Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

9. Fire In The Cold

Sebelah tangannya memegang erat tubuh Lisa dari belakang manakala sebelah lagi menekup mulut Lisa yang menjerit dan meronta-ronta sambil dia berlari menjauhkan Lisa dari kawanan Hendrick Lagg.

Rho tersungkur jatuh melanggar dahan besar yamg jatuh di hadapannya. Hujan sudah merintik halus namun kabus semakin memekat. Lisa mengambil kesempatan itu dan meloloskan diri, cuba untuk kembali ke tapak berehat werewolf tadi namun Luppus dan 3 ekor Beta yang lain mengepungnya.

Lisa menderam-deram gila. Jasadnya dikuasai rasukan darah Desmond menenggelamkan jiwa yang lembut. Ingatannya terhapus sama sekali. Dia dahagakan darah werewolf.

Buat seketika, serigala The Greys melawan namun Lisa lebih cekap dan pantas malah dengan laju memanjat ke atas pokok.

Luppus menyerang dari hadapan dan Rho mengambil peluang itu dengan menerpa dari sisi Lisa. Namun Lisa lebih pantas menangkis serangan mereka.

"Rho!" Luppus melolong kuat saat belikat Rho digigit Lisa dengan ganas. Rho melutut ke tanah, meraung menggila. Tubuh Lisa ditarik ke hadapan dan ditolak kuat hingga Lisa tercampak ke banir pokok yang besar. Rho bernafas tersekat-sekat. Tangan kanannya naik ke bahu kiri yang terkoyak dan mengalirkan darah yang membuak-buak. Mata bercahayanya mula kelam.

Lisa bangkit perlahan-lahan dengan luka di pipi dan dahi. Bibirnya terbuka sedikit, berselaput dengan darah. Tangannya longlai ke sisi tubuh. Kornea mata tirusnya kembali membulat di sebalik kelopak mata yang layu berkedip lemah. Sedikit demi sedikit warna merah hilang ditutupi warna hitam di keseluruhan bebola matanya. Lisa terjelepuk jatuh tidak sedarkan diri.

"Luppus... tolong aku..." Rho terbatuk kuat.

"Kau cedera teruk, Rho!"

"Kita... kena bawa dia pergi... sebelum mereka jejaki kita," ucap Rho dalam nafas yang semakin pendek. Tangan yang terketar-ketar menekan luka di bahu bagi menghentikan pendarahan.

"Arghh!" Rho meraung sebelum tersandar di pangkal pokok hutan, merenung Lisa yang tidak berkutik.

Bunyi derap kaki terdengar semakin dekat. Rho memandang Luppus yang mula mampir di sisi Lisa. Berjaga-jaga.

Seperti disangka, muncul 2 susuk tubuh di hadapan mereka dengan tiba-tiba. Seketika suasana menjadi sepi diselubungi kabus yang berlegar-legar di antara mereka.

Tom dan Albert terkaku memandang beberapa ekor serigala di hadapannya termasuk seorang lelaki yang sedang tersandar cedera.

"Luppus?" Terluah nama itu di bibir Tom saat bertentang mata dengan serigala dewasa itu.

"Thomas. Thomas Esburn." Ternyata mereka saling mengenali.

Anak mata Tom teralih pada susuk tubuh di belakang Luppus. Lisa! Hatinya berkocak hebat.

"Kau tak boleh ambil dia, Tom." Perlahan namun tegas Luppus mengucapkannya. Tom tidak jadi melangkah.

"Dia anak aku!"

"Ya. Tapi kau tak boleh ambil dia," ujar Luppus. Tubuhnya direndahkan dalam posisi bersedia diikuti Beta yang lain tanda dia memberi amaran jika kata-katanya diingkari. Rho hanya mampu memerhati dalam kesakitan yang semakin mencengkam.

"Dia anak aku, Luppus! Jadi selama ni kau yang ambil dia dari kami?"

"Kau akan merisikokan nyawa dia dan nyawa keluarga kalian! Dia tak boleh hidup di sana!" Suara Luppus mula menaik. Giginya menyeringai garang.

"Kami taknak bergaduh dengan kau, Luppus," Albert bersuara. Satu masa dahulu mereka mempunyai hubungan yang baik sebelum kawanan The Greys tiba-tiba menghilang dari Amber Hills.

Tom meneruskan melangkah mendekati Lisa namun Luppus menghadang jalannya. Anak mata Luppus dipandang tepat.

"Aku... takkan persoalkan apa yang kalian lakukan pada dia. Aku hanya ingin membawa dia pulang ke tempat asalnya." Langkah diteruskan melepasi kumpulan serigala itu. Luppus diam dalam hati yang berbelah bagi.

Tom melutut di sisi Lisa yang tidak sedarkan diri. Jaketnya dibuka membalut tubuh Lisa yang masih basah. Tangannya menggigil hebat saat mengangkat tubuh yang terkulai itu ke ribaan. Luka di wajah pucat itu disentuh lembut. Air matanya menitis tanpa ditahan-tahan.

"Mari kita pulang, anak ayah," ucap Tom separa berbisik. Dia berdiri bersama Lisa di dalam dukungan.

"Lisa tak boleh pergi," Rho mencelah sambil tangannya memegang batang pokok, cuba berdiri dalam kesakitan.

"Kau!" Tom menuding jari ke arah Rho yang berlumuran darah. "Kau yang larikan Lisa tadi! Kau cederakan Alex kerana tidak mahu Alex menemui Lisa!"

"Tak! Bukan dia!" Luppus menderam marah. "Anak kau yang buat semua tu. Darah Desmond sudah menguasai segenap urat nadinya. Kerana itulah kau tak boleh bawa dia pergi!"

"Dia takkan mungkin cederakan Alex! Mereka berkawan baik!" Albert mempertahankan.

"Percayalah, walaupun dia anak kau, dia hanya boleh terus hidup jika kau lepaskan dia pergi," Luppus masih mencuba meyakinkan Tom. "Samada dia memusnahkan keluarga kalian atau... kau terpaksa musnahkan dia dengan tangan kau sendiri."

Tom memejamkan mata yang masih basah. Cuba mengusir keyakinan yang mula goyah. Lisa dibawa rapat ke dada. Peristiwa Hendrick membunuh keluarga mereka yang menjadi mangsa gigitan Desmond berlayar di memori.

"Maaf, Luppus. Aku akan jaga dia sampai aku mati."

Titik.

Kabus tebal semakin merendah, mengiringi langkah Tom dan Albert menjauhi mereka. Rho hanya mampu menahan gelodak hati melihat Lisa dibawa pergi.

SUASANA BAGAIKAN turut meratap. Kabus enggan pergi, terus meliputi tanah lembab dengan kedinginan tidak berpenghujung. Kepulangan Lisa tidak lagi disambut dengan senyuman gembira. Ruangan bawah tanah Woods Cabin yang dijadikan bilik perubatan mereka kini dihuni Alex yang sedang kritikal manakala Lisa pula ditempatkan di tingkat dua yang mempunyai 2 buah bilik dan kawasan beranda yang luas.

Di tingkat atas tanah, kerja-kerja baikpulih kawasan kabin yang musnah ketika serangan Desmond menjadi perlahan dan tidak bermaya. Hendrick jelas nampak terganggu. Fokusnya hilang.

"Kau patut temankan Alex, Hendrick."

Hendrick berhenti menggergaji papan lapis di atas bangku. Dia memandang Tom di sisinya tanpa segaris senyuman. Mereka masing-masing mempunyai kisah yang hampir sama namun berbeza. Rakan-rakan yang lain turut berhenti bekerja, memandang Tom dan Hendrick yang berbual buat pertama kali sejak kelmarin, hari mereka pulang membawa anak mereka yang tercedera.

"Aku..." suara terasa tersekat di kerongkongan. Sukarnya untuk Hendrick berbicara apabila mereka semua mula mengesyaki Lisa adalah punca kecederaan yang dialami Alex. Lebih menyesakkan apabila mereka semua menjadi saksi Lisa digigit Desmond pada malam pertempuran itu. Tanggungjawabnya menjaga dan mengasihi seluruh keluarga werewolf mereka terasa memberat di pundak. Dan dia tahu jika andaian mereka benar, dia dan Tom perlu bersemuka dan membuat satu keputusan yang amat sukar.

"Kita berbincang bila mereka berdua sedar nanti," putus Hendrick. Kerjanya kembali diteruskan. Tom menyapu wajah dengan kedua belah tangan.

Rumit.

"Hendrick!" Suara Anna memecah hening. Serentak mereka memandang Anna yang kelihatan cemas. "Alex! Alex!" Hanya itu yang mampu diucapkan bersama mata berkaca dan tubuh yang menggeletar hebat. Sepantas kilat Hendrick berlari menuju ke ruangan bawah tanah diikuti Tom di belakang.

Langkah yang laju termati di muka pintu saat menatap mata yang terbuka lemah. Naluri seorang ayah berlumba-lumba memenuhi dada. Perlahan-lahan dia menghampiri Alex yang kembali memejamkan mata.

"Dia dah mula sedar cuma dia masih perlukan rehat," jelas Anthony sambil menepuk lembut bahu Hendrick yang tidak lepas memandang anaknya.

"Terima kasih, Anthony," ucap Hendrick, sebak.

"Tapi, kita kena bersiap sedia untuk beritahu dia bila dia sedar sepenuhnya nanti."

Tom memejamkan mata saat mendengar ingatan Anthony itu. Anna merapat ke sisi Hendrick dan memeluk sisi tubuh lelaki itu dalam esakan halus.

MATANYA DIBUKA. Perit saat mentari yang mencuri masuk di celahan langsir menyapa pandangan.

"Kamu... dah sedar."

Dia memandang ke sisi. Terlihat seorang lelaki berkumis nipis memandangnya dengan wajah sayu bercampur gembira. Dahinya berkerut halus. Dia mengengsot ke belakang apabila lelaki itu berdiri merapati sisi katil. Lelaki itu terdiam memandangnya, lama.

"Lisa."

Lisa menggeleng. Ingatannya kosong sama sekali.

"Ini ayah. Tom." Sebak Tom berbicara. Rindu yang sarat ditahan di dada. Melihat kesan luka di wajah mulus itu menyakitkan jiwa. Ikutkan hati, dia mahu membawa Lisa ke dalam pelukan namun Lisa nampak kaku dan keliru. Ada rasa tidak enak bergendang di dada saat melihat ada jaluran merah mencemari mata putih Lisa.

Hari kedua, Lisa semakin sihat namun dia masih belum dapat mengingati apa yang berlaku sebelum ini. Saat dia turun dari beranda kabin, semua mata terpaku melihatnya. Suasana menjadi sepi. Semua orang berhenti berbicara.

Mata Lisa terkelip beberapa kali. Memori itu bagai melintas seketika. Suasana yang sama. Pandangan sama namun dia masih gagal untuk ingat sepenuhnya. Tom setia di sisi, membawanya mengambil angin di kawasan luar.

Lisa memandang kawasan kabin yang semakin tersusun dan diperbaharui. Kerja-kerja pertukangan masih dilakukan di bahagian laman. Namun, dia merasa aneh setiap kali mereka memandangnya bahkan ada yang mengelak dari bertembung mata dengannya.

"Kau tak patut bawa dia keluar, Tom."

Mereka menoleh serentak. Wajah tegang Hendrick menghiasi pandangan.

"Hai, Lisa! Ingat pakcik tak? Albert yang disukai ramai," Albert di sisi Hendrick melambai mesra. Dia mula risau akan pertembungan Hendrick dan Tom di tengah-tengah kawasan kabin mereka. Lisa memejam mata seketika. Nama itu terasa mesra pada pendengarannya. Albert memandang Hendrick yang berwajah serius. "Tak apalah, Hendrick. Lisa pun nampak dah sihat. Dia perlukan udara segar."

"Kau merisikokan nyawa kita semua." Perlahan namun tegas. Hendrick langsung tidak mempedulikan kata-kata Albert tadi. Tom menyebak rambutnya ke belakang.

"Aku cuma bantu dia dapatkan memori dia semula," Tom membela diri. Lisa memandang anak mata Hendrick tanpa berkelip. Tidak sedar ada perasaan amarah mengapi jiwa. Hendrick turut membalas renungan Lisa. Anak mata itu sudah lain. Dia sangat yakin Lisa bukan lagi Lisa yang dulu.

"Lisa. Lisa!"

Lisa tersentak saat Tom meninggikan sedikit suara memanggil namanya. Dia seakan tersedar dari lamunan yang panjang. Hendrick yang masih merenungnya dipandang seketika sebelum dia menunduk sedikit dan berlari anak mendapatkan Tom yang sudah menjauh.

"Dia bukan Lisa."

Albert menelan air liur saat Hendrick mengucapkan kenyataan itu. Dia sendiri merasa gerun melihat cara Lisa merenung Hendrick.

Nota : tak sangka cerita ni dah hampir habis.
*sobs* dan ya... saya tengah malas nak edit. Publish je terus 😂

Feel free to vote and comment, werewolfies!

Flizwn🍃

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro