Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

15: Mati 2

Puan Dalila terduduk di birai katil. Wajah tuanya menekur riba sendiri. Fikiran kosong bersulam dengan sedih di hati. Niat mengusahakan sebuah rumah asuhan dengan harapan dapat menebus dosa lama seakan-akan tidak berguna. Anak-anak yang terbiar sanggup dibelai kerana mahu mencurahkan kasih pada anak sendiri tidak mampu.

Hingga saat itu ibu akan terus menyalahkan diri sendiri. Dia mahu bayi lelaki yang dahulu hadir ke dalam gendongan. Telah berlalu masa yang amat lama hingga Luth membesar panjang tanpa secebis kasih ibu dan ayah. Mustahil ibu dapat memaafkan diri sendiri.

Dia bodoh kerana terlalu fikirkan cintanya pada Luthfi hingga abaikan amanah Allah ini. Darah muda yang dahulu hanya mahukan hidup senang. Bayi yang lahir dari rahim sendiri telah dianggap satu beban.

"Luth, tolong maafkan ibu..." bisik Puan Dalila.

Malam sudah lewat. Mata tidak mampu dikatup kerana asyik memikirkan anak lelakinya. Dia menoleh ke kanan katil yang kosong tanpa sesiapa. Kalaulah Luth masih mahu tidur disebelahnya, itu akan jadi satu hadiah yang amat berharga.

Kaki dibawa turun menjejak lantai. Wanita setengah abad itu mahu ke bilik anak lelakinya. Mungkin dengan menatap iras Luthfi, dia mampu beradu dengan tenang. Pintu bilik dikatup perlahan. Puan Dalila mengatur langkah ke luar sambil mengusap tubir mata yang telah pun mengalirkan satu mutiara jernih.

Tiba sahaja di hadapan kamar pasangan muda di rumah itu, Puan Dalila jadi kaku. Perbuatan menerjah masuk ke bilik Luth bukan sesuatu yang baik. Anak itu bukannya lagi seperti si kecil Luth yang boleh dilayan seperti kanak-kanak. Luth sudah punya isteri. Barangkali dia sedang tidur berpelukan bersama-sama Mawar dan Aira.

Berdirilah wanita tua itu di hadapan pintu bilik anaknya. Yakin jasad Luth ada di dalam, senyuman cuba dibentuk meakipun sukar.

Dalam kesepian malam, kedengaran satu esakan tangisan lelaki. Puan Dalila cuba memasang telinga betul-betul. Senyuman tadi terus mengendur. Hati dikuatkan buat memulas tombol pintu yang tidak berkunci itu.

Gelap sahaja bentangan bilik pasangan suami isteri itu, mujur ada lampu jalan belakang rumah menempiaskan sedikit cahaya. Dapatlah Puan Dalila memastikan di mana tubuh anak lelakinya. Anaknya ada di atas lantai sedang bersandar pada birai katil. Kedua-dua kaki terlunjur ke hadapan dengan wajah yang mendongak ke atas. Esakam kecil Luth berlarutan, tidak mengendahkan keberadaan ibu.

Puan Dalila melihat katil anaknya, kosong sahaja. Tiada Mawar dan Aira. Barangan bilik habis bersepah di atas lantai. Hampir-hampir sahaja wanita tua itu tersadung memijak bantal yang tersadai di atas lantai.

"Luth?" Lembut sahaja panggilan ibu. Badan direbahkan duduk bersebelahan anak lelakinya.

Ekor mata mula menangkap cebisan kaca tingkap yang pecah. Terkelip-kelip cahaya kilauan membiaskan lampu jalan. Pandangan Puan Dalila beralih pada lengan Luth sendiri.

Mata bundarnya membulat luas. Ibu segera membuang sisa kaca yang berada dalam pegangan Luth. Habis telapak tangan lelaki itu dibasahi darah merah pekat. Ada sesuatu yang telah berlaku pada malam itu di luar pengetahuan ibu sendiri. Yang membuatkan Luth jadi orang tidak punya jiwa. Lengan pun ditoreh dalam, lelehan darah langsung tidak dikesat. Nasib baik torehan itu tidak menuju ke nadi pergelangan tangan.

Tanpa memberikan apa-apa persoalan, Puan Dalila terus memeluk Luth. Ditarik ke dalam pelukan, Luth akur. Badan direlakan untuk dibuat apa sahaja di saat hati hampir mati dilukakan isteri sendiri.

Dalam keadaan begitu, ibu dapat merasakan kelembapan pakaian Luth. Luth telah kehujanan sewaktu pulang dari rumah Hakim. Desahan nafas yang sukar menyapa pendengaran ibu.

Diusap belakang Luth lembut. Anak lelakinya telah susut berbanding pertemuan kali pertama. Luth sakit, asyik disumbat ubat sahaja ke dalam kantung perut. Makanan tak mahu dijamah kebelakangan ini. Kasihan anak soleh, ibu. "Luth... Ibu ada untuk Luth."

Tiada balasan yang diberikan pemuda itu. Pelukan ibu membuatkan dirinya selesa walau dihujani pelbagai kepahitan hidup. Kasih sayang ibu seikhlas hati, Luth dapat merasakan hangatnya.

"Ibu... Luth nak mati boleh tak?" soal Luth lemah. Kepala direhatkan pada bahu ibu. Nafas ditarik sedikit dalam sebelum diturunkan kedua-dua kelopak mata.

Pelukan dieratkan sang ibu. Tubuh anaknya dipeluk tak mahu lepas. Biarlah darah hanyir Luth melekat di baju sekalipun. Pemuda itu hampir hilang kebergantungan hidup. Insan yang diharapkan selama ini telah berlaku curang di hadapan mata. Tidak ada lagi asbab untuk seorang Luth hidup di atas muka bumi.

"Luth nak mati..." bisikan Luth semakin lemah. Suaranya jadi tenggelam timbul. Lama-kelamaan terkatuplah mata kepenatan. Seharian mencari Umar yang hilang entah ke mana, disapa pula dengan perbuatan hina isteri sendiri. Akhirnya Luth memilih untuk merehatkan diri.

Laju degupan jatung Luth dapat dirasai ibu. Mereka berkongsi kehangatan kasih sayang dalam kesejukan malan. Tubuh lesu Luth meminta untuk dibaringkan.

Buat setengah jam lamanya ibu menjadi cendana yang memeluk Luth. Disokong tubuh anaknya daripada melorot ke lantai. Dia masih setia di sisi saat Luth hanya fikirkan mati sebagai jalan penyelesaian masalah yang dihadapi.

Luth telah pun terlena. Dengkuran halus menyapa gegendang telinga Puan Dalila. Perlahan-lahan tubuh anaknya ditolak bersandar pada birai katil sebelum digoncang bahu Luth.

"Luth, bangun tidur atas katil," pujuk ibu.

Dalam keadaan mamai, bukaan mata pun tidak luas mana. Luth kembali terpejam mata. Tenaga pada hari itu telah hilang sepenuhnya.

Puan Dalila memilih untuk memapah tubuh Luth. Dia cuba bangkit perlahan-lahan dan memaksa Luth buat berdiri juga. Lengan lelaki itu dibawa ke belakang leher. Langkah diatur perlahan-lahan kerana memikirkan keadaan Luth yang tidak berkudrat.

Selangkah demi selangkah akhirnya dua beranak itu tiba di kamar Puan Dalila. Lampu tidur menerangi bentangan katil di hadapan mata. Ibu membawa Luth untuk berbaring di atas kat sendiri. Berat tubuh pemuda itu sanggup ditampung kerana sayang seluas lautan. Dapatlah Puan Dalila mengoyak senyuman lega melihat Luth elok berbaring beralaskan bantal.

Wanita setengah abad itu kemudiannya mencari kit pertolongan cemas dalam almari baju. Dia juga mengambil semangkuk air suam dan sehelai sapu tangan kecil buat mencuci luka torehan pada lengan anaknya. Ibu tidak tahu kenapa Luth sanggup mencederakan diri sendiri. Benarkah dia memang ingin mati?

Segala kapas dan ubatan diatur di sisi tubuh Luth. Ibu mengangkat tangan kanan lelaki itu lalu diletakkan ke atas bantal yang lagi satu. Dalam luka torehan ini. Mujur hanya ada satu yang tersemat di kulit lengan.

Kapas berbasahkan alkohol mengenai telapak tangan Luth. Pedih cucian itu tidak menyedarkan Luth daripada lena. Di bawah cahaya lampu tidur juga ibu terlihat kesan lebam berdekatan bibir anak lelakinya. Seingat ibu, semalam tidak ada pun lebam ini.

Apalah agaknya yang telah berlaku siang tadi?

Usai semua luka berbalut kemas, ibu menuam pula lebam di wajah lesu Luth. Dipandang satu-satunya darah daging sendiri, elok membesar sebagai seorang lelaki. Satu ciuman berlabuh di atas dahi Luth.

"Luth, ibu sentiasa ada. Tolong jangan minta mati... Sebab ibu tak sempat lagi untuk sayangkan Luth sepenuh hati."

Sehelai selimut menyelubungi tubuh lemah Luth. Malam itu Puan Dalila diberi peluang untuk menjaga anaknya di saat dia terluka.

Allah masih memberi peluang yang dianggap sudah lama terlenyap. Senyuman nipis terhias di wajah tuanya.

***

" Mawar pergi mana semalam?" Berdesup soalan menyambut kedatangan Mawar ke ruangan dapur. Matahari terpacak di langit, baru Mawar mahu menunjukkan wajah.

"Mawar tidur rumah Hakim sebab hujan lebat. Pagi tadi sebelum kerja, Hakim hantarkan. Ini pun Mawar baru sudah uruskan Aira." Senyuman palsu tertempel di wajah. Kerusi ditarik lalu punggung berlabuh di situ.

"Apa yang jadi sebenarnya antara Mawar dan Luth?" Puan Dalila sendiri dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Jarang sekali pasangan muda itu bergaduh. Selama ini dia disajikan dengan cumbuan manja di pagi hari.

"Oh, semalam..." Bibir diketap seketika. "Ibu, mana Luth?"

"Luth rehat dalam bilik ibu. Dia baru balik dari klinik." Selepas diberi ubat oleh doktor, Luth dibawa berehat ke kamar ibu. Sekali pun Luth tidak minta untuk masuk ke bilik sendiri buat berjumpa Mawar. Nama Mawar tidak disebut lelaki itu. Luth kekal berehat dengan luka torehan kaca.

"Kenapa? Dia demam ke?" tebak si bunga. Berduyun-duyun rasa bersalah menghuni.

"Lengan dia luka..." Lima jahitan tersemat di lengan anaknya. Torehan itu agak jauh dari kawasan nadi. Luth benar-benar tertekan malam tadi, namun separuh hatinya menidakkan perbuatan membunuh diri.

"Sebab kaca tingkap?" Mawar tersenyum sumbing. Kepulangan dia
sambut dengan bilahan kaca pecah serta titisan darah merah pekat yang telah mengering. Bilik mereka pun bagai dilanda puting beliung, Luth benar-benar mengamuk malam tadi. Mujurlah Aira di bawah jagaan Aida. "Mawar nak tengok Luth," putus Mawar yang hendak bingkas berdiri.

"Tak payah," larang ibu segera. Tangan gadis itu dipegang lembut.

"Tapi... Kenapa?" sayu Mawar.

"Luth tengah sangat-sangat tertekan, waktu dekat klinik tadi pun tekanan darah dia meningkat. Mawar jangan kacau dia buat masa ni. Beri dia ruang untuk tenangkan diri. Ibu tak tahu apa yang buat Luth jadi macam ni sampai dia asyik fikir nak mati. Pagi ni pun dia nampak kosong. Jasad je yang ada, jiwa tak tahu melayang ke mana. Sarapan pagi langsung tak jamah. Ubat lagilah tak nak makan. Sebab tu ibu tanya, apa yang jadi semalam?" Puan Dalila mengeluh kecil. Hati ibu mana tidak sedih melihat anak sendiri jadi begini.

Mawar tidak mampu memberikan jawapan penuh kepada soalan itu. Pada fikirannya, dia hanya mahu Luth melepasi fasa pembedahan tanpa apa-apa masalah kewangan. Tinggi sangatkah harapan yang diletakkan? Hingga sanggup membiarkan suami sendiri mengalami tekanan hebat.  "Semalam Luth marah Mawar sebab keluar dengan Hakim."

Bukan itu sahaja, pipi Luth juga sanggup ditampar. Sungguh Luth terkedu akan perubahan drastik Mawar.

"Mawar minta kebenaran Luth tak untuk keluar dengan Hakim?" soal ibu. Tangan gadis muda itu dilepaskannya.

"Em, tak." Mana boleh diminta kebenaran kerana tentu-tentu Luth tidak akan izinkan.

"Bergaduh sebab benda ni ke?"

"Lebih kurang..." Mawar tersenyum nipis.

Asam garam kehidupan telah lali di tekak wanita setengah abad itu. "Tapi ibu tak rasa sebab benda ni je... Mesti ada benda lain yang hentam Luth sampai buat dia rasa tak berguna. Ibu minta sangat pada Mawar supaya jangan tambahkan lagi tekanan Luth. Mawar, Luth sakit tau. Dia nak masuk dewan bedah dah. Kalaulah pembedahan tu tak berjaya, biar hari-hari dia yang berbaki dengan kita ni dapat menggembirakan dia," pinta ibu.

"Mana ada Mawar buat dia sedih," nafi si bunga. Dia menggeleng tidak setuju andai ibu mahu menyalahkan dirinya dalam soal itu.

Wajah Luth yang sedang terlena di kamar menjengah layaran minda. "Ibu tahu Mawar dah lama hidup dengan Luth... Lagi lama daripada tempoh perkenalan ibu dan Luth. Sebab tu lah ibu minta pada Mawar supaya gembirakan dia. Mawar mesti tahu, kan? Mana satu yang Luth suka... Mana satu yang tidak..."

Berkaca-kaca mata Puan Dalila memandang Mawar. "Ibu... Ibu tak sanggup nak biarkan Luth bertarung nyawa dalam dewan bedah dalam keadaan mental yang tenat. Fizikal Luth memang dah lesu, jadi jangan lemahkan mental dia pula. Kalau tak, dia tak akan ada semangat untuk terus hidup dan berjuang untuk kita semua."

***
votexkomen
***

tripple! atas permintaan readers hihi

DAPATKAN NOVEL KOMBO MUSLIMAH & jadi pembeli terawal untuk peroleh FREE POSTAGE


Komen NAK, anda akan dilayan sepantas kilat!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro