18: Jalan Hijrah
"Allahumma solli 'ala saidina Muhammad... Insya Allah kita habiskan sedikit lagi tentang sifat-sifat wajib bagi Allah. Esok dan lusa saya takde dekat sini sebab ada hal. Tapi jangan risau ada ustaz lain yang akan ganti kulliyah subuh," ujar Mahfuz sambil menyelak helaian kitabnya ke muka surat sebelah. Dilihat pelajaran akan datang, akan disentuh bab rukun iman.
Pandangannya sekali sekala sahaja akan menatap wajah jemaah di situ. Jarang sekali untuk anak muda sertai solat subuh berjemaah di surau. Kebanyakan di situ hanyalah jemaah tua dan beberapa orang anak muda. Kelihatan Arif bersandar pada tiang surau dan sedang memerhatikannya.
"Allah Taa'la tidak seperti sesuatu dari ciptaannya. Sifat wajib bagi Allah yang seterusnya ialah Al-Hayah bermaksud Maha Hidup. Allah Taa'la hidup namun kehidupan Allah tidak seperti kita. Macam mana kita hidup? Kita hidup dengan roh, jasad, daging dan lain-lain. Allah tidak seperti kita.
Seterusnya, sifat Al-A'lim yang bermaksud Maha Mengetahui. Allah ta'ala Maha Mengetahui segala sesuatu dengan ilmunya yang azali.
Allah tahu apa yang telah berlaku seperti kisah zaman umat terdahulu,
Allah tahu apa yang sedang berlaku seperti keadaan kita yang berada dalam surau ini,
Allah tahu apa yang akan berlaku contohnya keadaan kita selepas keluar dari surau ini,
Allah tahu perkara ghaib seperti syurga dan neraka.
Yang kelima, Allah tahu perkara yang tak berlaku yang mana jika ia berlaku, Allah tahu bagaimana ia berlaku. Contohnya, orang kafir yang meminta dihidupkan kembali. Ini perkara yang tidak akan berlaku namun jika ia berlaku Allah Ta'ala tahu bagaimana ia berlaku.
Jadi tak bolehlah kata sebegini. Ini ayat yang selalu saya dengar... Dikatakan, Allah uji lamu sebab Allah nak tahu kamu bersabar atau tidak.
Tak boleh kata 'Allah nak tahu' kerana Allah Maha Mengetahui, Allah Ta'ala tahu segalanya. Jadi lepas ni bolehlah elakkan sebut ayat seperti yang saya berikan contoh tadi. "
Di saat Mahfuz sedang bersyarah, dia tidak pun sedar satu mata yang sedang memandang. Iris itu fokus pada si penyampai walaupun segala istilah Mahfuz amat asing baginya.
Perkongsian ilmu pada pagi tiu disudahi dengan selawat dan tahlil tiga kali. Mahfuz yang selesai menyampaikan khidmatnya bangun dan bersalaman dengan jemaah masjid di situ. Hari ini dia berserban putih juga dikenakan dengan jubah putihnya. Segalanya tampak sempurna pada kaca mata yang melihat. Menunggu masa untuk bersua dengan si teruna.
"Makan?" sapa Arif.
"Ummi ajak makan dekat rumah." Mahfuz menyimpan telefon pintarnya ke dalam saku jubah. Dia baru sahaja memeriksa peti masuk whats app.
"Oh, yeke... Boleh je. Lepas ni aku nak gerak pergi kerja," balas Arif. Kemeja yang siap diseterika ada tergantung di dalam kereta. Di tubuhnya itu hanya tersarung baju tshirt hitam. Dia dan Mahfuz berjalan seiring di ruang legar surau yang sederhana keluasannya. Disebabkan kawasan masuk mereka di seberang sana, mereka akan melalui koridor berdekatan kawasan pintu keluar muslimat.
"Awak," panggil satu suara di tepi dinding.
Mahfuz dan Arif memperlahankan langkah mereka.
"Hai." Fatihah tersenyum kecil melihat wajah berkerut milik Mahfuz.
"Fatihah... Memang selalu datang sini ke? Tak pernah nampak pun sebelum ni?"
"Ini pertama kali saya datang. Ummi awak kata awak hampir setiap hari bagi ceramah subuh dekat sini. Saya pun datanglah untuk tengok majlis ilmu ni."
"Aiwah... Pertama kali datang majlis macam ni?" Soal Mahfuz lagi. Dia mengekalkan jaraknya dengan gadis bertelekung itu. Tahulah orang-orang di masjid sedang melihat perbuatannya. Mujur ada Arif yang setia di sisi buat mengelakkan fitnah ini.
"Apa maksud awak? Em, saya pernah juga datang majlis ilmu sebelum ni..." gumam gadis kecil itu.
"Maksud saya... Yang saya sampaikan ni bukan ceramah tajuk rawak. Saya sampaikan pengajian berkitab."
"Kitab?" Lagilah Fatihah tidak mengerti. Sejadahnya dibawa erat ke dada.
"Na'am. Nampak macam first time dengar. Tak apa saya boleh ajar. Saya suka kalau orang berminat nak belajar ni. Awak boleh datang jumpa ummi dan kakak saya kalau kelapangan. Mereka boleh jawab semua soalan awak. Ada nombor ummi saya dah?"
"Tak ada lagi..." jujur Fatihah.
"Ambillah nombor ummi saya ni. Maaf sebab tak boleh nak luangkan masa lebih-lebih sebab awak perempuan. Jadi saya kena serahkan awak pada kaum muslimat juga. Saya pun tak banyak kenalan dekat sini, jadinya awak mesej ummi saya je la. Boleh?"
"Boleh-boleh." Fatihah menjatuhkan kepala beberapa kali. Betapa Mahfuz di matanya kelihatan sungguh lain dan dia juga tidak sangka Allah telah mempertemukan dia dengan jejaka sebegini. Dalam kegelapan hidupnya, masih ada cahaya bimbingan kiriman Tuhan.
Terkocoh-kocoh Fatihah mengeluarkan telefon pintar. Dia menyimpan nombor bonda Mahfuz sebagai 'ummi'. Ummi bermaksud ibuku. Semoga ibu Mahfuz juga akan menjadi ibunya.
"Datanglah lagi ya ke surau ni?" pesan Mahfuz dengan secalit senyuman. Sungguh dia mengalukan orang awam untuk berkenalan dengan ilmu fardhu ain.
"Insya Allah. Awak memang ustaz ke?" Fatihah menyimpan kembali telefon pintar ke dalam beg sandangnya. Bukan calang-calang orang rupanya yang telah menegur dia di stesen minyak tempoh hari. Hairan pula lelaki berserban seperti Mahfuz ramah menegur pada malam itu.
"Saya ni ustaz celup je. Saya bukan ustaz pun, tak diiktiraf mana-mana badan bukan kerajaan. Masih belajar, walid izinkan saya sampaikan ilmu jadi saya sampaikanlah atas kepercayaan orang ramai pada saya. Saya nak minta diri dulu ni..."
"Oh, macam tu. Maaf mengganggu. Terima kasih sebab bagi nombor ni. Terima kasih, Mahfuz." Telekungnya meleret hingga ke paras lutut kerana ketinggian yang tidak tinggi mana. Tertunduk Fatihah dengan hati yang berbunga. Tidak sia-sia dia datang kemari, sekurang-kurangnya ibu Mahfuz akan membimbing diri yang jahil ini.
"Sama-sama." Mahfuz mengangguk lalu mengajak Arif beredar.
Dalam perjalanan ke kawasan anak tangga, dua tiga kali juga si Arif menyiku badan Mahfuz.
"Jodoh kau lain macam la dengan Fatihah tu." Arif tersenyum penuh makna.
"Eh, apa pula. Ni semua salah kau tau sebab ajar aku berkawan dengan perempuan." Mahfuz tercari-cari selipar jepunnya di kawasan bawah. Dia menyarung selipar itu sambil mata mengintai keberadaan gadis kecil tadi. Fatihah sudah beredar di laluan muslimat.
"Kau percaya tak yang semua berlaku atas kehendak Allah?"
"Ya." Lelaki itu mengangguk sahaja.
"Percaya yang semua yang berlaku bukanlah kebetulan, malah sesuatu yang telah ditakdirkan?"
"Ya." Jelingan tajam menikam Arif. Adalah tu hujah-hujahnya yang mahu membuat Mahfuz kehilangan kata.
"Jadi... Pertemuan kau dan dia bukanlah satu kebetulan. Pasti ada sesuatu... Sama ada kau yang akan mengajar dia atau dia yang akan mengajar kau. Kalau Allah tak kehendak kau jumpa dia, kau takkan jumpa dia tau malam tu? Boleh je Allah nak tetapkan yang jaga kaunter stesen minyak tu lelaki. But why her? Don't you see, bro? " Beria sungguh Arif mahu jodohkan Mahfuz dengan Fatihah.
"Cukup-cukup. Kita pergi sarapan dulu, nanti lambat pula kau nak ke tempat kerja." Dengan mudah Mahfuz menamatkan sesi tazkirah rakan baiknya. Hati Mahfuz tidak terbuka buat mana-mana perempuan, niat ikhlasnya hanya untuk membantu Fatihah. Itu sahaja. Yang sedang dinanti ialah seorang gadis bernama Nurul Balqis. "Cepat pakai selipar kau."
"Kau ni... Aku ni bakal suami orang tau. Kau patut dengar nasihat aku," cebik Arif.
***
Meja kayu kecil dibuka perlahan-lahan. Rasa kekok berada di rumah berkenaan tidak pun menghilang. Dia duduk bersimpuh di atas permaidani yang amat lembut apabila kaki memijak.
Anak matanya memerhatikan setiap wajah di bingkai kaca dinding. Yang paling kecil antara tiga beradik itu pasti Mahfuz, comel sahaja dengan jubah putihnya.
"Macam mana belajar kuliyah subuh tadi?" soal Puan Munirah. Dia yang bertudung litup memerhatikan gadis di hadapannya itu.
"Ceramah tadi... Saya faham sikit-sikit," Fatihah tertunduk malu. Jam dinding menunjukkan pukul 8.30 malam. Tergesa-gesa dia ke rumah Mahfuz buat berjumpa Puan Munirah kerana katanya di waktu maghrib isyak ini ada kelapangan.
"Mahfuz minta ummi tengokkan awak." Puan Munirah mengambil dua buah kitab nipis dari rak buku di sisinya. Permintaan anak bujang seorang itu ditunaikan tanpa banyak soal. Hari ini Fatihah mesej mahu belajar, malam ini juga dia cuba lapangkan masa unguk kawan baharu Mahfuz.
"Mahfuz tak ada pun malam-malam dekat rumah ni. Kalau Fatihah datang waktu siang, mungkin dia ada. Jadi, jangan risau dan segan." Wanita berwajah manis itu perasan Fatihah sedang berjaga-jaga kalau ada lelaki akan menerjah ke ruang tamu.
"Yeke?" Fatihah memandang wajah bonda Mahfuz.
"Ya. Mahfuz tidur dekat rumah Balawi sejak dia balik Mesir hari tu. Kalau Fatihah perasan ada seorang lelaki yang selalu teman Mahfuz ke mana-mana, itu namanya Arif. Arif kawan baik Mahfuz sejak kecil. Walid minta Mahfuz dan Arif untuk jaga rumah pengajian dekat sana. Jadi dua orang budak bertuah tu memang bermalam di sana," terang Puan Munirah.
" Jadi... Malam-malam memang Mahfuz takde dekat rumah ni. Dia cuma datang ke sini waktu makan dan akan pulang balik ke Balawi. " Penerangan wanita berkenaan sedikit sebanyak memberi ruang buat Fatihah mengenali Mahfuz dengan lebih dalam.
" Balawi? Apa tu? " soal gadis itu. Tudung bawal bidang 45 nya dibiarkan melabuh di bahagian hadapan. Satu pin tersemat bagi mengelakkan kain terbelah ketika bergerak.
"Balawi ialah nama rumah pengajian yang walid tubuhkan. Sekarang ni walid tengah ajar Mahfuz untuk uruskan rumah itu. Walid pun dah nak masuk 60-an, Mahfuzlah anak yang dia harap memandangkan kakak dan abang Mahfuz masing-masing dah ada keluarga."
"Oh, macam tu. Maaflah saya ganggu mak cik malam-malam ni." Kehidupan Mahfuz amat berbeza dengannya. Lelaki ini punyai dua orang ibu bapa berilmu agama dan amat terdidik orangnya. Betapa kerdilnya Fatihah merasakan dirinya tatkala duduk bersimpuh di hadapan Puan Munirah.
"Tak mengganggu pun. Ummi duduk sorang-sorang je dekat rumah ni kalau tak ke Balawi. Ada juga orang nak teman ummi. Jom kita belajar ya dari mula?" Sebuah kitab dihulurkan ke atas meja Fatihah, yang sama seperti apa di tangan sendiri. Puan Munirah mula menyelak ke muka surat pertama. Bertemulah mata dengan ayat muqaddimah pengarang kitab.
"Niatkan Lilahi Ta'ala. Kalau awak tak faham, beritahu ummi. Kita cuba untuk belajar muqaddimah je hari ni. Lepas habis belajar nanti kita minum malam. Ummi tak sempat berkenalan lagi dengan Fatihah hari tu." Ibarat sang ibu mahu mengajar anaknya berjalan. Dia tidak pun memaksa anak itu terus berlari tanpa dipimpin terlebih dahulu. Takut situasi mendesak akan menjauhkan lagi minat anak bagi terus melangkah.
"Baik, ummi." Semangat bagi menuntut ilmu tersalur pada gadis itu. Disebabkan Puan Munirah asyik membahasakan diri sebagai ummi, Fatihah jadi terikut sekali.
"Pengarang memulakan dengan basmallah iaitu sebutan bismillah kerana apabila bismillah dibacakan pada sesuatu yang halal di sisi syarak, akan bertambah keberkatannya. Contohnya kalau Fatihah perasan orang-orang tua selalu sebut bismillah bila nak buat apa-apa perkara. Nak memasak pun mereka sebut bismillah, supaya ada keberkatan atas perlakuan itu."
Maka dapatlah Fatihah pelajari ilmu baharu. Setiap masa yang berlalu pasti diberkati apabila diniatkan Lillahi Ta'ala.
" Dalam sebutan bismillah, ada kalimah Ar-Rahman dan Ar-Rahim, kedua-duanya ialah nama yang khas bagi Allah. Kita tak boleh namakan selain Allah dengan dua nama ini. Ar-Rahman ialah yang merahmati orang-orang beriman dan orang kafir di dunia ini dan hanya merahmati orang beriman di akhirat. Manakala Ar-Rahim ialah yang banyak merahmati orang-orang yang beriman. "
***
Seketul kuih karipap berinti kari ayam diambil lagi. Hujungnya digigit sedikit demi sedikit, Fatihah hampir lelah juga walau hanya 30 minit belajar. Otaknya sudah lama tidak menerim input.
"Boleh ummi tahu kenapa Fatihah tiba-tiba nak belajar ilmu agama?" Soalan cepumas meniti di bibir bonda Mahfuz.
Kunyahan karipapnya disudahkan sebelum menjawab pertanyaan itu. "Sebab... Saya nak jadi lebih baik dari diri saya yang dulu. Saya tak tahu nak mula dari mana. Bila saya tahu Mahfuz beri tazkirah subuh, saya cuba untuk datang surau pagi tadi. Saya nak berubah tapi entah mana jalan yang patut saya ambil... Mujur Mahfuz beri saya pada mak cik-"
" Panggil ummi," celah Puan Munirah. Dengan penuh minat, telinganya dipasang. Wap panas air teh dapat dilihat dengan mata kasar. Maka, dia membiarkan dahulu minumannya menjadi suam sebelum mencicip.
" Ya, ummi. Mujur Mahfuz beri saya pada ummi. Saya tak ada kenalan yang boleh rujuk soal ilmu agama. Ada juga hikmahnya dapat berkenalan dengan anak ummi." Karipap yang telah digigit separuh itu kekal dalam pegangan. Dia sudah bersiap sedia untuk menjawab apa-apa pertanyaan dalam gugupnya.
Usai sahaja pengajian ringkas, Puan Munirah mempelawa tetamunya untuk duduk bersantai di kerusi rotan beranda rumah. Teh panas dan karipap ayam menjadi santapan mereka berdua.
"Macam tu... Fatihah tahu apa itu hijrah?" soal Puan Munirah.
"Jadi lagi baik... Tutup aurat... Solat lima waktu."
"Ya, betul tu. Itu salah satunya. Apa yang Fatihah sebutkan tadi ialah menunaikan perintah Allah Ta'ala. Hijrah bermaksud menjadi yang lebih baik, lebih bertakwa. Apa maksud takwa? Takwa ialah menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Tapi bagaimana mungkin seseorang mampu jadi orang yang bertakwa kalau dia tidak tahu apa yang halal dan apa yang haram sepenuhnya? Amal dan ilmu tidak dapat dipisahkan. Apa yang Fatihah bakal belajar nanti ialah ilmu fardhu ain yang wajib ke atas seoeang mukallaf. Kita akan belajar rukun solat, cara ambil wuduk yang sempurna, bab mandi wajib dan kalau sempat ummi akan ajar bab fiqh haid. Ini baru bab fiqh, di tangga pertama ilmu fardhu ain ialah aqidah. Insya Allah pertemuan akan datang kita akan kukuhkan dahulu pegangan 'aqidah. "
Fatihah sedikit terkejut." Betul ke ummi? Kita akan belajar semua tu? "
" Ya, sayang. Ilmu agama sangat penting. Kalau kita beramal tanpa ilmu... Boleh jadi solat kita tidak sah kerana telah melakukan perkara yang membatalkan solat. "
" Selama ni tak ada siapa pun ajar pada saya. Bila pergi ceramah, dia asyik suruh solat lima waktu. Tapi... Masalahnya saya tak pandai solat. Wuduk saya pun saya was-was betul ke tak. Ibadah yang saya buat selama ni hanyalah ikut-ikutan." hatinya tidak dapat mengunkapkan betapa bersyukurnya dia dipertemukan dengan orang-orang yang baik. Ini satu hadiah paling bernilai dalam hidup Fatihah. Masuk usia 25 tahun, baru gadis itu tahu makna bismillah yang dibaca selama ini. Itu belum lagi bab-bab lain. Air mata gembiranya mengalir dengan sendiri.
Karipapnya diletakkan ke atas piring kerana dia mahu mengelap linangan air mata itu.
"Janganlah menangis, sayang." Bonda Mahfuz terkejut, lalu tangan gadis muda di hadapannya disentuh lembut. Dia menyulamkan jemari dengan gadis itu.
"Saya gembira dapat jumpa jalan yang saya cari selama ni. Saya takut kalau tersalah jalan lagi," polos Fatihah. Dia menyimpulkan senyuman. Kerdipan kelopak mata membiarkan butir mutiara jatuh ke riba. Kalaulah orang tahu betapa kotornya jalan yang telah dilalui. Dia penat dengan sesetengah golongan yang asyik melontar kata-kata buruk pada gadis sepertinya.
Memanglah dia ini bertudung singkat, pakai seluar jeans slim fit dan pakai baju ikut bentuk badan, kata mereka baik cabut sahaja tudung kalau pakai baju pun seperti telanjang. Memang dia ini dahulu asyik ikut Khairul ke mana-mana bak perempuan murahan. Itu hal-hal dahulu yang cuba ditinggalkan. Namun, tak siapa mahu memberikan pertolongan kepadanya. Asyik suruh solat lima waktu sahaja, kenapa tak diajar apa itu solat lima waktu?
Diamlah dia di dalam pelukan insan kesayangan Mahfuz. Dia membenamkan wajah pada bahu Puan Munirah.
"Ummi bimbing Fatihah, ya?" perlahan suara wanita itu menyapa gegendang telinga.
Fatihah mengangguk kecil.
***
votexkomen
***
triple update! wauhh. Komen banyak2 hehe. nak tahu apa perasaan korang baca buku ni.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro