12 : Hujung Bulan
"Jadilah kiranya kau nak duduk rumah Balawi tu?" Mahfuz inginkan kepastian sahabatnya sekali lagi. Tali pinggang keledar ditekan punat buka setelah kereta yang dipandu Arif tiba di hadapan sebuah kedai serbaneka. Balawi ialah nama rumah pengajian milik walid.
"Aku pun tengah kerja shift siang sekarang ni dekat tempat kerja. Jadi okay je kalau nak jaga rumah tu buat sementara waktu. Nanti kalau aku dah kahwin bulan depan, tak dapat dah jumpa kau. Biarlah aku nak manja-manja dengan kau dulu." Dengan tak semena-mena lengan Mahfuz dipaut Arif dari sisi.
" Ish, jangan nak menggedik." Ditunjal kepala Arif yang amat dekat dengannya ke tepi.
" Respect la sikit orang nak kahwin ni. Main kepala-kepala pula, "omel Arif seraya membaiki jambul rambutnya yang telah dinodai Mahfuz.
" Aku tanya serius ni. Betul kau nak teman aku tidur dekat rumah tu?" soal Mahfuz sekali lagi.
" Ya, bang. Betul. Asalkan walid bagi aku elaun. Hehe. " Arif tersengih-sengih mengiyakan. Ini namanya sambil menyelam sambil minum air. Sambil teman Mahfuz di rumah Balawi, duit poket dapat sekali. "Kau akan mengajar dekat situ, kan?"
"Hmm... Tengoklah kalau walid izinkan. Kena tengok balik jadual Balawi macam mana," jawab Mahfuz bersahaja. "Tapi walid macam izinkan je untuk aku pergi bagi kuliyah subuh dekat surau-surau. Setakat bagi ceramah untuk orang awam, walid izinkan. Tapi kalau Balawi... Audience dia berbeza. Yang datang balawi tu budak-budak tahfiz, pondok dan STAM. Belajar kitab pun kitab yang advance sikit."
"Takpe, aku support kau dekat tepi-tepi. Tolong bagi Bubu makan, ikan dalam kolam tu makan..." seloroh Arif. Nak cakap pasal kitab, awal-awal lagi Arif dah menyerah. Dia hanya kuasai kitab yang asas berkat bersahabat dengan Mahfuz sejak dari kecil. Tempias majlis ilmu terkena padanya, membangunkan hati Arif dekat dengan ilmu dan para ulama'. Di kolej dahulu, Ariflah yang menjawat jawatan ekspo kerohanian.
" A ah la..." Tiba-tiba sahaja Mahfuz menepuk dahi sendiri. "Aku lupa nak letak makanan Bubu dalam senarai barang yang nak beli hari ni."
"Matilah kucing kau tu," balas Arif.
"Jangan... Mahal tu aku beli masa dekat Mesir." Berkerut-kerut kening Mahfuz tidak setuju. Dia segera mengeluarkan telefon pintar dan menaip peringatan barang yang hendak dibeli.
"Makanan untuk aku lebih sikit, eh?" Nota Mahfuz pada skrin telefon diintai Arif. Disebabkan mereka bakal berkampung di Balawi buat beberapa minggu, bekalan makanan haruslah mencukupi.
"Roti... Milo... Cereal... Sos, bihun, beras, mee segera, makanan Bubu 2kg." Jeda. Mahfuz memuncungkan bibirnya. "Apa lagi ya?"
"Kicap, gula dan garam. Lepas tu kau ambil semua jenis pes nasi goreng."
"Tapi rumah aku kan sekangkang kera je dari Balawi? Mesti ummi akan panggil kita balik bila nak lunch," fikirnya. Bila dah lama tak tidur di Balawi ni, hampir terlupa pula Balawi dan rumahnya berada dalam kawasan perumahan yang sama.
"Okaylah. Beli roti dengan Milo je. Maggie jangan lupa," putus Arif. Kipas pendingin hawa kereta dikuatkan lagi mengenangkan teriknya matahari di luar sana.
"Kopi?"
"Kau nak mati awal?" Mendatar soalan itu dituju pada sahabatnya. "Pergi minum kopi tu banyak-banyak kalau kau nak bangun tidur esok dekat hospital."
Terkekek Mahfuz ketawa. "Sayang juga kau dekat aku. Okay, aku nak beli barang sekejap."
Tanpa berlengah, Mahfuz membawa langkahnya ke dalam sebuah kedai serbaneka yang terletak tidak jauh dari Balawi. Sebuah bakul biru dicapai tika melalui pintu masuk. Dia meliarkan mata ke sekeliling bagi mencari makanan buat Bubu. Sudah dua hari tiga malam bubu asyik makan ikan rebus kerana makanan kucing tidak terbeli.
Rak di bahagian belakang menjadi destinasi Mahfuz. Bakulnya diletakkan ke sisi kaki.
Pelbagai makanan kucing tersusun di hadapan mata. Hanya satu jenama yang menjadi pujaan hati Bubu. Bagai ada sepasang mata sedang memerhatikan dirinya. Mahfuz berpaling ke kanan.
"Hai," sapa si gadis.
Liur tiba-tiba menjadi kesat untuk ditelan. Kali ketiga bersambung mata, dan ini semua adalah salah Arif. Konon nak mengajar kawan dengan perempuan, Si Balqis tak juga melekat dengannya.
"Hai," balas Mahfuz sedikit gagap.
Seorang gadis berpakaian seperti malam itu berada di hadapannya. Seluar slack yang mengikut bentuk kaki dipadankan dengan tshirt merah berlogo sebuah stesen minyak. Baju itu pula dimasukkan ke dalam seluar, lagilah bentuk pinggang rampingnya kelihatan.
"Nak beli makanan kucing ke?" soal gadis itu. Dia perasan bakul barang Mahfuz masih kosong.
"Ya." Mahfuz tak mahu memandang Fatihah. Anak matanya dibawa lari ke bahagian rak makanan kucing. Tercari-cari satu jenama kegemaran Bubu.
"Rasanya... Semalam saya ada nampak awak dekat tasik bandar. Tak pastilah kalau saya salah orang." Mata hitamnya agak tertarik untuk melihat keperangan iris Mahfuz. Ternyata warnanya memang Hazel jika dilihat betul-betul.
"Imtah? Imbarih? Aiwah-" Mahfuz mengetap bibir rapat, gugupnya di hadapan gadis itu hingga tersasul untuk berbahasa Melayu. (Imtah? Imbarih? = Bila? Semalam?)
"Maksud saya... Saya ada pergi jogging semalam. Awak ada dekat sana juga ke?" Kening Mahfuz dijongketkan ketika bertutur. Riak teruja yang dibuat-buat terpaksa dilakonkan memandangkan Mahfuzlah yang mengajak Arif untuk pulang segera. Dia tidak mahu berjumpa gadis stesen minyak itu lagi.
" Saya ada dekat sana. Saya nampak awak, nak tegur tapi takut salah orang pula. Nama awak apa?" Ramah pula Fatihah berbual dengan lelaki asing di hadapannya.
"Mahfuz." Dua paket makanan kucing yang berhampiran dicapai Mahfuz.
"Melayu?"
"Na'am. Limadza? Nampak macam pendatang asing tanpa izin ke?" Mahfuz agak terpinga-pinga. Manalah tahu dah lama tak balik Malaysia ni sekali orang pandang macam warga Bangladesh. Mungkin dia patut buang jambang dahulu, barulah wajah Melayunya terpancar.
"Nampak macam ada kacukan Arab." Gadis itu ketawa halus. Pertama kali bertemu dengan seorang lelaki sebegitu menariknya untuk mengenali lebih dalam lagi.
"Awak silap pandang ni. Saya memang asal Melayu. Saya nak kena cepat, kawan tengah tunggu dalam kereta." Milo ada di kaunter pembayaran, begitu juga roti pangsa di bahagian pintu masuk. Perbualan pada petang itu harus ditamatkan Mahfuz segera sebelum meleret ke arah lain. Dia agak khuatir kerana Fatihah sedang menganalisi wajahnya.
"Maaf-maaf. Nanti ada jodoh terserempak dekat mana-mana, tegurlah saya." Ketidakselesaan yang tercetus disedari Fatihah. Gadis itu tersenyum kecil dan segera meminta maaf.
"Insya Allah."
***
"Hai, baby boo. Nak lunch?" Satu kepala terjegul dari luar kedai. Seorang lelaki melangkah masuk ke dalam kedai berpenghawa dingin itu lalu semerbak harumannya di atmosfera.
Mawar yang duduk bersila di atas lantai mendongakkan wajah. Dia bingkas berdiri bagi melihat empunya suara. "Sayang, saya nak makan dengan abang Luth. Sorry, ya?"
"Ta- tapi..." Reza membulat matanya. Dia menggeleng tidak setuju.
"Saya rasa bersalah layan dia dingin sebelum ni. Jadi... Nak baiki balik hubungan kitorang," terang Mawar. Baru sahaja dia menghantar mesej kepada Luth. Sekarang, dia harus tunggu balasan lelaki itu.
"Nanti dekat rumah jumpa juga. Kenapa nak berkepit dengan dia 24 jam?"
"Sebab... Sebab saya dengan abang memang berkepit 24 jam sejak dulu."
"Hm... Dia dah okay? Sakit kepala lagi?"
"Okay kot." Rata-rata pekerja di dalam kedai sudah melangkah keluar buat makan tengah hari. Mereka akan kembali ke kedai itu apabila jam menghampiri 2 petang.
"Disebabkan dia abang awak... Dan dia akan jadi wali awak bila kita nak kahwin nanti, saya terpaksa undur diri kalau awak nak lunch dengan dia." Reza mengangkat kedua-dua tangannya lalu bersandar pada kaunter. Dia dan si bunga itu hanya terpisah dengan jarak kurang 1 meter.
"Wali?" Jeda. Mawar menggeleng perlahan. "Saya tak rasa dia boleh jadi wali saya."
"Kenapa?" Reza sedikit terkejut.
"Sebab kami takde pertalian darah." Mawar memperlahankan suaranya pada akhir ayat. Bibir diketap rapat. Rahsia ini perlu dikhabarkan pada Reza memandangkan hubungan mereka semakin serius.
"Ha? Dah tu? Adik tiri?" Reaksi Reza agak terjangka. Dipandang wajah Mawar tak mahu lepas.
"Tak. Dia kawan... Sejak kecil kami berkawan dan tinggal bersama."
"Apa benda yang awak cakap ni? Awak nak cakap yang Luth tu hanya lelaki asing yang tinggal serumah dengan awak?" Bertubi-tubi soalan diajukan pada gadis bersanggul di hadapannya.
Mawar sedikit terkedu. Suara Reza mengeras dalam setiap ayatnya. "Ya."
"Macam mana boleh jadi macam tu? Mana keluarga awak- Ish... " Pelbagai andaian telah beratur di dalam otak Reza. Dia agak sukar buat menerima kejutan pada hari itu. "Cuba cerita elok-elok. Geram betullah aku dengan orang yang sepatah je jawab bila tanya soalan. Nak cerita tu ceritalah elok-elok."
Ini pertama kali Reza menggunakan 'aku' dalam perbualan mereka. Tak dijangka juga baran lelaki itu terusik, terbuka sedikit topeng yang selama ini membaluti. "Abang-"
"Kenapa nak panggil abang? Dia abang awak ke?" potong Reza tidak puas hati. Di dalam kedai itu hanya tinggal mereka berdua.
"Dia yang jaga saya sejak kecil. Jadi, dia abang saya." Luth masih abang pada diri Mawar. Cakaplah apa sekali pun, itu tidak akan mengubah nilai Luth buat Mawar.
"Aku boleh terima abang kau liar dekat luar sebab aku ingat dia abang kau. Tapi kalau hakikatnya dia sekadar lelaki asing dalam rumah kau... Apa yang korang buat sebenarnya dalam rumah tu? Tinggal serumah dengan jantan liar macam tu?"
"Sekejap... Kenapa awak kata abang saya macam tu? Awak baru jumpa dia sekali je hari tu," hairan Mawar.
"Sebelum ni ada jumpa juga. Selalu nampak dia dekat bar dengan betina entah dari mana. Sebab tu aku tahu nama dia Luth. Tak sangka dia abang kau."
"Ya, memang abang pergi bar... Macam-macam lagi dia buat." Itu tidak dinafikan. Luth bukanlah seorang lelaki yang baik, Mawar tahu itu. "Tapi abang baik dengan saya."
"Dia balik rumah dalam keadaan mabuk?"
"Kadang-kadang."
"Jujur je lah dengan aku. Dia pernah cuba untuk apa-apa kan kau tak?" Tepat busur soalan itu mengena sasaran.
Mawar tidak mampu mengelat dengan jawapan lain. Dia menekur dan mula memeluk tubuh sendiri. Liurnya ditelan kesat. Rasa sakit Luth mencengkam lengannya bagaikan hadir kembali.
Reza berdecit. "Tu ke nilai baik pada kau?"
"Dia abang saya," bisik Mawar. Air mata menuruni lekukan wajah, hatinya sakit disoal Reza. Salahkah dia masih berkeras mahu duduk bersama Luth?
"Bukan," balas Reza dalam nada berbisik juga. Hatinya sayu melihat wajah Mawar. Mulut yang mahu membidas kembali terketap. Dia tidak bermaksud untuk salahkan Mawar atas apa yang berlaku.
"Dia lelaki luar yang akan apa-apakan awak bila-bila masa. Cuba buka mata awak dan letak tepi semua kebaikan dia pada awak. Fikir guna logik akal. Luth ialah lelaki sampah. Saya tak nak orang yang saya sayang jadi macam ni. Dia buat apa dekat awak?" Nada Reza dikawal untuk kekal memujuk.
" Takde apa-" Mawar menggeleng sambil menyeka air mata sendiri. Nafasnya ditarik dalam.
"Kalau tak nak cakap tak apa. Terserah pada awak. Tapi sampai bila awak nak duduk dengan dia?" Dihenyakkan lagi hati Mawar untuk terus berbaur dengan pelbagai perasaan. Cukup bahaya untuk seorang gadis tinggal dengan lelaki seperti Luth.
"Tak tahu," balas Mawar. "Kalau saya pergi, kesian abang."
Jawapan itu hampir membuatkan Reza ternganga. Sukar sangatkah Mawar untuk tinggalkan lelaki bernama Luth? Kelopak mata dipejamkan seketika. Reza mengurut pelipis sendiri. "Bahaya tahu tak? Dia lelaki... Dia ada nafsu. Sebaik mana pun lelaki, jangan terlalu percaya."
"Dah lah..." pinta Mawar untuk perbalahan itu diberhentikan. Dia tidak mahu bertekak soal Luth.
Keadaan menjadi sunyi sepi apabila Reza turut mendiamkan diri. Perbuatan Mawar yang cuba menghapuskan segala air mata diperhatikannya. Daripada duduk bersandar di kaunter, lelaki itu meluruskan tulang kaki. Betul-betul tegak di hadapan bunganya.
"Awak nak kahwin dengan saya bulan ni?" soal Reza.
Dicelah pula dengan soalan serius seperti ini, Mawar yang berkaca mata tak mahu membalas apa-apa. Gadis itu diam membisu. Setiap kali bergaduh dengan Luth, rasa untuk keluar dari rumah itu membuak-buak. Namun, setiap kali Luth kembali melayannya dengan baik, Mawar akan tetap selesa bersama abangnya. Hal lain di luar sana dia lupakan. Kadang-kadang perihal Reza pun lenyap tatkala duduk berdua dengan Luth.
"Saya serius ni. Kalau nak... Cakap. Tengoklah macam mana nanti. Saya usahakan untuk uruskan pernikahan kita. Jadi awak boleh duduk dengan saya sebelum benda buruk berlaku lagi."
"Saya tak tahu," jawab Mawar.
"Hujung bulan ni saya akan tuntut jawapan. Kalau ya, kita akan berkahwin. Kalau tak, kita akan kekal jadi kawan," putus Mohammad Reza. Membuat keputusan dalam keadaan yang bercelaru bukanlah sesuatu yang baik. Maka masa yang tersisa akan memberi ruang buat Mawar timbang tara segalanya.
Sama ada mahu membuka buku baru bersama Reza atau mencoret kisah yang sama dengan Luth.
Tiga minggu sebelum memberikan keputusan pada Reza akan bermula hari itu.
***
votexkomen
***
Terima kasih 1k reads. Jangan lupa vote & komen :)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro