Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

LITHIUM

Jadi bagaimanakah caranya untuk seseorang itu menjatuhkan sebuah konglomerat kapitalis?

Faisal mulanya mengatur untuk membuat rapat umum, bercakap dikhalayak ramai dengan menggunakan pembesar suara terpakai sambil berdiri diatas trak suku tan ditengah pasar malam atau disiar kaki tengah ibu kota. Gayanya nanti tak tumpah seperti ahli politik yang berkempen untuk pilihanraya.

Dia cadang untuk menyampaikan segala kebobrokan dan kesialan perusahaan bernama BALLISTA kepada umum. Bagaimana BALLISTA itu diluarnya nampak seperti sebuah syarikat mesra alam, mendokong teknologi cekap tenaga tapi hakikatnya mereka adalah peniaga hamba, pencemar alam dan penindas pekerja.

Tapi Faisal tahu, cara itu lambat. Dia akan ditekan oleh media yang mungkin dibayar BALLISTA untuk memutarbelit naratif. Dia lebih mudah ditekan oleh ahli politik yang juga merupakan pelobi-pelobi BALLISTA. Dia boleh saja ditangkap tanpa bicara oleh kepolisian yang disogok oleh BALLISTA.

Jadi dia mengambil keputusan untuk terus bekerja dengan BALLISTA. Dia terus mengatur rencana sabotaj yang akan mencetuskan kemarahan warga awam. Bila awam marah, media akan korek cerita. Media juga akan terjah ahli politik dan mereka terpaksa berdrama konon akur dengan kemarahan warga awam kerana tidak mahu hilang undi pilihanraya.

Tapi untuk itu terjadi, mesti ada korban.

Hari Faisal berhenti kerja, ratusan telefon pintar keluaran BALLISTA dikatakan meletup secara tiba-tiba dan mencederakan penggunanya. Satu negara kecoh. Tangisan anak kecil yang terbakar kulit dek telefon mereka meletup terpampang dimedia sosial. Kemudian berpuluh kereta elektrik terbakar, berpuluh kapal terbang mendarat cemas kerana ada kebakaran diruangan kargo. Semua insiden terkait dengan BALLISTA dan bateri keluaran mereka.

Orang ramai berang. Ribuan orang menyerbu pusat jualan BALLISTA seluruh negara mahukan pulangan wang. Beratus kereta elektrik tersadai ditinggalkan pemilik dek takut mati terbakar.

Bila sudah kelam-kabut, kerajaan terpaksa menekan BALLISTA, mendesak pengeluaran produk mereka dihentikan serta-merta untuk siasatan.

Faisal senyum puas. Sekelumit kecacatan pada bateri yang direkanya berjaya menundukkan BALLISTA yang angkuh.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #cerpen