13: Mengorat
Perbuatan menekur lantai lagi membuatkan kepalanya sakit mencengkam. Lalu dia kembali berbaring di atas katil bilik. Niat untuk pergi bersiram dihentikan buat seketika.
Mata kekal pandang ke atas menembusi siling putih. Tangan kanannya menggagau penjuru katil. Setelah sepuntung rokok dikeluarkan, dia menyalakan hulunya lalu diletakkan antara kedua bibir. Nafas dalam ditarik lelaki itu bersama-sama haruman asap rokok terus ke dada.
"Hello. Kenapa?" Panggilan daripada Ciko diangkat Luth. Rasa tidak selesa merokok sambil berbaring membuatkan dia duduk bersandar pada kepala katil pula.
"Aku malaslah nak pecah masuk rumah orang. Kau buatlah sendiri." Luth memegang kepalanya yang sakit.
"Aku banyak lagilah duit. Jangan kacau aku," balas Luth dingin. Emosinya tidak stabil mana apabila dihimpit rasa sakit begini. Lantas telefon pintar itu dilontarkan ke hujung katil sana. Dia kembali menenangkan diri dengan rokok itu.
"Sewa rumah," detik hati kecil Luth.
Dia segera mengatur langkah ke pintu bilik. Sehelai jaket hitam kulitnya diperiksa pada setiap poket yang ada. Luth mengeluarkan dompetnya setelah itu lalu dia duduk perlahan-lahan di birai katil. Rokok kekal terketap di bibir.
Masalahnya sekarang ini, hanya tinggal not RM100 sahaja dalam pegangannya. Bagaimana dia nak membayar sewa rumah pada bulan itu?
Haruskah dipertaruhkan lagi keselamatan diri demi sesuap nasi? Tanpa langkah berjaga-jaga, pihak polis pasti akan dapat menghidu jenayahnya. Pecah rumah pada tempat yang berbeza telah dilakukan dengan baik sekali beberapa bulan yang lalu. Satu kesan bukti pun tiada bagi menyabitkan Luth pada kesalahan itu. Kebolehan Ciko merancang kecurian berdasarkan plan tapak sesebuah rumah melengkapi kemahiran Luth.
"Kalau judi?" fikir Luth pula. Ini lebih baik berbanding melakukan pencurian.
Berkepul asap rokok keluar dari rongga mulut lelaki itu. Kepalanya semakin sakit memikirkan kemelut kewangan yang bakal tiba tidak lama lagi jika dia kekal berfoya dengan duit yang sedia ada. Puntung rokok itu diletakkan pada bekas abu di bawah katilnya.
Tok tok
Mata dipejamkan erat sebelum mendaratkan kepala di atas katil.
"Abang?" Sebahagian wajah Mawar kelihatan di sebalik bukaan pintu.
"Nak pergi kerja dah?" soal Luth.
Bau asap rokok yang kekal di atmosfera bilik Luth cepat saja menusuk reseptor bau Mawar. Telapak tangan gadis itu naik menekup mulut dan hidung.
"Abang, janganlah merokok dalam rumah."
"Ni tak boleh, tu tak boleh," omel Luth. Dia mendengus nafas kerana kepalanya masih tak berkurang sakitnya.
"Busuk tahu tak? Mawar yang kena basuh baju abang nanti... Sarapan-"
"Pergi kerja sanalah. Jangan nak bagi ceramah dekat sini," potong Luth. Dia benar-benar serabut. Tubuh mengiring ke arah yang bertentangan dengan Mawar. Tak mahu paginya diceloteh dengan ungkitan. Kelopak mata telah diturunkan lelaki itu.
"Abang..." Mawar sedikit terkilan.
Diam membisu si dia di atas katil. Kebelakangan ini Mawar perasan abangnya lebih kerap berada di dalam bilik. Entah apa yang dilakukan pun dia tidak tahu.
"Abang, abang okay?" soal Mawar lembut. Dia memberanikan diri untuk melangkah ke dalam bilik Luth.
"Keluar."
Langkah Mawar berakhir di situ.
"Abang, Mawar nak pergi kerja ni. Tapi sebelum tu Mawar ada satu benda nak cakap," tutur Mawar dengan baik. Matanya kekal memandang tubuh lelaki di hadapannya.
"Mawar... Mawar nak kahwin bulan ni. Boleh ke?" sambung Mawar.
Bukan riak terkejut yang terpamer pada wajah Luth. Hal-hal perkahwinan adalah satu jenaka buatnya. Dia menjongketkan sebelah keningnya tika berpaling ke arah Mawar. Lelaki itu bingkas duduk.
"Kahwin?" soal Luth. Ketawa halusnya jelas kedengaran.
"Ya."
"Dengan lelaki mana?"
"Lelaki yang abang jumpa hari tu. Tapi masa tu abang tengah mabuk. Mungkin abang tak ingat."
"Tak payah mengarutlah. Mawar kecil lagi," geleng Luth.
"Abang, abang sedar tak Mawar dah 23 tahun?" Jeda.
"Jadi?" Sekali lagi kening Luth terjongket sebelah.
"Jadi Mawar nak bina hidup baru dekat luar sana. Mawar nak ada keluarga sendiri," jelas Mawar. Tidak tidur malam dia memikirkan lamaran Reza tempoh hari.
"Abang bukan keluarga Mawar?" soal Luth pula. Rasa geli hatinya berkurangan, berganti dengan rasa takut kehilangan. Pandangannya jatuh menekur, seraya dengan itu rasa sakit mencengkam kembali.
Dia sudah menjangkakan hari seperti ini akan tiba.
"Abang tetap abang Mawar. Tapi... Abang takde pertalian darah dengan Mawar-"
"Jadi Mawar nak buang abang lepas tu?" Potong Luth. Benarlah dia hanya sebuah perhentian dalam hidup Mawar selama ini. Yang hadir tatkala diperlukan dan ditinggalkan setelah yang lebih baik hadir.
"Bukan-"
"Mawar nak lupakan semua budi abang pada Mawar?" Senyuman pahit terukir di bibirnya. Dia mengangkat wajah memandang gadis itu.
"Mawar nak bawa abang sekali bila nak keluar dari hidup ni. Tapi abang yang tak nak. Abang lagi suka hidup makan duit haram, minum minuman haram dan jalinkan hubungan haram dengan mana-mana perempuan. Abang takkan berubah-"
Bagai ditusuk hati Luth bagi setiap lontaran sindiran halus dari seorang gadis yang membesar dengannya.
"Jangan sembang lebat depan abang. Mawar sendiri membesar dengan duit haram," ujar Luth mendatar.
"Tapi-"
"Tapi apa?" Lelaki itu berdiri merapati adiknya. Aras mata helang Luth diturunkan sedikit kerana Mawar rendah berbanding dirinya. Dia menanti jawapan dari bibir delima itu. Beberapa saat berlalu dengan pandangan yang bertikaman.
"Takde apa." Mawar menggeleng lalu mengalihkan anak matanya ke bawah.
"Bukan salah abang kalau lahir-lahir dah hidup macam anak terbuang. Dengan rezeki haram ni kita membesar, dah takdir abang nak buat macam mana? Takkan abang nak ubah takdir?"
"Manusia ada pilihan." Masih mahu pertahankan tekad di hati. Apabila Luth menarik dagunya ke atas, dia terikut sekali mendongak. Pandangan tajam ini boleh menggores hatinya meski Luth belum berkata-kata. Wajah bengang Luth menggerunkan hati rapuh itu.
"Pilihan apa? Ha? Apa pilihan yang abang ada bila hidup terbiar tepi longkang? Apa pilihan abang ada bila kena tengok benda haram setiap hari depan mata?" Kanak-kanak itu ibarat span yang akan meresap setiap baik dan buruk dari persekitarannya. Luth terima bulat-bulat apa yang terhidang depan mata dan bawanya hingga kini.
"Hidup dengan benda haram ni juga takdir abang. Kalau abang masuk neraka sekali pun itu juga takdir abang. Biarlah abang nak nikmati hidup abang ni sebelum mati nanti. Luth memang dilahirkan untuk jadi sampah yang tak berguna. Dari kecil dia dilayan tersisih dari masyarakat. Inilah hasilnya. Ni semua salah dorang dekat luar sana!"
Puas menghambur kata-kata. Sakit di kepala pun berdenyut hebat. Urat pelipis lelaki itu kelihatan pada pandangan Mawar. Alunan dadanya turun dan naik dengan pantas. Betapa bengangnya Luth di awal pagi buta.
Fikirannya serabut mahu mencari duit buat biayai sewa rumah hujung bulan ini. Mahu tidak mahu, memang dia akan memecah mana-mana rumah bersama-sama Ciko sekali lagi.
"Dah? Puas?" Mawar tersenyum hambar memandang abangnya. Matanya berkaca-kaca. Dia benci setiap kali Luth seolah hendak bergaduh dengannya walhal dia menyoal dengan cara baik tadi.
Nafas dalam ditarik Mawar. "Mawar nak pergi kerja. Abang izinkan atau tak... Mawar tetap akan kahwin. Abang hiduplah sampai mati dengan kehidupan macam ni."
"Okay, boleh." Jawapan Luth lagi menyakitkan hati Mawar.
"Kalau abang perlukan apa-apa, pergi cari betina dekat luar sana. Pergi... Jangan cari Mawar. Hujung bulan ni Mawar akan nikah dan keluar dari rumah ni."
Luth berdecit sahaja. Dia kembali duduk di birai katilnya. "Dah lah Mawar. Jantan mana Mawar kutip pun abang tak tahu."
"Dia lelaki. Yang jantan tu abang."
"Okay." Lelaki itu terangguk sendiri. Matanya menekur sahaja lantai bilik berjubin putih. Cahaya mentari samar-samar menembusi helaian langsir tingkap. Mawar mula membuka langkah ingin keluar dari bilik itu. Matanya yang berair dikesat dengan kekura tangan.
"Jantan ni lah yang bela Mawar dari kecil," ujar Luth.
"Terima kasih sebab bela Mawar. Sekarang Mawar boleh jaga diri sendiri," balas Mawar lalu terus hilang dari pandangan mata.
Bunyi kasut diletakkan ke atas lantai disusuli katupan pintu utama menjengah pendengaran Luth.
"Sama-sama," bisik Luth. Matanya turut dikesat. Selama hidup 25 tahun, dia tidak pernah mengalirkan air mata di hadapan Mawar kerana mahu terus menjadi penguat Mawar. Bunga ros merah. Dia mahu Mawar kuat meskipun hidup mereka tidak sama seperti orang lain.
Tawa kecilnya kedengaran. Dia sudah tidak tahu apa tujuan untuk hidup di dunia ini. Menunggu mati dan masuk ke dalam api neraka?
***
Bunyi tangisan rakannya semakin reda dibawa arus masa. Setengah jam berlalu dengan esakan di bahunya. Dia kekal di sisi sambil mengusap lengan gadis itu lembut. Moga terpujuk jualah sekeping hati yang sedang tercarik.
"Dah... Jangan menangis. Abang Luth sayang kau," bisik Fatihah. Titisan air mata rakannya dikesat dengan kedua-dua belah ibu jari tangan. Kesembapan mata Mawar akibat tangisnya yang berlarutan sejak datang ke stesen minyak itu. Ruang kecil surau menjadi tempat dua dara memencilkan diri buat seketika.
Rambut Mawar sedikit serabai dengan air matanya. Dia tak mahu pulang ke rumah dan berjumpa dengan Luth.
"Abang tak kisah pun aku nak kahwin ke apa. Hari ni pun seharian dia tak mesej aku. Dia lagi mengalu-alukan aku keluar dari rumah tu. A-Aku sedih..." adu Mawar.
"Tapi kau juga yang kata nak kahwin dengan Reza, kan?" soal Fatihah. Rambut Mawar diusapnya.
"Kau tak faham... Aku sayang abang. Tapi dia tak kan pernah fikir serius dalam hubungan. Mesti kau ingat aku gila, kan? Tapi ya, aku nak kahwin dengan abang. Itu yang aku tanam sejak dulu lagi. Bila besar nanti aku nak jadi isteri Luth." Dalam tangisnya dia ketawa mengenangkan kebodohan sendiri. Mawar yang kecil melihat Luth membesar depan mata, segala sisi baik Luth menyenangkan Mawar. Dia mahu hidup bersama lelaki itu bukan dengan hubungan adik-beradik angkat.
"Tapi... Kau tengoklah dia main tukar-tukar betina dekat luar sana. Hati aku sakit bila dia melayan perempuan lain depan mata aku," sambung Mawar. Hanya dia yang mahukan perubahan, Luth pula kekal dengan kesenangan sementaranya. Kalaulah Luth mahu berubah, pasti Mawar dan Luth telah lama mengikat tali pernikahan. Sayang sekali dengan perangai Luth yang sekarang ini hanya meletakkan hati Mawar menjauh.
"Mawar, Reza suruh bagi jawapan hujung bulan. Kan?" Sampaikan Fatihah pun pusing mendengar masalah si bunga itu. Hujung kening yang tidak gatal digaru seketika.
Mawar menjatuhkan kepala beberapa kali.
"Kau masih ada masa untuk fikir masak-masak. Aku kenal Luth macam mana, dia tu budak baik. Cuma ego dalam diri dia susah nak turun. Cuba tarik dia perlahan-lahan. Kalau dalam tempoh masa ni dia nak berubah, sampaikanlah hasrat kau yang nak bernikah dengan dia. Kalau dia kekal macam ni... Tinggalkanlah dia. Kau layak untuk dapatkan hidup yang lebih baik," ujar Fatihah. Senyuman manisnya terlekuk dibibir melihat Mawar seolah mengerti. Dia akan doakan yang terbaik buat sahabatnya ini.
" Aku cuba... Cuma aku takut kalau dia marah-marah aku, " bimbang Mawar.
"Tahanlah sampai hujung bulan ni je. Aku pun tak tahu mana yang terbaik untuk kau. Sebab tu kau kena berdoa pada Allah selalu."
Ayat yang baru dilantunkan Fatihah menghairankan Mawar. Dia mula memandang gadis bertudung di sebelahnya dengan pandangan serong.
" Apa pandang-pandang?" cebik Fatihah.
"Sejak jumpa dengan budak arab tu jadi baik terus kau ni. Selalu ingat Tuhan la apa la..." Mawar tersenyum. Tidak sangka sungguh.
"Aku memang baik dari kau. Aku bertudung, kau freehair." Fatihah menjelir sambil menggulingkan biji mata ke atas.
Mata Mawar membulat selepas disindir. "Sini aku cabut tudung kau."
Pergelutan kecil berlaku antara dua dara itu di surau tempat kerja Fatihah. Mawar berusaha keras untuk mencabut tudung bawal yang dipakai rakannya. Hinggalah Fatihah turut tidak berhijab, barulah dia berhenti.
"Kita sama-sama freehair." Fatihah menggeleng lemah. Tawa mereka pun meledak mengisi benak. Puas bergelut, Mawar bersandar pada dinding di sebelah Fatihah. Air matanya yang tersisa dihapuskan serta merta.
"Aku ingat ke dia nak buat pick up line dekat aku malam tu macam lelaki lain, tapi dia sekadar nak tegur dan berkawan dengan aku. Dia berbeza," Fatihah membuka bicaranya. Biarlah diceritakan pada Mawar isi hati itu.
Mawar tersenyum-senyum sendiri. "Kau cubalah mengorat dia. Macam tak biasa pula."
"Senang je nak mengorat," balas Fatihah. Namun dia tidak tahu lagi bagaimana balasan Mahfuz.
"Apa yang kau pandang pada lelaki? Bibir? Mata? Yang akan buat kau tertarik." Ini yang seronok bila dah buka sesi curhat. (curhat=curahan hati) Habis semua isu semasa nak diceritakan.
"Jangan judge aku... Tapi aku pandang punggung dorang. Padanlah lelaki pun setiap kali jumpa perempuan mesti benda pertama dorang tengok ialah dada." Bahu diangkat Fatihah.
"Oh, jadi kau tengok dia punya tu lah." Bibir Mawar membentuk huruf 'O'.
"Aip... Jangan cakap macam tu." Tak semena-mena peha Mawar ditampar Fatihah. Fatihah berkerut tidak setuju. Tak pernah lagi dia mengusha Mahfuz hingga ke tahap itu.
"Aku cuba tegur dia dekat kedai hari tu. Kebetulan boleh terjumpa dia masa nak beli makanan kucing. Saja nak tengok dia ni lelaki macam mana. Tapi kan..."
"Apa?" Ayat tergantung Fatihah makin mengujakan si pendengar.
"Tapi dia tak pandang pun dada aku. Dia pandang muka aku sekejap je lepas tu sambung cari makanan kucing dia. Faham tak? Dia lain daripada lelaki yang aku jumpa sebelum ni. Dia masih bersembang dengan aku, dia tak sombong pun."
"Maksudnya dia hormat kau sebagai seorang perempuan," tambah Mawar.
"Benda tu lah yang aku fikir. Jadi sebelum perempuan lain dapatkan dia, lebih baik aku yang masuk line dulu. Kalau nak enjoy boleh je aku cari lelaki biasa. Bila nak buat suami, aku rasa lebih baik aku cuba dapatkan lelaki macam Mahfuz."
"Kau fikir pasal kahwin dah?"
"Hello, umur aku 25 tahun. Kau yang 23 tahun pun kalut nak kahwin dengan Reza atau abang angkat kau tu. Aku ni nak biar jadi anak dara tua?"
Tidak ada salahnya jika Fatihah juga sudah fikir perihal masa hadapan. Mawar tertawa halus. Wajah cemberut Fatihah diusapnya simpati. "Seriuslah kau nak try dia?"
"Serius. Hari tu juga kan dia boleh tersasul cakap bahasa Arab depan aku. Memang aku syak dia orang Arab lah, kan? Tapi dia kata dia orang Melayu je. Kalau kau tengok mata dia mesti kau terpegun." Tak sudah lagi Fatihah menyampaikan hikayatnya bertemu dengan seorang jejaka.
" So nak cari dia dekat mana lepas ni? "
Senyuman Fatihah termati. Dia tak tahu di mana tempat tinggal Mahfuz. Umur lelaki itu pun tidak diketahui. Boleh jadi Mahfuz itu suami orang. Betapa sedikitnya maklumat lelaki misteri itu.
"Mungkin aku patut berserah pada takdir. Andai kami berjumpa lagi, aku akan cuba berkawan dengan dia. Kalau segalanya dipermudahkan, aku akan mengorat dia."
"Nakal kau ni." Semangat Fatihah membuatkan Mawar terhibur. Mungkin begini jugalah dia harus bersemangat untuk ubah Luth.
"Calon suami kot... Kena letak effort sikit. Kalau nak harapkan pak-pak Arab macam tu masuk meminang aku, sampai mati pun tak akan. Jadi biarlah aku yang perkenalkan diri aku pada dia."
"Apa nama dia?"
"Mahfuz." Seindah pemilik nama. Siapa tahu apa yang telah tertulis di Luh Mahfuz?
Hanya mampu berusaha.
***
votexkomen
***
sorry lambat update. walaupun xd siapa baca, selamat membaca bab 13 ni! Hit buku ni dengan komen korang supaya penulis tak sendu :)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro