok
"Waalaikumsalam, masuk."
Tetamu kedua melangkah masuk ke dalam pejabat mematikan perbualan pada tengah hari itu. Balqis mengetap bibir sendiri. Kehadiran seorang pelajar lelaki berserban menambahkan bilangan lelaki bukan mahram di situ. Dia jadi tidak selesa untuk berdiri lebih lama lalu segera meminta izin pergi.
"Ikhwan, sini duduk," Mahfuz tersenyum melihat wajah pelajarnya. Dia segera mempersilakan kerana ternanti-nanti lauk tengah hari.
"Kak Fatihah suruh beri ni." Setelah duduk di sofa, remaja lelaki itu menghulurkan satu mangkuk tingkat. "Ini pun..." Satu beg plastik diletakkan ke sebelah beg kertas pemberian Balqis.
"Seronok ya jadi posman ni? Kak Fatihah bagi rasuah apa?" celah Arif.
Ikhwan tertawa halus. "Dia janji nak beri kami makan bubur durian petang ni. Jadi... Tak salah pun nak tolong dia kirim barang pada ustaz. Ustaz ada apa-apa ya dengan kak Fatihah?"
"Ish, tak ada lah..." Mahfuz menggeleng biasa. Tangannya mencapai beg kertas Balqis dahulu. Isi dalamnya dilihat dengan sekali lalu. "Ikhwan, kamu jangan hebohkan tau yang Kak Fatihah selalu kirim barang dekat ustaz. Ustaz tak nak ada fitnah datang. Ini rahsia kita."
"Baik, ustaz," akur pelajar tahfiz itu.
"Apa tu?" Arif mahu juga tahu apa pemberian gadis berpurdah itu. Cara bungkusan pun nampak mewah.
"Minyak attar. Kamu nak tak Ikhwan? Ustaz dah ada banyak minyak wangi dekat rumah. Takut tak terpakai pula..."
"Serius la ustaz nak bagi saya?" Langkah kanan sungguh jadi posman untuk hubungan Mahfuz dan Fatihah. Ikhwan teruja apabila Mahfuz menghulurkan beg kertas itu kepadanya.
"Anggaplah ni upah sebab jadi posman... Tapi ustaz ambil kad ucapan ni ya? Selebihnya kamu punya." Sekeping kad berwarna merah hati dicabut Mahfuz. Dia menyimpan kad itu di dalam saku jubahnya.
"Terima kasih, ustaz." Remaja lelaki itu bersalaman dengan Mahfuz sebelum beredar pergi bersama-sama beg kertas pemberian Balqis.
"Bukan main ya lepas dapat bekal makanan? Sampai hadiah Balqis pun tak nak pandang." Arif menyiku lengan Mahfuz.
Mahfuz tersenyum kecil malas hendak melayan. Beg plastik pula ditariknya. Sudah diagak itu sepotong kek pandan permintaan kelmarin. Fatihah benar-benar tunaikan untuk mengambil hati ini.
Arif menyiku lengan sahabatnya dua tiga kali. Automatik bisu si Mahfuz ni lepas dapat makanan.
"Apa? Kitorang kawan je lah. Pernah ke kau nampak aku berdua dengan dia?" geleng Mahfuz.
"Hm.. Tak."
"Nombor telefon Fatihah pun aku tak ada, okay?" tambah Mahfuz lagi.
"Kau berhubung dengan apa? Telepati? Kata nak berkawan..." Arif memencilkan bukaan mata.
"Melalui ummi." Terus Mahfuz ketawa. Dia rasa lebih selamat dengan umminya kerana apabila hendak sampaikan apa-apa pada Fatihah berkali-kali juga otak menimbang tara. Buat menilai apakah itu kepentingan atau nafsu semata-mata.
***
Penampilan bunga yang bertudung membuatkan mata itu tidak berkelip. Luth perhatikan sahaja bentuk wajah Mawar di sebalik kain selendang cotton. Hatinya pun seolah makin sayang pada gadis itu.
"Abang," sapa Mawar ceria. Dia segera berlabuh di kerusi dan menyambut tangan abangnya. "Apa khabar?"
"Baik..." jawab Luth.
"Maaf Mawar lambat sikit. Tadi ada kelas dengan ummi. Lepas tu Mawar tolong Fatihah masak. Tahu-tahu dah nak pukul 2 petang," terang si pipi merah itu sedikit bersalah. Dia tidak bermaksud untuk mengabaikan abangnya yang masih sakit. Tangan lelaki itu disalami dan dikucup.
" Tak apa," Luth menggeleng. "Ibu teman abang tadi," balasnya. Puan Dalila pun tidak kurang kasihnya mahu menjaga Luth setiap hari. Nikmat seperti itu amat disyukuri Luth. Hidupnya lengkap meskipun hanya punyai Mawar dan Ibu.
"Mawar... Mawar belajar hari-hari mesti Mawar dah pandai, kan?" soal Luth. Hatinya berasa amat kerdil untuk kekal menjadi abang Mawar.
"Takdelah pandai... Mawar masih belajar," balas Mawar. Dia tersenyum nipis melihat bekas makanan yang telah kosong. Luth telah makan makanan itu ketika ketiadaannya, tidak seperti ini. Jika sebelum ini, dia membuat perangai seperti anak kecil sahaja. Mungkin ini petanda yang emosi dan fikiran lelaki itu telah stabil.
"Kenapa Mawar belajar?" soal Luth lagi. Hatinya damai melihat Mawar versi yang terkini.
"Sebab... Mawar nak jadi perempuan baik. Kalau nak beramal perlukan ilmu. Jadi Mawar belajarlah ilmu fardhu ain dahulu, baru boleh beramal dengan sempurna. Bila Mawar dah jadi perempuan yang baik, Mawar boleh jadi isteri yang solehah. Dan Mawar nak Mawar sendiri yang didik anak-anak Mawar nanti dengan ilmu ini. "
"Oh... Mana Reza?" Luth cuba untuk berhenti berharap pada Mawar. Mawar sudah melangkah ke hadapan untuk menjadi perempuan solehah. Tinggallah dia dalam lembah jahiliyah.
"Mawar dah tinggalkan dia," jawab Mawar ringkas.
"Tapi, kenapa?" Luth mengangkat wajah tidak percaya.
"Sebab Mawar nak jaga abang."
"Tapi Mawar boleh je sambil jadi isteri Reza sambil jaga abang dekat hospital," bangkang Luth bulat-bulat. Sungguh, dia rasa diri itu amat menyusahkan.
"Tak nak," geleng gadis itu pula. "Mawar nak ada dekat sisi abang selamanya. Mawar nak jadi isteri abang."
Ayat yang sudah lama dirancang untuk meniti di bibir telah dilantunkan. Mawar tersenyum kecil melihat reaksi Luth. Lelaki tidak berambut itu terkelu.
"Abang nak kahwin dengan Mawar?" tanya Mawar. Hatinya ikhlas mahu bersuamikan Luth.
Luth menekur katilnya. Pandangan dijatuhkan lelaki itu. "Tapi abang jahat, Mawar."
Terlalu banyak dosa yang telah dilakukan dengan tubuh pinjaman itu. Asyik menyalahkan takdir dan terus menjadi sampah hina selama ini. Kini dia jatuh terduduk. Apatah lagi dimaklumkan kepalanya sedang membawa ketumbuhan. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Luth sudah tidak mampu nak berdiri lagi.
"Mawar tahu abang nak berubah. Mawar juga nak berubah, abang. Biarlah kita disatukan. Izinkan Mawar untuk jaga abang," pinta gadis itu.
"Doktor dah beritahu abang," potong Luth. Dia mengangkat wajah memandang Mawar. "Abang ada kanser."
"Mawar tahu," dijatuhkan kepala sekali. "Mawar sedia nak jadi isteri abang walau apa pun yang berlaku."
"Mawar tahu kan abang sayang Mawar?" Luth sedang dihimpit rasa yang sudah lama diminta. Dia mahu gadis itu bersama-samanya menempoh kehidupan hingga ke nafas terakhir.
"Mawar tahu juga." Pastilah Mawar tahu kerana lelaki itu menjaga dia bagai menatang minyak yang penuh.
"Abang dah janji takkan tinggalkan Mawar masa kecil dulu. Abang akan tunaikannya." Kerana sayang dahulu telah bertukar cinta. Hangat bunga cinta berputik sepanjang Mawar hadir melawatnya setiap hari. Harinya hanya ada dia dan Mawar, hati pun sudah lama terbuai dengan rasa.
Mawar tersenyum bahagia. "Ibu pun tahu tentang ni... Ibu kata kalau dicepatkan lagi baik. Tak perlu pun majlis apa-apa. Mawar cuma nak jadi halal untuk abang. "
"Tapi adik abang ni tak ada wali. Mawar kena uruskan dulu hal yang tu. Bila dah selesai, abang boleh buat akad," ujar Luth. Bibir pucatnya terlekuk senyuman. Pipi Mawar diusapnya lembut.
"Mawar, terima kasih," bisik Luth. Setiap kali dipandang wajah Mawar, mindanya akan terlayar mimpi itu. Mawar diperkosa di hadapan mata, sungguh itu perkara yang paling ditakuti. Dia tidak mahu bunga yang dijaga selama ini dirosakkan kumbang lain. Biarlah kumbang yang sama menjaganya sejak kecil yang akan menyunting.
"Sama-sama." Tangan Luth ditarik daripada mengusap pipinya. Mawar meletakkan tangan Luth di atas perut lelaki itu. "Abang, kita belum kahwin lagi. Tak boleh pegang-pegang pipi."
Terus Luth tertawa halus. Hasrat hati untuk bernikah telah disampaikan. Panggilan 'abang' seakan telah bertukar auranya. Dia hormat permintaan adiknya. Mata masih mahu memandang wajah gadis berselendang hijau itu. "Mawar... Boleh Mawar ajar abang tentang taubat?"
"Taubat..." Ini ilmu dalam bahagian tasawwuf. "Mawar boleh ajar abang tentang taubat. Betul ni abang nak tahu?"
" Sebelum kahwin dengan Mawar, abang nak bertaubat. Abang nak belajar solat..." Dalam hidup ini, pilihan untuk ke jalan yang lurus sentiasa ada. Semua orang berhak untuk bertaubat. Namun, tak semua yang mahu dan masih berkeras dengan dunia lama.
"Nanti Mawar bawa abang ke bakal suami Fatihah, ya? Dia boleh ajar abang dalam masa seminggu je. Sekarang ni... Jom kita belajar bab taubat." Mawar begitu bersemangat mahu mengajar Luth.
Luth mengangguk sambil tersenyum nipis. Dia sedia mendengar.
"Taubat ada tiga rukun. Rukun ni lah yang akan tentukan sah atau tidak taubat seseorang. Rukun ialah perkara yang perlu dibuat.
Yang pertama, menyesal atas perbuatan dosa kerana telah menderhakai Allah.
Kedua, meninggalkan dosa itu serta merta.
Ketiga, berazam tidak mendatangi dosa itu pada masa akan datang.
Ini sahaja rukunnya. Taubat nasuha pula ialah sebenar-benar taubat. Seseorang itu tak mengulang lagi dosa pada masa akan datang," terang Mawar satu per satu kepada abangnya.
" Kenapa tak ada istighfar dalam rukun taubat?" Luth tidak mengerti. Berkerut-kerut dahinya.
"Kerana istighfar bukanlah dalam syarat sah taubat, abang. Tapi untuk sah taubat, kena ada tiga perkara ini. Jadi bila seseorang bertaubat, dia perlu buat tiga rukun yang Mawar sebutkan tadi untuk taubatnya diterima. Istighfar dan solat taubat pula cara untuk memohon keampunan Allah. Abang faham tak? Nak Mawar ulang lagi?" Risau pula Mawar syok sendiri dalam bercakap. Luth masih tidak sihat, dipaksa pula masuk pelbagai ilmu baharu. Pelipis sendiri yang tidak gatal digaru perlahan. Apa yang disampaikan kepada Luth hanyalah ayat daripada ummi. Ummi dan Fatihah tak lelah mengajar dia yang terkadang bingung.
"Boleh ulang lagi? Abang nak dengar lagi," pinta Luth.
"Boleh," laju Mawar menjawab. Dia tersenyum kecil melihat abangnya masih mahu belajar.
***
votexkomen
***
Apalah agaknya perancangan Balqis nak porak perandakan hubungan Fatihah dan Mahfuz?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro