8 Makan malam
Luth terpaksa menjaga Aira hari itu kerana Mawar sudah berjanji untuk pulang awal. Tak pasti sama ada sebotol susu kecil ini cukup buat mendiamkan Aira hingga tengah hari. Niat Mawar ingin membeli alat pengepam susu cuba direalisasikan. Katanya nanti lebih mudah untuk menjaga Luth di hospital dengan stok susu yang sedia ada. Hanya tinggal untuk diminum Aira.
Tubuh genit Aira direhatkan dalam pelukan Luth. Lelaki itu sudah mampu berjalan tanpa bergantung harap dengan dinding atau apa-apa. Pemergian Mawar ke tempat kerja membawa rasa tidak sedap dalam hati sang suami.
Luth memberhentikan langkah di tengah-tengah ruang tamu. Sekumpulan kanak-kanak sedang mewarna di atas lantai. Pengasuh di situ membalas senyuman kecil pada Luth. Lelaki itu seakan tercari-cari satu wajah. Mata bulat milik kanak-kanak nakal tempoh hari tidak kelihatan. Hairan.
Lama juga Luth tidak bertegur sapa dengan Umar kerana sibuk dengan hal hospital. Jarang lelaki itu melintasi kawasan ruang tamu kerana tak mahu mengganggu keselesaan penghuni rumah asuhan itu. Pintu belakang dan pintu dapur sahaja yang diguna Luth dan Mawar untuk ke kamar mereka.
"Nanti abah beli cekak bunga untuk Aira. Mesti comelkan? Satu letak dekat sini..." Seraya dengan itu ciuman melekat di dahi gendul si bayi. Aira tersenyum riang. "Satu dekat sini lagi..." Ubun-ubun anak itu dikucup lama.
"Cantiklah puteri abah..." Yang terakhir, pucuk hidung penyet Aira didekatkan dengan wajah. Luth turut menyimpulkan senyuman. Dia pun menghenyakkan punggung di kerusi beranda. Ada satu rasa kosong dalam hati. Barangkali kerana perbuatan meninggalkan solat subuh yang bagai sebati dalam diri Luth.
Diingatkan jika solat itu ditinggalkan, masanya akan lebih lapang. Malang sekali tidak, rasa serba tidak kena sahaja.
Dalam membiarkan Aira menyentuh wajahnya, terasa seluar trek ditarik oleh satu tangan. Luth menjongketkan sebelah kening sambil melihat milik siapakah tangan itu.
Wajah polos Umar menyapa pandangan mata. Dia masih menaikkan kening dan melihat Umar. Kaki yang bersilang diturunkan Luth. "Eh, kenapa tak pergi mewarna dekat dalam juga?" soal Luth.
"Abang duduk dekat belakang tu ke?" Kanak-kanak tujuh tahun itu memaksudkan lorong di belakang dapur yang tidak dapat dijejaki dia dan rakan-rakannya. Pintu pagar sentiasa berkunci. Terkadang dia melihat lelaki bergelar abang ini membawa keluar seorang bayi perempuan yang amat kecil bagaikan anak patung di dalam kotak mainan. Kini, bayi itu sedang digendong di hadapan mata. Umar tidak berkelip melihat makhluk genit itu.
" Ya." Luth tersenyum nipis.
Kanak-kanak itu tidak tertarik untuk mewarna. Dia turut berlabuh di sebelah Luth. Kerusi dipanjatnya dengan mudah.
"Kenapa tak masuk dalam?" soal Luth. Bilangan kanak-kanak di situ tidak seramai seperti zamannya. Hanya 10 orang sahaja yang berada di dalam sana termasuk Umar.
"Mar tunggu mama dan papa datang ambil..." balas kanak-kanak itu. Pintu pagar yang menghalangnya melarikan diri dipandang sahaja.
Lelaki itu hampir terlupa bahawa sebahagian kanak-kanak di sini masih punya penjaga. Hanya kerana mereka menjadi mangsa dera dan pelbagai jenayah, maka ditempatkan di rumah asuhan istimewa ini. Kain yang telah berdebu mampu dibasuh kembali hingga menjadi suci. Itulah pegangan Luth walau diri sendiri masih lelah mahu solat lima waktu.
"Mama dan papa kerja apa?" Luth meraikan kesudian Umar mahu bersembang dengannya.
"Kerja jual tepung..." jawab mulut Umar.
"Tepung?" Luth sedikit berkerut.
Umar menjatuhkan kepala meyakinkan lelaki itu tentang pekerjaan ibu bapanya.
"Papa beri upah kalau Mar tolong," sambung Umar.
"Tolong buat tepung juga?"
"Tak." Kanak-kanak itu menggeleng pula. "Papa suruh tolong hantarkan dekat kawan dia. Nanti Mar dapat makan aiskrim."
Kanak-kanak jarang memalsukan percakapan. Mereka hanya akan berkata di atas tali kejujuran. Kulit lengan Umar dilihat Luth bagi mencari apa-apa kesan dera. Namun, tiada pun sebekas. Umar bukanlah mangsa dera seperti Mawar. Adakah anak jalanan seperti Luth?
"Mana papa dan mama?" Luth mahu tahu lebih lagi.
"Tak tahu... Papa kata nanti papa datang ambil Mar. Dari semalam Mar tunggu... Tapi kakak dekat sana tak bagi Mar tunggu depan pagar. Dia suruh masuk... Sebab tu lah Mar mengamuk," dengusan kanak-kanak itu kedengaran. Matanya sedang menjeling wajah Aida yang melayan kanak-kanak lain mewarna kertas lukisan dengan pensel kayu.
" Nanti abang cari mana papa dan mama, okay?" Rambut hadapan Umar yang hampir mencecah dahi diraup Luth ke belakang.
"Okay," akur Umar. Kawan-kawan baharunya begitu seronok melorek di atas lantai. Semua sedang meniarap.
"Abang tak pergi kedai hari ni?" soal mulut Umar lagi.
"Tak... Duit abang dah habis," jawab Luth. Jujur sahajalah di hadapan kanak-kanak itu. Nafas panjang dihela.
"Mar ada duit." Mata kanak-kanak itu membulat dek teringatkan wang syiling dalam saku seluar. Sekeping 50 sen dihulurlan pada Luth.
Luth tersenyum kecil. "Tak apa. Abang boleh cari duit sendiri. Umar simpan duit tu... Nanti kita pergi kedai lagi, okay?"
"Tadi kata takde duit..." gumam Umar. Dia menyimpan kembali wang simpanannya.
"Abang tak ada apa-apa benda nak beli. Abang bahagia dengan hidup abang..." balas Luth.
"Abang ada mama dan papa juga?"
Kepala digelengkan Luth. Mata hitam itu tidak pernah sekalipun melihat wajah ibu bapa kandung sendiri. "Abang tak ada mama dan papa. Untung Mar ada mama dan papa lagi..."
"Jadi abang tak beruntunglah?" celoteh mulut Umar boleh tahan hebat.
"Mana ada. Abang beruntung sebab ada ibu. Ibu sayang abang macam anak sendiri," ujar Luth dengan bangga. "Mar kenal tak ibu?"
"Em, tak." Umar menggaru kepala sendiri yang tidak gatal.
"Dia ibu abang. Jangan rampas, okay?" seloroh lelaki itu. Nampaknya ramai pesaing di rumah asuhan ini, keberangkalian untuk Puan Dalila dirampas amat tinggi. Luth harus berwaspada dari mula. Takut nanti dia yang dipinggirkan oleh ibu.
"Ha?" Lagilah si Umar tidak faham.
Wajah terpinga-pinga kanak-kanak tujuh tahun itu mencuit hati Luth. "Tak ada apa. Kalau Mar ada masalah, beritahu abang tau?" Rambut Umar diusap lembut.
"Hm..." Ada sesuatu yang terpeta di wajah kanak-kanak itu. Kaki berseluar pendeknya diturunkan menjejak lantai.
Kening Luth terjongket sebelah. "Kenapa?"
"Nak pergi tunggu mama dan papa," putus Umar. Kanak-kanak itu berlari anak ke kawasan perkarangan rumah dengan kaki ayam. Dia setia terpacak di hadapan pagar. Mata pula melilau ke kiri dan kanan, berharap penantiannya akan berakhir.
***
Mata Mawar membulat terkejut dengan kehadiran Hakim di tengah hari begitu. Dia yang baru selesai menyental bilik air hendak berehat seketika di ruangan dapur.
"Kau nak nasi? Aku ada beli." Lelaki itu kelihatannya seperti dari pejabat. Dengan tali leher dan baju kemeja yang masih terletak elok. Sebungkus nasi berlauk disuakan pada Mawar.
"Tak apa. Aku nak makan tengah hari dekat rumah dengan Luth," tolak Mawar baik. Hairan sekali lelaki itu tiba-tiba pulang padahal sudah dikatakan bahawa Hakim akan pulang pada pukul lapan malam.
"Oh," Hakim tersenyum segan. Mereka berdua berdiri sahaja di dapur rumah itu. Ternyata Mawar memang telah mengemas setiap sudut, Hakim sendiri terkagum dalam diam. "Aku balik ni saja nak tengok kerja kau."
"Dah siap, aku nak balik," ujar Mawar.
Hakim pun meletakkan bungkusan nasi ke atas meja. Dompetnya segera dikeluarkan. "Gaji untuk hari ni..."
Not RM100 diterima Mawar dengan senyuman yang meleret hingga telinga. "Terima kasih."
"Aku... Ada satu hajat nak minta. Kau nak duit lebih lagi tak?" Dalam kegelisahan, Hakim mengutarakan sesuatu. Tidak pasti Mawar akan setuju atau tidak. Dompet itu pun dikatup rapat.
"Nak. Buat apa?" Laju Mawar mengangguk. Duit berwarna ungu itu diselitkan ke dalam saku seluar denim. Sudah RM200 diperolehi dalam dua hari sahaja.
"Hujung minggu ni aku akan ada dinner dan aku tak ada peneman nak bawa. Boleh tak kau jadi pasangan sementara aku?"
"Kau ni gila ke?" Permintaan itu kedengaran agak melampau di telinga Mawar. Maruah diri Mawar tidak semurah itu hingga boleh dibayar dengan duit.
"Aku boleh bayar double gaji kau kalau kau setuju. RM200 sehari. Hanya untuk satu malam jadi peneman aku di majlis makan malam. Tak buat apa pun... Cuma makan-makan dengan kawan aku."
Mawar menggeleng tidak mahu. Perasaan suami sendiri perlu diutamakan, dia ini telah dimiliki Luth zahir dan batin.
" Aku cuma tawarkan je. Sebab kau macam perlukan duit lebih. Tapi aku ni jenis yang jarang hulur duit melainkan orang tu buat budi dengan aku. As simple as that." Hakim sedikit pun tidak tergores dengan tolakan Mawar. Wajahnya kekal dingin, nasi tadi ditinggalkan sahaja di atas meja. Terserah Mawar mahu ambil atau tidak.
Biji mata si bunga pula terguling ke atas. Dia melajukan langkah untuk ke bilik pembantu rumah di belakang sana. Mulut terkumat kamit membebel dengan bahasa yang hanya diri sendiri difahami. Sungguh hati itu sakit setiap kali Hakim muncul di depan mata. Sudah jadi orang gaji, kini ditawarkan pula untuk perkhidmatan teman wanita satu malam?
"Kata balik pukul lapan malam. Ni tetiba terpacak dekat dapur..." omel Mawar. Kain tualanya dicapai, langkah dilajukan ke tandas kecil berdekatan biliknya. Badan perlu dibilas terlebih dahulu sebelum bertemu dengan suami tercinta. Takut ada bau yang tidak menyenangkan hadir nanti.
Usai membersihkan diri ala kadar, Mawar masuk ke dalam bilik. Pintu dikuncinya kerana takut Hakim akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Sepersalinan pakaian baharu disarungkan pada badan.
Deringan telefon disambut Mawar dengan tangan kanan. Tangan kirinya sibuk memyembur minyak wangi di denyutan nadi pergelangan tangan. Bahagian leher turut dikenakan haruman yang sama.
"Dah sampai? Sekejap saya keluar." Begitu teruja hati gadis 23 tahun itu untuk menerima breast pump pertamanya. Tidak sabar ingin membuka bungkusan bersama-sama Luth. Dia segera memakai tudung bawal, dua belah hujung diselempang kiri dan kanan. Segala barangan disumbat ke dalam beg galasnya. Baju busuk, kain tuala dan telefon pintar.
Mawar berlari anak untuk ke pintu utama. Dalam keadaan kelam kelibut begitu, badannya terrempuh sesuatu. Sakit bahunya digosok dengan tangan sendiri. Mata terpejam seketika.
Bunyi aduhan Hakim diselangi dengan omelan Mawar. Gadis itu mengerling Hakim tidak puas hati. Mujur tidak jatuh tersembam terus.
Keberadaan Hakim langsung tidak diendahkan Mawar. Pintu utama yang dibuka Hakim terus dilalu si bunga. Dia melulu menyarungkan selipar Jepun untuk ke pagar rumah yang tinggi menjulang.
Senyuman melekuk di wajah. Hormon adrenalinnya merembes ke sekitar pembuluh darah. Ada sebuah kereta Myvi di luar sana, yakin itu penjual yang menghubungi tadi.
Sebuah kotak set breast pump lengkap dengan hadiah percuma diterima Mawar setelah bayaran sebanyak RM300 dihulurkan. Tidak sangka hanya dengan barangan begini, hati seorang ibu muda melonjak-lonjak.
Mahu dikongsikan rasa itu bersama-sama sang suami.
***
votexkomen
***
double update! cuba teka kenapa dgn umar? siapa pandaai hehe..
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro