Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

27: Gambar

Qada' dan qadar.

Ia takdir daripada Allah Ta'ala dengan ilmunya yang azali. Tiada satu pun yang berlaku melainkan dengan takdir Allah. Tiada satu habuk yang bergerak melainkan dengan kehendak Allah.

Lahirnya seorang hamba, telah tertulis ajal, rezeki dan segalanya di Luh Mahfuz.

Mahfuz terduduk di atas lantai.

Kadang-kadang manusia terlalu mendabik dada. Mereka lupa apa yang ada pada tubuh mereka hanyalah pinjaman. Keluarga, kehormatan dan kekayaan itu bukanlah milik mutlaknya.

Air mata jatuh menuruni pipi.

Kehendaknya Allah ke atas sesuatu tiada siapa yang dapat menghalang. Apabila Allah mahu menarik apa yang dimegahkan, sekelip mata pun boleh terjadi. Hingga diri itu terduduk dan tidak mampu bangun lagi.

Manusia diberi pilihan. Namun semua pilihan itu di bawah ilmu Allah yang azali. Mendabik dada adalah pilihan, sedang ada sesetengah yang memilih untuk hidup berzuhud walau kehormatan diri menjulang tinggi.

Mahfuz menggeleng tidak mengerti. Dia takut berada dalam tubuh lelaki yang tidak diketahuinya itu. Lagi takut apabila membuka beberapa barangan yang ada di dalam bilik.

Wajah sendiri disentuh.

Kepingan gambar di atas lantai itu adalah dia dengan wajah yang sama. "Ni bukan aku..."

"Aku Mahfuz..." nafi sang hati.

Terpamer gambar tubuh sendiri dalam keadaan yang hina bersama seorang gadis. Tanpa seurat benang, tubuh yang sedang dia miliki ini ada di dalam gambar.

"Ni bukan aku..." Mahfuz menggeleng berkali-kali. Mana mungkin dia boleh berada dalam keadaan jijik sebegitu. Entah apa lagi perkara terkutuk yang akan disabitkan ke atas tubuh itu.

Tangannya meraup wajah kasar.

"Ya Allah... Ujian apa yang kau timpakan ke atas aku?" rintihnya. Dia tersandar lemah pada besi katil. Semuanya serba tidak kena.

Dalam keadaan ketakutan, Mahfuz mengambil sebatang pemetik api di atas katilnya. Bekas abu rokok di bawah katil ditarik keluar. Segala gambar maksiat atas wajahnya dikoyak kepada cebisan kecil. Api pun dihidupkan membakar 'sampah' itu.

Satu demi satu gambar menjadi abu di hadapan mata Mahfuz. Api memakan kertas itu dengan lazatnya di malam hari. Getaran dadanya tidak pun berkurang. Hapuskan gambar bukannya mengubah apa-apa. Dia tetap hina. Perbuatan maksiat telah dilakukan dengan tubuh ini. Sunyi sepi keadaan rumah itu. Mawar sedang di tempat kerja, Mahfuz terbiar di bilik sejak siang lagi.

Bekas kotak plastik yang terbuka penutup dirapati Mahfuz. Tangan terketar-ketar buat sambung menyelongkar. Hujung jarinya menyentuh sesuatu di celahan barang. Dia menariknya untuk diperiksa apakah itu.

Segala barangan mula menceritakan kehinaan diri. Terdapat banyak lagi gambar simpanan di dalam sampul surat. Wajah gadis berbeza yang terpamer, cukup melihat sedikit Mahfuz sudah melemparkannya jauh. Habis berterabur kepingan gambar-gambar di dalam bilik kecil itu.

Urat di pelipis pun menegang. Kedua-dua belah tangan dilihat Mahfuz. Jari jemari menggenggam erat. Dia bingkas berdiri dan berlalu ke cermin kecil yang tersangkut di bilik.

Buku limanya menumbuk cermin itu. Bunyi pecahan kaca jatuh mengisi benak. Malangnya, tiada apa-apa berubah. Mahfuz masih berada dalam jasad yang dirasakan bukan dirinya. Darah merah menitis ke atas lantai. Rasa sakit menyengat deria rasa. Mimpikah ini?

Puas mencerlung wajah sendiri di bilahan cermin yang masih melekat di dinding, Mahfuz menyepak pula sisa serpihan itu. Dia menangis teresak-esak bagai anak kecil kehilangan ibu. Lututnya dijatuhkan ke lantai.

"Ya Allah... Apa semua ni? Tolong aku ya Allah." Suara lelaki itu mula menyerak dengan perit. Usai menunaikan solat isyak tadi, Mahfuz terdetik untuk menyelongkar bilik kecil berkenaan. Dia mahu tahu milik siapakah wajah ini. Tiada satu pun sejadah di rumah, pada mulanya Mahfuz agak hairan. Arah kiblat pun puas ditilik.

Hasil pencarian menemukan jawapan. Malangnya jawapan itu menampar jiwa dengan hebat sekali.  Jasad Mahfuz yang diinapnya selama lebih 25 tahun dalam kehidupan sempurna telah lenyap. Yang ada kini hanyalah kehidupan gelap Luth.

Rantai besi ditanggalkan Mahfuz tika mahu solat tadi. Dia berkali-kali juga berfikir apakah ini realiti kehidupan? Atau cuma mimpi atas khilafnya?

Tangisan tidak berlagu menemani sepi malam. Langit bertukar gelap di luar sana. Masa sedang berjalan ke atas dirinya. Degupan jantung sendiri dapat dirasa, itu petanda dia masih bernyawa.

"Abang?" Suara Mawar menempik dari muka pintu. Gadis itu terkejut besar melihat keadaan bilik abangnya yang tunggang langgang. Baru ditinggal sekejap ke tempat kerja sudah jadi begini. Helaian gambar berterabur di atas lantai marmar. Bau sesuatu yang terbakar dari bekas abu rokok dicium Mawar tatkala melangkah masuk.

"Abang ni kenapa? Kenapa berdarah ni?" Tangan Mahfuz diraih gadis itu. Dia terduduk di sebelah abangnya.

Mahfuz menggeleng lemah. "Siapa abang sebenarnya? Abang jahat ke Mawar?" Matanya menitiskan air di hadapan gadis itu. Terkebil-kebil mahukan jawapan.

"Kenapa abang cakap macam tu?" Mawar mengeluarkan tisu daripada beg sandangnya. Dia mula memberi tekanan pada luka torehan di tangan Mahfuz. Melihat abang sendiri dalam keadaan celaru begini, hatinya jadi tidak enak.

"Apa abang buat dengan perempuan-perempuan tu?" soal Mahfuz. Kelopak matanya diturunkan.

Mawar berhenti mengelap darah Mahfuz. Dia terarah untuk lihat figura dalam gambar-gambar yang dimaksudkan Mahfuz. Rasa terkejut tidak akan hadir kerana Mawar sendiri sudah lali dengan perangai syaitan abangnya tika bersama gadis lain.

"Apa abang buat dengan perempuan-perempuan tu?" soal Mahfuz.

"Abang... Abang bersama semua perempuan tu," Mawar tersenyum nipis. Dia berkerut tidak faham mengapa si abang menangis beria.

"Berzina?"

"Ya. Tapi kenapa abang bakar gambar-gambar tu?" Hairan Mawar.

"Kenapa abang nak simpan? Tatap diri sendiri berzina dengan perempun lain setiap hari?" soal Mahfuz dalam sakit di hati. Dia mahu kembali ke tubuh sebenarnya. Mana kehidupan yang dahulu?

Mawar terdiam. "Abang... Abang bangunlah. Kita pergi cuci luka ni. Abang lapar? Mawar ada beli makanan."

"Abang tak lapar Mawar..." Mahu merintih bagaimana pun Mahfuz sudah tidak tahu. Dia kembali menangis teresak-esak. Luka itu tidak dikisahkan Mahfuz lagi. Apa yang cuba dihadam terlampau perit. Betapa lemahnya dia apabila segala nikmat direntap sekelip mata. Ketaatan yang dahulu digantikan dengan kemaksiatan. Mahfuz takut untuk menerima jasad yang sedang dimiliki.

"Abang..." Gadis itu menarik abangnya masuk ke dalam dakapan. Belakang tubuh lelaki itu diusapnya.

Air mata terus mengalir. Bahu Mawar menjadi tadahan tangisan Mahfuz. "Abang... Kenapa abang menangis?" soal Mawar.

Mahfuz menggeleng. "Siapa abang sebenarnya?"

"Abang, abang Mawarlah. Abang jaga Mawar dari kecil. Abang sayang Mawar. Itulah abang," bisik Mawar satu per satu. Dia mengesat pipi abangnya yang basah dengan air mata.

Sedikit sebanyak pujukan Mawar mendiamkan lelaki itu.

Abang? Mahfuz menurunkan kelopak mata. Dia sudah penat meraung pada malam itu.

***

"Adik?" Pintu bilik dikuak perlahan-lahan. Puan Munirah mengintai keberadaan anak bujangnya yang diam terbaring di atas katil bilik.

Bibir seorang ibu itu membentuk senyuman. Dia merapati katil anaknya. Lampu tidur telah dihidupkan kerana malam hampir bertemu pertengahan. Luth yang sedang termenung mendongakkan wajah.

"Oh, ummi." Semangat lelaki itu sedikit terluntur. Selimur ditarik menutupi hingga ke paras dada. Luth asyik termenung sejak petang tadi. Makan pun langsung tidak diambil.

"Tak tidur lagi?" soal ummi. Dia mendarat berdekatan anaknya. Katil bersaiz Queen itu hanya digunakan suku sahaja, sebesar-besar ruang tidak pun diguna Luth.

Luth membalas dengan gelengan kecil. Dia tersenyum nipis. Walau dalam tubuh itu, fikirannya masih memikirkan keadaan Mawar di rumah. Dia mahu bertemu gadis itu untuk memastikan semuanya baik-baik sahaja. Malam sebelum ditimpa kemalangan, ada satu panggilan mengkhabarkan Mawar hendak diperkosa Ciko. Itulah yang menekadkan Luth untuk pulang ke rumah. Arif pula tiba-tiba muncul dan menahannya.

"Nak cerita dekat ummi apa-apa?" Puan Munirah masih setia di sisi anaknya.

"Betul ke ummi ni mak saya?" Luth meringankan mulutnya.

"Ya, sayang. Adik ada apa ni?"

"Boleh tak... Adik nak baring atas riba ummi?" pinta Luth. Dia tertunduk malu.

Puan Munirah tertawa halus. Sudah besar panjang pun masih mahu bermanja. "Baringlah."

Daripada posisi bersandar, Luth menurunkan kepalanya di atas riba wanita tua itu. Dia berasa agak kekok namun perbuatan ummi yang bermain dengan rambutnya membuaikan jiwa itu. Perlahan-lahan senyuman manis Luth terbentuk. Wajah wanita yang disangkakan ibunya dipandang sahaja dalam samar-samar lampu tidur.

"Adik jangan lari dah. Ummi risaukan adik. Ummi ingat ke kalau adik dah besar, ummi lega sedikit. Tapi sama je, tetap suka buat jantung ummi ni nak tercabut," omel ummi.

"Ummi risaukan adik?" sengaja ditanya sebegitu. Rambutnya yang pendek kekal dibelai si ibu.

"Ya. Budak seorang ni lah yang paling susah nak jaga," khabar ummi. Tangannya turun menepuk pipi Luth.

"Masa nak lahirkan pun adik paling lama masa contraction. Ummi takut kalau adik jadi apa-apa dalam rahim ummi. Tapi Allah permudahkan juga," sambung Puan Munirah.

Tika itu hati Luth menyerap hangat kasih sayang yang diberikan. Dia sudah lama kemarau kasih sayang seorang ibu. Diberikan pula sebegini rupa, lagilah jiwa itu terbuai lena. Tidak pernah seumur hidup dia punyai seseorang yang teruja menceritakan kisah hidupnya sewaktu kecil dengan penuh kasih seperti ummi.

Luth menurunkan kelopak mata. Selesa pembaringan di atas riba wanita yang telah melahirkan jasadnya ini. Walau dirasa itu bukan jasadnya, kehidupan yang tercipta di sekeliling sangat indah. Secara tidak langsung dia miliki seorang ibu yang penyayang dan seorang ayah yang baik.

"Adik nak tidur dah?" tegur Puan Munirah.

"Ummi akan pergi ke kalau adik tidur? Boleh tak adik nak minta ummi duduk sini je?" Luth kembali membuka mata. Dia jadi takut untuk wanita itu pergi. Kekallah di sisinya agar dia dapat menghirup manis kasih sayang.

"Lain macam manja dia sejak demam ni," balas wanita setengah abad itu. "Ummi kenalah pergi dekat walid. Adik juga yang kata ummi ni peneman hati walid, jadi kenalah teman walid. Adik pula takde peneman hati lagi, kenalah cari sendiri," seloroh Puan Munirah. Bantal berdekatan diambil buat mengalas kepala anaknya.

"Tapi... Ummi..." Luth terkebil-kebil menghalang wanita itu pergi.

"Ummi teman sekejap je. Lepas ni ummi kena teman walid pula. Cepatlah tidur."

Luth mengoyak senyuman gembira. Dia mengangguk setuju dan memejamkan mata. Risau terhadap Mawar telah berkurangan dek diisi hangat kasih sang ibu. Jika itu mimpi, Luth benar-benar berharap mimpinya bertahan lebih lama agar hati itu dapat terbuai dengan seorang ibu yang tidak akan hadir dalam realiti kehidupan anak terbuang.

***

Subuh menyingkap penghujung malam. Tubuh lesu yang tertiarap dialikan mengiring pula. Dia menarik comforter buat menyelimuti tubuh di kala sejuk pendingin hawa bilik itu.

Senyuman tidak lekang pada wajah.

Tok tok

Satu ketipan suis membuatkan suasana gelap menjadi terang benderang. Automatik Luth terbuka matanya. Dia melihat ke sekeliling bilik, ini masih bilik yang semalam. Luas katil itu membuatkan tidurnya lena, dapat berguling ke mana sahaja yang disukai. Dalam keadaan malas, Luth menutup wajahnya dengan comforter itu.

"Adik, bangun solat." Ummi mengambil alat kawalan pendingin hawa di atas meja solek. Kepalanya mendongak melihat suhu pada skrin kecil di atas.

16 Celcius.

Wanita itu mematikan pula pendingin hawa kerana dirasakan suhu bilik anaknya terlalu sejuk pada waktu subuh begini. Ditambah pula dengan air wuduk yang belum kering pada wajah. "Adik, bangun. Walid tengab tunggu adik."

"Hm? Untuk apa?" jawab Luth dengan mata yang terpejam rapat.

"Solat subuh berjemaah."

"Solat?" Dengar perkataan sahaja dia sudah malas. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.

"Ummi solatlah dulu. Adik rasa demam lagilah," tipu pemuda itu. Dia mengalihkan comforter dari wajah dan melihat ummi.

"Sini ummi tengok." Puan Munirah menapak lebih dekat. Dia meraba ruas dahi anaknya, batang leher juga dirasai suhu.

"Tak panas pun," ujar ummi.

"Ya, tak panas. Tapi adik pening kepala. Nak bangun pun rasa berdenyut," bidas Luth pula.

Keadaan anaknya yang diperhati elok sahaja di pandangan mata membuatkan ummi berfikir sejenak. Pelipis anaknya ditekan-tekan seketika, "betul ni sakit?"

Laju Luth mengangguk. "Dari semalam lagi..." tambahnya penuh yakin. Waktu tidur harus diselamatkan meskipun penipuan menjadi tiket. Rasa enak pula ada orang urutkan pelipis ini. Dia memejamkan mata menikmati perhatian ummi.

"Okaylah. Nanti ummi beritahu walid. Adik rehat dulu, nanti kalau rasa dah okay sikit bangunlah tunaikan solat subuh. Sebab solat ni wajib, kalau tinggal nanti berdosa besar. Lagi satu, adik kena qada' kalau tinggal solat fardhu," pesan wanita tua itu. Dia meraup pula rambut anaknya ke belakang.

"Tapi... Adik kan sakit?" Luth berkerut tidak puas hati. Sudahlah sakit dipaksa solat pula?

"Sakit bukanlah alasan untuk kita tinggalkan solat. Orang di hospital pun masih solat tau? Tapi ada yang solat baring... Ummi nak kena pergi dulu, nanti walid cari pula." Satu kucupan mendarat pada dahi lelaki muda itu. Puan Munirah yang bertelekung lengkap beransur pergi.

Ciuman yang diberikan membuat Luth terkedu. Tersenyum kecillah dia. Hidupnya telah menjadi terlalu indah. Suhu sejuk subuh sebegini baik dibuat tidur. Nanti matahari menerik menyesal pula.

Comforter ditarik membaluti tubuh yang tidak berbaju itu. Dalam cerah lampu siling pun dia masih boleh melelapkan mata dengan tenang.

***
votexkomen

***

korang okay tak tu. pening ke? hehe. menjawablah kan sinopsis buku ni. Luth adalah Mahfuz. Tapi lama mana mereka dapat tahan dalam tubuh yang bukan diri mereka? Jeng jeng.

Komen cikit. Agak2 apa jadi lepas ni?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro