Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

35 Ingatan

Daripada berbaring di atas katil, dia duduk bersandar pula. Lutut dirapatkan ke dada dengan lingkaran lengan. Anak tekak terasa pahit kerana asyik disumbat pil tanpa serlingan santapan makanan ruji.

Dalam kegelapan malam, rasa mengantuk tidak dapat menyelubungi diri. Yang ada menemani hanyalah rasa gundah gulana. Sesaat pun Luth tidak dapat bernafas dengan tenteram dek sangkaan yang bermacam.

Dia cuba melawan memori buruk yang hadir ini.

Perlahan-lahan ruas dari direhatkan pada permukaan lututnya. Kebelakangan ini juga mata sukar dilelapkan pada waktu malam kerana asyik berehat di siang hari. Sedar-sedar sahaja nanti hari sudah pagi.

"Tak boleh tidur?" bisik satu suara yang lunak.

Luth menoleh ke tepi. Dilihat isterinya juga sedang duduk di sebelah dengan mata yang terpisat-pisat. Uraian rambut hitam jatuh ke bahu.

"Tak..." jawab Luth. Niat di hati mahu menjadi cendana sahaja sehingga waktu pagi jika begini. Dua jam lamanya mata dilelapkan, dua jam juga dia tidak terlayar di alam tidur.

Gadis muda itu terus mengesot mendekati Luth. Perlahan-lahan senyuman membentuk sambil tangan mengusap lengan sang suami. "Abang rasa sakit malam ni? Kebas?" Mawar masih berkerut dahinya, masih mamai.

"Tak. Abang okay," jujur pemuda botak itu. Dia hanya tidak dapat melelapkan mata. Selebihnya, setiap inchi tubuh badan dalam keadaan baik-baik sahaja. Alhamdulillah, Allah berikannya hidup hari demi hari di saat jiwa merintih mahu mati dek gundahnya kehidupan realiti.

"Ab-" Satu bunyi asing memaksa Mawar mengetap dua ulas bibir kembali. Telinganya dan Luth menangkap bunyi itu lalu terledaklah tawa kecil Mawar. Gadis itu geli hati.

"Abang lapar?" Dia tersenyum-senyum memandang lelaki berbaju lengan pendek di sebelahnya. Di tengah malam buta, boleh pula perut Luth bergendang kuat.

Luth juga mengoyak senyuman kecil. "Lapar." Sepatah yang ditanya sepatah juga dijawab.

"Abang nak makan apa? Biar Mawar masakkan." Lengan Luth ditepuk lembut. Jika lapar, ubatnya hanya makan. Barangkali selepas kantung perut berisi Luth dapat beradu dengan tenteram. l

"Tak apa ke?" Luth khuatir andai permintaannya bakal mengacau waktu tidur Mawar. Lelaki itu jadi serba salah. "Tak payah lah."

"Tak apa..." Mawar menggeleng sambil memaniskan wajah. Telapak tangan menenyeh kedua-dua mata. "Mawar tak kisah. Kalau dapat tengok abang berselera makan pun Mawar dah gembira."

Bagi Mawar, itu satu petanda yang bagus untuk disorongkan makanan. Biarlah lidah Luth diransangkan dengan rasa enak masakan sang isteri, agar nanti seleranya boleh bangkit seperti sedia kala. "Jom," bisik Mawar.

Pandangan Luth tidak pun berpusat pada wajah Mawar. Nyata dia sedang memikirkan satu perkara lain.

"Tak ada apa pun dekat luar. Abang janganlah takut... Mawar ada," pujuk Mawar lagi.

"Abang takut kalau ibu kena tikam lagi..." balas Luth. Iris hitamnya mengembang di sebalik samar lampu tidur. Lantas lelaki itu menurunkan kelopak mata, tak mahu melayan perasaan sendiri. Ada masa, memorinya hadir bercampur baur hinggakan Luth tak mampu bernafas dengan baik. Kerana itulah dia lebih suka duduk sendiri di bilik. Andai terjumpa sesuatu yang membawa memori lama, nanti secebis ingatan akan hadir menyeksa.

"Okay, tak apa... Biar Mawar yang masak dekat dapur. Bila dah siap, Mawar bawa makanan datang sini. Tapi abang kena janji yang abang akan makan?" putus Mawar.

"Okay," akur Luth. Lidahnya yang luka semakin pulih. Kepala dijatuhkan beberapa kali. Baru kini perut bergendang meminta diisi.

Ekor mata mengirim sang bunga melangkah keluar bilik. Daun pintu pun dikatup rapat dari luar sana. Perlahan-lahan kaki menyelinap ke bawah kain selimut. Dia akan menanti Mawar di sini.

Dalam kegelapan malam seperti ini, banyak juga perkara yang telah berlaku di suatu ketika. Tempurung anterior dipegang lalu tangannya meraup wajah.

Lama lutut dipeluk rapat ke dada. Dilihat pada rangka tubuh sendiri yang tidak berisi mana. Luth menyembamkan sisi wajah pada lutut kembali.

Jiwanya kosong.

"Abang," panggil Mawar.

Kepala diangkat lelaki itu. "Cepatnya..." bisik Luth.

"Mana ada cepat." Mawar mengambil tempat di sebelah Luth. Di tangannya ada sepinggan nasi goreng kicap yang tidak ditumis dengan apa-apa lada. Gadis itu khuatir lidah Luth akan sensitif dengan rasa pedas mengenangkan lukanya. "Abang ni banyak berangan sampai tak perasan masa berlalu."

Luth menurunkan kakinya laku duduk bersila. Mata menyaksikan wajah sang isteri dalam samar lampu tidur. "Kenapa tak buka lampu?"

"Tak apa. Mawar nampak... Nampak abang pun dah cukup. Abang makan, ya?" Jari mengucup kepalan nasi goreng. Si bunga sudah mencuba rasa terlebih dahulu tika memasaknya. Masakan seringkas ini pernah menjadi kegemaran Luth di suatu ketika. Hanya nasi ditumiskan dengan bawang, kicap dan telur.

Rongga mulut mula disuapkan nasi dalam kuantiti yang mampu dikunyah. Gigi geraham bertemu sesama sendiri. Luth terdiam seketika. Sudah lama rasanya dia tidak makan nasi berlaukkan apa-apa. Asyik-asyik diberi bubur pun boleh naik jemu.

"Abang makan sampai habis... Nanti Mawar tidurkan abang. Okay?" Mawarlah insan yang paling gembira biarpun hanya melihat suami sendiri berselera menyantap masakannya. Detik-detik itu membelai hatinya. Senyuman tidak pernah memudar. Tangan masih menyuapkan nasi kepada lelaki kesayangannya.

Luth mengangguk perlahan.  "Mawar, abang minta maaf sebab tak boleh lindungi Mawar."

"Maksud abang?"

"Abang lambat balik rumah... Sampaikan Mawar kena rogol dengan kawan abang," tutur Luth.

Nafas ditarik dalam. "Abang, jangan cakap benda merepek tu lagi. Mawar tak suka. "

"Abang dah fikir dah. Kalau sekali pun tu bukan daripada benih abang, abang boleh jaga Mawar dan anak tu." Luth memaksudkan kandungan isterinya.

"Abang, tolong... Jangan cakap macam tu." Pinggan plastik itu tergenggam kuat tanpa sengaja. Sakitnya dilayan suami begini hanya Allah yang tahu. "Ni anak abang. Darah daging abang. Mawar tak pernah bersama lelaki lain." Semangatnya kian lemah.

"Tak, abang tahu apa yang berlaku. Abang nampak," nafi Luth pula. "Abang pun tak sanggup nak ingat peristiwa tu lagi. Tu bukan anak abang."

"Abang nak cakap Mawar mengandungkan anak haram?" Sebunya perut. Mata menurun jatuh, tak mahu memandang wajah Luth.

Suapan nasi yang terakhir disua ke arah lelaki itu. Mawar dapat merasakan tangisan sendiri akan pecah tidak lama lagi.

***

"Tak payah datang rumah aku. Lain kali biar aku yang datang rumah kau..." Mencuka wajah Fatihah dibuatnya. Dia yang bertudung sarung memencilkan mata pada Mawar.

"Sama je." Mawar menyilangkan tangan ke dada. Belakang badan disandarkan pada kepala sofa.

"Luth makin sihat?" soal Fatihah. Wajah ketat Mawar menandakan ada sesuatu yang tidak kena.

"Alhamdulillah... Dia dah berahi nak makan. Sebelum ni, dia memang tak makan langsung." Mawar menyimpulkan senyuman nipis.

"Jadi kenapa kau dingin je ni. Ada masalah lagi ke? Ceritalah dekat aku apa yang mengganggu fikiran kau," pujuk Fatihah. Lengan sahabatnya ditarik turun ke lantai sofa.

"Kau tahu kan aku mengandung? Dah nak masuk dua bulan..." Mawar mula menyuarakan kesaratan hatinya. Memang dia telah ceritakan pada ibu, namun nasihat daripada seorang kawan masih diperlukan. Sekalipun tiada nasihat, dia hanya mahukan bahu Fatihah buat menangis di situ.

"Luth tak mengaku ni benih dia... Dia kata aku pernah kena rogol dulu," sambung Mawar.

"Astaghfirullah, kenapa dia kata macam tu?" Fatihah agak terkejut pada awalnya. Tuduhan tidak berasas sedemikian nahu saja ditentang keras. Dia tahu Mawar masih memelihara kehormatan diri, tidak seperti diri sendiri yang telah lama tergadai maruah di tangan lelaki lain sebelum bernikah dengan Mahfuz.

Mawar terus menggeleng. "Aku tak tahu," bisiknya.

Fatihah menarik bahu Mawar. Sisi wajah sahabatnya dikucup lembut lalu diusap belakang tubuh Mawar. "Ni anak kau dan Luth, kan?"

"Aku tak pernah tidur dengan lelaki lain... Aku tak pernah kena rogol... Aku kahwin dengan Luth dalam keadaan aku masih dara. Hanya Luth yang sentuh aku sejak akad nikah," khabar Mawar. Anak matanya memenungkan penjuru meja kopi. Tidak tahu apa salah sendiri. Segala tanggungjawab seorang isteri cuba ditunaikan dengan baik sekali. Balasan yang tidak enak begini bagai melunturkan ketabahan hati.

"Sabar, Mawar... Luth belum sihat lagi. Beri dia masa... Aku tahu kau isteri yang baik. Kau jaga suami kau siang malam, kau jaga Aira... Sebab Aira tu amanah Luth untuk kau. Sekarang ni kau bawa zuriat Luth pula... Masih amanah daripada Luth. Kau sangat kuat, Mawar."

"Aku terpaksa nampak kuat depan Luth. Hakikatnya aku lemah... Perkara kecil macam ni pun boleh buat aku menangis teruk," potong Mawar.

"Kalau kau lemah, kau takkan mampu jaga suami yang sakit. Kau takkan mampu ambil anak angkat, kena susukan lagi padahal kau masih muda. Secebis tentang keibubapaan pun kau tak tahu masa tu... Allah Ta'ala tahu yang kau kuat... Tengoklah... Benih Luth melekat dekat dinding rahim kau. Rahim seorang isteri yang kuat." Tiupan semangat dihembuskan pada jiwa Mawar. Fatihah tersenyum kecil. Telapak tangannya mengusap perut kempis Mawar. Dalam hati pula doa tidak henti dipanjatkan supaya janin kecil ini utuh di rahim Mawar hingga dilahirkan ke dunia nyata.

"Terima kasih." Mawar terikut senyum sekali. Abdomennya menerima hangat telapak tangan Fatihah. Menanti masa untuk Luth berbuat begini, tidak sesekali. Dia terlalu mahukan Luth melayannya seperti isteri hamil. Mawar mahu bangun setiap pagi sambil suami menanyakan khabar kandungannya. Sayangnya Luth menganggap ini anak haram.

"Sabar ya. Kawan aku ni nak jadi ibu dah tak lagi... Aku dan Mahfuz je takde rezeki lagi." Fatihah menepuk-nepuk pipi gebu Mawar.

Tiba-tiba Mawar teringatkan sesuatu. "Kau kenal Luth lama dah, kan?"

"Ya. Sejak aku berkawan dengan kau masa 17 tahun... Tapi aku tak kenal dia sangat. Cuma aku tahulah dia abang angkat kau."

"Jujur dengan aku. Luth pernah apa-apakan kau? Ambil kesempatan ke..." Rasa debaran pada jantung memainkan rentak asing.

Kening Fatihah berkerut. "Tak ada pun. Kenapa?"

"Sebab dia ada sebut yang dia pernah nak apa-apakan isteri Mahfuz. Aku terkejut tau... Sebab Luth tak pernah jumpa Mahfuz," tutur Mawar dalam penuh curiga. Betapa takutnya gadis muda itu andai Luth pernah melakukan perkara tidak baik pada Fatihah.

"Luth kenal Mahfuz?" Kotak fikiran diputar gadis bertudung litup itu. Seingatnya, Mahfuz tidak pernah bersua muka dengan Luth.

"Boleh tak kau panggilkan Mahfuz? Dia ada kat rumah, kan? Aku nak tanya sesuatu..." pinta Mawar bersungguh-sungguh. Kedua-dua telapak tangan dirapatkan, merayu pada sahabatnya. Demi Luth, Mawar mahu segalanya terungkap hari ini juga. Barangkali jawapannya ada pada Mahfuz.

"Sekejap." Lantas Fatihah berlalu ke kamar.

Ikon galeri ditekan jari telunjuk. Lajunya luncuran carian sekeping gambar. Si bunga beristighfar di situ. Benar-benar takut jika percakapan Luth itu bertemu kebenaran.

Sekembali Fatihah bersama-sama seorang lelaki berkumis nipis di sebelah dipandang Mawar.

"Kau pernah jumpa Luth?" Soalan ditanyakan melulu. Mawar sudah tidak kisah Mahfuz itu ustaz atau apa. Hatinya sungguh tidak tenteram. Pagi petang siang malam asyik difikirkan Luth sahaja. Lama-lama dia boleh jadi gila dek cintakan Luth.

"Luth?" soal Mahfuz kembali. Dia yang baru berlabuh di sebelah Fatihah menggeleng perlahan.

"Cakap betul-betul. Kau pernah jumpa suami aku atau tidak?" balas Mawar mendatar.

"Ada gambar? Mungkin aku ada terserempak dekat mana-mana." Mahfuz memilih untuk menatap figura lelaki dengan nama Luth berkenaan.

Si bunga memaparkan gambar suami tercinta dalam rupa paras yang masih segak berambut hitam separas bahu.

Mata tidak lepas memandang skrin telefon dalam pegangan. Mawar sedang menanti jawapan dengan wajah ketat. Fatihah juga tertanya-tanya mengapa dua ulas bibir suaminya terkunci buat seketika.

"Abang pernah jumpa Luth?" Fatihah mengelus bahu Mahfuz.

"Pernah. Tapi..." Mahfuz cuba mendapatkan memori pudar itu. Jeda. Pelipis kanan ditekan lembut.

"Tapi bukan dekat realiti. Abang pernah jumpa lelaki ni dalam mimpi abang masa abang koma," sambung Mahfuz. Mata hazelnya memandang sang isteri.

"Mimpi apa?" celah Mawar. Satu patah perkataan pun gadis muda itu tidak mengerti.

"Mimpi tu panjang sangat. Biarlah aku je yang tahu. Mana Luth? Dia okay?" Mahfuz membuat keputusan bagi mendiamkan mimpi yang tidak jauh darinya.

Mawar menghela nafas lelah. "Luth tak okay. Dia sakit... Dia tak dapat ingat dengan betul siapa diri dia dan siapa orang sekeliling dia. Dia kata aku mengandung anak haram sedangkan aku  tak pernah kena sentuh siapa-siapa sebelum berkahwin dengan Luth."

"Kau mengandung sebab kena rogol dengan... Kawan Luth?" tebak Mahfuz.

Rahang Mawar hendak jatuh. Dia menggeleng tidak percaya. Apa yang Mahfuz sedang perkatakan inilah pegangan Luth. "Aku hanya pernah bersama Luth. Rogol? Aku tak pernah-"

"Itulah yang aku nampak dalam mimpi aku," jujur Mahfuz. Telefon pintat Mawar ditelangkupkan ke atas meja kopi. Dia sedar Fatihah dan Mawar sedang memandangnya dalam keadaan hairan. Sentuhan telapak tangan isteri di atas peha dipandang lama. Ingatan mengenai mimpi panjang itu tidaklah begitu kuat mana.

"Mahfuz, tolong beritahu Luth yang mana satu mimpi... Yang mana satu realiti." Mawar merayu kepada lelaki berkumis berkenaan.

***
votexkomen

***
Maaf lambat update!

Siapa tak beli tak nak kawan

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro