14 : Pinjamkan lagi
Yang tiada arah tuju itu dia.
Yang tiada kasih sayang ibu bapa pun dia.
Dia hanya mengikut rentak bagaimana arus kehidupan membawa usia. Jika ke kanan, ke kananlah dia. Jika ke kiri, di kirilah dia akan kekal berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi.
Orang ramai mula mendatangi gerai makan berkenaan buat makan tengah hari. Meja yang diduduki dua teruna itu berada sedikit jauh di seberang jalan. Air teh ais dikacau Luth perlahan-lahan menggunakan penyedut minuman tika sesi penerangan operasi keesokan hari. Segala maklumat dicatitnya dalam ingatan.
"Pukul 12 malam hingga 1.30 pagi. Kita ada dalam 1 jam setengah untuk pecah masuk rumah ni," jelas Ciko.
Luth menarik kerusinya lebih dekat di sisi Ciko. Sebuah rumah yang terpapar di skrin telefon diamatinya dengan baik. Itu rumah yang agak besar, dua tingkat dan mempunyai tirai yang kekal tertutup di bahagian tingkap atas dan bawah. "Ada CCTV?"
Minat Luth untuk mencari blind spot hanya melalui gambar tangkapan Ciko itu makin bertambah. Kawasan pagar rimbunan daun bakal memberikan kelebihan buat dia meloloskan diri nanti.
"Ada." Ciko mengangguk. Ketika dia berpura-pura menjadi pekeja yang sedang membuat survey penduduk setempat semalam, sempat kaca matanya menangkap beberapa perkara penting. Antaranya sistem pengawasan berbasis video, lokasi kamar utama dan beberapa kedudukan kabinet yang lain.
CCTV membawa maksud yang baik. Mereka yang mempunyai harta bernilai di dalam rumah sahaja yang sanggup melaburkan wang untuk sistem keselamatan itu.
"Oh, macam senang je ni. Kau buat kerja kau, aku buat kerja aku. Settle ," balas Luth. Mungkin hasil pecah rumah kali ini bakal memperoleh ribuan ringgit. Senyuman jahatnya tercalit pada wajah. Rahang bawah ditongkat dengan telapak tangan.
"Kalau jadi esok ni aku belanja kau arak Siam hari tu sekali pakej dengan awek Siam," sengih Ciko.
"Arak?" Luth mengetap bibir. Anak tekaknya sudah lama tidak dijengah rasa pahit minuman haram itu. "Aku... Tak minum."
"Kenapa?" Ciko benar-benar hairan.
"Adik aku-"
"Ish, abaikan je lah Mawar tu. Dia budak-budak lagi. Bukannya tahu apa. Kira okay apa kau izinkan dia tinggal serumah dengan kau. Nak lebih-lebih pula."
Dua ulas bibir Luth mengukir senyuman nipis. Ya, memang Mawar tinggal dengannya. Hal itu hanya akan terjadi hinggalah hujung bulan ini. Mawar akan pergi meninggalkan dia buat selamanya. Dia tidak ubah seperti sampah pada mata Mawar. Hati itu menanggung perit yang teramat sejak Mawar menyatakan mahu bernikah.
"Nanti hantar location rumah tu dekat aku. Aku nak ronda-ronda area tu petang ni." Perbualan nama Mawar diubah kepada hal kerja mereka. Dia membuat kerja seperti ini pun demi Mawar juga. Dalam banyak-banyak perkara, hanya itu yang menjadi kepakaran Luth. Dalam bab pelajaran, dia bodoh. Tiada apa-apa kelulusan.
Ekor matanya jauh melihat sesuatu di hujung simpang. Kepekaan telinga sempat menangkap sesuatu bunyi. Tanpa berlengah, Luth terus membuka langkah berlari ke arah sana.
"Hoi, nak pergi mana?" soal Ciko. Dahinya berkerut hairan. Punya laju Luth berlari, tahu-tahu dah sampai di hujung bangunan. Tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja memecut.
Deretan kedai bangunan yang terhujung sekali menempatkan beberapa buah mesin ATM bagi tujuan pengeluaran duit. Luth memperlahankan langkah apabila tiba di hadapan seorang wanita setengah abad. Dia memegang lengan wanita itu untuk menyuruhnya bertenang. Situasi cemas menghalang Luth untuk memahami apa yang diterangkan wanita berkenaan. Fokusnya hanya satu, untuk mengejar peragut itu.
Dada masih beralun laju, dia sambung mengejar seorang remaja yang telah jauh ke depan. Langkahnya dipanjangkan dan dipercepatkan pada setiap detik yang berlalu. Berkejaranlah dia hingga tiba di sebuah kawasan parkir motor.
Remaja lelaki berhelmet yang dikejarnya menoleh ke belakang sambil tersenyum. Helmet ditanggalkan setelah tas tangan hasil ragutannya dilempar pada kawan-kawan yang menanti di situ. Setiap pasang mata memandang Luth. Luth tidak kurang beraninya. Dia mula merapati remaja-remaja itu. Setakat budak-budak mentah setahun jagung, patut diajar sahaja.
"Bagi balik," ujar Luth. Tangan kanan meminta pada si pemegang tas tangan. Redupan sebuah pokok yang besar melindungi Luth daripada terik matahari. Peluh di badan silih berganti menuruni.
"Ambillah sendiri," balas seorang remaja. Senyumannya kelihatan. Seorang lelaki cuba menjadi hero pada hari itu nampaknya. Dia memandang Luth dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
"Boleh," akur Luth.
Bahu Luth ditolak ke belakang apabila dia makin mara. Luth menjongketkan sebelah keningnya. "Kenapa tak bagi?"
Kawasan parkir motor ini agak terpelosok di belakang bangunan lama, jauh dari jalan utama. Hanya ada Luth dan tujuh orang remaja bermotor di situ.
Remaja berkenaan mula sakit hati dan berasa tergugat. Isyarat telah diberikan ketua mereka bagi melunyaikan lelaki asing di hadapan mereka ini.
Seorang lelaki berkulit gelap menyerang Luth bersama helmet di tangan. Hanyunan helmet ditangkis Luth dengan cekap apabila siku penyerang dikunci. Satu kilasan badan meletakkan remaja itu terjelopok jatuh ke atas tanah. Bibirnya habis pecah akibat serangan lutut Luth. Helmet pada tangan jatuh tergolek.
Luth pula yang tersenyum melihat wajah terkejut mereka. "Siapa lagi nak cium tanah?"
Enam remaja berkenaan memandang sesama sendiri. Salah seorang daripada mengeluarkan pula sebatang besi dari bakul motor. Kali ini tiga orang mara mengelilingi Luth.
"Pondan ke kau ni nak lawan aku sorang pun sampai tiga orang? Lain kali nak buat kerja kotor tu pakai otak," hambur Luth.
Remaja yang paling dekat dengan Luth mahu melayangkan penumbuk, sekali lagi daya penumbuk itu digunakan Luth buat membalas serangan. Sakit kepalanya tiba-tiba sahaja mencengkam. Tidak sempat menjangkakan serangan musuh, rasa sakit itu kembali.
DUSH
Penumbuk erat menjadi lemah dengan sekali pukulan. Luth menarik nafas dalam. Belakang kepalanya disentuh. Dia segera menoleh ke belakang.
DUSH
Pelipisnya terasa bengang. Darah merah pekat mengalir di sisi wajah akibat goresan besi karat itu. Rasa pitam cuba dibuang jauh-jauh. Mata dipejamkan erat untuk mengawal kesedaran diri. Malang sekali dua pukulan itu telah mengenai kawasan kepalanya dengan tepat. Lutut longlai membawa tubuh dia jatuh memyembah bumi.
Nafas menjadi sukar. Luth berkeras menghalang mereka mengambil dompet dan telefon pintarnya dari poket seluar jeans. Hanya itu duit yang dia tinggal.
Hilaian ketawa remaja itu memecah hening. Mereka berpuas hati dapat membelasah Luth meski wang dalam dompet Luth tidaklah seberapa banyak. Bagaikan serampang dua mata, tas tangan wanita tadi pun habis dikorek isinya.
***
"Ibu, kenapa lama sangat ni?" Lelaki berkaca mata berkenaan membuat keputusan buat melihat bondanya. Dari air muka si ibu, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
"Beg tangan ibu..." Puan Dalila menghembuskan nafas halus. Hampir setengah jam kaki setia menunggu di tempat yang sama di mana pemuda tadi datang kepadanya.
"Eh, mana beg tangan ibu?" Baru lelaki itu sedar akan sesuatu. Dia memeriksa keadaan ibunya sedikit cemas.
"Ada budak ragut beg ibu," ujar Puan Dalila.
"Ya Allah, lepas tu macam mana ni?" Hakim meraup rambutnya ke belakang. Dia bercekak pinggang tidak keruan. Mujurlah ibunya baik-baik sahaja. Baru sehari ibunya datang ke bandar, macam-macam sudah terjadi.
"Ada orang kejar peragut tu. Ibu dah kata jangan tapi dia kejar juga. Jom lah tengok kawasan sekitar. Ibu risau kalau jadi apa-apa dekat dia." Sayu hatinya melihat anak muda tadi. Dari jauh dia datang memeriksa Puan Dalila sesaat dua sebelum membuka langkah mengejar peragut.
"Lelaki?"
"Ya. Dah nak sejam ibu tunggu dia."
"Entah-entah tu kawan peragut yang saling berpakat. Buat-buat kejar lepas tu menghilang terus," Hakim menggeleng sahaja. Satu butang baju kemeja yang teratas dibukanya.
"Kim, tak baik sangka buruk. Selagi mana ada jalan untuk bersangka baik dengan manusia lain, bersangka baiklah." Puan Dalila berpesan pada anaknya lembut. "Jom kita cari dia dulu. Dia mesti tak jauh lagi."
"Hm..." Mahu tidak mahu waktu makan tengah harinya terpaksa dikorbankan. "Lepas ni Kim hantar ibu balik rumah Kim," putus lelaki berkaca mata itu. Rasa risau pada ibu angkatnya lebih memuncak dalam diri berbanding nak risaukan lelaki entah siapa-siapa.
"Okay." Ada satu perkara yang mengganggu Puan Dalila. Cara lelaki tadi lembut sahaja memegang lengannya. Itu mengingatkan dia pada satu benda yang telah lama dibawa arus masa. Mustahil tebakan Hakim benar, Puan Dalila dapat melihat keikhlasan pemuda berkenaan.
Wanita setengah abad itu berjalan di sisi anak lelakinya di koridor kedai. Sesekali wajah Hakim yang sibuk bermain telefon pintar diintai dengan ekor mata. Dalam diam senyuman manis Puan Dalila terbentuk. Kusut benar wajah Hakim ini. Dalam kesibukannya di tempat kerja, masih melayan kehendak ibu ingin mengeluarkan duit di mesin ATM. Sudahlah mengada nak ke rumah anaknya, minta pula macam-macam di waktu si anak bekerja.
Dua beranak itu memboloskan diri ke dalam perut kereta.
"Ibu minta maaf sebab ambil masa makan Hakim," ujar wanita itu.
Hakim yang sedang memakai tali pinggang keledar tersentak. Dia pantas menggeleng. "Kenapa ibu pula yang minta maaf?"
"Sebab ibu tengok muka Hakim macam tengah marahkan ibu," jujurnya.
"Oh." Kunci kereta digenggam seketika. Hakim tersenyum nipis, dia tidak seharusnya membawa isu kerja apabila bertemu keluarga. Persekitaran toksik di pejabat membuatkan dia jadi begini. Rasa marah tadi cuba dibuang jauh-jauh.
Sebuah senyuman dihadiahkan pada ibunya. Lantas dia menggeleng kecil. "Nanti Hakim beli makanan, ibu makan dekat rumah ya?"
"Baik." Puan Dalila tidak kisah pun andai Hakim tidak sempat makan tengah hari bersamanya. Mungkin esok lusa dia harus pulang ke rumah asuhan agar tidak mengganggu Hakim bekerja lagi.
Kereta hitam berkilat itu mula bergerak ke tengah jalan. Kata bonda, lelaki berkenaan pasti masih di sekitar. Jalan satu hala itu cuba diteroka Hakim dengan kelajuan sederhana. Anak matanya dililaukan ke kanan sementara bahagian kiri akan dilihat oleh Puan Dalila.
"Dia pakai seluar jeans dan tshirt warna maroon. Rambut dia terikat ke belakang," ujar Puan Dalila.
Puas tawaf deretan bangunan di simpang itu, Hakim memacu keretanya menuju ke jalan utama pula. Dia mahu memeriksa kawasan berdekatan. Hampa pemuda yang dimaksudkan Puan Dalila tiada di tempat tadi.
"Kim nak cari lagi?" Puan Dalila jadi serba salah kerana masa rehat Hakim berbaki 30 minit sahaja lagi.
"Tak apa. Kita cari sikit lagi ya?" Hakim tersenyum nipis. Tidak ada salahnya dikorbankan masa sedikit atas permintaan si ibu.
Stereng dipegang kejap lelaki berkaca mata itu. Laluan semakin kecil apabila keretanya menyusuri jalan satu hala sekali lagi. Kawasan di celahan bangunan dilintasi Hakim hingga keretanya tiba di sebuah kawasan parkir percuma yang agak terpelosok dan terbiar.
Mustahil lelaki yang dimaksudkan ibunya dapat dijumpai setelah hampir sentengah jam lebih menghilang.
"Ibu tak sedap hati bila dia tak balik jumpa ibu," khabar Puan Dalila. Perasaan itu juga sama seperti apa yang telah terjadi 18 tahun lalu. Penyesalannya dibawa hingga ke waktu itu. Tak semena-mena air mata tak diundang mengalir.
"Ibu, ada orang dekat sanalah," ujar Hakim. Kereta diberhentikan bersebelahan bangunan usang. Jelas pada pandangannya ada sekujur tubuh terbaring di bawah pokok sana. Baju maroon berseluar jeans, mungkin itu orangnya.
Hakim terlebih dahulu membuka pintu kereta dalam keadaan tergesa-gesa. Langkahnya makin perlahan tatkala menghampiri tubuh itu. Kelihatan darah merah yang masih basah tercalit di sisi wajah. Membulatlah mata Hakim. Tubuhnya diturunkan sedikit lalu dia memeriksa nadi lelaki berkenaan. Masih ada denyutan.
"Astaghfirullah..." Puan Dalila agak terkesima. Wajah lelaki yang sedang diperiksa Hakim itu memang pemuda yang mahu membantunya tadi. Tas tangannya sedang tersadai di tepi lelaki berkenaan.
"Dia okay lagi ni, bu. Cedera sikit je." Hakim mendongak memandang ibunya. Setelah ditampar wajah beberapa kali, lelaki itu mencelikkan mata. Namun masih lemah dalam keadaan separa sedar.
"Bawalah dia pergi klinik," ujar bondanya.
Hakim mengangguk akur. Lengan lelaki itu dibawa ke belakang lehernya. Dia membantu lelaki berkenaan berdiri perlahan-lahan dengan kudrat yang tersisa. Isyarat mata diberikan pada ibunya untuk membuka pintu kereta bahagian belakang. Agak sukar juga nak memapah lelaki tegap di sebelahnya itu. Sebelah tangan lagi memeluk tubuh dari sisi.
Wajah lelaki itu tidak pun diamati Hakim dalam keadaan cemas sebegini. Namun kaca matanya terpaku pada satu benda yang terkalung pada leher lelaki asing itu. Dunianya jadi sepi seketika setelah dia meletakkan tubuh itu di tempat duduk belakang.
"Tulis... Untuk ibu."
Hakim mendaratkan buku sekolahnya ke atas riba. Mata pensel mula mencoret di atas kertas. Meski huruf 'b' dan 'd' Hakim kadang-kadang tertukar, ejaannya masih boleh dibaca oleh orang dewasa.
"Dari Luth." Luth mengeluarkan rantainya. Dia mempamerkan cara ejaan nama, biar Hakim tahu bagaimana nama 'Luth' tereja.
"Okay," akur Hakim.
Rantai itu. Satu plat besi yang terukir nama rakan lamanya. Memang benar itu milik Luth. Jelas terpampang pada dada lelaki itu ada satu plat berukir empat huruf.
L. U. T. H
"Ibu," suara Hakim menjadi perlahan. Mata tidak teralih dari memandang satu wajah yang telah lama menghilang.
Puan Dalila yang baru hendak masuk kereta berpaling ke arah anaknya.
Hakim menoleh perlahan-lahan. "Ibu, Luth," bisiknya. Dia juga tak tahu mahu ungkapkan perasaan ini bagaimana lagi. Nafas dalam ditarik lelaki itu sebelum dia memberi ruang buat ibunya datang kepada Luth.
"Luth kan, ibu?" soal Hakim. Bingkai cermin mata ditanggalkan. Habis berwap kaca mata dengan nafas hangatnya.
Puan Dalila tidak dapat mengeluarkan kata-kata. Dia hampir melurut jatuh di situ. Wajah si kecil Luth benar mempunyai iras dengan pemuda berkenaan. Meskipun begitu, Puan Dalila menggeleng tidak percaya.
"Rantai dia... Luth ada pakai rantai macam ni," jelas Hakim beria-ria. Dia memeriksa pula bahagian leher Luth, tersemat satu parut jahitan. Memang hati itu mengatakan di hadapannya ini Luth.
"Anak ibu," bisik Puan Dalila. Betapa lebatnya air mata jatuh berguguran.
Perjalanan ke klinik menjadi sunyi sepi. Tempat duduk di sebelah pemandu kosong kerana Puan Dalila sedang duduk di belakang bersama pemuda yang baru dijumpai mereka.
Kepala Luth dibiarkan bersandar pada bahunya. Kelopak mata Luth kekal terkatup semenjak tadi lagi. Puan Dalila memegang telapak tangan Luth. Dibandingkan dengan telapak tangan sendiri, Luth telah jauh membesar.
Air mata diseka segera. Dia seharusnya bersyukur harta yang dimiliki satu ketika dahulu telah dipinjamkan kembali.
Disulamkan telapak tangannya dengan pemuda itu.
"Takpe ke Luth nak panggil 'ibu'?"
***
votexkomen
***
meh komen2.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro