Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

38 Anak syurga

"Okay hari ni?" Mahfuz yang baru berlabuh meletakkan beg galasnya di sebelah. Dia menghulurkan tangan buat bersalaman dengan Luth.

"Okay je, alhamdulillah. Aku dengar... Fatihah mengandung. Betul ke?" Luth tersenyum di situ.

"Siapa beritahu?" Mahfuz agak terkejut. Dia sendiri tidak mahu menghebohkan berita itu kerana kandungan Fatihah baru saja menjangkau usia dua bulan.

"Mawar. Dia seronok sangat beritahu aku semalam. Katanya kawan dia mengandung juga." Nampaknya dua-dua gadis muda itu bakal menjadi ibu. Keadaan berubah sekelip mata dengan izin Ilahi.

"Tapi kau jangan beritahu siapa-siapa tau. Biar kita-kita je tahu," pesan Mahfuz.

"Aku mana ada kawan lain nak beritahu. Kenapa kau nak risau sangat?" Dagu ditongkat Luth. Dia bukannya lelaki yang suka gosip liar.

"Aku tak nak ada orang doakan perkara buruk dekat Fatihah. Manusia ni rambut sama hitam, hati lain-lain. Kadang-kadang sebab sedikit nikmat pun ada yang nak membenci. Anak aku baru nak masuk dua bulan dalam rahim Fatihah. Aku nak rahsiakan dulu..." bilang Mahfuz. Pemuda itu melonjak gembira dengan khabaran kehamilan Fatihah, dalam masa yang sama diri cuba dikawal juga. Ini anak sulungnya. Tak mahu terlalu gembira, takut nanti ada yang berduka.

"Kau kan ramai kenalan dekat luar sana. Betullah tu, takut ada yang berniat buruk. Nasib baik aku tak ramai kawan."

"Dekat mana kita berhenti semalam?" Sebuah buku nipis dibawa keluar Mahfuz. Dia sudah bersedia mahu mengajar Luth. Ridak pada bahu yang hendak terlurut dibaiki kembali.

"Syarat sah solat," balas Luth laju. Akalnya mampu mengingati banyak perkara sekarang ini. Kerusi ditarik lebih dekat.

"Baguslah kau ni. Sakit-sakit pun nak belajar. Aku boleh je sambung pengajian kita esok lusa." Raut wajah pucat Luth di pandangnya.

"Aku cuma takut esok lusa aku dah tak sempat nak belajar. Bila nafas terakhir pun kita tak tahu. Aku tak sihat pun sebab kesan sampingan kemoterapi je, selebihnya masih boleh bergerak macam biasa." Tulang belakang disandarkan pada bahu kerusi. Seraya dengan itu wajah diangkat membalas pandangan Mahfuz. "Lagipun aku tak buat apa-apa dekat rumah. Aku tak nak bazirkan masa aku. Aku nak... Semuanya digunakan dengan baik."

Mahfuz terjentik dengan ayat-ayat lantunan Luth ini. Kitab yang terbuka dikatup rapat. Tidak beradab jika bercakap sedang buku masih terbuka. "Kau okay tak ni?"

"Kenapa?"

"Semalam pun kau ada cakap pasal mati." Lelaki berkopiah itu seakan sedar pada satu perkara. Luth sepertinya ada sesuatu yang cuba disorokkan.

"Aku dah ingat mimpi aku sewaktu koma... Lepas pembedahan tu... Aku kena seksa dengan bara api. Sakit sangat." Luth tersenyum nipis. Hingga kini memorinya bercantum satu per satu dengan baik.

"Manisnya peringatan yang Allah berikan dekat kau."

Luth menangguk sekali. "Ya, aku baru sedar benda tu. Lama sangat dah aku leka dengan arus mimpi dunia. Aku nak kembali kepada fitrah seorang hamba. Allah dah tegur aku banyak kali... Dia buat aku kemalangan teruk sampai kena belah kepala. Kau tahu apa hikmah dia?" Jeda. Luth cuba mencari nafas. Terlalu besar rahmat yang telah Allah hadiahkan. "Mimpi masa koma tu... Aku nampak Mawar kena rogol depan mata. Tu teguran paling hebat aku dapat supaya aku tinggalkan dunia zina aku. Sayangnya... Lepas aku sedarkan diri dari koma, aku masih leka. Aku suka lewat-lewatkan solat... Memang aku dah tinggalkan dosa-dosa maksiat tapi aku tak tunaikan kewajipan seorang hamba seperti solat lima waktu. "

" Lagi satu... Allah buat aku kemalangan supaya doktor dapat kesan tumor otak aku. Kalau tak... " Luth menggeleng sahaja.  "Kalau tak aku akan mati sebab kanser ni. Banyak sangat hikmah dia sampaikan aku tak tahu nak cakap macam mana." Wajah diraup lelaki itu.

"Aku ingat itu je teguran aku... Tapi Allah hadirkan pula mimpi seksaan selepas mati. Banyak sangat... Sampaikan aku tak percaya aku masih hidup lagi sekarang ni," sambung Luth. Bibir mengoyak senyuman nipis. Kalau lidah masih mahu menunjangkan bahawa Allah tidak pernah memberikannya Hidayah, nescaya Luth telah menipu besar.

"Untunglah kau. Ada orang yang lalai, terus lalai tanpa peringatan. Kadang-kadang bila tengok kau pun, tu jadi peringatan untuk aku si fakir ni." Sejujurnya, cara pandang Mahfuz banyak juga berubah sejak koma tempoh hari. Dia yang dahulu memandang rendah pada Fatihah kini telah mengangkat gadis itu sebagai isteri. Mata yang tidak menganggap orang tidak setaraf itu sahabat telah berganti atas kesedaran diri.

"Kau dah alim soleh. Kau nak baiki apa lagi?"

Hujan turun menimpa atap beranda. Mata dilirikkan melihat kawasan ruang tamu yang ditutupi pintu berpagar. Ya, Luth memang suka menikmati hujan sewaktu kecil. Di tingkap ruang tamu, dia akan bertenggek dan mengintai suasana luar rumah. Suara kanak-kanak rumah asuhan dari dalam sana mendamaikan hati Luth.

"Mungkin aku pandai banyak benda... Hidup aku dari kecil terpelihara dengan didikan walid tapi tak siapa tahu pengakhiran aku macam mana. Itulah perkara yang kita tidak tahu."

"Penat kan hidup ni? Ikut jalan mana-mana pun penat juga... Jadi anak ustaz penat, jadi anak lorong penat..." Luth menoleh ke jalan di hadapan rumah. Hidung dapat menangkap bau air hujan.

"Mestilah. Ni bukan syurga, Luth. Mana-mana jalan yang kau ambil akan ada ujian. Aku ada ujian aku sendiri, kau pun ada." Dalam diam, Mahfuz amat mengkagumi Luth. Sejahil-jahilnya masih bertatih untuk ke keluar dari kegelapan.

"Aku ada tiga benda yang aku nak dalam dunia ni. Kalau dapat tiga ni, mati pun tak apa dah," khabar Luth.

***

"Assalamualaikum warahmatullah..."

Salam mengakhiri solat jemaah pada malam itu. Dua telapak membentuk cupakan, kepala menunduk dengan mata yang terpejam.

Doa dibaca, suara garaunya bertukar nada. Apa yang nak diminta, itulah dimaktubkan. Selesai berbicara, wajah pun diraup perlahan. Badan dihadapkan ke belakang pula kerana dia mahu bersalaman dengan sang isteri.

"Satu, aku nak solat jemaah dengan isteri aku setiap hari."

Tangan beruratnya disambut Mawar. Kulit kekura tangan menjadi tempat bibir delima gadis kesayangannya berlabuh.

"Aku bodoh sebab anggap solat jemaah ni tak penting dalam perhubungan suami isteri. Padahal dengan solat ni lah... Akan baiki balik kedinginan hari tu. Solat ni buat aku sedar yang Mawar makmum aku, dan aku ialah imam Mawar. Besar tanggungjawab aku."

Kucupan tadi dibalas di atas dahi. Terulik bahagialah ibu hamil itu. Dia terus memaut lengan Luth, mahu menempel di sebelah tubuh suaminya.

Dengan telekung putih, mata dilelapkan di situ. Geram mahu melepaskan penat lelah seharian. Sudahlah cuaca asyik memancar terik matahari sahaja, Mawar pula terpaksa berkongsi tenaga dengan kandungannya. Puasa Ramadhan kali ini jadi lebih mencabar. Tak dilupakan, mahu menyusukan si kecil Aira.

"Eh," Luth pura-pura terkejut. Keningnya naik sebelah. "Kenapa nak dekat-dekat ni?"

"Saja. Mawar rindu dekat abang," jawab Mawar. Jari turun ke kekura tangan Luth lalu bersulaman dengan tangan berurat itu.

"Yang botak jendul ni pun ada orang rindu ke? Pelik betul." Sebelah tangan yang bebas dari cengkaman Mawar digunakan buat melipat sejadah.

"Ada." Laju Mawar mengangguk. Rahang Luth dipagut Mawar. "Mawarlah orangnya."

Tulang kening Luth diusapnya lembut dengan hujung jari. Dia membetulkan kedudukan silaan di sebelah sang suami. "Tak apa, nanti kalau abang dah sihat... Rambut abang akan tumbuh balik. Nanti Mawar nak letak minyak, nak sikat rambut abang. Sekarang pun kacak juga apa? Biar pun takde kening. Kan comel ni..."

"Terima kasih." Luth ketawa halus. Kepala Mawar ditarik lebih dekat lalu dia mengucup ruas dahi isterinya sekali lagi. Sejuk hati dipujuk begini. "Mawar pun comel juga."

"Comel-comel sebab mengandungkan anak abang." Nafas halus dihela gadis muda itu. Dia memuncungkan bibir, sedikit terganggu dengan perubahan hormon sendiri. Di pelipisnya terdapat parut jerawat dan beberapa ketul jerawat yang entah datang dari mana. Tangan pula gatal sahaja hendak menggaru. Hasilnya, kedua-dua belah pelipis kini berparut. Berat badan pula makin bertambah. Kusutnya memikirkan cara buat mendapatkan diri yang dahulu.

"Sabarlah sayang, lagi tiga bulan je. Abang pun kena bersabar juga... Lagi tiga sesi kemoterapi, lepas tu abang boleh bebas," pujuk lelaki itu. Kekura tangan Mawar diusap kasih.

"Tapi Mawar tak kisah pun abang takde rambut takde kening, sebah takde siapa nak pandang abang. Kalau tak... Sebelum ni ada je mata-mata nak curi pandang. Bagus juga, kan? " Sempat lagi Mawar menokok tambah.

Bibir dibulatkan. Luth mengangguk faham. "Abang doakan Mawar lagi gemuk, biar takde siapa pandang juga."

Wajah Mawar berona merah bak tomato. "Abang!"

"Baru naik 7kg, kan? Takpe kita tunggu... Esok lusa naik lagi 2kg. Lagi tiga bulan, naik 20kg. Tahniah, Mawar, " usik Luth.

"Abang sengaja nak sakitkan hati Mawar," marahnya. Kembang kempis hidung menahan geram. Dia punyalah penat berdoa setiap hari mahu kurangkan berat badan, si Luth ini mahu doakan hal yang bertentanganan pula.

Pecah tawa lelaki itu. Dia mendakap tubuh isterinya dengan erat mahu memujuk. Maka, gadis itu bergelut kecil dalam hangat pelukan lelaki kesayangan.

"Cakap lagi macam tu... Mawar nangis baru tahu..." Tidak terduga, mata si bunga berkaca-kaca.

"Abang gurau je. Janganlah marah, sayang. Hari-hari abang akan doakan isteri abang ni cantik. Cantik untuk abang seorang. Ya? Dah..." Sisi kepala gadis itu dilekapkan dengan dua telapak tangan. Terserlah pipi tembam Mawar  apabila Luth buat begitu. Bibir merahnya diketap dalam kesedihan.

"Abang ingat senang ke nak turunkan berat? Tsk... Mawar tak pernah berat lebih daripada 60kg seumur hidup."  Air mata Mawar jatuh di pipi.

"Sayang...." Tali telekung ditanggalkan Luth. Dia membuka kain putih itu sambil tersenyum nipis. Kemudian, anak tudung isterinya ditarik ke bawah sebelum tubuh Mawar dipeluk kasih. Terasa lekukan perut gadis itu bersentuhan dengan badannya. "Mawar sayang, jangan menangis."

"Abang yang buat Mawar menangis... Padan muka abang," ujar Mawar separa berbisik.

"Shh..." bisik Luth di tepi telinga buah hatinya. Tangan kekal mengusap belakang badan isteri hingga esakan kecil Mawar beransur pergi. Pandai mengusik, kenalah pandai juga memujuk.

Tenteramnya berada di sisi suami. Dengan dia, rasa selamat itu ada. Mawar selesa dibelai Luth di atas lantai bilik. Kedua-dua meteka duduk bersimpuh menanggung rasa.

"Abang nak pergi jumpa ibu sekejap. Ibu panggil abang tadi. Mawar naik atas katil dulu, ya?"

"Baik. Tapi..." Jeda. "Abang jangan mengada nak tidur dengan ibu."

"Takdelah. Tu abang dah buat siang tadi. Abang qailullah dalam bilik ibu." Ada-ada sahaja cemburu buta Mawar. Mujurlah Luth tak punya kawan perempuan. Yang ada pun cuma Hakim dan Mahfuz. Kalau dengan dua orang lelaki itu Mawar mahu cemburu juga, Luth pun boleh pening.

"Okay." Perut besarnya dipegang ketika bangun berdiri. Mawar berlabuh di birai katil dengan berhati-hati. Si kecil Aira masih terpejam matanya di katil mereka. Sebuah bantal berupa pisang menjadi peneman Aira di kala kedua-dua ibu bapanya sibuk solat Isyak sebentar tadi.

"Nanti abang datang balik, ya? Macam ada perkara penting je yang ibu nak cakap." Lelaki itu bingkas berdiri. Dia memang boleh berjalan seperti lelaki normal. Hanya kerana rasa penat cepat menyinggah, maka kerusi roda menjadi peneman apabila hendak berjalan jauh.

***

"Bu..."

Suara yang amat dikenali memecahkan kesunyian kamar Puan Dalila. Telefon pintar ditelakupkan di tepi peha.

"Kenapa ibu panggil Luth? Rindu ke?" seloroh pemuda itu. Dia segera hadir kepada Puan Dalila.

"Perasan," balas ibu yang tersenyum kecil. "Ni lama sangat nak datang bilik ibu... Buat apa tadi, hm?" soal Puan Dalila.

Luth menghelakan nafasnya. Kening yang gatal digaru sebelum kepala dilabuhkan di atas riba Puan Dalila. "Luth solat berjemaah dengan isteri Luth... Lepas tu Mawar buat drama air mata dia pula. Itu yang lama sikit. Biasalah, perempuan. Jadi, kenapa ni? Ada apa?"

"Luth ingat Umar?"

Bebola mata memandang siling bilik ibu. Luth berfikir sejenak dengan silangan tangan. Dia yang terbaring menerima usapan di kepala. "Budak... Yang ibu kata tak wujud..."

"Cuba Luth tengok, ni gambar dia ke?" Skrin telefon dipamerkan buat tatapan anaknya.

Liur tersekat di kerongkong. Luth hampir kehilangan kata. Sebuah figura kanak-kanak bermata luas menyengat memori ingatan lama. "Ya... Ni dia."

"Dia pernah diusulkan pada ibu untuk masuk dalam rumah jagaan kita pada tahun lepas." Pencarian Puan Dalila berakhir juga. Telefon itu dimatikannya.

"Kenapa, bu?" bisik Luth. Sungguh dia panasaran. Umar itu baik budaknya.

"Tapi ibu tak sempat pun nak ambil dia. Ada sesuatu terjadi. Dia kena bunuh dengan ibu bapa dia." Hakikat kebenaran disebalik kisah seorang kanak-kanak yang sering hadir berjumpa Luth terungkai sedikit demi-sedikit. Pahit khabaran itu untuk ditelan Luth.

Reaksi wajah Luth amat terkejut. "Ta-tapi... Dia datang jumpa Luth..."

"Dia dah mati Luth. Mak ayah dia buat dadah... Umar pula dijadikan keldai dadah yang senang nak diperbodohkan dengan upah sebatang ais krim." Berkali-kali Puan Dalila berfikir sama ada hendak beritahu pada anaknya atau tidak. Luth hampir sembuh, mungkin inilah masa yang paling sesuai.

"Nak ais krim?" pelawa Luth.

"Tipu," balas Umar. Dia tidak akan pernah sesekali untuk mempercayai orang dewasa. Nafas ditarik dalam sebelum diliarkan mata ke sekeliling.

"Betul lah, abang nak pergi kedai ni." Luth mendaratkan tangan ke atas kepala Umar. Digosok ubun-ubun anak itu sambil tersenyum manis. Dia tidak pasti siapakah kanak-kanak itu, mungkin kanak-kanak baharu yang diambil ibu.

"Nak ikut tak?" Luth menegakkan batang kakinya. Dia menggeliat kecil sebelum melangkah ke pintu utama.

"Polis dapat jejak kegiatan ibu dan ayah Umar ni... Sayangnya ayah dia jadikan Umar sebagai tawanan. Keadaan mendesak, Umar kena tembak dengan ayah dia sendiri. Pihak polis tak dapat selamatkan Umar. Kes dadah ni berat, pasangan tu dibawa ke tali gantung tanpa budi bicara," sambung ibu.

" Ibu..." Luth menggeleng. "Dia datang jumpa Luth, ibu. Demi Allah, Luth tak reka cerita."

"Ibu tak kata Luth salah. Tapi sayang ibu, Umar dah takde. Dia dah diambil nyawa dan menjadi anak syurga." Lembut sahaja pujukan Puan Dalila.

"Anak syurga..." Luth mengulang bicara bondanya. "Allahuakbar..."

"Mama dan papa memang banyak dosa. Tapi dorang jaga Umar... Lahirkan Umar beri Umar makan... Mar nak bawa mama dan papa sama-sama ke sana." Jari menuding kawasan padang hijau tidak jauh dari mereka.

"Mana mama dan papa? Biar abang carikan," tawar Luth.

"Mama dan papa kena azab. Tapi nanti mama dan papa akan datang sebab kanak-kanak yang mati sebelum baligh boleh memberi syafaat kepada kedua orang tuanya."

"Ha?" Luth tidak mengerti. Kening yang tidak gatal digaru.

"Tak ada apa. Abang masuk dulu, nanti kita main sama-sama. Nanti kita beli ais krim lagi ya? Janji?" Umar mengangkat jari kelingking ke udara. Barisan gigi jarang kelihatan.

"Okaylah. Abang janji. Nanti kita jumpa lagi." Lelaki itu menyambut janji. "Terima kasih, Umar

"Dia baik, bu." Mata terkelip-kelip memandang Puan Dalila dari bawah. Hangat tangisan membilas tubir.  "Dia yang ajar Luth supaya maafkan ibu... Supaya sayang ibu... Dalam koma, dia datang jumpa Luth lagi. Dia kata, dia nak bawa papa dan mama dia sama-sama. Sedikit pun Luth tak nampak perasaan benci pada air muka dia."

Sukarnya hendak bercakap apabila menangis begini. "Luth dah janji dengan dia untuk jumpa nanti... Jumpa... Dekat syurga. Sebab memang tempat dia di syurga. Luth je tak tahu lagi pengakhiran Luth macam mana."

"Luth jadi anak syurga ya untuk ibu?" Senyuman melekuk di bibir tuanya. Ibu memandang Luth dengan kasih di dada.

"Luth akan jadi. Sebab Luth nak bawa ibu ke sana... Macam Umar." Kekura tangan Puan Dalila dikucup lama. Tak mahu lepaskan syurganya.

***
votexkomen
***

komenlah :( panjang tau bab ni. Kenapa ramai silent je. huhu

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro