25 : Tengah Malam 2
"Bang, minum?" sampuk seorang pelayan kedai makan. Sebuah buku nota dan sebatang pen diguna pakai buat mengambil pesanan.
Luth menggeleng perlahan. Rambut ikal mayangnya ditampar angin malam yang mendayu hadir dan pergi. Dia membisukan diri di meja makan itu di kala kebisingan para pelanggan dengan telatah keluarga masing-masing.
"Abang dari tadi duduk sini. Kalau abang tak nak order apa-apa, boleh beri meja ni pada orang lain," balas remaja lelaki yang kelihatan lebih muda darinya.
"Okay," akur Luth. Penantian untuk tibanya hujung bulan bagai satu neraka. Kata-kata hamburan Mawar sedang dibuktikan, gadis itu langsung tidak ambil kisah perihal Luth. Mawar melayannya seolah dia bukan sesiapa pun.
Telefon pintar diambil lalu dia berjalan pergi ke kaki lima. Sedikit melangut ke langit, dikiranya hari mahu hujan. Rasa sejuk bayu malam tertahan dengan jaket jeans biru lusuh yang tersarung pada tubuh.
Lelaki itu memeluk tubuh sendiri. Motorsikalnya yang tersadai di kawasan parkir berdekatan dipandang sepi.
"Kenapa ada orang memang lahir-lahir dah dalam keluarga ustaz-ustaz? Kenapa aku lahir-lahir dah terbiar macam ni? Mana adilnya kehidupan yang selalu orang sebutkan?" bisik hati Luth. Kalaulah dia ini anak ustaz, pasti elok memberi manfaat pada orang lain. Sebaliknya dia lahir tanpa ibu dan ayah, membesar pula sebagai pemberi mudharat pada orang lain.
" Kenapa aku tak mati masa kecil je? Kan masuk syurga... Kalau aku mati sekarang pula masuk neraka. Kenapa aku hidup?" Begitu banyak persoalan dalam diri hamba itu. Dia tak mampu menerima hakikat kehidupam. Hatinya sakit melihat keluarga yang bahagia menikmati makan malam di kedai makan itu walaupun hari sudah lewat malam.
Luth menghentikan langkah bersebelahan motornya. Grip motor itu digenggam longgar.
Ibu masih ada menanti dirinya. Dia perlu terus menetapkan itu di dalam hati. Sipi punggung berlabuh pada tempat duduk motor.
Satu minggu sahaja lagi dan semua ini akan berakhir. Skrin telefon ditatap lelaki itu. Mesejnya kepada Mawar tidak berbalas.
"Haih, Mawar," keluh Luth. Lelaki itu menaip tidak putus asa.
Untuk: Mawar
Mawar, kalau dah buka mesej ni, bacalah. Abang minta maaf sebab selama ni berkasar dengan Mawar. Maaf kalau abang banyak berubah. Abang tak tahu kenapa hanya kerana perkara remeh temeh pun abang boleh naik angin. Ni silap abang sendiri. Abang minta dekat Mawar, jangan seksa abang macam ni. Kalau Mawar nak pergi dari hidup abang, pergi dengan cara baik. Abang izinkan Mawar kahwin dengan Reza. Mulakanlah hidup baru dengan lelaki tu. Abang dekat sini akan balik rumah ibu untuk mulakan hidup baru juga. Ibu banyak tanya pasal Mawar tapi nak buat macam mana kalau Mawar memang tak ingat apa yang dah berlaku 18 tahun lalu. Mawar, tolong maafkan abang. Abang tunggu Mawar.
-Abang
Titik.
Apa yang ditaip itu dihantar melalui pesanan ringkas telefon. Dia tidak mahu menggunakan aplikasi whats app kerana pasti di aplikasi itu Mawar sedang bersembang sakan dengan Reza. Melalui ruang SMS, sedikit privasi hadir buat dia dan Mawar. Siapa sahaja yang sering memberikan SMS pada Mawar selain dia dan telkom?
Lelaki itu tersenyum nipis. "Mawar tak rindu abang? Sebab abang rindu Mawar."
Telefon pintar itu dimasukkan ke dalam poket sebelum kakinya melangkah duduk di atas motor dengan elok. Helmet pada raga motor dipegangnya.
Kringg
Bunyi deringan telefon disedari Mahfuz. Dia terkocoh-kocoh mengeluarkan telefonnya daripada saku seluar. Sebaris nombor yang tidak dikenali terpamer di skrin utama. Luth jawab sahaja tanpa berfikir panjang.
"Hello. Siapa ni?"
"Adik kau dalam bahaya," bisik si pemanggil.
"Apa kau merepek ni? Siapa ni?" Luth menyendal telefonnya di antara telinga dan bahu kanan sambil tangan sibuk mengikat rambut ala kadar.
"Kenapa kau tinggal Mawar sorang-sorang dekat rumah? Kau tahu tak Ciko ada dekat rumah kau? Cepat balik sebelum adik kau jadi lauk jantan tu."
Mata hitam Luth tidak berkelip mendengar pesanan itu. Jantungnya mula memainkan detak laju. Helmet tidak dipakai lelaki itu. Dia terus menghidupkan enjin motor dan memecut ke atas jalan raya.
Beralun ombak dada. Rasa takut menjengah diri.
"Oh, Mawar. Hari tu aku ada nampak dia kerja jadi cashier dekat kedai serbaneka."
"Tak pernah sekali pun kau 'rasa' dia? Serumah kot... Mawar pun lawa."
"Kalau kau tak nak adik kau tu, bagi aku je la."
Tergiang-giang bicara Ciko yang berbaur satu niat jahat. Macam mana dia tak boleh sedar perkara sebegini?
"Kau bodoh, Luth. Kenapa kau tak balik rumah sejak tadi?" bengang Luth. Hujung kakinya menaikkan lagi gear motor yang ditunggang. Renyaian hujan mula menimpa bumi.
"Atau abang nak tunggu lelaki lain buat dekat Mawar, baru abang nak berhenti buat maksiat tu? Abang nak Mawar kena rogol dengan kawan abang dulu? Abang nak Mawar kena tebuk dengan lelaki sampah dan lelaki tu pergi bila Mawar mengandung anak haram?"
Mengalirnya air mata menuruni lekukan wajah kerana terlalu risaukan Mawar. "Abang datang, Mawar," bisik Luth.
Tolong sempatkan diri itu untuk ada di sisi Mawar.
Satu demi satu kenderaan hadapan dipotong lelaki itu. Dia tak dapat berhenti memikirkan keselamatan adiknya. Hati itu dihimpit sebuah rasa tidak sedap. Kalau apa-apa terjadi pada Mawar, sumpah dia akan bunuh Ciko pada malam itu juga. Biar dituduh pembunuh asalkan adiknya terbela.
***
Nafas dalam ditarik Mahfuz. Dia sedar titisan air hujan telah jatuh membasahi cermin hadapan kereta. Sebelah tangan memegang stereng kereta, sebelah lagi melekap pada dada. Tali pinggang keledar awal-awal lagi telah ditanggalkan Mahfuz kerana itu menyesak pernafasannya.
Lidah sedang dibasahi dengan selawat ke atas Nabi. Dada lelaki itu terasa sakit. Rasa debaran amat tinggi hingga telapak tangan sendiri pun boleh mengesan dengan jelas.
Dari dada, turun pula merasai perutnya yang sakit. Mahfuz menghembus pernafasan melalui rongga hidung tika perut berehat buat beberapa saat. Dia cuba menahan nafas untuk lima saat sahaja namun rasa sakit itu semakin menyucuk di dada. Terketar-ketar tangannya mengusap rangka rusuk hadapan.
Dia tidak mampu bertenang. Teknik pernafasan yang diajarkan doktor tidak mampu dilakukan.
"Allah..." bisik Mahfuz. Seharusnya dia terus pulang ke rumah tadi bukannya mengambil angin malam di bandar. Konon mahu tenangkan diri, hakikatnya masih bergelut dengan tekanan masalah. Lewat malam itu ditemani rintisan air hujan. Telah hampir jam 12.30 malam.
Mahfuz memejamkan sebelah kelopak matanya menahan sakit.
Simpang empat jalan raya menemukannya dengan pacuan lain. Meskipun sudah melewati malam, masih ada beberapa kenderaan di batang jalan dua jalur yang sedikit jauh dari jalan utama.
Tiba-tiba, hadir sebuah motorsikal dengan kelajuan yang amat tinggi bertentangan dari arah kanan pemanduan. Jantung Mahfuz bagai hendak berhenti. Dia segera mengelak motorsikal itu daripada bertembung, stereng kereta ditarik ke kiri. Lelaki itu langsung tidak sedar akan kehadiran lori bertayar lapan di haluan kirinya. Terang cahaya memaksa dia menutup kedua-dua belah mata.
Berdentum satu bunyi kuat memecah benak disusuli deraian cermin jatuh berkecai mencium basah jalan tar. Seretan tayar kereta mencengkam ditarik sekali dengan kelajuan lori. Beberapa meter jauhnya kereta putih panduan Mahfuz terkedepan. Itulah bunyi yang paling mengerikan. Remukan dinding kereta, seretan tayar dan cermin tinkap berderai serentak memecah ke dalam koklea telinga.
Mahfuz mendongakkan sedikit wajahnya ke atas bagi mencari nafas. Mengucap panjang hati itu. Pandangannya makin kelam. Beg udara kereta yang ada menghimpit Mahfuz di tempat duduk. Bahagian kiri wajah Mahfuz termasuk telinganya telah memerah bak udang galah kepansan. Sedikit kesan terbakar dirasai akibat geseran beg udara. Begitu juga dengan lengan kiri pemuda itu.
Namun, rasa sakit di bahagian tubuh yang lain tidak dapat dikesan. Hanya dadanya yang terlalu sakit akibat terhentak kuat pada stereng kereta sebelum berpusu-pusu beg udara berfungsi. Tercungap-cungap nafasnya dalam keperitan.
Dia cuba membuka pintu kereta dengan kudrat yang masih ada. Terketar-ketar tangan lelaki itu mahu mengubah kedudukan kaki sendiri yang telah menerima hentaman remukan bahagian hadapan kereta.
"Allah..." lirih Mahfuz. Detakan jantungnya bagai hendak pecah di dada. Setitis air mata mengalir di tubir.
Wajah pucat pemandu lori menyapa Mahfuz sebelum dia terlontar jauh ke alam separa sedar. Semakin lama masa yang berlalu, degupan organ pengepam darah dalam dada lelaki itu akan semakin tenat bekerja melebihi kemampuan tubuh.
180 per minit.
Beberapa buah kenderaan yang baru melintasi kawasan kemalangan berhenti sebagai penghadang laluan, fend off. Kemalangan yang tersaji di atas jalan itu melibatkan tiga buah kenderaan; lori, kereta dan motorsikal. Mangsa penunggang motorsikal tertiarap di atas jalan dengan linangan darah. Kenderaan beroda dua itu habis terpelosok ke bawah lori.
Kehadiran orang awam di situ mengagihkan tugas sementara menunggu ketibaan ambulans . Hujan renyai berganti lebat menimpa bumi. Pertumpahan darah dari lelaki berambut panjang itu tidak berani diusik mereka. Hanya salah seorang sahaja turun dan memeriksa kadar nadi mangsa.
"Tuan, ada kemalangan di simpang empat- Antara lori, kereta dan motorsikal. Pemandu kereta tersepit di tempat pemanduan, tiada tumpahan minyak. Penungang motorsikal... Ya, teruk tapi dia masih bernafas. Pemandu lori tak mengalami apa-apa kecederaan."
Laluan ketibaan ambulans dikawal beberapa orang lelaki yang ada.
***
"Ibu..." Tangan kecilnya cuba memegang kaki ibunya yang berdiri tegak menghadap seorang lelaki. Si pipi merah itu mendongakkan wajah ke atas.
"Tepilah." Naik rimas wanita berkenaan dengan sentuhan si anak. Dia menggosok rambut di kepala kebengangan. Seraya dengan itu tubuh anaknya ditolak ke tepi dengan kasar.
Terjelupuk jatuh tubuh Mawar yang bergaun separas lutut. Dia menangis kesakitan di lantai.
Apa yang didengari hanyalah tengkingan berbalas dari ibu dan ayahnya di dalam kamar tidur. Mawar hanya takut melihat pertelingkahan. Kerana itulah dia masuk ke bilik itu dengan niat meleraikan.
Ibu jari gadis kecil itu menyeka tangisan sendiri.
Hempasan pintu bilik menyentakkan Mawar, bahunya terhinjut sedikit. Dia melihat ke sekeliling bilik. Yang tinggal hanyalah si ibu dengan pijar pipi dek tamparan ayah.
Mata ibu memerah seperti biji saga. Dia turun perlahan-lahan dan menjatuhkan pandangan pada Mawar yang masih menangis di biliknya. Dibongkokkan badan mendekati anak itu.
"I-Ibu..." panggil Mawar.
Seketika satu tamparan keramat menyambar pipi si anak. Tertolaklah Mawar ke lantai dengan kuat sekali. Tangisannya makin lebat.
Wanita itu lega dapat melepaskan geram suami ke atas anak kandungannya. Tak cukup dengan itu tendangannya pula hinggap pada tulang kering kaki Mawar. Dia melepaskan geram pada anak kecilnya dengan sekuat hati. Rambut panjang anak itu ditarik bagai anak patung. Raungan Mawar tidak diendahkan si ibu yang sedang meroyan teruk kerana suaminya bermain kayu tiga di belakang.
Mawar meraung minta simpati. Namun tiada siapa yang peduli. Tubuh yang lemah menahan pukulan wanita gila itu. Rasanya sakit sekali. Separuh wajah Mawar yang ditampar berdenyut hebat.
Terkebil-kebil si bunga kecil memanggil ibunya. "I-ibu... Sakit..."
"Kau ni sama je macam ayah kau. Puas hati aku..." ujar wanita itu sambil menunjal dahi anaknya. Dia tertawa halus selepas melihat anaknya terkulai lemah di atas lantai, terhibur barangkali. Kebahagian menimang anak buat pertama kali bertukar kepada kebencian yang mendalam. Wajah suaminya yang mirip Mawar menjadi sasaran hati. Lantas wanita itu melihat ke sekeliling bilik. Dia menyelongkar laci meja solek buat mencari satu benda pula.
Mawar menangis teresak-esak di atas lantai. Dia amat takut waktu itu. Dengan bunyi lantunan hujan kuat di luar rumah, rasa sakit ditendang disepak seperti anak patung menular ke setiap bahagian tubuh.
Sekembali si ibu dengan bilah pisau cukur yang telah ditanggalkan. Kepingan besi kecil itu dipegang dengan dua jari. Langkahnya menghampiri Mawar.
"Kenapa muka kau sama macam jantan tu?" tengking si ibu. Rahang anaknya dicengkam kuat. Anak mata yang menikam bagai hendak menelan mangsa di hadapan mata. Makin berputik kebencian di dalam hati tatkala melihat Mawar.
Mawar menggeleng. Dia tidak faham sepatah pun. Apa salahnya hingga diperlaku begini.
Nipis bilahan pisau mula terbenam ke dalam kulit lengan Mawar. Lelehan darah merah mengalir sama seperti air mata kesakitan anak itu. Satu torehan tajam tersemat di lengan kecil Mawar tanpa kerelaan hati.
Kelopak matanya membuka terkejut. Dia bagaikan patung cendana di atas katil itu. Ditoleh ke kiri dan kanan dalam kegelapan malam. Selimut yang membaluti tubuh ditolak ke tepi. Gadis itu segera menuju ke pintu bilik dan membuka segala kunci.
Nafasnya jadi tidak keruan. Hujan lebat di luar tingkap memberikan gadis itu satu atmosfera ketakutan.
Mawar memeluk tubuh sendiri. Langkahnya dituju ke bilik Luth. Diketuk pintu itu sekali dua. Hujung jari tersentuh satu luka jahitan di lengan, Mawar segera mengalihkan pandangan. Tak mahu melihat parut lamanya.
"Abang...." panggil Mawar. Rambut panjangnya diraup ke belakang. Dikira Luth telah tidur dalam kesejukan hujan. Dia pun menguak pintu bilik abangnya.
Mata Mawar melilau ke sekeliling bilik kecil Luth. Dia berjalan perlahan-lahan ke katil lelaki itu. Tiada kunci motor dan dompet di sisi bantal. Ketegangan cadar katil pun menceritakan si pemilik bilik tidak pulang sejak siang tadi.
Mawar terduduk di birai katil. Dia mula menangis tanpa sebab. Air mata silih berganti menuruni pipi. "Abang... Baliklah. Mawar takut," bisik bibir delima itu.
Jaket kulit hitam yang terbiar di atas batal dicapai si bunga. Dia tahu Luth pasti keluar rumah dengan memakai jaket jeans yang lagi satu. Kain jaket itu dibawa masuk ke dalam dakapan dada.
Kebiasaan hujan pada waktu malam, Mawar akan ditemani Luth. Sejak kecil lagi dia suka menempel di tepi lelaki itu kerana takutkan hujan. Air matanya yang menitis dikesat dengan kekura tangan.
Jam sudah dua pagi. Luth tidak juga pulang ke rumah.
"Abang... Baliklah teman Mawar. Ke-kenapa abang tak nak balik?"
Diam Mawar dalam hangat baju Luth, haruman satu minyak wangi bermain di wajah. Dia menjatuhkan tubuh ke katil lelaki itu. Badannya diringkukkan menahan ketakutan dalam memori silam.
"Jangan menangis," pujuk Luth. Tangannya naik menyeka tangisan itu.
"Nama awak siapa?" Lembut sahaja Luth memujuk.
"Ma- Mawar." Akhirnya suara kecil rakannya kedengaran.
"Nama saya Luth. Umur saya tujuh. Awak?" Desiran bisikannya tidak kuat mana di bawah meja itu.
***
votexkomen
***
ni sambungan bab sebelum ni :)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro