Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

7 Izin Kerja

Hidup ialah pilihan,
Baik atau buruk,
Pilih satu pengakhiran,
Dengan itulah kita corakkan kehidupan,
Namun setiap pilihan ada konsikuensinya,
Kita yang memilih, maka bersedialah
menerimanya.

Mata si teruna melihat bayi dalam gendongan Mawar. Dia melihat wajah bayi dan gadis itu silih berganti. Gelengan diberikan buat bunga itu.

"Kenapa kau tak tinggal je baby tu dekat rumah?" soal lelaki berkemeja kemas berkenaan.

Mawar yang baru hendak melihat kawasan rumah Hakim menjongketkan kening. Aira dalam dukungannya sedang melihat raut sang ibu. Keadaan sekitar berubah jauh, rumah asing dijejaki dua beranak itu.

"Aira minum susu lagi... Mana boleh tinggal," jawab Mawar. Lainlah kalau dia sudah beli alat pengepam susu. Sekarang ini Aira bergantung harap pada Mawar sepenuhnya dan perlukan sumber susu setiap dua jam. Bayi itu jarang berenggang dengan Mawar.

"Ikut kau lah. Aku nak kerja siap walau apa pun. Hanya dengan tu aku akan bagi kau gaji," bilang Hakim. Langkah diteruskan melintasi ruang tamu yang agak bersepah.

Mawar melihat meja kopi. Cawan semalam masih ada di situ. Buku-buku pula saling bertindih sesama sendiri. Selama ini diingatkan perangai Luth yang suka menanggalkan kain pelikat merata sudah dianggap teruk. Ada lagi rupanya lelaki pemalas. Kulit kuaci pula dibiarkan sahaja di sekitar buku.

"Bilik solat dekat mana?" soal Mawar sambil membaiki beg galasan.

Hakim berpaling ke belakang. "Kau masuk belakang sana... Ada jumpa mesin basuh. Dekat area tu ada satu bilik kecil untuk orang gaji. Kau nak solat atau susukan anak, hanya dekat bilik tu. Jangan merayap dekat bilik lain. Aku nak kena beri jadual kerja aku dulu."

"Okay," akur Mawar. Dia langsung tidak mengingati Hakim ialah rakan di rumah asuhan. Apa yang diingati hanyalah Luth sahaja. Lelaki berkemeja itu terus dianggap asing.

"Aku akan ke tempat kerja pukul 7.30 pagi setiap hari kecuali hari Isnin. Isnin aku cuti. Aku akan balik pukul 8 malam selalunya. Kalau lepak atau main futsal dengan kawan, aku balik lewat sikit. Aku akan beri kunci pendua pada kau. Pastikan kau siapkan segala kerja sebelum aku balik kerja dan datang ke rumah ni keesokan hari selepas aku pergi kerja. Aku tak nak Luth bergaduh dengan aku atas sebab berduaan dengan isteri dia," terang Hakim. Dia kekal berjalan untuk ke kawasan di hadapan cermin lebar yang tertanam di dinding. Terdapat meja kayu berdekatan, lelaki itu menarik satu laci dan meleraikan satu anak kunci daripada gugusan kunci yang ada.

"Aku tak pernah hire orang gaji sebab aku ada trust issues. Tapi disebabkan kau isteri kawan aku, aku cuba sangka baik pada kau. Satu barang hilang dari rumah ni, aku buang kau terus." Kunci itu dihulurkan pada Mawar bersertakan jelingan tajam.

Mawar mengambil kunci itu tanpa banyak tanya. Dipanggil orang gaji oleh Hakim mungkin akan dibiasakan tidak lama lagi. Tangan menepuk tubuh si bayi yang mula mengeluarkan esakan bunyi bak anak kucing. Kembang kempis hidung kecil itu mahukan susu.

"Jangan masuk bilik aku kecuali aku minta. Kau kemaslah apa yang patut dulu... Pandai-pandailah," tambah Hakim. Master bedroom terletak di tingkat atas. Lelaki itu pun menaiki anak tangga di penjuru rumah berdekatan ruang tamu. Lenggang lenggok si teruna dikerling Mawar. Sungguh hati itu merasakan Hakim amat merendahkan dirinya. Cara pandangan pun seolah-seolah Mawar itu perempuan pengemis.

Mawar menggumam perlahan. "Siapa je nak masuk bilik dia? Ingat aku ni perempuan murah?"

"Tsk..." Rengekan Aira menarik perhatian Mawar.

Gadis itu bergegas ke bilik orang gaji yang dimaksudkan Hakim tadi. Ubun-ubun Aira dikucup memujuk. "Maaf, sayang. Mama sibuk hari ni..."

Daun pintu ditolaknya. Sebuah katil bujang tidak bercadar tersedia di dalam bilik kecil itu. Mawar menarik nafas sebelum pergi mencari penyapu di stor berdekatan. Sambil menggendong bayinya, dia menggibas segala anasir di atas tilam katil. Nampak sangat bilik itu tidak berpenghuni hingga banyak tahi cicak menapak. Habuk-habuk di loker turut disapu Mawar sekali sapuan.

Terdetik hatinya untuk melihat loker itu terlebih dahulu. Batang penyapu disandarkan ke dinding. Lipatan beberapa kain ditarik Mawar. Gadis itu menoleh melihat keadaan bilik yang telah bersih sedikit berbanding tadi. Kain cadar pun dipasang dengan sebelah tangan. Aira masih menangis tidak henti.

Usai melapisi tilam dengan cadar putih, barulah Mawar meletakkan beg galasan ke lantai. Dia mengambil pula selimut kecil dan kain getah daripada beg. Dibentangkan kain getah bagi mengelak apa-apa tumpahan air dari anaknya ke tilam, disusuli dengan selimut yang dilipat dua. Kemudian, barulah Mawar membaringkan Aira. Tudung bawal terus ditanggalkan dan disidai pada kepala katil. Gadis itu berbaring perlahan-lahan di sebelah si pipi merah.

Bibir Aira lincah mencari puting kerana lapar. Dia tersendu-sendu menghisap susu si ibu. Untuk menghilangkan esakan, Mawar pula memujuk. Wajah kecil itu dielus lembut. Bagaimana dia mahu berpisah dengan Aira jika Aira sukar berenggang? Apalah khabaran Luth pula di rumah sana. Keluar senyap-senyap di luar pengetahuan Luth bukanlah satu idea yang bernas.

Mawar tersenyum kelat. Badan mengiring dihadap ke dinding.

Dalam diam, si tuan rumah juga terhenti di muka pintu bilik yang tidak bertutup rapat. Belakang gadis itu yang terselak dilihatnya. Niat asal untuk mengkhabarkan pada Mawar bahawa dia mahu keluar terbantut. Hakim cepat-cepat beransur pergi. Mata dipejamkan.

"Dia isteri orang, Hakim," bisik si teruna. Antara anak dara dan isteri orang, padanya yang telah berkahwin itu lebih menarik hati. Memori tadi cuba dipadam, Hakim menggenggam erat kunci kereta.

Kalaulah sampai kepada Luth hal ini, habis Hakim dikerjakan tidak cukup tanah.

***

"Pergi mana?" Berdesup soalan menyambut ketibaan Mawar.

Mawar menelan liur kesat. Gadis itu cuba berlagak tenang sambil membawa bayinya ke birai katil. Wajah tegang Luth menyaksikan si isteri yang baru pulang entah dari mana.

Hari sudah senja. Luth kekal terbaring di katil sejak pagi.

Mawar berlabuh di sebelah sang suami. Anak kecil diletakkan terlebih dahulu sebelum kekura tangan Luth dikucup. Dia memengang tangan lelaki itu sambil memaniskan wajah. Bibir delimanya membentuk senyuman.

"Abang jangan marah tau..." ujar Mawar perlahan.

"Ibu kata Mawar pergi kerja," potong Luth. Dihantar pulang dari hospital oleh Hakim, Luth memilih untuk terus melelapkan mata di atas katil. Tanpa sedar Mawar juga pergi mengikut Hakim entah ke mana.

"Ya, betul. Mawar jadi cleaner... Dapat RM100 sehari," Mawar tersenyum gembira. Not kertas berwarna unggu itu cepat-cepat dikeluarkan dari poket seluar jeans hitamnya.

Namun, lain pula bagi Luth. Lelaki itu menyilang tangan ke dada dan kekal memandang Mawar. Wajah tidak mahu dilonggarkan hanya kerana melihat wang RM100.

Mawar sedar perbuatannya salah. Gadis itu mahu mengambil tangan Luth untuk disalam. Luth pula mengeraskan lengan.

"Abang, Mawar minta maaf sebab kerja juga walaupun abang tak bagi."

"Berbaloi ke RM100 sehari? Ada lagi sembilan hari sebelum abang masuk dewan bedah balik." Suara garau lelaki itu seakan-akan mengherdik. Segalanya mahu ditusuk terus ke dalam hati Mawar.

"Mawar cari duit untuk abang..." Mawar menekur cadar katil. Kenapa Luth sukar memahami usahanya?

"Macam mana kalau sembilan hari ni juga hari terakhir kita bersama? Mawar gembira dapat RM100 tu?" Luth memejamkan mata seketika. Pandangan dialihkan memandang Aira yang terkapai-kapai di tengah-tengah katil. Hatinya cukup tercabar apabila Mawar berani mengikut kepala sendiri.

Berkaca-kaca mata si bunga. Dia tak mahu detikkan perkara sebegitu untuk berlaku. "Abang janganlah cakap macam tu..."

"Mawar nak abang cakap apa? Pergi kerja? Bawa Aira sekali? Tinggalkan abang sorang-sorang dekat sini macam orang sakit menunggu ajal? Macam tu?" berang Luth. Dadanya bergetar kerana menahan sedih. Baru sehari Mawar menghilang dia sudah tidak keruan.

"Tak." Mawar menggeleng. Air mata jatuh menuruni lekukan wajah. Walau Luth masih menyilang tangan, gadis itu mengesot menghampiri Luth. Tubuh bidang lelaki itu dipeluknya biar pun Luth menolak kerana rimas.

"Abang, Mawar minta maaf," bisik Mawar. Bahu suaminya dikucup kemudian dia membenamkan wajah di situ. "Maaf..."

"Kenapa Mawar?" soal Luth. Dia tidak mengerti atas keperluan apa Mawar sanggup buat usaha sia-sia ini. RM900 sebelum pembedahan langsung tidak mengubah apa-apa. Lengan diusap sang isteri seakan tahu titik lemah diri itu.

"Mawar kerja sebab Mawar nak tambah duit untuk abang. Kalau bukan sebab abang, Mawar tak akan kerja. Mawar buat demi abang." Mahu saja diulang banyak kali tujuan ikhlasnya. Badan dikecilkan di sebelah Luth.

"Kenapa perlu susah untuk abang? Abang cuma harap Mawar teman abang je..." luah Luth.

"Mawar sentiasa teman abang. Sentiasa... Cuma Mawar nak minta izin abang untuk ke tempat kerja. Mawar janji Mawar akan pulang sebelum makan tengah hari. Nanti kita boleh makan sama-sama." Wajah dilangutkan memandang lelaki itu. Mata yang berair juga kerana dia. Penat lelah ini untuk dia. Andai Luth tahu menghargai sekecil-kecil usaha.

"Mawar janji Mawar balik awal untuk abang..." sambung Mawar.

"Mana boleh. Kalau kerja mana boleh sesuka hati balik awal," bangkang Luth. Egonya terhakis dengan hangat pelukan Mawar. Tangan diringankan untuk menghapuskan air mata isteri.

"Boleh... Untuk abang semua boleh." Mawar tersenyum kecil. Bibir dilabuhkan lagi pada bahu Luth. Bekas ciuman itu disandarkan pipinya.

Perasaan berbelah bahagi Luth menidakkan keizinan Mawar bekerja. Dia menggeleng perlahan.

"Kenapa abang tak izinkan?" bisik Mawar. Emosi Luth beransur stabil dengan segala usaha pujukan. Dapatlah perbualan itu ditarik untuk membincangkan hal kerja. "Abang takut Mawar tak ada masa untuk abang?"

"Ya..." jawab Luth.

"Mawar akan balik waktu tengah hari. Mawar akan jaga abang sampai abang tidur malam."

"Tapi hari ni Mawar balik lewat. Dah nak maghrib dah pun."

"Itu sebabnya Mawar datang kerja lambat. Kalau Mawar datang awal, jaminan seratus peratus segala kerja disiapkan dalam masa lima jam," khabar Mawar. Jari suaminya dinaikkan kelima-lima. Kemudian disulamkan telapak tangan kasar itu dengan telapak tangan sendiri.

" Cuma lima jam," bisik Mawar. Mata bundar Luth dipandang dengan senyuman. Genggaman Luth dibawa merapati bibir.

"Mawar buat kerja apa? Abang risau."

"Tak susah pun. Jadi cleaner... Mop lantai, sapu sampah, kemas-kemas. Tu je. Mawar larat lagi nak susukan Aira dan layan cik abang seorang ni." Mawar menjawab dengan yakin. Hati suami perlu ditenteramkan terlebih dahulu. Dari bahu, kucupan itu naik ke pipi. Wajah tegang tidak lagi tersemi.

"Mawar tak penat?" soal Luth khuatir.

"Tak. Mawar akan cuba yang terbaik untuk abang dan Aira. Sembilan hari lagi berbaki, Mawar akan layan abang sebaik mungkin. Mawar tak nak abang sedih. Kalau abang sedih, Mawar pun jadi sedih juga. "

Hujung vermilion dinaikkan sedikit. Luth melingkarkan tangan memeluk sang isteri yang mulut manis itu. "Apa jaminannya?"

"Jaminannya... Mawar tak ada," sayu Mawar. Keluhan berat dilepaskan.

Luth tertawa halus. Tangisan gadis itu telah mengering dengan angin kipas siling. Tudung di kepala Mawar ditanggalkan perlahan-lahan. "Mawar janji untuk tak penatkan diri sendiri?"

Laju si bunga mengangguk.

"Janji akan sayang abang walaupun nanti abang lumpuh?" tanya Luth.

Mawar terdiam.

"Janji akan jaga makan minum abang walaupun abang dah tak boleh suap makanan sendiri?" sambung Luth.

"Abang..." bisik Mawar. "Kenapa abang kena fikir risiko pembedahan tu?"

"Abang cuma tanya. Mawar janji?" Luth melihat ke dalam kilasan mata isterinya.

"Ya," jawab Mawar.

"Dah cukup tu sebagai jaminan," balas Luth. Dia tersenyum bahagia. Tiba-tiba pelukan dileraikan lelaki itu. Bahu Mawar ditolak menjauhinya.

"Jangan duduk atas katil ni selagi tak mandi," ujar Luth.

"Apa?" Mawar berkerut tidak faham.

"Awak tu busuk, baru balik kerja. Bau kepam melekat nanti, tengik, busuk, bacin, hangit." Luth terus menjauhkan Mawar dari katil dengan menolak tubuh gadis itu ke tepi.

Wajah Mawar berona merah seperti tomato. Bibir dimuncungkan, Luth dikerling tajam. Pasti badannya benar-benar busuk dek berpeluh sakan. Kipas di bilik orang gaji tidak berfungsi pun tadi. "Kepam pun takdelah busuk macam abang."

"Abang wangi." Luth tertawa sahaja. "Nasib baik Aira wangi tak bau kepam juga."  Tubuh bayinya diangkat dan diletakkan ke dada. Bibir melabuh ke atas dahi si kecil.

Mawar tergelak sendiri. "Abang jangan nak berlagak wangi sangat... Kalau Mawar dah mandi, jangan dekat," ancamnya.

"Tak nak pun," ajuk Luth dengan muncungan bibir juga.

***
votexkomen
***

genre buku ni sad romance ft. tarbiyah.
luth dah izinkan Mawar kerja tu!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro