35: Cemburu Buta
Begitu kencang degupan jantungnya. Panggilan yang diberikan pada si adik tidak terjawab. Itu menambahkan lagi sarat kebimbangan di dalam hati. Wajah Luth memang basah dengan air mata semenjak tadi lagi. Dia memulas grip motosikalnya lagi dan lagi.
Lampu isyarat yang tiba-tiba bertukar merah memaksanya untuk memperlahankan tunggangan. Namun, brek tangan dan kaki kedua-duanya tidak berfunsi. Habis tiada darah yang mengalir ke wajah. Luth menelan liur kesat.
Sebuah kenderaan dan lori sedang melintasi laluan hadapannya. Tiada apa yang dapat dilakulan saat itu. Dentuman hebat menghentak kepalanya lalu gelaplah seluruh dunia. Tubuh Luth tergolek agak jauh, kulit badan lelaki itu tersagat dengan jalan tar dari hujung kaki hingga ke kepala.
"Ya Allah.. " bisik Luth. Kelopak mata lelaki itu terbuka luas. Alunan nafasnya pun tidak kurang hebatnya. Berombak dada mencari nafas yang berat.
Kedengaran bacaan ayat suci Al-Quran menyapa benak. Kegelisahan itu langsung dibawa pergi bagai angin meniup. Luth meraup wajah sendiri. Belakang kekura tangannya yang tertusuk branula ditilik, matanya melirik pula ke kawasan sekitar.
"Luth..." tegur Puan Dalila. Buku yassinnya dikatup dan diletakkan ke tepi. Dia tersedar anak angkatnya telah terjaga.
Lega sedikit hati Luth kerana yang menyapa ialah wajah redup ibu. "Ibu, dekat mana ni?"
"Hospital," jawab ibu.
"Semalam... Ada lori.. Kereta..." Lelaki itu memejamkan matanya erat kerana tidak sanggup membayangkan kembali detik ngeri itu. Badannya dihenyak pelbagai rasa sakit.
"Bukan semalam, nak. Dah nak hampir dua minggu lepas Luth kemalangan. Dah... Jangan fikir sangat tentang tu," lembut bicara ibu memujuk Luth. Senyuman manis diulit menjadi penyejuk hati pemuda itu.
Luth menarik nafas dalam. "Ibu... Luth hidup lagi ke?" Dia jadi ragu-ragu saat itu.
"Ya, sayang. Allah pinjaman Luth nyawa untuk hidup." Puan Dalila mengangguk kecil. Wajah anak angkatnya dipandang penuh kasih. Badan Luth tidak berbaju, hanya selimut yang menutup hingga ke paras dada. Luka pada kulit lelaki itu hampir mengering dengan baik. Nampaklah telah lama kemalangan itu berlalu dengan arus masa.
"Ibu... Luth nak solat..." Tidak diduga perkataan itu yang meniti di bibir pucat Luth. Dia tidak pernah ada perasaan sebegini hingga ke saat itu. Jiwa hambanya merintih perit.
Puan Dalila menjadi sebak mendengar permintaan anak angkatnya. Dia cepat-cepat mengangguk. "Nanti ibu minta jururawat lelaki bantu Luth ambil air wuduk ya?"
"Ibu akan sayang Luth kalau apa-apa jadi lepas ni?"
"Ibu akan sentiasa sayang Luth," bisik hati ibu. Tubir matanya berair kerana terlalu bersyukur dengan nikmat itu. Mungkin dia tak punyai sebarang cahaya mata namun hidup bersama anak-anak terbiar memberikan dia erti seorang ibu.
Hasrat Luth yang ingin mengambil wuduk di sambut baik oleh seorang jururawat lelaki. Dia meninggalkan kaunter dan mengikut langkah Puan Dalila ke katil yang menempatkan Luth. Tusukan branula ditanggalkan selepas memeriksa tahap kesihatan lelaki itu. Luth makin sihat bawah pemerhatian doktor.
"Abang larat tak nak jalan?" soal jururawat berkenaan.
"Larat," bisik Luth. Dikuatkan tubuh lemahnya untuk menurunkan kedua-dua belah kaki. Selimut putih ditolak ke tepi meninggalkan kulit dadanya yang terdedah. Tulung rusuk jelas kelihatan kerana makannya tidak menentu setelah sedar dari koma. Sedikit berat badan Luth susut.
Dia mula berjalan perlahan-lahan dengan bantuan pemuda jururawat serba putih di sebelah. Tangannya dipapah oleh jururawat itu untuk ke tandas yang berdekatan. Sudah lama Luth tidak menjejakkan kaki ke lantai bilik air. Selama ini dia hanya terlantar seperti orang sakit tenat.
Tiba berdekatan paip air, jururawat berkenaan menyuruhnya duduk di sebuah kerusi plastik. Fikiran Luth kosong, tidak tahu mahu ambil wuduk bagaimana.
"Saya tolong abang ya?" ujar pemuda itu setelah kaki seluar Luth digulung beberapa kali hingga parasnya mencecah bawah lutut.
Kepala paip dipulas lalu keluarlah sumber air sejuk. Jururawat itu maklum bahawa Luth baru sedar dari koma. Getah paip dihalakan ke paras yang Luth mampu untuk membuat tadahan.
"Abang ikut niat yang saya baca, lepas tu nanti ulang dalam hati bila basuhan muka yang pertama," ujarnya.
Luth mengangguk faham.
Air wuduk pertama mengenai juzuk muka. Sejuknya hampir menyentuh ke tulang pipi. Seraya dengan itu air mata Luth mengalir tanpa disedari. Dia mencukupkan tiga kali basuhan wajah.
Tiba pula giliran kedua-dua belah tangan lelaki itu, makin lebat tangisan yang tercipta. Luka calar banyak tersemat hampir seluruh kawasan berdekatan siku. Dengan tangan ini juga dia mencuri duit haram. Tiga kali jumlah basuhan. Terketar-ketar telapak tangan mahu meratakan air wuduk.
Sampai ke bahagian kepala, Luth terkesima. Dia asyik membayangkan kepalanya masih berambut seperti sebelum ini. Jemari sendiri dapat menyentuh kulit kepala yang telah dicukur. Nafas dalam ditarik lelaki itu. Andai Allah mahu memecahkan terus kepala hamba yang hina seperti dirinya, itu tidak mustahil. Tetapi kenapa madih diberi nyawa hingga saat itu? Untuk terus melakukan maksiat dan menyalahkan takdir Allah?
Allahuakbar.
Getap paip itu mengalirkan air di kedua-dua belah kaki Luth yang pucat tiada darah. Sendinya jadi sakit akibat lama terbaring. Setelah itu jururawat berkenaan membantu Luth melangkah ke katil dengan penuh berhati-hati. Hendak berjalan laju, Luth tidak mampu lagi.
Terduduklah Luth di atas katil. Air wuduk yang sempurna membawa dosa-dosa kecilnya pergi. Namun, dosa besar ini bagaimana pula mahu hapuskan?
"Luth..." tegur Puan Dalila.
"Ibu... Kalau menangis batal wuduk ke?" soalnya polos. Getaran di dada ditahan semenjak tadi. Dia takut wuduknya menjadi sia-sia nanti. Sudahlah mahu berjalan pun tidak larat.
"Tak batal." Ibu meletakkan lipatan baju ke atas katil.
Gugurlah air mata Luth tanpa penghadang lagi. Dia menitiskan air mata semahunya. Nafas hangat menampar wajah sendiri berkali-kali. Sungguh hati itu tidak tenteram walau cuba membatukan diri. Segalanya tidak bererti andai nyawa sudah dicabut nanti. Rasa takut pelanggaran malam itu tidak pun hilang.
"Ibu..." Habis mata lelaki itu memerah. "Nak solat... Ta-tapi Luth tak pandai... Ya Allah..."
Puan Dalila mahu saja memeluk anak itu, sayang dia bukanlah ibu kandung Luth. Tidak tahu dimanakah ibu bapa sebenar Luth. Luth tidak punyai darah daging sememjak kecil, hidupnya terlalu terumbang-ambing.
" Boleh, Luth. Ibu ajar Luth solat ya?" Jam yang melingkar di pergelangan tangan menunjukkan waktu 10.30 pagi. Pasti Luth terlalu mahu solat saat itu.
"Nak solat taubat," bisik Luth. Dia mengelap segala sisa air mata. Lipatan baju berdekatan diambil lelaki itu. Perlahan-lahan badannya disarungkan baju.
"Boleh, sayang."
Dengan penuh kasih dan sabar, ibu mengajar bacaan dalam solat kepada anaknya. Setiap kali ibu melafazkan satu kalimah, Luth akan ikut.
Dia tidak pandai membaca Al-Fatihah tetapi keinginan untuk solat kuat di dalam hati. Ini solat pertamanya selepas 25 tahun jejak di atas muka bumi.
***
Hati di sana gembira tidak terucap, hati di sini membara api kemarahan.
Balqis tidak mengerti. Bagaimana Mahfuz boleh mengubah cita rasa pada perempuan biasa seperti Fatihah? Bukankah dahulu lelaki itu terlalu mahukan dirinya?
Peti SMS dibuka Balqis. Mesej dua minggu lalu dikorek hingga terjumpa kembali satu mesej daripada Mahfuz. Balasan Mahfuz seperti inilah yang trlah membuatkan hati gadis itu berbelah bahagi.
Daripada : Mahfuz
Beri ana peluang untuk buktikan yang diri ana lebih layak dari Imran. Ana lagi layak untuk jadi suami kamu. Fikirkanlah. Kamu tahu kan ana datang jauh-jauh dari Selangor hanya untuk jumpa ayah kamu? Kenapa masih menolak lelaki yang ikhlas untuk halalkan kamu?
Ya, memang tidak silap bahawa Mahfuz pernah mempunyai hasrat untuk menikahinya. Adakah kerana tolakan tempoh hari telah membuatkan Mahfuz menangkap muat mana-mana gadis untuk dijadikan isteri?
Kasihan sungguh lelaki itu. Dia terdesak cintanya tidak dibalas hingga mahu menikahi Fatihah.
Balqis menggeleng simpati.
Butang mati ditekan jarinya. Skrin telefon pintar kembali menggelap. Bilik yang sedang diduduki ini sedikit terasing daripada kamar Fatihah dan Mawar. Dialah yang meminta ruangan peribadi pada walid. Pencarian rumah sewa di kawasan sekitar tidak lagi diteruskan gadis itu kerana dia terganggu dengan isu hubungan Fatihah dan Mahfuz.
"Apa hubungan dorang sebenarnya?" soal hati Balqis. Tidak tenang sungguh hati itu melihat Fatihah ditegur Mahfuz siang tadi sedang dia ini seolah-olah tidak wujud.
Lelaki bertongkat itu pulang ke rumah setelah mendapat keizinan doktor yang merawatnya. Balqis ingatkan si Mahfuz akan terkejut besar apabila ternampak wajahnya di rumah itu. Malang sekali tidak. Entah di mana silap yang harus diperbaiki.
Meluat pula melihat wajah Fatihah yang tersipu malu di hadapan Mahfuz. Seolah-olah Mahfuz sengaja mahu menyakiti hatinya.
Untuk: Mahfuz
Assalamualaikum, Mahfuz. Dah tidur ke?
Malam masih muda. Tidak mungkinlah Mahfuz sudah beradu dengan kaki patahnya.
Daripada: Mahfuz
Waalaikumsalam. Ada apa ya?
Berdesup mesej balasan lelaki itu menerjah. Hati Balqis jadi berbunga untuk menaipkan perkataan-perkataan. Pasti Mahfuz masih menantinya dalam desakan perkahwinan dengan gadis jalanan yang entah dari mana.
Untuk: Mahfuz
Kamu masih buka peluang untuk ana jadi isteri kamu? Ana tak nak lepaskan seorang lelaki yang datang dari jauh untuk halalkan ana dahulu.
Mungkin Balqis tersilap untuk menerima lamaran Imran semudah itu sedangkan yang layak baginya adalah lelaki seperti Mahfuz. Benar kata Mahfuz, biar dibuktikan diri lelaki itu lebih bayak berbanding Imran.
Daripada: Mahfuz
Aasif. Lupakan hal tu.
Tercenganglah Balqis di atas katil. Dia menggeleng tidak percaya. Cepat-cepat gadis berambut separas bahu itu duduk bersandar pada dinding.
"Tapi... Kenapa Mahfuz?" soal Balqis sendiri. "Sebab budak perempuan tu?"
Tanpa berlengah, dia membawa hatinya yang sakit ke bilik sebelah. Pintu bilik itu dikuak selepas memberi salam. Wajah Fatihah dicarinya.
"Fatihah," panggil Balqis.
Fatihah yang hanya berbaring di atas katil segera turun dari katil. Dia menapak ke muka pintu sambil berkerut hairan. "Kenapa?"
"Boleh kita cakap dekat luar?" Sedar yang Mawar sedang memandang, sedikit ketidakselesaan untuk membincangkan hal Mahfuz. Sempat mata Balqis melirik Fatihah atas dan bawah. Tidak hairanlah Mahfuz mahukan gadis ini, badan sahaja kecil tetapi bentuk tubuh badan Fatihah agak lawa berbanding dirinya. Cara lenggok jalan pun habis diperhatikan Balqis.
"Kenapa awak jalan macam tu?" tegur Balqis tiba-tiba. Pintu dikatupnya rapat.
"Hm?" Fatihah berkerut tidak mengerti. Dia jalan seperti biasa sahaja, salahkah? Bukannya meliang lingguk mahu goda sesiapa.
"Jangan jalan macam tu. Tak perlu nak tunjuk dekat semua orang yang badan tu seksi. Ini rumah pengajian tau? Nak mengorat siapa? Mahfuz?" Tiada ribut hujan, bertubi-tubi ayat Balqis menghentam Fatihah.
"Apa yang awak merepek ni? Saya tak pernah tau tunjuk badan-" Fatihah tidak mampu menyambung ayat itu kerana terfikirkan Khairul. Dia tidak pernah tunjukkan badan kepada sesiapa melainkan lelaki itu. Itulah perkara yang disesali sampai ke akhir hayat.
"Berhenti goda Mahfuz dengan badan awak. Malulah sama."
"Apa?" Fatihah agak terkejut dengan tuduhan tidak berusul seperti ini. "Saya tak pernah goda dia," gelengnya.
"Memanglah tidak. Tapi mata dia dapat lihat. Tak tahu malu ke?" hentam Balqis.
Meskipun Balqis kata begitu, Fatihah amat mengenali Mahfuz. Mahfuz tidak seperti lelaki lain. Pemuda berkopiah itu sentiasa mengalihkan pandangan ke arah lain apabila bercakap dengan perempuan bukan Mahram sepertinya. "Kenapa awak nak sibuk hal Mahfuz dan saya?"
Soalan cepumas itu cuba disangkal Balqis. "Mestilah saya sibuk. Saya kan ustazah dekat rumah ni. Saya tak nak ada perempuan yang berperangai menggoda. Labuhkan tudung tu, dada tu nak tayang dekat siapa? Nak semua lelaki nampak?"
Fatihah tersenyum nipis. Hanya tudung bawal bidang 45 yang ada di dalam almari baju. Stail lama tidak diguna pakai Fatihah, dia telah membiarkan bahagian hadapan jatuh melepasi paras dada. Jika sebelum ini, kalau lagi singkat lagi bagus untuk bergerak membuat kerja. Tetapi, ummi tidak memaksanya bertukar ke tudung bidang lain. Ummi hanya berpesan bagi membiarkan tudung itu labuh di bahagian hadapan. "Saya memang tak ada tudung labuh macam awak. Apa kata awak pinjamkan, boleh?"
"Beli sendiri," ujar Balqis. "Lagi satu... Jangan nak prihatin sangat tentang Mahfuz."
"Cik Balqis, saya dan Mahfuz tahu batas-batas kami. Kami berkenalan sekadar sahaja, itupun atas pantauan ummi dan walid." Fatihah memandang wajah gadis di hadapannya.
"Berkenalan sebab Mahfuz dah tergoda dengan awak? Apa yang awak ada untuk impress lelaki berkopiah macam dia selain bentuk badan?" Nak kata kerana ilmu, Balqis pasti seratus peratus ilmunya lebih tinggi. Kerana ilmu inilah Mahfuz pernah terkejar-kejarkannya. Maka jawapan yang terlintas untuk Mahfuz berminat dengan Fatihah hanyalah kerana keseksian gadis ini.
"Ingat, walaupun pakai tudung... Jangan seolah-olah telanjang," sambung Balqis.
Pengajian kitab fardhu ain dengan ummi telah sampai ke muka surat yang terakhir. Bab aurat pun Fatihah telah arif cuma dia tidak mampu untuk membuat perubahan drastik berjubah dan bertudung labuh ke pinggang. "Terima kasih ya sebab ingatkan saya."
Makin sakitlah hati Balqis.
Fatihah hendak masuk ke bilik kembali. Perbalahan ini sia-sia sahaja. Sampai ke sudah Balqis akan terus merendahkan diri itu. Tombol pintu mahu dipulasnya. "Doakan saya dan Mahfuz cepat disatukan. Terima kasih."
***
votexkomen
***
Mana Imran? Makin parah budak Balqis ni.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro