Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

2 Hasad Bertapak

Salam pertama dan kedua diberikan. Wajah pun disapu sebelum dia terus bangun dan melipat sejadah. Tidak pun doa dibacakan, dia melulu mendapatkan Aira yang telah bangun tidur di tengah-tengah katil. Terkadang Aira diletakkan di bawah beralaskan tilam bayi dan toto untuk memberi ruang buat mereka berdua sebagai suami isteri.

"Hai," sapa Luth pada bayi itu. Dia bertindak mendukung si kecil lalu disandarkan tubuh montel anaknya ke dada. Dicium ceruk leher Aira yang terselindung di bawah lipatan dagu. Mata Aira masih tersepet-sepet bukaannya, tangan kecil bersarung pula mahu menenyeh wajah.

Tingkap di luar sana telah memancarkan sinar mentari. Hampir seminggu berturut-turut dia subuh gajah denvan berjayanya. Gerakkan Mawar di dini hari tidak diendahkan kerana mahu tidur.

"Aira busuk," bisik Luth. Nipis rambut anaknya diusap lembut. Haruman si kecil itu enak membelai hidung walaupun tidak mandi lagi. Dia masih mahu mencium bayi itu. Langkah dibawa keluar bilik. Bilik yang didiami Mawar dan Luth adalah bilik yang terletak di belakang sekali. Di situ terdapat tandas berdekatan, cukup untuk menjadi tempat mandi walaupun kecil. Kemudian, ada tirai di bingkai pintu, barulah Luth disapa bunyi bising kanak-kanak rumah asuhan itu. Ibu telah memberikan ruang privasi buat mereka berdua dan tak dilupaka si kecil Aira.

Senyuman terukir di bibir melihat bayinya yang mula membuka mata. Barangkali kerana keriuhan anak-anak istimewa itu. Kaki terus dilangkah hendak ke bahagian dapur. Dia disapa dengan wajah sang isteri yang sedang duduk di meja bersama-sama ibu.

"Ibu," tegur Luth. Sambil melabuhkan punggung di kerusi berdekatan, matanya sempat menangkap tong sampah hitam yang hampir penuh. Nantilah sampah itu dibuang, Aira masih dalam dukungannya.

"Ibu, ada orang baru bangun dan subuh gajah," adu Mawar. Dia memencilkan mata ke arah suaminya. Sengaja mahu Luth dibebel pagi-pagi hari.

Puan Dalila menggeleng kecil melihat Luth tiba-tiba mencium pipi isterinya.

"Janganlah cakap hal dalam bilik dekat sini," bisik Luth pada Mawar. Muncung sahaja bibir gadis muda itu.

"Mawar cakap hal solat abang je... Bukannya hal apa," balas isterinya. Bekas kucupan pada pipi diusap lalu Mawar tersenyum.

"Kenapa anak ibu solat lambat?" soal ibu.

Luth yang sedang menggendong anaknya leka mahu bermanja dengan Aira. Wajah yang amat dekat dengan tangan kecil itu asyik disentuh. Aira sayang masih bayi, tak banyak yang dia mampu lakukan melainkan minum susu dan tidur. Pergerakannya pun terhad.

"Luth, kenapa solat lambat?" ibu masih menanti jawapan.

"Ala, ibu... Luth solat juga, kan? Mawar ni kaki adu lah," jawab Luth.

Kening Mawar terjongket. "Tak juga, bu. Kadang-kadang solat isyak pun dia tinggal. Katanya mengantuk dan penat. Penat buat apa pun tak tahulah. Isteri baru seorang, anak pun seorang juga. Tu pun ada hati nak tambah anak lagi. "

Luth sedar pandangan ibu sedang beralih ke arahnya. Senyuman kambingnya membalas. Lelaki itu tahu solat lima waktu ialah satu kewajipan dan malah perkara terbesar dalam rukun Islam. Tidak boleh salahkannya juga, dia baru belajar dan sedang berjinak-jinak lagi. Itu pun dengan bantuan Mawar yang bersabar mahu mengajar sang suami mendirikan solat. "Okay-okay. Abang yang salah, abang yang malas solat," Luth beralah sahaja.

"Orang dah ajar penat-penat, boleh pula malas," gumam Mawar tidak puas hati. Jelingan tajam pula menikam Luth.

"Kenapa malas?" ibu bertanya.

"Susahlah nak solat... Rasa berat sangat..." keluh Luth. Manalah dia rajin nak solat sedang sebelum ini hidup hanya bergelumang dengan maksiat. Setelah kemalangan bulan lalu baru dia kenal apa itu solat lima waktu.

"Luth... Orang dalam kubur meraung minta dibangkitkan semula. Selagi boleh solat, solatlah. Luth bukannya tak mampu, kan? Cuma kena bertegas sikit dengan diri sendiri," pesan ibu.

Nasihat itu membuatkan Luth menekur meja. "Tahu... Selagi boleh solat, solatlah. Sebab nanti Luth dah nak mati, kan?"

"Sayang, semua orang akan mati. Kita tak tahu bila. Tiada jaminan untuk ibu boleh hidup hingga hari esok. Sebab tu lah ibu paksa juga diri untuk solat. Ibu juga buat persiapan untuk mati," pujuk Puan Dalila. Luth sering terasa hati andai disebut tentang mati.

" Nantilah Luth qada' solat tu... " keluh lelaki botak itu. Dia sendiri malas hendak qada', entah bila mahu dibuatnya. Belakang tubuh Aira diusap lembut.

" Macam tu lah. Ibu nak pergi ke pejabat dulu." Senang hati Puan Dalila apabila Luth akur. Walau usia hampir mencecah angka 60, dia masih teruskan bakti sebagai pengurus rumah asuhan itu. Jika tidak, mana mahu dapatkan wang buat menampung 10 orang kanak-kanak di rumah ini. Berbaju kurung kemas, Puan Dalila mengambil tas tangan di atas kerusi.

"Abang tak solat lagi... Mawar adu dekat ibu," ugut Mawar. Wanita kesayangan Luth telah hilang dari pandangan mata.

Luth menggulingkan biji mata ke atas. Dia mengalihkan wajah ke tepi sambil mencium ubun-ubun Aira.

Lama keadaan sepi dibiarkan mereka berdua. Masing-masing dengan ego sendiri. Suka benar main tarik tali, Mawar beralah juga. Bibir delimanya dilabuhkan pada pipi Luth. Terasa lekukan tulang muka menimbul. Gadis itu tersenyum kecil.

"Ingat ke lupa," ujar Luth. Dia hanya tertawa halus. Sisi tubuh sang isteri dipeluk lalu hidungnya dirapatkan ke kepala Mawar yang bertudung litup.

"Abang... Mawar nak kerja, boleh?" pinta si bunga. Wajah yang diangkat bertemu dengan pucuk hidung lelaki itu.

"Kenapa nak kerja?" ujar Luth separa berbisik.

"Nak bagi abang rehat dekat rumah... Abang sakit... Tak berbaloi pun abang buat kerja penat-penat tapi dapat gaji sikit je," luah Mawar. Tabiat Luth yang suka bermanja begini sudah dihadam Mawar. Aira yang terkepit antara nereka berdua pun masih bergelumang dengan rasa mengantuk dan mamai.

"Kalau abang kata tak boleh?" Luth memejam mata erat. Sakit kepalanya selalu menyengat sejak akhir-akhir ini. Ubat yang diambil tidak lagi membantu.

"Abang..." Mawar terkelip-kelip memandang suaminya. Dia benar-benar mahu bekerja.

"Abang tak izinkan. Tugas Mawar hanya duduk rumah. Abang yang sepatutnya bekerja..." degil Luth.

Melihat sang suami sedang menahan sakit, bayi Aira dialihkan ke dalam dakapannya. "Abang pergilah baring dalam bilik." Gadis itu memegang lengan Luth lembut.

Ada sepasang mata menyaksikan adegan romantik mereka semenjak tadi. Empunya mata itu hanya berdiri tegak di muka pintu dapur. Segala ciuman tersiar di hadapan mata.

Tika Luth menoleh ke belakang, pandangannya disapa satu wajah. Luth cuba membuat senyuman. "Hakim."

"Mana ibu?" soal lelaki itu.

"Pejabat," balas Mawar.

Hakim mengangguk faham. Diperhatikan sahaja suami isteri itu yang lalu melintasinya.

***

Sementara menunggu ibu pulang dari perbincangan dengan badan bukan kerajaan di luar, lelaki berkulit cerah itu memilih untuk duduk sebentar di kerusi yang tersedia. Meja kerja Puan Dalila dilihat Hakim, kerusi beroda itu pun ditarik mendekati. Lengan baju kemeja yang tersinsing hingga ke lipatan siku menambahkan kekacakannya. Cuti sengaja diambil bagi menjenguk ibu di rumah asuhan. Namun, ibu pula yang sibuk.

Penat bermain dengan batang pen di meja, Hakim bingkas berdiri. Dia mengatur langkahnya perlahan-lahan untuk ke almari yang ditimbuni fail. Segala data anak asuhan ada di sini. 18 tahun berlalu, lelaki bernama Hakim menginjak dewasa. Di usia 27 tahunnya, di sudah punyai kereta dan rumah sendiri. Itu satu pencapaian yang agak membanggakan bagi seorang anak yatim seperti dirinya. Berhempas pulas semenjak kecil bagi mengejar cita-cita di saat Luth melarikan diri bersama-sama Mawar. Sudah diagak bahawa lelaki itu akan berkahwin dengan si bunga.

Sebuah buku berkulit hitam yang kelihatan seperti diari menarik perhatian Hakim. Hakim berlabuh di atas kerusi ibu, tangannya menarik naskhah buku itu.

"Ibu ada diari?" bisik Hakim. Sedikit kagum untuk orang tua seperti ibu. Ibu ialah idolanya, kebijaksanaan dan kecekalan wanita itu sering menjadi pedoman Hakim.

Memang benar itu sebuah diari. Jari menyelak muka surat itu perlahan-lahan. Penuh dengan tulisan berangkai berdakwat hitam. Hari yang berlalu setiap hari dicatit di atas kertas. Tarikhnya sahaja yang menghairankan Hakim.

Itu tarikh 18 tahun ke belakang. Apabila diselak ke depan, hanya muka surat kosong. Selang beberapa helai, barulah bertemu dengan tulisan lagi. Tarikh yang terkini ialah pada tahun ini. Hujung bibir Hakim tertarik ke tepi. Dia tidak mengerti.

Terdapat satu surat lama terselit di poket buku. Lelaki itu terkedu. Dia membuka kertas berkenaan, masih elok dijaga. Tulisan tika berusia sembilan tahun menyapa pandangan mata. Huruf 'b' pun terbalik. Hakim tertawa halus.

untuk: Ibu
daripada: Luth

Tak dinafikan yang ibu amat menyayangi Luth. Senyuman Hakim mengendur, surat itu disimpan kembali. Fikirannya mula menerawang jauh.

Kemesraan Mawar dan Luth pula acap kali terlayar. Kucupan di pipi, lirikan manja dan banyak lagi. Terkadang dia jadi mati kutu. Mengapa orang perlu menyayangi Luth? Lelaki itu hanya penganggur yang terumbang-ambing. Sejak kecil Luth suka meraih perhatian semua orang. Kini, disogokkan pula dengan penyakit kansernya. Memanglah semua pihak akan bersimpati melainkan sekeping hati. Yakni Hakim.

Kuakkan pintu dari luar menyentakkan lamunan si teruna.

"Hakim? Dah lama sampai?" Ibu mengatup daun pintu kembali. Wajah anak angkatnya dihadiahkan senyuman manis.

"Lama juga..." jawab Hakim. Dia bingkas berdiri dan berlalu ke arah wanita tua itu.

"Kim nak minta maaf sebab tak layan ibu kelmarin," matanya memandang wajah Puan Dalila. Sakit yang diadukan tempoh hari langsung tak dilayan Hakim kerana kesibukan bekerja. Kini dia dihimpit rasa bersalah.

"Tak apa, Luth tolong ibu. Nasib baik dia ada dekat rumah," jawab Puan Dalila.

"Oh," Hakim tersenyum penuh kepalsuan. "Macam mana ibu boleh bertahan duduk dengan Luth?"

"Maksud Kim?" Wanita itu menuju ke arah meja kerjanya. Beg tangan diletakkan ke atas meja, begitu juga dengan komputer riba.

"Dia tu suka melekat dengan Mawar macam belangkas. Gelilah tengok," adu Hakim.

Mimik muka Hakim menghiburkan hati Puan Dalila. "Dia tu kan pengantin baru lagi. Baru sebulan dorang kahwin... Tak payah lah tengok kalau geli. Awak ni bila nak kahwin?"

"Ah... Kahwin..." Belakang leher diusapnya. Dia mengangkat bahu tidak tahu.

"Kahwin lah, Hakim. Awak duduk sorang-sorang dekat rumah tu pun mesti sunyi. Balik rumah takde peneman nak sembang. Nak luahkan hati pun tak tahu dekat siap. Tengok Luth tu... Dia bahagia je ada Mawar dan Aira."

"Bahagialah kalau menumpang rumah orang, tak payah penat-penat kerja. Isteri pula melayan je suami. Si suami tu pula mengada mengalahkan budak kecil. Dekat dapur pun nak cium-cium..." omel Hakim. Hasad di hati mula bertapak setelah sekian lama.

"Itu kan rezeki dia? Tak apalah kalau dia kahwin awal pun... Dia tahu tanggungjawab sebagai seorang suami. Awak ni sibuk tengok rumah tangga orang kenapa?" soal ibu hairan.

"Dia buat freeshow, saya tengoklah," cebik Hakim. Serabut pula kepala hendak terus memikirkan kebahagiaan Luth. Dompet di saku dikeluarkan Hakim. Banyak juga not kertas yang dihulurkan kepada ibu.

Puan Dalila menggeleng sahaja. "Ibu tak nak pun duit, Kim."

"Ambillah buat belanja." Gajinya baru sahaja masuk, tak tahu mahu diberikan kepada siapa duit itu melainkan ibu yang telah mengasuhnya sejak kecil.

"Ibu cuma nak Hakim selalu jenguk ibu. Bukannya datang sini tiap hujung bulan dan hulur duit. Ibu nak buat apa duit banyak-banyak ni?" Wanita setengah abad itu tersenyum nipis.

"Buat tampung belanja rumah tu..." Wang kertasnya digenggam erat.

"Tak perlu. Untuk belanja rumah asuhan, ibu dah dapat dana. Ibu cuma nak Hakim selalu jenguk ibu. Duit ni tak luak pun..." Begitulah Puan Dalila setelah usianya makin dimamah masa. Dia tidak hairan dengan sejumlah duit. Hanya mahukan masa yang tersisa untuk bersama-sama anak jagaan. Hakim bukanlah anak dari rahimnya, namun dia tetap belai penuh kasih.

Getaran telefon pintar mengisi benak. Hakim segera meletakkan wang itu ke atas meja. Beg tangan ibu dijadikan pemberat agar helaian duit tidak berterbangan.

"Ibu, Hakim pergi dulu eh? Nanti ada apa-apa call je..." ujar si teruna. Dia segera melangkah keluar buat menjawab panggilan dari tempat kerja.

Wang itu dipandang Puan Dalila sepi. Sebuah bekas besi berwarna hitam di dalam laci dikeluarkannya. Apabila penutup terbuka, wang pemberian Hakim disimpan elok di dalam kotak itu. Niat di hati telah mengqasadkan untuk memberi duit ini kepada Luth. Luth lebih memerlukannya buat biayai kos perubatan hospital. Semoga masa yang ada cukup untuk menampung pembedahan Luth tidak lama lagi.

***
votexkomen
***
***

semoga buku ni dapat memberi pengajaran buat pembaca. okay komen byk2 hehe dah bab 2 tauuu

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro