5 Kerja Sambilan
Berkongsi rezeki amatlah sukar,
Jika diketahui balasan pahala pasti berlumba-lumba,
Banyak memberi, banyak jualah yang akan Allah gandakan,
Andai hamba itu bersyukur seadanya.
Cecair otak dihasilkan setiap hari pada kadar 500 mililiter (ml) sehari. Otak hanya boleh menyimpan cecair pada kadar 135 ml hingga 150 ml.
"Cecair serebrospina berlebihan daripada otak ke dalam lapisan rongga abdomen perlu dibuang dari Encik Luth. Kita semua ada cecair ni tetapi disebabkan tumor, penghasilan jadi berlebihan hingga beri tekanan pada intrakranial."
Tangan di bawah meja bersulaman. Kekura tangan Luth diusap si bunga dengan lembut. Mereka mendengar penjelasan doktor lelaki tua yang ditugaskan untuk mengambil kes Luth.
"Rasa sakit sangat sejak akhir-akhir ni?" soal Doktor Abid.
"Ya." Luth mengangguk laju. Tidak dinafikan kepalanya bagai hendak pecah siang dan malam. Sempat membuat pemeriksaan MRI, skrin gelap komputer menayangkan ketumbuhan yang membesar berbanding bulan lepas.
"Within 10 hari, kita akan buat big surgery di dewan bedah. Petang nanti kita akan keluarkan cerebrospinal fluid dari kepala Encik Luth. Insya Allah, gejala yang encik alami sekarang akan berkurang sedikit." Doktor Abid tersenyum melihat bayi kecil yang dibawa isteri kepada pesakitnya.
Hati Luth mula gundah. Dia khuatir dengan duit yang ada tidak begitu banyak buat membiayai segala kos rawatan. Gadis bertudung bawal di sebelahnya masih setia menjadi penguat.
"Puan baru habis pantang?" soal Doktor Abid. Meja menjadi pemisah dengan pesakitnya. Sejak tadi mata tua itu disajikan dengan satu wajah suci di riba Mawar.
Mawar menggeleng sambil tersenyum nipis. "Ni anak angkat kami. Namanya Aira." Bayi dalam dukungan Mawar ditinggikan sedikit. Aira menendang-nendang kakinya yang berstoking di udara. Dia kelihatan gembira dapat berjalan keluar menemani si ayah.
"Allahuakbar, anak angkat?" Eksperi muka doktor pakar itu ditayangkan pada bayi pesakitnya. "Insya Allah, mudah-mudahan bertambah rezeki kamu berdua. Kan, Aira?"
Aira menyambut perbualan itu dengan membuat bunyi riang. Aira yang bersandar pada tubuh Mawar masih memerlukan sokongan kerana di usia sebulan, otot batang lehernya belum lagi kuat. Mata bulat si pipi merah memandang Luth di sebelah. Telatahnya yang mahu bersembang dengan Luth membuatkan lelaki itu tersenyum kecil. Hanya bibir sahaja digerakkan Aira. Tawa Aira belum lagi jelas. Halus sahaja bunyinya menyapa gegendang telinga.
Tangan si kecil disentuh Luth, automatik Aira menggenggam jari telunjuk lelaki itu.
"Jadi... Kita akan jumpa lagi petang atau malam ni. Kalau saya lapang petang ni, kita akan buat petang. Andai kata ada kecemasan dari pesakit lain, kita akan buat malam ni." Jadual yang telah ada terpaksa dipatuhi. Keadaan Luth juga boleh membawa mudharat andai tidak dikeluarkan cecair itu. Demam panas lelaki itu tidak lagi surut.
" Terima kasih, doktor," ucap Mawar.
" Sama-sama. Assalamualaikum," jawab Dr. Abid.
Selepas bersalaman dengan doktor tua itu, beg galas bercorak bunga di tepi kaki kerusi digalas Luth. Segala barangan keperluan Aira ada di dalamnya. Seperti sudah tahu mereka akan bermalam di hospital besar. Pasangan muda itu melangkah keluar bilik doktor dan menapak ke koridor hospital.
Luth memandang Mawar tika berjalan. Langkah mereka seiring. Jalan pun kalau boleh mahu berpegangan tangan. Tapi kehadiran Aira menghalang perkara itu daripada berlaku. Mawar dengan gendongan si kecil, Luth pula menggalas beg Aira.
"Mawar, jom makan," Luth melihat langit di luar sana. Seakan dapat diteka telah masuk waktu zohor.
"Kita solat dululah. Nanti baru senang nak makan," cadang Mawar.
"Solat?" Bibir Luth mengetap tidak berkenan. Dia cukup malas untuk mengerjakan solat.
"Ya, abang. Solat ya? Nanti kita beli makanan dan dating berdua. Abang nak Mawar suap pun boleh," pujuk Mawar.
"Betul?" Luth mahukan kepastian.
"Iyalah. Tapi abang kena solat dulu. Sesusah mana pun kita, kena ingat yang hanya dengan izin Allah keadaan ini akan berubah. Mawar suka tengok abang solat. Rasa jatuh hati kali ke berapa entah," gurau gadis itu. Pintu lift yang terbuka segera dijejak mereka. Punat bernombor dua pun ditekan.
"Mengayat dengan abang... Mengayat lagi." Luth mencerlungkan matanya. Wajah gadis itu mahu diperhatikan lama-lama.
"Abang nak cinta kita ke jannah, kan? Kenalah solat." Wajah tidak bersalah dipamerkan Mawar. Dia buat tidak tahu sahaja. Luth mahu tikam mata lama mana pun tidak kisah.
Dua daun pintu lift melebarkan bukaan, aras dua telah tiba. Mawar melangkah terlebih dahulu mahu meninggalkan sang suami. Tubuh montel Aira didukung rapat ke dada. Mulut kecil yang sedang menguap ditutup Mawar dengan belakang telapak tangan.
Ini sudah masuk waktu tidur Aira.
Kepala dipalingkan ke belakang bagi melihat Luth. Lelaki itu sedang berjalan ke arahnya, masih dengan kerutan kening. Langkah Mawar dihentikan, menanti Luth dekat dengannya di tengah-tengah laluan untuk ke surau.
"Abang, jagakan Aira," pinta gadis itu.
"Tadi suruh solat..." gumam Luth. Tubuh anaknya dialihkan. Sungguh kecil tubuh itu nak dibandingkan dengan lengan Luth.
"Mawar nak ke tandas sekejap. Abang duduk situ... Nanti Mawar datang okay?" Mawar sudah tersengih seperti kerang busuk. Bangku panjang di hadapan surau perempuan dimaksudkan gadis itu. Tidak ada salahnya Luth duduk di situ kerana ada juga suami-suami lain menanti isteri masing-masing yang sedang solat zohor.
"Ya-ya," akur Luth. Didodoi si Aira sambil melangkah ke bangku kayu. Bukaan mata bayinya semakin mengecil.
Kesudiaan Luth menjaga Aira menghiburkan hati Mawar. Ini yang membuatkan dia boleh jatuh hati banyak kali dengan suami sendiri. Kasih yang diberikan Luth pada Aira setulus hati. Mawar yang mahu ke tandas boleh tersenyum sendiri melihat sang suami.
"Cik," sapa seorang lelaki.
Si bunga pun memasakkan kaki ke lantai koridor. Dia memandang wajah seorang lelaki yang baru menegurnya. "Ya?"
"Dekat hujung sana tu suami cik ke? Yang pakai topi merah."
Mawar menjatuhkan kepala sekali. Luth sahaja yang memakai topi merah di bangku sana.
Senyuman terukir di bibir lelaki asing itu. "Siapa yang sakit?"
"Awak ni siapa? Kawan suami saya ke?" hairan Mawar. Setahunya Luth tidak punyai kawan di kawasan perumahan.
"Bukan kawan. Cuma hari tu dia pernah tolong saya. Tak sempat nak balas budi dia. Rezeki pula boleh terjumpa dekat sini. Anak ke yang sakit?" soal lelaki berkenaan.
"Bukan. Suami saya yang sakit."
"Sakit apa?"
"Kanser otak."
Mata lelaki itu membulat terkejut. "Astaghfirullah... Dia dah buat pembedahan?" Dua kali dia terlihat Luth, dua kali juga Luth bertopi merah. Ekor parut jahitan dapat dilihatnya.
Mawar menggeleng sambil tersenyum. "Doktor kata lagi 10 hari untuk bedah buang tumor."
"Maaf, parut jahitan yang sedia ada dekat kepala dia tu kenapa pula?"
"Suami saya kemalangan tiga bulan lepas. Sebab kemalangan tu jugalah baru kami tahu yang dia dah ada kanser lama dah. Sekarang ni tengah buat rawatan dekat hospital ni," terang Mawar.
"MasyaAllah... Kuatnya dia.." Lelaki itu sendiri terkedu walhal Luth bukanlah rakannya. Dia bertambah sayu melihat wajah anak kecil dalam dukungan Luth.
"Doakan suami saya." Tiada apa yang mampu diharapkan Mawar melainkan sekuat-kuat senjata yakni doa. Dia amat perlukan doa semua orang untuk kesembuhan suaminya.
"Insya Allah. Maaf menyibuk, tapi... Berapa kos pembedahan? Kalau tak cukup saya boleh tambah. Sebab suami cik pun pernah hulur duit dekat saya."
"RM30 000. Kami tengah cari sumbangan orang ramai... Tapi tak jalan pun. Hanya seratus dua ratus je jumlah sumbangan. " Mawar tidak rasa lelaki di hadapannya akan menghulurkan duit sebesar itu.
Amaun yang amat banyak membuatkan lelaki itu bertambah sayu. Dia sendiri bukan orang senang, kais pagi makan pagi kais petang makan petang. "Saya akan hulur mana yang mampu. Cik boleh berikan nombor akaun bank?"
"Boleh."
Nombor akaun atas nama Mawar binti Zainal dicatat ke dalam nota telefon. "Nama saya Azhar. Apa nama suami cik?"
"Luth."
Luth bin Abdullah.
***
Earpod dimasukkan ke telinga sambil mata sibuk melihat skrin Iphone milik sendiri. Dia baru sudah menikmati makan malam yang dibelk dari luar. Pinggan makanan telah penuh di singki dapur, ditambah pula dengan mangkuk dan cawan yang tidak berbasuh hampir tiga hari.
"Hm... Baru sudah makan. Ibu makan apa hari ni?" Memandangkan dirinya sedang bosan, panggilan Puan Dalila diangkat sahaja. Terus Hakim merebahkan diri di atas sofa tiga serangkai di ruang tamu.
"Ibu makan nasi goreng ayam. Dah solat?"
"Dah." Apa punya soalan, dia bukan anak kecil yang perlu disuruh solat
"Kim doakanlah Luth. Malam ni dia buat pembedahan kecil untuk keluarkan cecair otak dia. Ibu risau..."
Nada sedih ibu merundumkan hati Hakim. Hakim bukanlah tidak kasihankan Luth, Luth juga kawannya. "Insya Allah, biar Hakim jemput dia balik hospital nanti"
"Terima kasih. Lagi satu ibu ada hajat nak minta dekat Hakim..."
"Apa, bu?"
"Boleh tak Hakim tolong survey apa-apa pekerjaan kosong untuk Mawar? Dia nak sangat kerja sambilan untuk tambah duit pembedahan Luth hujung bulan ni."
"Hmm... Tengoklah. Mawar ada kelayakan apa?" Hujung keningnya digaru perlahan. Jari laju meluncur di atas skrin telefon.
"Mawar tak sekolah pun. Dia tak ada sijil SPM. Tapi dia sanggup buat apa-apa kerja."
"Susahlah kalau macam tu. Zaman sekarang ni semua nak sijil SPM. kalau takde sijil pun paling kurang dapat RM500 je sebulan. Tak berbaloi langsung," komen lelaki itu. Apalah sangat dengan gaji RM500? Nak beli barang dapur pun tak lepas. Dia cukup tidak berkenan melihat orang susah dan tak berpendidikan seperti Luth mahu ambil anak angkat. Risau anak itu akan terkena tempias kesusahan dan kurang pendidikan.
"Kim tolonglah carikan kerja, ya?"
"Hm... Ya-ya. Tengoklah macam mana..." keluh Hakim. Dia tidak dapat menolong Luth sekeluarga kalau sudah ditakdirkan Mawar dan Luth tidak berpendidikan tinggi seperti dirinya. Panggilan diletakkan Hakim.
Ibu jari melekap di skrin. Mata Hakim terhenti pada status whats app salah seorang rakan sekerjanya. Dua tiga kali juga dia asyik ditayangkan status dan gambar ini. Tadi di Facebook, sekarang telah tular pula di status rakan pejabat. Perenggan yang amat panjang itu dibaca satu demi satu barisan dengan penuh tanda tanya.
Minggu lepas ada seorang bro ni hulur duit dekat aku. Kisahnya macam ni, masa tu aku dah beratur dah untuk bayar, tengok-tengok gaji tak masuk lagi. Sepatutnya gaji aku masuk on time, jadi hari tu aku malas nak check awal-awal. Aku ambil je barang masuk dalam trolley, pampers, susu anak, barang dapur... Dah nak bayar ni, baru aku terdetik nak check gaji. Memang tak masuk lagi. Aku dah risau sebab rumah aku memang dah kosong barang dapur dan perlukan semua barang-barang tu. Tiba-tiba, bro yang depan aku ni tanya kenapa. Aku cakap sebaris ayat je. Dia terus hulur RM200 cash tanpa syak apa-apa. Masa tu Allah je tahu macam mana bersyukurnya aku. Bro tu tak minta bayar balik pun. Aku tak kenal dia, dia tak kenal aku. Tapi aku tahu dia pun ada anak juga bila aku nampak pampers yang dia nak bayar. Pakaian dia biasa je, datang kedai pun naik motor. Aku tahu dia bukan orang berada. Dia sama macam aku, seorang lelaki yang masih bergelut dengan ekonomi dan nakkan yang terbaik untuk anak bini....
Hari ni aku terjumpa bro yang sama dekat hospital. Dia datang dengan bini dan anak dia yang masih bayi. Aku tanya isteri dia, siapa yang sakit? Isteri dia jawab suami dia yang sakit. Sebenarnya bro yang hulurkan aku duit RM200 tu tengah derita kanser otak. Dia perlu buat pembedahan dalam dua minggu lagi dan perlukan RM30 000. Isteri dia kata memang pun mereka tengah cari sumbangan tapi tak ada pun lagi yang hulurkan.
Aku tak tahu kenapa ada manusia baik macam ni. Dia bagi aku RM200 padahal dia tengah cari dana untuk pembedahan yang melibatkan hidup dan mati.
Tak banyak aku minta, cukup untuk seorang hulur RM5 untuk bro ni. Anggaplah korang tengah belanja member makan tengah hari. Lepas dah sumbang, sebarkan post aku ni dekat wall Facebook, status whats app dan segala media.
Insya Allah, cukup 6000 orang sumbang, cukuplah RM30 000.
6000 orang x RM5 = RM30 000
Sebarkan seikhlas hati! Orang baik, ramai sayang.
Sumbangan ikhlas boleh salurkan ke nombor akaun.... read more
Gambar seorang lelaki bertopi merah yang sedang menggendong anak kecil telah diselitkan ke dalam rantaian mesej. Gambar berkenaan telah ditangkap senyap-senyap tanpa Luth mengetahuinya. Mawar juga tidak dimaklumkan apa-apa.
Hakim hampir tercengang. Sejak bila Luth diviralkan? Hebat sungguh kuasa media sosial. Bagaimana Nizam dan Ikram turut terjebak sekali menyebarkan post Facebook seorang insan bernama Azhar?
Laju jari Hakim membuat balasan status berkenaan. Nizam juga sedang atas talian.
Nizam Razak
Kau percaya ke post macam ni?
Aku tak kisah betul atau tak.
Tapi bila tengok lelaki tu dengan
anak dia, aku tahu dia bukan
orang senang. Kau share la juga.
Nanti boleh dapat saham akhirat.
Hakim menggulingkan biji mata ke atas. Mana mahunya beri duit kepada orang senang lenang atas dasar kasihan. Dia hanya berikan duit pada ibu pun atas asbab ibu telah mengasuhnya. Lelaki itu bingkas berdiri dan menuju ke dapur.
Keadaan singki yang penuh dengan pinggan mangkuk dipandang lama. Segelas air sejuk diisi sebelum punggung dilabuhkan ke atas bangku kayu meja makan.
Mata lelaki itu mengerling pula keadaan ruang tamu rumah sendiri yang agak berselerak. Bakul dobi belum lagi dihantar ke kedai. Dia asyik sibuk dengan kerja sahaja.
Terdetik satu idea. Jika memang Mawar mahukan kerja dan perlukan duit, apa kata kerja sahaja sebagai pembantu rumahnya?
***
votexkomen
terima kasih kerana masih setia menemani Luth di hentian akhirnya! vote dan komen.
apa perasaan korang dah bab ni?
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro