Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 1 (PART 1)


HAZEEM berjalan dengan langkah kasar lantas dengan semberono duduk di atas bangku usang yang hanya menunggu masa sahaja untuk roboh. Saat punggung dilabuhkan, bunyi kayu bergeser kuat kedengaran menyapa halwa telinga Hazeem. Walaupun bangku itu hanya tinggal nyawa-nyawa ikan, Hazeem tidak kisah. Dia merasakan dirinya lebih selamat di sini berbanding di tempat lain.

Orang di sana sering sahaja mengherdik dirinya seperti dia tidak punya hati dan perasaan.

Dia langsung tidak menipu. Sumpah dia katakan dia nampak setiap roh-roh itu berterbangan. Ingat lagi dia akan kejadian di bilik darjah tadi semasa ketiadaan guru.



SUASANA bilik darjah yang bising merosakkan fokus Hazeem terhadap lukisan yang sedang dia hasilkan. Kawan yang sebaya dengannya masing-masing berbual sesama mereka tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Memandangkan kelas tiada guru, inilah yang terjadi, bising tak ingat dunia!
Mata Hazeem seketika tertancap pada makhluk yang duduk di sebelah rakan sekelasnya yang rancak berbual. Buku lukisan miliknya segera ditutup. Niatnya ingin menghabiskan lukisannya tergendala.

Dia putuskan untuk menghampiri ke arah mereka.

Suasana di satu kumpulan pelajar mula menjadi sedikit senyap apabila mereka terlihat Hazeem menghampiri mereka. Masing-masing sudah mula pamerkan wajah toya seperti tidak mengalukan kehadiran Hazeem. Ada yang menjeling tajam dan ada juga yang berbisik sesama mereka untuk meluahkan rasa jelik dengan Hazeem yang semakin tiba.

“Kau nak apa? Sibuk aje dekat sini. Pergilah sana dengan lukisan hantu kau tu!”  Halau seorang daripada mereka. Mata-mata yang tajam seperti ingin menembusi dirinya langsung dihiraukan lantas Hazeem meluahkan apa yang terbuku di dalam hati.

“Belakang kau ada hantu.” Telunjuk jari dihalakan pada seekor makhluk yang bertenggek di belakang salah seorang pelajar dalam kumpulan itu. Matanya langsung polos, seperti dirinya tidak bersalah.

Suasana yang gamat kembali senyap sepenuhnya. Mereka yang galak bergosip isu sesama mula kaget, mereka yang meletuskan tawa yang tiada kesudahannya kini menemui jalan akhir, dan mereka yang tekun membaca buku turut terganggu bacaannya. Setiap satu pelajar di dalam kelas mula memandang Hazeem. Sebaris ayat Hazeem seperti mempunyai kuasa magis untuk menarik perhatian mereka untuk memandang lelaki itu.

“Hahahahaha!”

Hazeem mengetap bibir apabila semua mentertawakannya. Mata mula melayu geram. Tidak nampakkah mereka dengan makhluk itu? Betul-betul belakang Hakim! Dia berani bersumpah!

“Kau dengan hantu kau tak habis-habis! Mak kau bagi makan apa sampai suka merepek ni? Hahaha!” Hakim masih dengan sisa tawanya.

Hazeem membisu. Setiap hari dia diludahkan ayat kurang manis seperti dirinya itu berbeza sungguh dari kelompok mereka. Matanya langsung tidak menipu. Hampir setiap masa ada makhluk bukan manusia menghinggap pemandangan matanya. Namun sayang, mereka tidak percaya. Hazeem memandang makhluk yang bertenggek di sisi Hakim. Si dia juga memandang Hazeem pelik. Tidak sangka ada di antara mereka yang mampu melihat dirinya. Terus si dia berjalan dengan gaya bercangkung. Lebih mudah, dia berjalan gaya itik.

Sepasang anak mata Hazeem melekap pada wajah nan satu itu. Suara yang mentertawakannya dihiraukan. Fokus ditumpukan pada makhluk itu. Si dia memandang Hazeem atas ke bawah sebelum jari telunjuk mencucuk lutut Hazeem dan melatah sedikit ke belakang.

“Kau nampak aku?” Suaranya persis toyol. Badannya yang keding, boleh dilihat susuk rangka tulang tubuhnya itu.

Hazeem mengangguk mengiyakan. Dia sudah biasa. Macam-macam dia sudah lihat. Sedikit sebanyak rasa gentar itu dapat dikikis. Tidak seperti sewaktu kecil dulu.

“Kau tak takut?” tanya suara kecil yang berdegung itu lagi.

“Tak. Aku dah biasa nampak kawan-kawan kau,” ujar Hazeem tenang. Matanya masih melekap pada si dia. Tak pernah lagi dia nampak jenis yang ini. Ini kali pertama rasanya.

“Woi, Hazeem! Kau borak dengan siapa? Jangan jadi gila boleh tak?” Bahu Hazeem ditolak kasar oleh seseorang sehingga dia terkebelakang. Nasib dia tidak tumbang, hanya menjauh dari makhluk tadi. Hazeem mengangkat kepala melihat gerangan yang menolaknya sesuka hati. Kelihatan Hakim membalas pandangannya dengan rengusan kasar.

“Kau dah gila ke Hazeem cakap sorang-sorang? Aku report dekat cikgu nanti!” Hakim cuba mengugut. Sudah lama dia perhatikan Hazeem ini, namun dia masih lagi dengan perangainya. Hazeem suka sangat bercakap seorang. Dia pula yang seram, takut-takut kalau apa yang pernah dikatakan Hazeem itu benar-benar belaka.

“Aku tak gilalah Hakim! Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri! Dia ada dekat sebelah kau tu!” Hazeem jujur. Dia mahu raih kepercayaan rakan-rakannya. Dia sering diabaikan hanya kerana dia bercakap tentang makhluk halus. Masalahnya, dia memang nampak dengan jelas makhluk-makhluk itu, bukannya dia berdusta!

“Mana? Mana? Mana?!”

Hakim menendang sekeliling kawasan itu. Kalau benar apa yang dikatakan Hazeem, mesti dia sudah dirasuk kerana menganggu makhluk itu. Kalau bukan dia pun, pasti mereka yang lain. Hazeem melihat tendangan Hakim langsung tidak mencederakan makhluk itu. Makhluk itu ibarat halimunan. Mungkin kerana Hakim dan makhluk itu berada di dua alam yang berbeza tetapi di tempat yang sama.

“Mana Hazeem?!” Suaranya meninggi. Muka merahnya dihalakan ke Hazeem. Leher baju Hazeem dicekak menyebabkan lelaki itu tertarik ke atas. Hazeem langsung tidak membantah, cuma sedikit rasa tidak puas hati kerana saluran pernafasannya tersekat.

“Kalau kau sekali lagi cakap benda bukan-bukan untuk takutkan aku atau kawan-kawan aku, mampus kau aku kerjakan!” Tubuh itu ditolak kasar menyebabkan belakang Hazeem menghempap dinding konkrit itu. Hakim terus keluar dari kelas. Seisi kelas kelihatan gamam. Tiada seorang pun sanggup bersuara ibarat malaikat sedang lalu.

Hazeem membetulkan kolar baju sekolah yang dirosakkan oleh Hakim. Dia berdengus kasar lantas turut keluar. Masakan dia nak duduk di situ. Bukan dia tak perasan kawan sekelasnya yang lain memandangnya seperti mana. Pastinya pandangan jelik.

Hazeem mengeluh lemah. Itulah yang terjadi di kelas tadi. Pergaduhan kecil yang tercetus kerana sebaris ayat yang keluar dari bibirnya. Kedua-dua tangan Hazeem dilekapkan ke belakang leher sebelum sikunya dipaut pada paha. Terbias di wajahnya yang penat.

“Kenapa susah sangat orang nak percayakan aku ni? Aku tak tipu pun,” gumamnya. Kadang-kadang dia rasa geram dengan kelebihan yang dimiliknya. Hanya kerana matanya mampu melihat makhluk lain, dia dipinggirkan. Dia juga ingin kehidupan yang sempurna seperti orang lain. Pernah juga dia terdetik dalam hati, bagaimana entah nasib orang yang sama sepertinya. Sama dipulaukan ataupun sebaliknya.

“Memang kau tak tipu, tapi mereka semua tak nampak aku.”

Hazeem kenal suara itu. Dialah yang ditemui bertenggek bersebelahan Hakim di dalam kelas. Kerana makhluk keding itulah dia diugut. Hazeem mengerli sebelah. Makhluk itu bertenggek di sisinya, sama-sama merenung padang sekolah yang kosong.

“Kau nak apa lagi?” tanya Hazeem bermalasan. Bukan dia tidak suka dengan kehadiran makhluk itu, cuma dia serik. Hanya kerana dia berkawan dengan mereka, rakan-rakannya meminggirkannya. Susah sungguh ke mahu menerima dia yang mempunyai deria keenam? Bukannya dia cacat pun.

“Aku nak minta tolong kau memandangkan kau nampak aku.”

“Kau nak aku tolong apa? Kau tak dengar ke kawan-kawan aku panggil aku gila sebab bercakap dengan kau? Aku tak fahamlah kenapa aku yang boleh nampak kau. Kenapa mesti aku? Aku penat hidup macam ni tahu tak?” Luah Hazeem kesal. Dia penat mengejar kawan. Langsung tiada di antara mereka yang sudi menghulur tangan tanda persahabatan. Masing-masing melihatnya persis penjenayah. Sungguh dia tidak suka pandangan mereka yang jelik dan keji terhadap dirinya. Teruk sangat ke kalau ada kawan sepertinya?

“Ada orang nak deria keenam. Tapi kau dah ada, kau pertikaikan? Hailah, manusia memang tak reti bersyukur.” Makhluk itu memandang Hazeem. Kepala terpaksa didongakkan kerana lelaki itu lebih tinggi darinya. Namun, dia masih utuh dengan gaya itiknya.

“Semaklah kau kat sini!” Amuk Hazeem kasar. Halwa nafasnya berdengus. Dia kusut dengan hidupnya. Apa guna hidup bersendirian? Langsung rakan-rakannya tidak kisah akan dirinya.

“Aku lapar.”

“Ei bodoh, kau bolehkan pergi kantin ambil sendiri. Kenapa nak minta tolong aku? Kau tu setan, orang bukan nampak kau pun bodoh!” Hazeem berang. Datang ke sini hanya inginkan makanan? Boleh pergi matilah. Mendidih hatinya mendengar permintaan si kecik ini.

“Kau ni. Kaki aku sudahlah tak betul. Tolonglah aku.” Makhluk kecil itu memandang kakinya yang tak mampu lurus.

“Dah lupa ke macam mana nak guna kelebihan kau? Siapa yang ghaib seakrang ni? Aku ke kau?!” Hazeem menjerkah. Makhluk itu mencebik bosan.

“Gurau pun salah,” omel kecil makhluk itu.

“Kepala hotak kau gurau! Aku tengah serabut kau tahu?”

“Manusia memang tak reti bersyukur. Apalah bodoh manusia macam kau ni? Tuhan bagi otak tu gunalah baik-baik, ini tidak. Merungut, merungut, merungut. Patutlah senang sangat aku hasut manusia bunuh diri. Ternyata semuanya bodoh-bodoh belaka. Terlalu ikutkan...”

“Eh setan tak guna, pergi matilah kau!” Hazeem hayun buku lima pada makhluk kecil itu. Namun makhluk itu lebih tangkas, terus menghilang. Akibatnya Hazeem menumbuk bangku itu. Ah, andai makhluk itu tidak menghilang pun, bukannya kena. Tetap menembusi tubuh makhluk itu juga.
Sakit mula menyerang celah jarinya.

Dadanya berombak. Dia sudah hilang sabar. Kata-kata syaitan kecil itu ibarat pedang yang membunuhnya.

Hazeem terus bangun dan berlalu ke kawasan sekolah. Bunyi loceng yang berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat. Rasa sakit pada hujung kuku langsung tidak dihiraukan. Sakit lagi hatinya dengan kata syaitan kecil itu tadi. Sesedap hati saja ingin menghukum dirinya. Dia tumbuk baru tahu nak lari. Huh!

Pembelian boleh dibuat melalui pautan link di bio. Terima kasih!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro