28 : Kehidupan baharu
Dan jika Allah Ta'ala mahu menarik nikmat, sekelip mata pun boleh terjadi.
Sehelai kain pelikat dibentang Mahfuz di ruang tamu rumah. Biliknya yang berselerak tidak pun dijejaki kerana di dalam sana masih terdapat kepingan gambar sendiri yang jijik pada pandangan mata. Kaki lelaki itu menapak ke atas bentangan kain dan mula mengangkat takbir. Seiring dengan itu, hati mengqasadkan niat solat fardhu subuh. Dia telah pastikan masuknya waktu subuh dengan melihat keadaan langit di luar sana. Jam dinding membantu menguatkan lagi keyakinan telah tiba waktu subuh.
17 Rukun solat dibuat tanpa satu pun tertinggal. Ada perbuatan sunat yang dilakukan untuk menambahkan lagi pahala solat. Turutan dilakukan dengan tertib lalu disudahi dengan ucapan salam kiri dan kanan.
Agak sukar untuk menerima kehidupan baharunya. Lama Mahfuz berfikir dan melihat ke sekeliling. Jawapan tidak juga dijumpai lalu dia memilih untuk duduk diam sahaja dan menunaikan ibadah yang wajib. Tidak kisah dia dalam jasad sesiapa pun, masih diri itu hamba Allah. Maka perlu ditunaikan tugas seorang hamba.
"Ya Allah, ampunkan dosa aku, dosa kedua ibu bapaku, dosa rakan-rakanku..." Tatkala ibu bapa disebutkan, yang terlintas ialah wajah walid dan ummi. Kemudian, wajah Arif pula berganti. Kedua-dua belah tangan kekal menadah doa dengan hati yang merundum sedih bersulam keliru.
" Aku tahu aku masih Mahfuz. Cuma yang berbeza ialah kehidupan yang sekarang ini. Engkau berikanlah aku jalan keluar dari kekusutan ini..." Disudahkan doa itu dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad.
Usai solatnya pada jam 6 pagi itu, Mahfuz kekal duduk di ruang tamu. Kain pelikat itu dilipatnya seumpama ridak lalu diletakkan pada bahu. Dia melabuhkan punggung di atas sofa yang ada.
Sejak tadi ada sepasang mata yang memerhati. Tidak berkelip Mawar melihat abangnya itu. Dia jadi ragu-ragu untuk menegur abangnya kerana ditakuti itu hanyalah satu lembaga yang menyerupai wajah Luth. Tubuh gadis itu tersorok di sebalik dinding, hanya sebahagian wajahnya kelihatan.
"Mawar?" tegur Mahfuz.
Mawar bertaut mata dengan lelaki itu.
"Dah solat?" Cepumas sungguh soalan Mahfuz.
Gadis itu pun keluar daripada tempat persembunyian. Dia memandang abangnya tepat di wajah. Lain macam pula soalan itu.
"Kenapa pandang macam tu?" Mahfuz mengerutkan keningnya. Si gadis terus melangkah mendekati Mahfuz lalu duduk bersimpuh di sebelah.
"Sejak bila abang solat ni?" soal Mawar. Dia meletakkan kekura tangan pada dahi abangnya.
"Solat kan wajib?" jawab Mahfuz dalam nada yang turut juga hairan.
"Abang dah nak mati ke? Tiba-tiba je solat ni..." Dahi abangnya tidak panas. Mawar mengecilkan mata memandang lelaki itu. Pelik bin ajaib sungguh. Baru hendak panaskan air di dapur, dia dikejutkan pula dengan si abang yang sedang solat subuh.
"Mati kan bila-bila je? Kenapa nak tunggu dah nak mati baru nak solat?" Mahfuz tersenyum kecil melihat wajah tidak puas hati Mawar. Dia dapat meneka bahawa jasadnya sebelum ini tidak pernah solat.
"Mawar tak solat?" Kini Mahfuz pula yang menyoal.
"Tak. Tak pandai. Lagi pun... Susahlah nak solat." Gadis itu menggaru pelipis sendiri yang tidak gatal. "Abang belajar dekat mana solat macam ni?"
"Abang belajar dengan guru abang. Nak abang ajar Mawar?"
Mawar masih mencurigai keberadaan lelaki itu. Dia mencubit kulit lengan abangnnya untuk memastikan sesuatu. Adakah ini mimpi?
Automatik Mahfuz meringis kesakitan. Bekas cubitan digosoknya berkali-kali. "Mawar ni kenapa?"
"Takde apa. Pelik je..." Senyuman kecil membentuk di bibir delimanya. "Dulu, abang selalu bergaduh dengan Mawar bila Mawar sentuh tentang hal peribadi abang... Macam hubungan sulit abang dengan perempuan-perempuan lain. Tapi yang ada depan mata Mawar sekarang ni sangatlah kontra, abang tiba-tiba solat."
"Mungkin Mawar boleh anggap yang abang dah berubah," ujar Mahfuz. Bukan kecil perubahannya, tetapi roh yang mengawal jasad itu pun telah berubah. Segalanya pasti tampak berbeza di mata Mawar. Hanya bentuk badan dan suara yang masih kedengaran sama.
"Betul ke?" Mata Mawar membulat teruja.
"Kenapa Mawar ni pelik sangat ya?" Mahfuz sendiri tidak tahu nak cakap bagaimana lagi. Habis merah lengannya dicubit Mawar.
Lalu meledak tawa kecil Mawar. Matanya yang berkaca dikesat dengan telapak tangan. "Mawar sayang abang," lafaz gadis itu. Betapa lama hati bertahan untuk abang sendiri mengatakan mahu berubah. Berapa banyak pergaduhan mulut hanya kerana Mawar mahu mengubah persepsi si abang tentang kehidupan. Kini segalanya menjadi kenyataan.
"Mawar kerja dekat mana?" soal Mahfuz. Ridak pelikatnya yang hampir melurut jatuh dibaiki elok ke bahu. Dia selesa begini kerana walidlah yang mengajar semenjak kecil.
"Dekat je... Jadi cashier dekat sana," jawab Mawar. Dalam pada itu dia memerhatikan abangnya yang suka menanyakan soalan pelik sebegitu. Kerja dekat mana? Kan sudah dibilang banyak kali tentang itu.
"Pergi kerja pukul berapa?" Mahfuz cuba menerima kehidupan baharunya sedikit demi sedikit.
"10 pagi. Nanti Mawar balik pukul 10 malam."
Mahfuz terangguk sendiri. "Naik apa?"
"Sebelum ni naik dengan Reza. Tapi sekarang naik kereta sewa je. Mawar tak pandai naik motor," jujur Mawar. Apabila nama Reza disebutkan, senyumannya bertukar perit.
"Motor? Abang boleh hantarkan pergi dan balik kalau Mawar nak."
"Seriuslah abang nak hantar ni?" Mawar agak terkejut juga tentang itu.
"Ya. Kenapa? Pelik ke?" Mahfuz mengetap bibir.
"Tak... Tapi selalunya abang sibuk malam-malam... Pagi-pagi pula abang selalu bangun lewat. Jadi Mawar tak pernah minta abang hantarkan," terang Mawar. Entah mengapa dia jadi tidak selesa jika mahu sebut tentang perbuatan abangnya di malam-malam sebelum ini. Luth banyak keluar lewat malam dan mabuk di sana. Lelaki itu selalu tinggalkan dia sendiri setiap malam hinggalah satu malam Ciko mengetuk pintu rumah. Perkara itu pun Mawar tidak khabarkan kepada abangnya atas ugutan Ciko.
"Mawar okay?" Wajah Mawar yang tiba-tiba menekur diperhatikan Mahfuz.
"Okay." Gadis itu cepat-cepat membentuk senyuman. Terasa mahu sentiasa berada di sisi abang setelah kejadian gelap malam itu. Badannya pun dihenyakkan berlabuh lebih dekat dengan lelaki di sebelahnya. "Abang... Boleh tak Mawar nak minta satu benda?"
"Apa?" Pada fikiran Mahfuz, Mawar hanyalah adiknya. Awal pertemuan, Mahfuz dapat menebak gadis itu suka menempel hingga membuatkan dia tidak selesa. Berlalunya seharian di rumah itu dia dapat melihat sesuatu, Mawar langsung tidak beroleh kasih sayang sesiapa kerana dikatakan mereka ini anak jalanan. Hanya dengan si abang, Mawar mengadu dan meluahkan segala rasa.
"Mawar nak minta abang jangan tinggalkan Mawar. Mawar takut..." pinta si pipi merah itu. Dia langsung merehatkan kepalanya di tepi bahu lelaki itu. Perut sendiri diusap perlahan. Kalaulah 'Luth' tahu bahawa adiknya telah mengandungkan anak haram atas perbuatan khianat Ciko, pasti Ciko sudah dibunuh. Melihat 'Luth' yang sekarang ini, Mawar rasa lambat laun akan dikhabarkan juga.
Dua minggu lalu kejadian itu berlaku. Di mana benih Ciko tertanam dalam rahin Mawar.
"Mawar memang clingy ke?" Mulut cakap lepas Mahfuz tidak mampu disorokkan.
Gadis itu sedikit terhibur. "Nak Mawar ambilkan cermin? Tengok siapa lagi clingy."
***
Sebuah almari baju dibuka Luth yang hanya bertuala. Dia mula membelek setiap baju yang bersangkut di dalamnya. Tidak sampai lima saat, kening Luth sudah berkerut. Apa yang tersedia hanyalah beberapa helai jubah putih, seluar trek dan baju tshirt. Ada juga lipatan kain pelikat di rak.
"Budak ni pakai ni je ke?" Luth pula yang hairan. Apa yang ada diambilnya. Sehelai baju tshirt hitam dan kain pelikat disarungkan pada tubuh tanpa banyak fikir. Kain tuala tadi digunakan pula untuk mengelap rambutnya yang basah.
Usai bersiap selepas mandi pagi pada pukul 11, Luth melangkah keluar dari bilik dengan senyuman di wajah. Telefon bimbit si tuan badan turut diambil untuk dibelek-belek tika sarapan. Rasa lapar menjengah pula.
"Mahfuz," panggil satu suara lunak di bingkai pintu dapur.
Luth berjalan sahaja ke meja makan tanpa menoleh. Dia tidak cakna dengan panggilan itu kerana itu bukanlah namanya. Kerusi ditarik untuk punggung berlabuh.
"Awak," panggilan diubah si gadis.
Barulah lelaki itu mahu mengangkat wajah.
Fatihah yang tercegat agak jauh dari lelaki yang disangkakan Mahfuz hanya kekal statik. "Ummi tanya nak pergi Balawi tak?"
"Balawi? Apa tu?" Luth menggeleng tidak mengerti. Tudung saji dibuka luas lalu bau nasi goreng tom yam menusuk rongga hidung. Udang merah meringkuk di sebalik nasi, taburan daun bawang dan cili hiris lagi memeriahkan juadah.
"Rumah pengajian. Dekat je..." Dalam diam, senyuman Fatihah terukir melihat wajah 'Mahfuz' yang berselera mahu menikmati masakannya.
"Oh... Kenapa kena pergi?"
Gadis itu terlebih dahulu mencapai pinggan di rak. Dia berjalan mendekati meja makan lalu dihulurkan pinggan berkenaan dengan cermat. "Mungkin awak akan ingat apa-apa kalau dekat sana. Sebelum awak jadi macam ni... Awak banyak luangkan masa dengan Arif dekat rumah tu."
"Tolong sendukkan," pinta Luth. Wajahnya ditongkatkan di hadapan gadis itu. Lirikan matanya sengaja mahu mendebarkan lagi si pelihat. Luth kurang pasti siapakah gadis di hadapannya namun bentuk badan yang terlihat agak menarik di pandangan mata. Apatah lagi di bahagian dada yang awal-awal lagi telah menggiurkan nafsunya. Sudah lama rasa nafsu ini tidak dilepaskan kepada sesiapa. Nampaknya bakal korban sudah ada di hadapan mata.
Pipi gebu Fatihah langsung bertukar merah. Dia tertunduk segan di hadapan 'Mahfuz'. Tidak pernah sekali pun Mahfuz memandangnya seperti ini.
"Fatihah ni bukan orang rumah ni, kan?" tebak Luth.
"Bukan... Saya menumpang je." Nasi itu perlahan-lahan disendukkan ke dalam pinggan. Mata Fatihah kekal menekur alas meja, takut iman senipis bawang ini luruh melihat ke dalam hazel mata 'Mahfuz'.
Apabila mahu dihulurkan pinggan itu kepada lelaki berkenaan, tangannya tiba-tiba berselisihan kulit dengan 'Mahfuz'. Mata Fatihah membulat terkejut, bagai ada kejutan elektrik di antara mereka berdua.
Perbuatan yang disengajakan Luth menghiburkan hati. Luth menarik kembali tangan sendiri. "Maaf."
"Tak- tak apa," balas Fatihah yang sudah mula gagap. Dia memejamkan mata erat.
"Awak memang tidur dekat rumah ni ke?" Pinggan nasi itu ditarik Luth lebih dekat. Bau masakan nasi goreng menggembirakan hatinya. Dia mencapai sudu dan garfu yang berdekatan. Lirikan mata tadi memang pun telah berjaya memecahkan keimanan Fatihah.
"Ya. Dekat tingkat atas," ujar Fatihah. "Awak nak tak ke Balawi ni?"
"Apa kata biar ummi pergi dan kita berdua je dekat rumah ni," cadang Luth. Dia mahu melihat reaksi gadis itu. Satu suapan nasi goreng dimasukkan ke dalam mulut. Setahunya bilik utama berada di bawah yang mana diduduki ummi dan walid. Bilik 'Mahfuz' pula benar-benar di sebelah bilik utama. Ini membawa makna di tingkat atas tiada penginap melainkan Fatihah seorang. Apa kata jika satu malam nanti dia hadir ke tingkat atas dan bertemu gadis itu? Pasti Fatihah akan mengizinkannya masuk dengan mudah.
"A-apa maksud awak ni?" Fatihah benar-benar terkejut apabila pandangan 'Mahfuz' tak sudah memandang dadanya. Tapi tidak mungkinlah 'Mahfuz', lelaki yang diidolakannya punyai hasrat seperti lelaki bernafsu kuda diluar sana. 'Mahfuz' tidak akan layan dia sebagai betina, dia tahu itu. Rasa hormat pada Mahfuz sentiasa ada sejak kali pertama berjumpa.
Luth tertawa besar. Sudah diagak bahawa Fatihah akan berada dalam ketakutan. Gadis seperti ini senang sahaja mahu dijerat ke dalam umpan buaya sepertinya. "Saya gurau je lah. Kata dekat ummi, saya akan ikut sekali. Kepala saya dah tak pening dah."
"Okay," balas gadis itu. Dia segera meninggalkan 'Mahfuz' dalam hati yang mula berbaur dengan pelbagai rasa. Tinggallah jasad Mahfuz berrohkan Luth menikmati sarapan pagi sendiri.
"Tak salahkan kalau anak ustaz nakal sikit?" Bahunya dijongketkan sahaja. Satu lagi suapan dimasukkan ke dalam mulut. Luth baru sedar apa yang dimintanya telah ditunaikan. Ini kehidupan seorang anak ustaz. Ibu bapa yang ada terlalu baik, bahkan boleh percaya setiap apa yang keluar dari bibir 'Mahfuz'. Luth jadi kagum, untungnya 'Mahfuz' ini.
Telefon pintar tadi dibuka Luth. Dia belum sempat menyelongkar data Mahfuz lagi. Perkara pertama yang diubah ialah bahasa Arab telefon itu di tetapan. Sudah dalam bahasa Melayu, barulah Luth faham.
Kedua, matikan penggera azan. Bingit sekali telinganya di waktu subuh tadi. Entah berapa banyak jam telah dikunci Mahfuz. "Gelabah betul jantan ni set jam banyak-banyak," omel Luth.
Ketiga, peti SMS. Inilah lubuk yang bakal menceritakan siapakah Mahfuz. Mata Luth membaca satu per satu mesej yang ada termasuklah dari seorang gadis bernama Balqis. Dari itu, dia dapat meneka sesuatu. Mahfuz yang dahulu telah ditolak mentah-mentah oleh seorang gadis.
"Balqis," bisik Luth. Teringin untuk tahu gerangan siapakah yang berani menolak seelok-elok manusia seperti ini. Kening Luth dikerutkan.
Dikiranya berada dalam tubuh Mahfuz sudah cukup baik, bagaimana pula cinta lelaki itu ditolak oleh gadis bernama Balqis ini?
"Cuba lagi Balqis, aku akan pastikan kau takkan tolak Mahfuz yang baharu ni," bisik hati Luth. Senyuman sinisnya terukir. Dia segera menyudahkan sarapan itu dengan satu tekad baharu. Satu, untuk menjadikan Fatihah tempat pelepas nafsunya di rumah ini. Dua, untuk memberi pengajaran kepada Balqis. Lihatlah bagaimana dia berseronok dengan nikmat pinjaman ini.
Tak luntur senyuman di wajah 'Mahfuz'.
***
votexkomen
***
Sakit hati? Itulah yang author rasa :)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro