Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

22 Azab nyata

Terlalu sukar buat bernafas walaupun satu hirupan. Rasa sakit ini seumpama sayatan pisau belati, merobek tempurung kepala dan menumpahkan darah merah pekat. Cecair merah itu mengalir terus menerus, sehingga kematian adalah anugerah tak terkira.

Kerana sakit ini terlalu berat untuk ditanggung jiwa luluh seorang lelaki lemah.

Lantai bumi digenggam Luth. Dia mula bernafas menggunakan mulut. Tercungap-cungap dengan perit kepala ditebuk. Sungguh sakit ini paling kuat terasa. Sekelip mata Luth telah melupakan sakit yang dahulu.

Belum sempat memulihkan tenaga, muncul pula lembaga hitam bermata merah biji saga. Luth bagaikan terpaku di situ. Dia mahu lari namun seinchi tubuh badan pun tidak dapat dialihkan. Semuanya berasa berat, rasa takut di dada melemahkan tindakan.

Lembaga berkenaan mengangkat tubuh kurus Luth dengan kasar. Kedua-dua tangan Luth diikatnya pada satu benda. Ringisan kesakitan terbit pada bibir lelaki berkenaan. Gari ini bukan seperti gari biasa. Lingkaran pada pergelangan tangan memamah isi nipis di situ. Makin kuatlah rintihan Luth meminta belas kasihan. Dia tidak faham mengapa semuanya jadi begini. Hingga ke urat nadi isi tersiat dek bara api.

Itu baru permulaan dia di dunia ini.

Lembaga itu terus menghumban badan Luth ke lantai berbatu. Sentuh sedikit sahaja, Luth tak mampu tanggung. Inikan pula dibaringkan seperti dipanggang hidup-hidup! Nafasnya beralun tidak menentu. Makin perit seksaan ini tatkala Luth terus dibiarkan terbaring di situ dengan satu ikatan lagi. Tiada jalan untuk lari.

Habis terbakar baju yang dipakainya. Bau hangit daging sendiri terbakar menusuk rongga hidung. Kepala terdongkak ke atas, langitnya merah darah. Bara api menjilat kulit sawo matang hingga ke tulang. Jus-jus daging cuba mereneh keluar dari asalnya.

Perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Takut, gerun, sedih, geram bercampur baur. Suara pun tidak mampu dikeluarkan Luth lagi. Dia mengerang kesakitan di setiap detik yang berlalu. Kini air mata mengalir menuruni pipi pula. Penat menjerit seperti orang gila, semua itu cubaan sia-sia.

"Astaghfirullah..." bisik Luth berkali-kali. "Allah..."

"Kau istighfar macam mana sekali pun dah tak ada guna. Buku amalan kau dah ditutup. Pintu taubat tak akan lagi terbuka, Luth." Gemersik satu suara garau menerpa gegendang telinga.

Luth menggeleng berkali-kali. "Tak! Aku belum mati lagi..."  Air jernih menitis ke lurah pipi hanya bertahan sesaat dua sebelum tersejat menjadi wap. Suhu di belakang badan Luth amat tinggi. Tak dapat dibayangkan bagaimanakah rupa separuh badan yang telah dipanggang sampai hangit. Darah pada isi daging menjadi kering gara-gara batu berbara.

"Masa di dunia, kau tak solat..." Suara garau entah dari mana menerpanya.

"Aku solatlah!" balas Luth.

"Yakin?"

"Aku belajar solat... Aku solat..." Dia memejamkan mata menahan seksaan itu. Tangan hendak diangkat menjadi terketar-ketar.

"Macam mana dengan solat yang kau tinggal selama ni?" Tamparan suara itu menambahkan kegerunan di dada.

"Apa mak-maksud kau..." Dijawab Luth dengan berani yang tersisa.

"Kewajipan solat ke atas orang Muslim bermula sejak dia baligh. Kau baligh umur 15 tahun... Sekarang ni dah 25 tahun kau hidup atas muka bumi. Mana solat-solat yang kau dah tinggalkan tanpa secebis rasa bersalah? Baru bulan ni kau nak solat, itu pun sengaja lewat-lewatkan."

10 tahun Luth tidak solat. Sehari punya lima waktu. Dalam sebulan sahaja Luth telah meninggalkan 600 kewajipan ketika fasa kejahilannya.

5 waktu solat x 30 hari = 600 waktu solat

10 tahun bersamaan 120 bulan, yakni jika dikalikan 600 waktu solat akan menjadi 72 000.

"Ya, Allah..." Benarkah dia telah mati? Langit merah tidak lagi kelihatan biru. Di manakah dia telah tercampak?

Rasa sakit yang ada bagaikan nyata. Bau daging hangit, api menggelegak dan kepanasan yang tidak mampu ditanggung oleh seorang manusia.

"Seronok bukan datang ke sini dengan bawa dosa 72 000 solat yang sengaja ditinggalkan?" sinis suara asing itu menyoal.

"Aku tak tahu... Aku jahil..." Kepala menggeleng lemah. Kudrat terhakis sedikit demi sedikit di atas bara api.

"Kejahilan bukanlah satu keuzuran. Setiap hari kau dengar azan berkumandang, tapi apa reaksi kau? Sia-sia sahaja hidup. Bahkan kau pernah berzina dengan perempuan lain ketika azan!" Suara itu bertambah seoktaf.

Luth menurunkan kelopak matanya dengan ketakutan. Dia tidak mahu melihat apa-apa. Hati kuat memujuk diri bahawa semua ini hanyalah mimpi.

Astaghfirullah...

Astaghfirullah....

Astaghfirullah....

"Masa atas dunia tak nak pula beristighfar?" Hambur suara itu.

Sakit ini ditahannya dengan istighfar. Jeritan perit memecah benak, namun hatinya masih melafazkan kalimah keampunan. Gigi geraham bertemu sesama sendiri di dalam mulut. Hampir retak dinding enamel kerana diketap terlalu kuat. Andai diletakkan lidah dicelahan gigi, nescaya telah terputus.

Puas dipanggang, Luth diletakkan di atas batu berbara di kawasan lain pula. Sungguh pun sakit, perasaan lapar turut menusuk perut. Bagaikan telah terdampar tujuh hari menanggung azab tubuh dipanggang, kantung perut mula terik. Tanpa berfikir panjang serpihan batu berbara dikutip lalu ditelan rakus. Sakit dan panas melecurkan tekak sampai ke usus. Bila diangkat kepala, terlihat tulisan Iqra’bismirab tertera di langit berwarna merah.

***

Kain tuala kecil diletakkan ke dalam mangkuk air sesudah digunakan. Tubuh sang suami yang terdedah ditutup dengan sehelai kain nipis berwarna putih. Alunan dada Luth diperhatikan Mawar dengan jiwa yang kosong.

Dia tertunduk sepi di kerusi. Waktu melawat akan berakhir tidak lama lagi. Unit rawatan rapi ini menjadi tempat berkampung selama seminggu lamanya.

Satu tiub bantuan pernafasan dimasukkan ke rongga mulut. Kadar oksigen lelaki itu tidak melepasi aras 50 peratus, dia amat berhajat kepada tiub oksigen. Tanpanya, nescaya paru-paru tidak mampu berfungsi lama.

"Mawar penat hari ni," bisik Mawar. "Mawar penat tunggu abang buka mata."

Wajah kusam lelaki kesayangan bagaikan sedang beradu di dunia lain. Kekura tangan Luth dicapai Mawar. Sejuk sahaja kulitnya kerana baru lepas dilap dengan air. Perlahan-lahan bibir diturunkan mengenai tangan berurat suami. "Tapi Mawar gembira sebab Mawar penat untuk abang," sambung si bunga.

Dia mengucup tangan Luth lama. Rasa takut buat pulang ke rumah hadir apabila menyedari waktu tika itu. Hati tidak mahu tinggalkan tubuh Luth walau sesaat. Mawar takut jika dia pulang ke rumah dan Luth tersedar dari koma tanpa sesiapa di sisi.

Nafas dalam ditarik gadis muda itu sebelum dia menegakkan tulang belakang di atas kerusi plastik hak milik hospital. "Mawar tak jumpa Hakim dah, abang. Sebab Mawar tahu nanti abang marah. Mawar janji lepas ni... Bila nak pergi mana-mana Mawar akan minta keizinan abang. Mawar tak nak buat abang risau..."

Hari-hari yang berlalu menyeksa jiwa. Lama manakah Luth akan kekal begini? Tiada tanda-tanda positif walau tujuh hari berlalu semenjak Luth selesai pembedahan tumor di kepala.

Berbalut kepalanya dengan sematan. Bibir mengering pucat kerana telah lama tidak dibilas air. Mawar sahaja yang rajin hendak pastikan Luth selesa walau dalam keadaan begini. Setiap hari, gadis muda itu akan mengurut tangan dan betis suami dengan minyak bunga matahari. Biar kulit Luth kekal segar. Bibir pun diusik Mawar dengan pelembap tanpa warna. Luth tetap kacak di mata si bunga. Otot lengan menjadi susut tidak berketul seperti waktu mereka belum bernikah. Usah dikatakan lengan, dari hujung rambut hingga kaki mampu membuatkan mana-mana perempuan jatuh hati pada Luth. Dengan kuasa Allah juga, semua itu ditarik perlahan-lahan setelah Luth jatuh sakit. Tinggallah tubuh lemah dan kepala tidak berambut. Tiada siapa akan memandang Luth yang sekarang ini kecuali Mawar.

Mana-mana nikmat yang dipinjamkan, semuanya bersifat sementara. Termasuklah nikmat bersuamikan seorang lelaki yang mencintai diri sepenuh hati. Mawar takut pinjaman ini akan ditarik balik. Dicium kekura tangan Luth sekali lagi.

Botol minyak bunga matahari yang diguna tadi diletakkan elok ke dalam beg sandang Luth. Mawar perlu berkemas, takut nanti malam jadi lewat. Terus, tiada kereta sewa mahu menerima pesanan untuk pulang ke rumah.

"Mawar," sapa seorang jururawat.

Zip beg ditarik lalu Mawar menoleh ke kanan. "Lina nak bagi susu dekat Luth ya?"


Gadis yang kelihatan lebih matang darinya menyapa dengan mesra. Dengan itu, Mawar berdiri bagi memberi ruang petugas hospital berkenaan melakukan kerja.

"Mawar sihat?" soal Lina yang berseragam putih bersih.

Aturan pemberian susu biasanya diberi setiap 3 atau 4 jam. Satu wayar yang telah disalurkan melalui hidung terus ke kantung perut dihubungkan dengan tiub susu. Keperluan tenaga bagi lelaki dewasa adalah antara 1,200 hingga 2,000 kcal sehari. Ini ialah hidangan terakhir Luth pada malam ini.

"Sihat," jawab Mawar. Hakikatnya badan itu juga lemah sejak akhir-akhir ini. Makan tidak mahu dijamah, anak tekak pula asyik loya. Dia memaksa diri untuk menyimpulkan senyuman kepada Lina.

"Kalau Mawar tak larat nak tunggu sini sepanjang hari pun tak apa. Saya boleh pantaukan Luth. Ini memang tugas saya." Botol susu dipegang jururawat itu dalam keadaan berdiri. Wajah lesu Mawar ditayangkan kepadanya.

"Tak... Tak apa. Saya cuma lap badan dia je... Tak penat pun." Segalanya dilakukan Lina hingga Mawar rasa tidak berguna. Mawar kekal di birai katil mahu menghabiskan sisa waktu melawat. Dia memerhatikan setiap tingkah jururawat.

Urin yang terkumpul dalam satu beg khas di bawah katil dibuang sang jururawat. Ia perlu dikosongkan segera bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman pada saluran kencing Luth. Lina hanya menjalankan tanggungjawab, Mawar pula yang serba salah terhadap sang suami kerana membiarkan tubuh disentuh sesuka hati. Mawar tahu alat sulit Luth turut dibersihkan Lina. Luth berkumuh setiap hari dalam keadaan terlantar dengan bantuan tiub urinari kateter dan lampin.

"Dah nak pukul 10 malam ni. Mawar baliklah rumah dulu. Kesian Aira nak jumpa mama dia." Teguran Lina mematikan lamunan Mawar.

Si bunga jadi terpinga-pinga.

Kepala terasa berpinar waktu itu. Dia mengambil beg sandang lusuhnya dan bersalaman dengan Luth sebelum beredar pergi. Segala pemberian Hakim telah dipulangkan. Hati lebih tenang dengan barangan lama.

Langkah dihayun perlahan-lahan. Mawar menggenggam tali beg bagi menguatkan diri. Kenapa tubuhnya semakin berat? Lutut pun bertambah longlai.

Dinding besi lift menjadi tempat bahu bersandar buat seketika. Dia terpejam celik melihat angka merah di skrin kecil lift. Tiba sahaja aras bawah, pintu lift pun terbuka.

Gadis itu kembali melangkah keluar koridor. Kepala digeleng perlahan.

Mawar memaksa diri untuk ke luar hospital dengan segera. Telefon pintar di tangan hampir terlepas dari pegangan. Dia tidak mampu menaip dalam keadaan begini. Mata melihat keadaan sekeliling. Mujur ada bangku batu berdekatan.

"Mawar," panggil seorang lelaki dari belakang.

Mata terpejam sesaat ketika hendak berpaling.

Apabila dibuka, tiba-tiba sahaja tubuh dalam dakapan Hakim. Rahang Mawar dipegang lelaki itu. Mawar menolak dada Hakim menjauh. "Lepas..."

Gadis itu benar-benar takut. Nafas sesak  dalam pelukan Hakim. Mata pun terkatup lemah. Tubuh lesu yang hampir menggelongsor ke bawah dicempung Hakim.

***
votexkomen
***

Sabar ya, doakan Luth bangun :( Risau Hakim hasut Mawar lagi untuk tinggalkan Luth.
.
.
Supportlah buku sulung saya ni! 😍 Boleh pm okay!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro