21 : 2 minggu
"Awak. Kenapa asyik lari dari saya?"
Pelipis sendiri dipicit meskipun tidak sakit. Setiap kali panggilan yang diterima pasti berbaur begini. Menyesal pula panggilan Khairul diangkat.
"Cubalah faham. Saya tak nak ada apa-apa kaitan dengan awak. Titik," tegas Fatihah. Dalam menunggu kereta sewa tiba, matanya melilau ke kiri dan kanan stesen minyak itu.
"Apa yang awak nak? Saya boleh beri."
"Saya tak nak apa-apa. Pergi tawarkan benda macam ni dekat perempuan lain," balas Fatihah. Dia amat takut andai Khairul tiba-tiba muncul di tempat kerjanya. Lelaki itu terlalu gila mahukan hubungan terlarang seperti dahulu. Fatihah sudah serik hidup tiada arah. Tubuh dan hatinya kotor selama beberapa bulan. Itulah saat yang amat disesali kini.
"Kenapa jual mahal ni? Berapa mahal awak nak saya bayar? Bagi je la nombor akaun, aku boleh bank in berapa banyak duit yang kau nak. Datang je la sini, perempuan."
Itulah maruah Fatihah pada mata Khairul. Fatihah tersenyum nipis sambil menggeleng. Pasti tubuhnya terlalu murah sewaktu dahulu.
Malas membazirkan air liur dengan orang sebegini. Buat sakit otak sahaja. Dari jauh kelihatan pacuan yang ditempah melalui aplikasi tiba. Fatihah memeriksa beg sandangnya terlebih dahulu. Segala barangan penting ada di dalam termasuklah kitab pemberian ummi Mahfuz.
Gadis itu berlari anak ke kereta yang menanti. Dia meloloskan diri ke dalam dan meliarkan mata ke sekeliling sekali lagi. Sudah lewat hampir jam 12 malam. Shiftnya bermula dari jam 9 pagi setiap hari. Cuma atas niat mahu belajar bersama ummi Mahfuz, Fatihah telah membuat permohonan untuk diberi pelepasan pada waktu maghrib hingga isyak. Dia terpaksa berada dalam keadaan terkejar-kejar hanya untuk menyempatkan diri belajar bab fardhu ain baharu setiap hari.
Gadis kecil itu menekur riba. Rasa tidak sedap hati hadir menjengah. Dia segera melontarkan pandangan ke luar tingkap, kemudian dilihat pula cermin hadapan kereta.
Dirasakan seolah mata Khairul sedang memerhatikannya dari jauh.
Deringan telefon memecak benak dalam perjalanan pulang ke rumah. Nama Khairul muncul di skrin telefon berkali-kali. Lama Fatihah berfikir untuk mengangkat atau tidak panggilan bekas teman lelakinya.
"Kau nak lari mana? Balik rumah?"
Degupan jantung gadis itu mula memainkan rentak tidak terkawal. Nafasnya jadi sesak sedangkan dia hanya duduk diam di dalam kereta panduan.
"Aku ada dekat belakang kau ni. Kalau balik rumah pun kau nak lari mana? Tak sempat naik rumah aku dah boleh tarik kau masuk kereta aku. Aku minta kau luangkan masa sekejap pun tak boleh ke?"
Keagresifan Khairul akan menghentamnya andai dia gagal melarikan diri. Khairul selalu begitu, suka mencari perhatiannya walaupun dia sedang sibuk di tempat kerja. Dek kebodohan sendiri, Fatihah akur dan terus akur. Kali ini dia tidak akan jadi bodoh lagi.
"Dengar sini. Kau ingat aku takut dengan kau? Kau buat apa-apa, aku laporkan dekat polis," Fatihah cuba memberanikan diri.
"Atas tuduhan apa? Merogol? Kau ingat polis nak layan perempuan macam kau? Kalau dah jenis murah, kena rogol pun orang tak kisahlah."
Setitis air mata jatuh dalam diam esakan. Bibir diketap rapat kerana lidah di dalam telah kelu. Benarkah kata-kata Khairul ini? Adakah hanya aduan perempuan yang baik sahaja polis akan terima?
Dalam kegelapan malam itu, fikirannya hanya terlintas satu nama. Rumah Mahfuz akan dilalui tidak lama lagi. Panggilan Khairul segera dimatikan Fatihah.
Dia perlu selamatkan diri sendiri andai orang lain tidak dapat menolongnya.
"Pak cik, saya nak ubah destinasi. Nanti sampai dekat bus stop depan Zoo Negara tu, tolong masuk simpang kiri," pinta Fatihah.
Tanpa banyak soal, arah pacuan beroda empat itu bertukar. Fatihah telah menghafal selok belok ke rumah Mahfuz. Dia menunjukkan arah simpang yang harus dilalui.
Tinggal satu lagi simpang, Fatihah segera menyuruh pemandu berkenaan memberhentikan pemanduan. Memang pun kereta Khairul sedang mengikuti di belakang. Cahaya lampu kereta bekas teman lelakinya memancar terang dari arah belakang.
Fatihah membuka pintu kereta seraya berlari anak sepanjang simpang itu. Lariannya makin laju apabila Khairul sedar taktiknya. Sesaat pun dia tak mahu memandang belakang.
Rumah Mahfuz hanya di depan sana. Andai tiada yang akan membuka pintu pagar, dia sendiri yang akan memanjat pagar itu. Mungkin di halaman rumah itu dia akan selamat.
Deruman kereta Khairul menggoyahkan keberaniannya. Hujung jemari menjadi terketar-ketar. Apatah lagi deruan nafas yang tentu-tentu telah hilang rentaknya. Tubir mata dikesat Fatihah. Langkahnya tiba di hadapan pagar rumah Mahfuz.
"Mahfuz..." panggil gadis itu. Makin lebat tangisnya. Dia mahu memanjat pagar itu pun keberaniannya habis menghilang. Batang pagar besi hitam digenggamnya kedua-dua belah tangan.
"Mahfuz... Bukalah," ujar Fatihah lagi. Suaranya akan menghilang jika Khairul sampai. Orang luar tidak akan faham apa yang dirasainya. Dia bukan takut Khairul akan mengapa-apakan insan lemah sepertinya tetapi dia lebih takutkan iman senipis bawang ini akan tewas di saat lelaki itu mula mengajak melayan nafsu serakah. Khairul pandai melayannya, pasti sekelip mata segalanya jadi berantakan.
Dia takut sia-sia sahaja usaha hijrah andai selepas ini kembalinya Fatihah yang dahulu.
Yang terus gembira dalam pelukan lelaki ajnabi. Itulah yang ditakuti. Bukan senang mahu mengawal nafsu sendiri. Setiap hari diri itu bersusah payah tak mahu mengotorkan diri.
"Fatihah?" sapa Mahfuz.
Lelaki itu membuka sebelah pintu pagar. Wajahnya penuh hairan melihat kawan sendiri berlinangan air mata.
"Mah- Mahfuz..."
Mata hazel itu mendapati ada satu kereta yang telah berhenti tidak jauh darinya lalu dia memandang gadis itu kembali.
"Kenapa ni?"
"Ada orang jahat kejar." Fatihah menundukkan pandangan. Dia selalu menangis apabila di hadapan Mahfuz. Air mata di wajah tak dapat dilapnya kerana tangan terlalu lemah untuk diangkat.
"Masuklah cepat." Mahfuz mengunci pagar rumahnya setelah Fatihah melangkah masuk. Dia agak hairan bagaimana gadis itu boleh lari ke sini.
"Tak apa, jom duduk dekat sini dulu baru balik rumah awak," ujar lelaki itu. Dia pun masih memerhatikan kereta berkenaan. Fatihah dipelawanya duduk di beranda rumah. Kemudian, telefon pintar dikeluarkan Mahfuz buat mendail satu nombor.
"Awak nak telefon si-siapa tu?" soal Fatihah.
"Duduklah dulu. Saya nak call pengawal keselamatan perumahan ni je supaya halau kereta tu," ujar Mahfuz.
"Oh." Nafas dalam ditarik Fatihah. Dia menggenggam erat tali beg sandangnya lalu duduk di kerusi rotan berdekatan. Wajah comotnya dengan air mata dikesat dengan kekura tangan. Tak mudah rupanya untuk memilih jalan ini.
Sepapan ubat di sebelah sebotol air mineral dilihatnya tika menenyeh mata. Fatihah memandang Mahfuz yang sedang bercakap di atas talian. Lelaki itu hanya berdiri tegak tidak jauh darinya dan masih memerhatikan kereta asing di luar sana. Ubat pil apa yang Mahfuz ambil? Rupanya tidak seperti panadol biasa.
"Awak sakit?" soal Fatihah apabila Mahfuz mahu duduk di kerusi yang bertentangan.
Automatik kening Mahfuz terjongket. Ubat itu disorokkannya sebalik telapak tangan. "Takdelah. Rasa tak sedap badan sikit. Nanti okay lah."
Air muka Mahfuz tidak setenang selalu. Pasti Mahfuz pun sedang dilanda masalah besar. Fatihah menarik nafas dalam. Rasa takut beransur pergi kerana Mahfuz ada di sisi.
"Macam mana awak boleh sedar saya datang?" soal Fatihah lagi.
"Sebab saya memang duduk dekat beranda ni sejak pukul 10 malam tadi. Rasa tak boleh nak tidur. Ingat dengan ambil angin malam ni boleh legakan rasa sakit ni," jelas Mahfuz. Dia telah disapa kehadiran satu figura di hadapan pagar rumah, agak ragu-ragu juga mahu tegur atau tidak. Setelah dilihat wajah si gadis, Fatihah rupanya. Dada sendiri diurut perlahan.
"Awak pergi Kelantan, kan?"
"Ya. Semalam. Balik awal sebab urusan dekat sana dah selesai." Dalam menjawab pertanyaan rakannya, Mahfuz tersenyum nipis.
"Ada masalah ya dekat sana?"
"Lebih kurang."
"Maaf sebab saya selalu menyusahkan awak."
Maaf Fatihah berlalu begitu sahaja. Mahfuz tidak lagi membalas apa-apa. Dia mengambil ubat itu lalu dimasukkan ke dalam saku seluar.
Lelaki ini tidak seperti selalu, Fatihah tahu itu.
"Kalau awak ada masalah, saya boleh dengar. Ada sesetengah orang, cukup dengan ada pendengar pun rasa sakit dia boleh diubati. Dan kalau awak rasa takde manusia boleh faham awak, ceritalah segalanya dalam sujud. Tak ada siapa yang faham, tapi Allah sentiasa ada. Itulah yang ummi awak kata dekat saya."
" Terima kasih." Mahfuz tidak memandang gadis itu. Malam makin lewat buat mereka berdua. Hati Mahfuz pun tidak selesa andai terus berdua. "Apa kata awak tidur dalam rumah saya malam ni. Bahaya pula nak balik sorang-sorang waktu macam ni."
"Tidur sini?" Fatihah terkejut. Matanya masih memerah dek baru lepas menangis.
"Ya. Nanti saya maklumkan dekat keluarga saya," balas Mahfuz. Dalam kecelaruan fikiran, hatinya terdetik pula isu keselamatan Fatihah.
"Ada siapa dalam rumah ni? Saya segan."
"Ada walid dan ummi. Tu je. Awak boleh tidur bilik atas. Bilik walid dan saya memang ada dekat bawah. Bahagian atas kami jarang guna. Jadi... Awak boleh bermalam dekat situ."
Tidak berkelip Fatihah memandang Mahfuz. Dia bagaikan tidak percaya.
"Tak. Saya takde niat apa-apa. Sekadar fikir keselamatan kawan saya. Dah pukul 12 lebih ni. Bila awak naik tangga, belah kanan akan ada satu pintu bilik. Ambil kunci dekat bingkai pintu dan masuklah. Saya dan walid takkan naik tingkat atas."
"Te-terima kasih." Bersimpul lidah gadis itu. Untuk memikat lelaki seperti Mahfuz tidak mudah. Sepatah yang ditanya, sepatah dijawab ketika anginnya lain. Nombor telefon langsung tak diminta.
Fatihah mengangguk akur. Akan dikekalkan hubungan persahabatan ini buat sementara waktu biar masa membawa mereka berkenalan lebih dalam.
Malam ini tidak dijangka Fatihah akan bertemu Mahfuz. Dia hanya terlalu cemas dan terlintas rumah Mahfuz yang satu jalan dari tempat kerjanya.
***
"Tak pergi kerja hari ni?" soal Puan Munirah Dia merapati gadis itu yang hanya terduduk di birai katil setelah sarapan pagi bersama mereka sekeluarga.
"Saya rasa nak berhenti kerja tu sebab takut kena ganggu lagi macam semalam," luah Fatihah.
"Maaf ummi nak tanya. Siapa yang kejar Fatihah semalam tu?" Wanita setengah abad itu berlabuh di sisi tetamunya. Jarang sekali dia naik ke tingkat atas rumah. Mahfuz pula subuh-subuh lagi datang kepadanya dan khabarkan peristiwa malam itu, agak terkejut juga pada mulanya.
"Oh, tu... Bekas teman lelaki saya. Saya nak berubah dan tak nak buat dosa dah. Tapi dia datang cari saya." Muka Fatihah tidak cukup tebal untuk berhadapan dengan orang beragama seperti Puan Munirah. Dia ini terlalu kotor dan hina. Mata pun menunduk memandang lantai bilik.
"Fatihah takde sesiapa ke dekat sini?" Kekura tangan gadis itu dipegang Puan Munirah. Bonda Mahfuz mengusap tangan anak muda itu perlahan. Dia masih melihat keikhlasan Fatihah setiap kali bersua.
"Saya tinggal dengan kawan dekat rumah flat. Semalam tu saya takut sangat... Jadi saya datang rumah ni sebab rumah ummi je yang paling dekat. Maaf..." ujar Fatihah. Makin lama dirinya makin tidak keruan dikejar kekasih silam.
"Ibu bapa Fatihah?"
"Tak ada." Perlahan saja gadis kecil itu menjawab.
"Buat sementara waktu Fatihah boleh tidur dekat sini je. Kalau tu yang buatkan Fatihah lagi selamat. Mungkin seminggu dua..."
"Ummi... Kenapa cakap macam tu? Saya okay je duduk rumah lama." Fatihah mengangkat wajah.
"Sebab Mahfuz kata dia risaukan awak. Hari tu pun kena kacau dengan lelaki, malam tadi pun. Dia fikir kalau dia tak ada, mungkin jadi macam-macam nanti."
"Tapi... Tak ganggu ummi sekeluarga ke? Saya ni cuma orang asing..." Serendah mana pun dirinya, dia tak mahu ambil kesempatan ke atas orang lain.
"Tak apa, walid izinkan kalau awak nak duduk sini selama dua minggu. Tapi dua minggu sahajalah. Kalau lebih dari tu, mungkin kena tengok pada keadaan. Lagipun kebiasaannya Mahfuz kan tidur dekat rumah Balawi? Kalau dia dah okay, dia akan pulang ke rumah pengajian tu. Jadi rumah ni akan hanya ada walid dan ummi sahaja." Dalam menerangkan situasi rumahnya, Puan Munirah menyimpulkan senyuman.
Fatihah rasa serba salah terhadap Mahfuz. Batang hidung Mahfuz lansung tak kelihatan pagi ini meskipun mereka sedang duduk sebumbung. "Ummi, Mahfuz kenapa? Kenapa dia tak sarapan sekali tadi? Sebab ada saya ke? "
" Takdelah, " Puan Munirah menggeleng. "Mahfuz tengah ada masalah sikit. Beri dia ruang, nanti akan okay. Pandai-pandailah ummi nak pujuk dia lepas ni. Ada tu terperap dalam bilik je."
Fatihah tersenyum kecil mengenang wajah kusut lelaki itu. "Mahfuz... Sakit ke?"
"Mana Fatihah tahu?" Puan Munirah agak hairan. Mahfuz bukanlah sejenis yang suka mengkhabarkan pada orang tentang penyakitnya.
"Semalam ada ternampak ubat yang dia ambil," jelas Fatihah.
"Macam tu..." Ibu Mahfuz mengangguk faham. "Ya, Mahfuz tak sihat mana kalau dia tengah stress, banyak fikirkan masalah atau terlebih aktif. Dari kecil dia ada masalah jantung. Tapi tak adalah serius mana, cuma kena pandai kawal diri. Kalau dia ambil ubat maksudnya jantung dia tengah sakit. "
"Tak serius ke kalau melibatkan jantung?" polos Fatihah bertanya. Tak disangka Mahfuz yang elok sahaja tubuh badan ada penyakit dalam diam. Sungguh dia tidak duga itu.
"Serius, sayang." Puan Munirah tersenyum kecil. Tangannya menggenggam jari jemari Fatihah. "Ummi tahu Mahfuz dah besar dan pandai jaga diri. Kalau waktu kecil dulu memang ummi risau. Dia pernah kena warded sebab masalah jantung ni. Tapi bila dah besar, tak pernah pun dia adu tentang sakit dia. Cuma balik dari Kelantan semalam terus dia bad mood macam orang patah hati. Makan pun tak lalu. Tak tahulah masalah dunia apa yang dia tengah hadapi. Itu yang trigger rasa sakit dia."
"Baru saya tahu... Ummi pujuk-pujuk la dia tu. Kesian pula saya tengok." Rasa selamat tinggal di rumah itu makin membelai jiwa dek layanan ibu Mahfuz. Tangannya masih dipegang wanita setengah abad itu ibarat anak sendiri.
"Iya, nanti ummi pujuk dia. Jadi, Fatihah nak tinggal sini dua minggu?" Berbalik kepada tujuan utamanya ke bilik tingkat atas itu.
"Ummi betul-betul maksudkan ke?"
"Ya, sayang. Tapi ada syaratnya."
"Apa?" Fatihah sedikit takut jika main bersyarat. Dia ini tidak berduit mana andai mahu minta bayaran sekalipun.
"Fatihah akan belajar kitab yang ummi bagi tu setiap hari supaya kita dapat khatam. Memang paling kurang dua minggu juga nak habiskan satu kitab nipis tu. Tapi jangan risau, kita akan belajar waktu dhuha, lepas zohor dan antara maghrib isyak. Insya Allah, sempat nak khatamkan." Hasil perbincangan bersama Ustaz Khairi, mereka menetapkan dua minggu juga bersebab. Salah satu asbabnya adalah untuk menamatkan pengajian kitab fardhu ain yang paling asas buat bekalan dunia akhirat.
Gadis itu berkelip tidak percaya. Wajah Puan Munirah ditatapya. "Ummi..."
***
votexkomen
***
tak apalah Mahfuz, Fatihah kan ada? Bunga bukan sekuntum hehe
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro