17 : Bunga yang Layu
Setelah Hakim ke tempat kerja di awal pagi, tinggallah Puan Dalila berdua dengan Luth. Sarapan pagi disiapkan wanita itu subuh-subuh lagi kerana Hakim biasanya bertolak pada jam 7 pagi. Perbuatannya yang sedang menyedok nasi lemak ke dalam pinggan kaca diperhatikan Luth.
"Ibu, boleh tak Luth nak duduk dengan ibu bila Mawar dah kahwin?" Lama Luth fikir berkenaan cadangan ibu bagi mengikat Mawar dengannya. Matanya sekejap jatuh pada nasi kemudian beralih pula pada wajah ibunya.
"Boleh. Luth nak duduk rumah asuhan tu?"
"Nak. Rasa macam dah takde guna Luth duduk dekat sini. Baik Luth ikut ibu balik." Bibir keringnya masih mahu membentuk senyuman nipis. Apabila dilihat kembali hubungannya dengan Mawar, banyak perkara yang telah membuatkan Mawar jauh dengannya. Dia tidak dapat mengawal emosi sendiri, hal yang kecil pun akan jadi besar. Mungkin benar Mawar telah dewasa dan layak memiliki keluarga sendiri.
"Kalau betul Luth nak lepaskan Mawar, tengoklah dulu pada siapa yang akan dilepaskan tu. Luth mesti nak orang yang baik kan untuk jaga Mawar?" Soal hati ini Puan Dalila hanya mampu jadi penasihat. Pinggan nasi dihulurkan pada anak angkatnya.
"Ya. Luth nak yang lagi baik dari Luth. Dia layak untuk dapat lelaki yang baik dan dapat bimbing dia." Kali ini, Luth sendiri yang akan undur diri. Dia akan beri ruang pada Mawar buat memilih masa hadapan. Tak perlu diungkit segala budinya pada Mawar kerana ungkitan ini tidak akan selesai. Hasilnya, dua-dua pihak yang terluka kelak.
"Baiknya anak ibu. Nah, kita makan dulu. Ibu tak kisah pilihan Luth sebab Luth kan dah besar?" ujar Puan Dalila.
Pujian 'baik' itu bagai tidak kena pada tempatnya. Luth sedar dirinya bukanlah seorang yang baik, banyak dosa telah tercatit dalam buku amalan.
"Luth kerja apa selama ni. Sama macam Mawar juga ke? Hari ni tak pergi kerja?"
Air muka lelaki itu terganggu sedikit tatkala soal kerjanya menjadi topik perbualan. "Em, lebih kurang macam tu la," dalihnya cepat-cepat. Andai ibu tahu dia mencuri, pasti ibu tak lagi mahu mengaku dirinya sebagai anak.
"Luth nak berhenti kerja tu, tak berbaloi mana pun. Lebih baik duduk dengan ibu. Jaga rumah tu... Jaga ibu..." Pinggan nasinya ditarik lebih dekat. Rongga hidung habis terbelai dengan haruman santan dan pandan. Liurnya menjadi kecur.
"Iya Luth nak jaga ibu? Untunglah ibu. Nanti kalau dah tua, ada juga peneman," balas wanita itu. Setiap balasan ibu sentiasa menyejukkan hati Luth kerana ibu seorang yang lemah lembut. Reaksi wajahnya pun amat meraikan orang yang sedang bersembang dengannya.
"Ibu nak balik rumah asuhan tu bila?" Satu suap nasi lemak bersambal ikan bilis masuk ke dalam mulut. Gembiranya dia dapat menguyah masakan seorang bergelar ibu.
"Lusa. Luth nak ikut sekali?"
"Tak boleh. Luth kena tengok dulu siapa pakwe Mawar. Luth kena pastikan Mawar kahwin betul-betul depan mata Luth, lepas tu barulah Luth boleh kemas semua barang dan tinggal dengan ibu. Tak kena pula kalau Luth tiba-tiba tinggal Mawar macam orang patah hati." Tawa halusnya kedengaran.
"Luth tetap abang dia. Jadi... Kenalah jalankan tanggungjawab seorang abang. Kalau Mawar pergi, Luth masih ada ibu." Jarinya membentuk satu suapan nasi di atas pinggan. Kulit ayam goreng dicariknya perlahan-lahan kerana panas.
"Kalau ibu pergi?" soal pula si ibu. Luth sudah lama terbiar di jalanan. Makan minumnya tidak terurus apatah lagi bab agama. Puan Dalila tidak pernah menghukum Luth kerana dia faham onak duri yang dilalui anak ini.
Terus perbuatan Luth terhenti. Dia berkerut tidak setuju memandang Puan Dalila. Seleranya hilang bagi menyuapkan nasi lemak di tangan.
"Luth tak ada siapa-siapa. Lebih baik Luth pergi juga," jujur Luth. Wajah berkedut itu ditatapnya bersulamkan senyuman nipis.
"Salah tu. Luth masih ada Allah. Luth sentiasa ada Allah. Jangan fikir macam tu, tau? Ibu cuba untuk sentiasa ada buat Luth. Kalau ibu dah tak ada, Luth tak boleh cakap macam tu." Puan Dalila berpesan pada anak angkatnya. Dia sengaja berkata begitu supaya Luth sedar hakikat kehidupan.
"Hm." Luth makin hilang mood untuk makan. Dia melihat separuh nasi yang masih tidak berusik di dalam pinggan.
"Takpelah. Lain kali Luth fikir soal tu. Makan dulu nasi yang ibu masak ni. Kenapa? Tak sedap ke?"
"Sedap..."
"Dah tu kenapa tak makan?"
"Takde apa." Gelengannya kerana rasa pedih di hati. Kadang-kadang jika mahu mencuci luka, memang pedih apatah lagi kalau menggunakan alcohol swab. Inikan pula mahu membersihkan sekeping hati yang telah lama menghitam. Pasti pedih untuk menerima hakikat kehidupan.
"Ibu akan sayang Luth kalau apa-apa jadi lepas ni?" soal Luth tiba-tiba.
"Ya, ibu sayang anak ibu."
Cukup dengan perkataan itu, dia dapat menghelakan sarat di hati. Nasi lemak tadi kembali dinikmati.
"Luth harap umur ibu panjang supaya Luth boleh jaga ibu." Kunyahan nasi itu semakin perlahan. Matanya tiba-tiba jadi berkaca. Sakit di kepalanya memang sentiasa ada, cuba disorokkan sahaja tatkala bersemuka dengan ibu.
"Amiin... Ibu aminkan doa anak soleh ibu ni." Keikhlasan Luth mahu menjaganya jelas terpancar. Anak itu benar-benar mahu membalas segala jasa dan menumpang kasih yang masih tersisa.
"Atau biar Luth yang pergi dulu. Tak payahlah Luth nak kena sedih-sedih bila ibu tak ada nanti." Suara Luth sayup-sayup sahaja kedengaran. Dia sedang sibuk mengesat lelehan air mata.
"Kata macam tu... Ibu tampar tangan Luth." Mata Puan Dalila membulat, tangan kanannya sudah naik ke udara mahu memukul lengan Luth yang amat hampir dengannya.
"Tahu pun takut," sakat Luth. Dia tertawa dengan wajah berang Puan Dalila. "Dah tu janganlah tinggalkan Luth. Ha..."
"Budak bertuah ni..." Wanita setengah abad itu menggeleng lemah. "Luth pun jangan tinggal ibu?"
"Janji. Kecuali kalau dah ajal, apa boleh buat." Luth mengangguk setuju. Pantang dicabar, sahutan itu pasti diambil.
Dua beranak itu pun tertawa mengenangkan perjanjian mereka yang seperti anak kecil.
"Dah... Makan sampai habis. Nanti pergi balik rumah jumpa Mawar. Kesian dia tunggu Luth balik semalam," potong Puan Dalila.
"Okay, ibu."
***
Panggilan tak dijawab, mesej tak berbalas. Bibir Mawar tidak berhenti menyebut nama abangnya. Dia membenamkan tubuh di atas sofa ruang tamu rumah.
Alih-alih operator yang menjawab panggilannya. Jarang sekali Luth tidak pulang seharian. Puas keberadaan Luth dicari semalam bersama-sama Fatihah. Di tempat kebiasaan Luth pun tiada batang hidung lelaki berambut ikal mayang berkenaan.
"Hello, mana abang aku?" soal Mawar. Lengannya berehat di atas kelopak mata yang terkatup. Nombor Ciko didail gadis itu dengan harapan lokasi Luth bakal diketahui.
Pelbagai andai menjengah ke dalam minda. Adakah Luth sedang di balai polis? Atau dia terperangkap dengan mana-mana kumpulan gangster?
Nauzubillahi min zalik.
Mawar berusaha menenangkan hatinya yang galau.
"Mana aku tahu."
"Kau kan selalu ada dengan dia," potong Mawar.
"Ahh... Ya, semalam aku ada dengan dia. Tapi hari ni dia tak ada pula. Menyusahkan pula abang kau ni. Dah janji nak buat projek malam ni, satu panggilan pun dia tak angkat."
"Projek? Projek apa?" Mawar mengalihkan lengannya ke bawah.
"Kau budak-budak... Tak payah tahu. Nanti kalau abang kau ada balik rumah, beritahu dia awek Siam yang aku janji semalam ada tunggu dia."
Hati Mawar ditusuk sebuah rasa. Adakah abangnya masih tidak berubah dalam tempoh seminggu ini?
Telefon pintar itu diletakkan ke tepi. Jantungnya sedang berdegup hebat. Jelaslah Luth masih akan membuat kerja kotor dengan Ciko. Awek Siam pula?
Sia-sia sahaja sangkaan baik pada Luth selama ini. Mawar meraup rambut panjangnya ke belakang. Nafas dalam ditarik buat mengawal gelodak jiwa.
Luth mahu berzina dengan perempuan lain lagi. Ya, dia dapat maafkan perbuatan Luth sebelum ini. Malah, dia tidak kisah asalkan Luth mahu berubah. Peluang kedua untuk abangnya sentiasa ada. Jika begini ceritanya, lebih baik dia memilih Reza meskipun tiada cinta buat lelaki itu.
Gadis itu memejamkan matanya erat. "Abang tak akan berubah, kan?"
Nafas hangat mula bermain di sekitar wajah. "Berapa banyak perempuan yang abang dah main? Berapa banyak betina yang abang nak main lagi? Sampai puas? Lebih baik pergi mati la kalau macam tu, sampah."
"Sampah..." ulang Mawar lagi. Hatinya begitu kecewa dengan perbuatan keji Luth. Kalaulah dia berkahwin dengan Luth, silap hari bulan di belakang sana Luth melanggan wanita lain buat memuaskan nafsu. Lelaki beginikah dia mahu jadikan suami? Entah-entah Luth sudah punyai anak luar nikah.
"Jangan Mawar..." Gadis itu mengangkat kakinya ke atas sofa. Ini masa hadapan dia, dia tidak boleh menaruh kehidupannya hanya untuk lelaki sampah seperti ini.
"Kalau macam ni, baik aku keluar dari sini," bisik hatinya. "Mawar bukan tak sayang abang. Tapi abang yang tak sayang diri sendiri. Mawar tak nak tinggal serumah dengan jantan macam abang."
Uraian rambut hadapan jatuh bermain di sisi wajah. Kepalanya ditongkat.
Tok tok
Dalam lamunan, Mawar tersentak. Wajah yang menekur diangkat.
Mungkinkah itu Luth?
Dia sudah penat berharap pada lelaki itu. Langkah longlainya dibawa ke pintu hadapan. Kunci dibuka lalu pintu itu dikuak lemah. Hati Mawar sedang retak menanti belah.
"Ini rumah Luth ke?" Kehadiran seorang gadis bertudung litup di hadapan rumah memeranjatkan Mawar. Mawar cepat-cepat meraup rambut ke belakang lalu membuka grill.
"Siapa ya? Ni memang rumah Luth." Dia jadi terpinga-pinga.
"Saya Syafiqah. Boleh masuk?" jawab gadis bertudung itu.
Pada mulanya Mawar agak curiga. Sudahlah abangnya tak pulang-pulang ke rumah, datang pula seorang gadis yang entah dari mana. Anak matanya melihat kiri dan kanan bagi memastikan si fulan di hadapannya ini datang berseorangan.
"Saya datang sorang je," gadis asing itu terkelip-kelip memandang Mawar.
"Oh, jemput masuk." Mawar tersenyum nipis. "Tapi ada hal apa ya? Tak boleh kita cakap dekat sini je?"
"Tentang Luth."
Dari riak wajah sayunya, Mawar mula membuah simpati. Pasti ada onar yang telah abangnya buat sebelum ini. Apa lagi yang mampu mengejutkan Mawar hari ini? Dia telah lama tahu tentang perbuatan bodoh abangnya.
Setelah mempersilakan gadis berkenaan duduk, Mawar berlabuh berdekatannya. Dia memandang gadis itu kosong. "Abang buat apa dekat kau?"
"Dia tidur dengan saya," jawab Syafiqah. Wajahnya menunduk tak mahu memandang adik Luth.
"Jadi?" Mawar makin panas hati.
"Jadi saya datang nak jumpa dia supaya dia bertanggungjawab."
"Jangan jadi bodoh."
Syafiqah terkedu. Pada mulanya dia mahu membawa drama sedih ke rumah itu, hairan adik Luth memanggil dia dengan panggilan kasar.
"Ya, memang saya bodoh sebab termakan kata-kata dia... Tapi tolong pujuk dia untuk terima saya," ujar Syafiqah. Dia mencuba nasib untuk memancing Luth setelah dibuang bekas tunangnya.
"Aku serabut sangat hari ni. Abang aku tak balik-balik lagi. Entah dia tengah merempat dekat mana. Terus teranglah aku cakap jangan cari Luth dah. Kau dah tahu kau bodoh sebab termakan ayat abang aku jadi jangan jadi bodoh buat kali kedua. Kau ingat abang aku nak bertanggungjawab? Ramai lagilah perempuan dekat luar sana yang dia dah bodohkan," hambur Mawar.
" Nasihat aku, pergilah move on. Buat solat taubat. Dosa yang korang dah buat bukan dosa kecil tau." Mawar menarik nafas dalam. Dia tak mahu melayan apa-apa drama air mata. Fikirannya terlalu kusut, hati itu telah berkecai atas nama Luth.
Sakit kecewa ini amat pedih jika datang dari dia yang kita cintai. Mata Mawar berkaca, bibir delima itu pula kekal tersenyum nipis.
"Aku tak tahu kau mengandung ke apa, tapi aku tahu abang aku pandai buat kerja. Dia takkan biarkan perempuan-perempuan yang dia dah tidur mengandung anak haram. Jadi kalaulah kau sedang mengandung, itu bukan anak abang aku. Mungkin kau tak sedar kau dah tidur dengan lelaki lain." Tak siapa tahu rasa sakit yang sedang ditelan Mawar. Air matanya dikesat sekali lalu.
"Awak-"
"Dah, cukup. Pergi dari sini. Kau jangan kacau abang aku dah. Aku dah penat nak dengar semua ni..." Makin lama Mawar boleh derita dengan sakit hatinya. Cukuplah sampai hari itu dia cuba bersangka baik terhadap lelaki bernama Luth.
"Baiklah, terima kasih. Sampaikan salam saya pada Luth. Kata dekat dia, Shafiqah kirim salam dan akan beri balik apa yang dia telah buat," akurlah tetamu itu.
"Sama-sama. Maafkan abang aku." Tanpa disuruh, Shafiqah mengangkat kaki.
Mawar merebahkan badan ke atas papan sofa. Dia menggeleng dan terus menangis di situ. Teresak-esak tangisannya kedengaran memecah benak.
***
votexkomen
***
double update! Mawar bukan terkejut kalau ada org mengaku terlanjur dgn abang dia. Cuma dia dah penat nak dgr semua tu. 🥀
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro