Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

23 : Setaraf Sekufu

"Ummi?" Mahfuz menjengulkan kepala ke bingkai pintu dapur. "Makanan ada lagi ke? Adik lapar."

Tiada sesiapa di dapur waktu itu.

Rasa lapar menjengah kerana tidak menjamah apa-apa buat hari itu. Periuk nasi dibukanya. Sebiji pinggan dari rak dicapai.

Dia tidak lagi pulang ke Balawi untuk berkhidmat seperti biasa. Pertengkaran kecil antara dia dan sahabat karibnya tidak bertemu kesudahan apabila dua-dua menyepikan diri. Sudah pasti Arif sedang sibuk sekarang ini untuk persiapan nikahnya pada minggu hadapan. Pejam celik, hujung bulan akan tiba. Banyak perkara yang telah terjadi buat minggu ini sahaja.

Hidangan bawah tudung saji diintai Mahfuz lalu dia segera berlabuh di kerusi. Mangkuk yang masih tersisa lauk tengah hari tadi ditariknya lebih dekat.  Mahfuz menyudu sayur kegemarannya ke atas timbunan nasi. Ayam goreng menjadi pelengkap menu ringkas pada petang itu.

Setelah membaca doa makan, pemuda berkenaan mula menjamah dengan tertib. Kunyahannya terkadang lama dek fikiran yang menerawang pelbagai perkara.

Balqis telah menyekat nombor sim kad Mesir Mahfuz. Gadis itu benar-benar tidak mahu Mahfuz mengganggu kerana sudah bertunang. Lama juga Mahfuz berfikir untuk melepaskan kejaran, dia tak mampu melelapkan mata semalam. Kata-kata Arif asyik berulang dalam kotak fikiran.

Adakah benar dia mencintai Balqis kerana gadis itu melengkapinya atau sekadar nafsu semata-mata?

Itulah yang mengganggu Mahfuz. Satu suapan nasi dimasukkan ke dalam mulut.

Sayangnya dia terlewat untuk berkenalan dengan Balqis. Kalaulah...

"Mahfuz," sapa satu suara dari belakangnya.

Mahfuz menoleh ke belakang dengan jongketan kening.

Wajah Fatihah yang bertudung elok sedang memerhatikan perbuatannya. Mata gadis itu sedang melekat pada pinggan nasi Mahfuz.

"Kenapa? Bitbussili kida leyh?" Hairan Mahfuz. (Bitbussili kida leyh= kenapa kamu melihat saya seperti itu)

Fatihah perlahan-lahan merapati meja anak bongsu tuan rumah. Dulang dalam pegangan diletakkan seketika di atas meja sebelum dia kembali memandang Mahfuz. "Awak makan sayur ni ke?"

"Ya. Kenapa?" ulang Mahfuz. Kunyahan di mulut segera disudahkan.

"Ni sayur tengah hari tadi. Saya rasa dah basi. Sekejap, saya tengok," khabar gadis berkenaan. Rasa kekok untuk duduk serumah dengan Mahfuz tidak hilang walau dia sudah tinggal tidak berbayar selama tiga hari tiga malam. Keberadaan Mahfuz yang masih tidak kembali ke Balawi membuatkan Fatihah segan untuk terus di situ.

Mahfuz makin berkerut. Pinggan nasinya dilihat sudah hampir licin dek terlalu lapar. Hanya tinggal beberapa suapan nasi sahaja lagi.

Fatihah mengambil sudu dan melihat tekstur kuah sayur yang sudah berlendir. Baunya pun sudah lain. Kedua-dua belah tangannya memegang mangkuk sayur itu. "Kenapa awak makan makanan basi?"

"Saya tak tahu..." jujur Mahfuz. Tak pernah diketahui apa beza makanan yang basi atau tidak. Kalau ada kulat, tahulah Mahfuz itu tidak boleh makan. Jika masakan sebegini, baginya sama sahaja.

"Minumlah air dulu," bimbang Fatihah. Dia segera mengambil satu gelas kosong dan mengisinya dengan air sejuk. Gelas itu dihulurkan pada Mahfuz.

"Mana ummi?" Mahfuz akur untuk minum seteguk dua. Dia melekapkan telapak tangan pada abdomen badan. Makanan basi telah turun ke dalam perut itu.

"Ummi ada dekat beranda dengan walid. Macam tengah bincang sesuatu."

"Awak bukan dari beranda ke?"

"Ya. Tapi lepas walid datang, saya pun pergi," balas Fatihah. Mangkuk sayur basi diletakkan sekali di atas dulang. Dia menatang dulang itu ke singki dapur.

Mahfuz turut berdiri dan menapak bersebelahan Fatihah. Dia meminta izin untuk menumpang basuh seketika. Fatihah pun berundur ke belakang memberi ruang buat lelaki itu. Usai membasuh pinggan Mahfuz membawa langkah ke ruang tamu rumah.

Khuatir makanan basi itu akan meracuni diri. Difikir juga berkali-kali, hal ini harus dikhabarkan pada ummi. Rambut diraup ke belakang.

Lagi beberapa langkah dirinya akan sampai ke kawasan beranda rumah. Bukaan pintu utama memperlihatkan dua figura sedang berbincang sesuatu yang dikira serius. Rasa takut tiba-tiba hadir tanpa diundang. Liur ditelan kesat.

Mata hazel tua itu telah menyedari kehadirannya.

"Mahfuz," panggil walid.

Mahfuz tersenyum nipis dan hadir ke beranda rumah.

"Duduklah," ujar Ustaz Shukri. Puan Munirah ada di sisinya, juga sedang melihat anak teruna mereka.

Wajah ummi bagaikan ada sesuatu yang serius akan dibincangkan. Sebuah kerusi bersebelahan Puan Munirah diambil Mahfuz. Dia duduk bertentangan dengan walidnya.

"Rasa sakit lagi?" Walid memerhatikan Mahfuz.

"Mungkin esok dah boleh balik Balawi," jawab Mahfuz. Jemarinya menggenggam sesama sendiri. Dia jadi takut untuk membalas pandangan si ayah.

"Alhamdulillah kalau macam tu. Jaga kesihatan adik. Kalau ada masalah beritahu walid. Ramai juga orang surau tanya ustaz Mahfuz tak datang beri kuliyah subuh dah ke." Ketegangan pada awal cuba dileraikan Ustaz Khairi.

Panggilan ustaz itu membuatkan Mahfuz tersenyum kecil.

"Adik tahu kan orang-orang dekat sini sayang dan hormat pada adik?" Jeda. Walid menanti jawapan Mahfuz.

"Tahu, walid." Mahfuz menjatuhkan kepala sekali.

"Adik ingat lagi tak tentang enam kuliyat yang wajib kita kena jaga sebagai orang yang mengaji ni?" sambung walid.

Riak wajah Mahfuz berubah suram. Enam kuliyat ini wajib ke atas seorang mukallaf. Orang yang mengaji kitablah harus menunjukkan tauladan pada orang awam.

Satu, pelihara agama dari murtad.

Dua, pelihara nyawa dari kebinasaan.

Tiga, pelihara harta.

Empat, pelihara nasab.

Lima, pelihara akal.

Yang terakhir, pelihara kehormatan yakni maruah diri.

"Walid nak ulang tentang maruah. Jaga maruah thiqoh kita sebagai orang mengaji. Kita orang yang mengaji kena ada perwatakan selayaknya bagi kita baik dari sudut pemakaian dan akhlak seumpamanyalah. Jadi... Bila kita orang mengaji ni buat perangai lain macam jangan pelik kalau orang tomah. Memang normal kalau kena tomah bila buat perangai tak baik. Orang awam tak akan caci mereka yang tak mengaji walaupun mereka buat perangai tak baik yang sama seperti kita.

Contohnya hisap rokok. Kalau orang mengaji hisap rokok, kena makilah. Tapi kalau orang awam hisap rokok, mereka tak akan maki. Kerana apa? Kerana mereka tahu kita orang berilmu agama, yang tahu soal hukum hakam dan dekat dengan ulama'. Tak peliklah kalau kena tomah bila buat perangai macam orang tak mengaji ni. Ini thiqah yang perlu kita jaga supaya mereka akan menerima ilmu yang akan kita sampaikan. Jaga maruah kita ni. Ingat balik enam kuliyat yang walid selalu pesan, Mahfuz. Ente ta’araf?" Begitu panjang nasihat yang sudah lama tidak diulang. Hari ini Ustaz Khairi mahu mengingatkan kembali tentang ini juga berasbab.  

(Ente ta’araf= Kamu tahu tak?)

"Ana a’rif ya walid." Mahfuz menjawab sepatah.  (Ana a’rif ya walid= Saya tahu wahai ayah)

"Walid terima aduan yang adik kacau tunang orang. Maa hadzaa? Ana za’laan minnak. " Nada Ustaz Khairi tidak pun ditinggikan tetapi cukup menggambarkan marahnya dia pada petang itu. (Maa hadzaa? Ana za’laan minnak = Apa ini? Saya marah dengan kamu.)

Tepat pada sasaran. Mahfuz memejamkan mata erat. Penumbuknya dikepalkan dalam diam. Pasti Arif yang sampaikan berita panas ini ke telinga walid.

"Za’laan minni kida leyh? Adik cuma mahu berkawan dengan dia. Siapa yang beritahu walid ni?"  (Za’laan minni kida leyh = Kenapa marah dengan saya) Sekadar mahu membela diri. Bahasa balasan dikawal nada agar masih lembut pada telinga kedua orang tuanya.

"Apa maksud kamu dengan berkawan? Dan apa tujuan kamu nak berkawan dengan dia? Kahwin? Dia tunang orang, Mahfuz. Perbuatan adik buat dia tak selesa dan terganggu," geleng lelaki tua itu. Dia tidak bermaksud mahu memarahi Mahfuz kerana anak itu telah besar panjang. Malah segala yang termampu telah dicurahkan kepada Mahfuz tika membesarkannya.

" Adik nak kahwin," ujar Mahfuz separa berbisik. Wajahnya menekur meja yang menjadi pengantara antara dia dan Ustaz  Khairi.

"Kalaulah adik memang nak berkahwin, kenapa tak dengan Fatihah je?" Kini Puan Munirah pula bersuara. Anaknya yang kusut itu diusap lengannya. Selama kehadiran Fatihah di situ, Mahfuz nampak benar terselit kerisauan pada gadis berkenaan. Fatihah pun tidak kurangnya ingin mengenal hati budi Mahfuz.

"Betul kata ummi. Walid boleh uruskan kalau adik nak berkahwin dengan Fatihah," tambah walid di tengah perbualan. Ubannya sudah banyak kelihatan di rambut dan janggut. Kini hanya tinggal seorang anak lagi untuk dilepaskan mendirikan masjid.

"Fatihah? Walid dan ummi serius?" Mulut Mahfuz tercengang. Dia awal-awal lagi menggeleng tidak mahu.

"Ya. Ummi perhatikan dia selama ni. Ummi betul-betul nampak dia nak belajar ilmu agama. Orangnya pun baik dan rajin. Kalau Mahfuz ambil dia sebagai isteri, ada banyak hikmahnya." Tersenyum sahaja Puan Munirah. Rasa simpati pada gadis bernama Fatihah itu ada. Dia lihat gadis itu sangat lelah mencari jalan keluar dari dunia lamanya. Dilihat Mahfuz mampu untuk membawa sinar.

"Ummi tak boleh kata macam tu sedangkan dia baru duduk sini tiga hari," bangkang Mahfuz pula. Makin sakit hatinya.

"Walid dan ummi dah bincang tentang ni. Kami akan beri adik tempoh untuk kenal dengan Fatihah dan nanti adik boleh fikirkan nak teruskan dengan kahwin atau tak. Ambillah masa untuk kenal dulu, " Ustaz Khairi memberi jawapan. Bukanlah perkahwinan paksa yang mahu diaturkan, mereka hanya memberi cadangan pada Mahfuz sahaja. Selebihnya di tangan Mahfuz sendiri kerana ini perihal masa hadapan Mahfuz.

"Dia tak sama taraf dengan Mahfuz. Saya anak ustaz, arif dalam usuluddin dan terdidik. Dia pula cuma seorang gadis yang kerja di stesen pam minyak dan baru nak berjinak-jinak dengan ilmu fardhu ain ni. Kenapa walid tak calonkan Mahfuz dengan mana-mana anak ustaz juga? Kenapa dia? Walid nak keturunan adik dibawa oleh gadis yang tak setaraf dengan kita?" Hairan sungguh lelaki itu dengan sikap kedua orang tuanya. Sia-sia belajar setinggi mana dan melangkah hingga tahap ini jika akhirnya yang jadi permaisurinya nanti hanyalah gadis yang terbiar entah mana keturunannya. Yang akan membawa benihnya nanti adalah rahim yang telah hilang kesucian, kalaulah Mahfuz tahu itu.

Ustaz Khairi agak terkejut dengan jawapan yang meniti di bibir Mahfuz. Betapa angkuhnya anak itu di mata yang sudah banyak kedutan di sekeliling wajah. Bertapak kecewa dalam hati yang telah memberikan segalanya pada anak itu. "Mahfuz... Walid ajar kamu dengan baik sejak kecil supaya kamu jadi manusia yang bermanfaat. Bukan untuk bangga diri dan rendahkan orang lain yang tak senasib dengan kamu. Apa yang kamu nak banggakan sangat dengan diri kamu? Anak ustaz? Belajar jauh dekat Mesir? Allah beri secebis nikmat ni tak bermakna ia akan kekal selamanya. Siapa kita nak rendahkan orang lain padahal hakikatnya yang ada pada diri kita ni hanyalah pinjaman. Jangan bersikap langit kalau asalnya dari tanah dan akan kembali pada tanah."  Pandang kecewa diberikan pada anaknya. Bertaut dua pasang mata hazel.

Kedinginan atmosfera itu disudahi tatkala walid bingkas berlalu pergi. Mahfuz pula terdiam tidak bersuara. Ummi masih setia di sisi.

"Mahfuz," tegur Puan Munirah.

Tidak semena-mena air mata lelaki itu mengalir. Dia sudah terlalu tertekan dengan semua ini. Dimarahi pula sang ayah yang tidak pernah sekali pun meninggikan suara, hati lelaki itu luluh. Cinta pertamanya telah ditolak mentah-mentah. Ditambah lagi dengan pergaduhan dingin antara diri itu dan Arif.

"Sibni liwahdi... Ana ta’baan. Huwa mariidh... "  Dada sendiri dipegangnya. Tubuh itu dibiarkan masuk ke dalam dakapan Puan Munirah. Dia mula menangis teresak-esak.

(Sibni liwahdi. Ana ta’baan. Huwa mariidh= Biarkan saya sendiri. Saya letih. Ia sakit.)

"Sabar, sayang. Ummi ada," pujuk bondanya. Dipeluk anak itu bagi melegakan kegusaran hati. Sebuah kucupan berlabuh di atas dahi Mahfuz.

***
votexkomen
***

Fatihah dengar ke apa yang Mahfuz cakap ni? :)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro