Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

6. The Greys

RHO
Omicron Death Eater
Omicron : Anak keturunan werewolf dan manusia sejati

TERANG. Mata terasa perit ditikam mentari siang yang mula terik namun angin dingin masih setia menyelubungi. Tangan menyokong tubuhnya duduk di atas hamparan dedaunan hijau keperangan. Sekelilingnya direndangi dahan merimbun seakan sebuah tempat berteduh.

Hujung jari menyentuh balutan pada lengan kiri. Aneh. Kesakitan yang terasa membunuh lenyap bagaikan tiada apa yang pernah berlaku. Satu persatu peristiwa malam pertarungan itu melintasi gambaran memori.

"Ayah..." sepintas bibirnya berbisik. Entah di mana dia sekarang.

Perhatiannya teralih pada bunyi di luar sana. Dedaunan merimbun diselak sedikit. Kelihatan kawanan serigala sedang berlegar-legar di situ. Dia tahu itu serigala biasa, bukan jadian kerana bentuk fizikal mereka yang berbeza. Suara kasar yang tertawa kecil menarik perhatian. Perlahan-lahan dia keluar dari tempat berlindung itu, berhadapan dengan kawasan lembah yang berpadang. Kabus nipis mendinginkan suasana.

Tubuh seorang lelaki kelihatan berlari-lari anak bersama beberapa ekor serigala muda. Nampak seperti mereka sedang bergurau senda. Lelaki itulah kelibat yang muncul di tengah-tengah hutan! Malah orang yang sama memerhatikannya di pinggir sekolah. Aneh, kelihatan serigala dewasa menurunkan ekor mereka saat berpapasan dengan lelaki itu. Bukankah itu tanda hormat seekor serigala kepada Alpha mereka? Tak mungkin lelaki itu seorang Alpha!

Saat kerudungnya dilepaskan ke tanah, terserlah tubuhnya yang mirip manusia biasa. Ada kedutan halus di hujung mata setiap kali dia senyum dan ketawa. Kulitnya putih pucat, rambutnya kelabu kehitaman, anak matanya tajam sekali.

Lisa terkaku saat mata mereka bertentang. Lama lelaki itu merenung matanya seiring dengan senyuman yang memudar di bibirnya. Wajahnya berubah serius serta merta. Lisa berundur setapak apabila lelaki itu mara menghampiri.

"Kau tak patut keluar. Kau perlu rehat sekarang." Tegas nadanya mencengkam pendengaran.

"Siapa kau? Kenapa kau bawa aku ke sini?" Tanpa gentar, Lisa membalas.

"Ah, aku benci katakan begini tapi kau mungkin mati kalau bukan sebab aku yang selamatkan kau."

"Orang asing," desis Lisa.

"Kami bukan orang asing bagi kamu, Lisa."

Lisa tergamam memandang seekor serigala dewasa mendekati mereka dan berhenti di sisi lelaki itu. Entah bagaimana dia memahami apa yang serigala itu katakan. Nafasnya mula tak keruan apabila seluruh kawanan mula mampir bersama, memandangnya dengan mata kelabu kebiruan mereka.

Lisa menggosok tengkuknya sambil tertawa hambar. Mungkin dia cedera teruk hingga menjadi gila begini. Atau mungkin dia sedang bermimpi.

"Kau tak bermimpi," lelaki itu bersuara bagaikan boleh membaca apa yang difikirkan Lisa.

"Lisa Esburn." Sekali lagi dia mendengar serigala itu bersuara malah menyebut namanya!

"Aku, Luppus. Kami kawanan The Greys. Dan kau..."

Entah mengapa jantungnya berdetak hebat menanti ayat tergantung serigala bernama Luppus itu.

"...Canis Alpha kami."

"BANGUN, TOM. Bangun!"

Tom membuka mata sedikit. Wajah Albert tenang di sisi. Anthony, werewolf yang juga seorang doktor di pekan itu mampir membantunya duduk.

"Lisa!" Melilau matanya mencari bayang Lisa. Wajah Albert dan Anthony suram tanpa jawapan.

"Aku nampak Lisa. Betulkan itu dia? Dia kembali dari bandar mencari aku."

"Ya, Lisa datang. Melindungi kau dengan berani," balas Albert. Sedih melihat temannya itu bagai anak kecil mencari ibunya.

"Aku... entah macamana aku nampak Lisa malam tu. Padahal aku Epsilon. Aku tak patut kenal dia dalam keadaan jadian." Tom terbatuk kecil. Tangan kiri melekap di dada yang terasa pedih.

"Mungkin... kau terlalu rindukan dia," ucap Albert dengan mata yang mula merah. Dialah saksi melihat kasih sayang Tom pada Lisa sejak Lisa di dalam kandungan lagi.

"Mana dia, Albert?"

"Dia... kena gigitan Desmond."

Mata Tom membuntang. Nafas mula tidak teratur.

"Dia berubah? Atau Hendrick bunuh dia?!" Tom mula cemas. Sebelum ini berpuluh tahun yang lepas Hendrick terpaksa membunuh 2 orang rakan mereka yang terkena gigitan Desmond. Mereka berubah menjadi Epsilon yang ganas dan mencederakan yang lain.

"Kita semua tahu Lisa adalah Omicron. Dan kita semua tak pernah jumpa Omicron lain sebelum ni. Jadi kami tak tahu kesan gigitan Desmond pada Lisa," jelas Anthony.

"Habis tu mana dia?"

Albert menggeleng. "Hairan. Dia hilang begitu saja. Tanpa jejak walau sedikit."

"Aku kena cari dia!"

"Kita sama-sama cari dia, Tom. Dia anak kami juga." Albert memberi jaminan.

TURUN NAIK nafas kasar menjelaskan kemarahannya. Lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Rho itu menghalangnya dari pergi.

"Aku tak ada kena mengena dengan kehidupan di sini apatah seorang alpha! Ke tepi!"

"Kau pernah serang werewolf lain tanpa sebab?"

Lisa menghela nafas kasar. Mengingati peristiwa dia hampir membunuh Tom. Malah dia pernah merenung Tom dengan amarah yang tidak beralasan dan hanya tersedar apabila Tom memanggil namanya berkali-kali.

"Salah satu musuh Omicron adalah werewolf."

"Karut."

Rho tersenyum senget sambil mendongak ke atas. Matahari yang mula condong sedikit ke sisi dipandang lama.

"Aku tak halang kau pergi tapi bukan kali ni."

Lisa terpaksa akur apabila beberapa ekor serigala lain menghalang jalannya. Dia kembali berteleku di tempat berteduh. Kawasan itu agak tinggi membolehkan dia melihat seluruh kawasan lembah. Tasik yang tak begitu besar menjadi sumber minuman buat kawanan itu.

"Makan." Rho mencampak ketulan daging segar di hadapannya. Lisa menahan nafas. Terasa loya melihat daging yang dipenuhi darah itu.

"Makan. Nanti mati."

Lisa mendongak memandang Rho yang serius bercakap.

"Aku tak makan daging mentah macam ni," balas Lisa. Kakinya dibawa ke dada dan dipeluk erat. Bayangan wajah Tom mula mencarik rindu.

"Oh, kau hidup macam manusia eh? Okey, selamat menjadi manusia." Rho mengambil semula daging itu dan turun semula ke lembah. Anak-anak serigala mengerumuninya berebutkan daging yang dipegangnya. Lisa merenung bahasa tubuh lelaki itu. Ianya nampak lebih daripada seorang tuan kepada serigalanya. Mereka... satu keluarga.

Gelak tawa Rho bersulam dengan nyalakan anak-anak serigala, bermain berkejaran dengan gembira. Rambut kelabunya bersinar di bawah cahaya mentari.

Dia memandang satu-satunya laluan untuk masuk ke dalam hutan tebal. Dia perlu meyakinkan mereka yang dia tidak akan lari sebelum dia mencari peluang melarikan diri. Nampaknya dia perlu berbaik-baik dengan The Greys terutama si Luppus.

"Lisa."

Lisa tersentak. Entah bila dia terlena, tersandar di pangkal pohon. Matanya digosok perlahan. Memandang matahari yang semakin merendah. Dibiarkan Rho meletakkan kain di atas bahunya ssbelum ditarik merapat menghalang angin dingin mencuri masuk. Buah epal ranum diletakkan di sisinya.

"Makan. Nanti kau mati, diorang makan kau," selamba Rho bersuara sambil memandang ke arah kawanan yang sesekali memerhatikan mereka berdua. Lisa tersenyum tanpa sedar. Kata-kata Rho terasa mencuit hatinya.

"Lisa. Aku tak boleh jadi Alpha yang lengkap tanpa kau. Kau Omicron kedua yang aku jumpa seumur hidup aku."

Lisa membuat muka jelik. Epal dikunyah perlahan.

"Mana Omicron yang pertama?"

"Akulah yang pertama tu."

Sekali lagi Lisa hampir ketawa. Seakan lupa permasalahan yang sedang terjadi.

"Kau ajak aku... duduk dengan kau? Kisah apa yang kau reka ni?"

"Okey, aku akui aku tak suka kedatangan kau mengganggu aku dengan The Greys tapi Luppus memaksa. Mungkin, kita boleh buat perjanjian kedamaian."

Lisa ketawa.

"Kau orang asing. Luppus? Asing. Tempat ni? Asing. Omicron? Alpha?" Lisa menggeleng.

"Kau tak percaya."

"Ya."

"Omicron adalah penamat keturunan werewolf."

"Maksud?"

"Anak mereka takkan menjadi serigala. Faham?"

"Kau ajak aku kahwin ke?" Lisa mengecilkan mata.

"Aku bercerita tentang Omicron. Kau? Jangan ganggu kehidupan peribadi aku. Aku cuma ajak kau jadi partner Alpha, faham?"

Lisa diam. Tidak mengangguk atau menggeleng.

"Kau tak percaya... sekali lagi."

"Hmm. Aku tak kenal kau."

"Jadi, kalau aku cerita pasal diri aku, kau percayakan aku?"

"Terpulang." Lisa menyilang tangan ke dada.

"Oh, bercerita adalah satu perkara yang sangat menjengkelkan. Aku bukan penglipur lara."

Lisa merenung Rho dengan tajam. Nak yakinkan orang tapi malas bercerita?

"Okey, okey. Sebenarnya aku dah lama tak bercakap dengan manusia-" Rho terhenti bicara. Hujung kakinya yang berlunjur dipandang sepi. Lisa melihat riak kesunyian di situ.

"Jadi mungkin ayat aku akan buat kau kurang faham," Rho kembali senyum memandangnya. Lisa tersenyum kecil. Lelaki ini memang manis bila tersenyum begitu.

"Asalkan kau tak melolong tiba-tiba, aku masih boleh memahami," perli Lisa. Rho senyum senget.

"Macamana kau boleh hidup dengan The Greys? Kalau kau Omicron, kau sepatutnya ada ibu dan ayah."

"Oh, ibu ayah? Keduanya dah tiada."

"Maaf. Aku bersimpati," ujar Lisa. Rasa bersalah pula bangkitkan hal itu.

"Tak ada apalah. Aku yang bunuh mereka," jawab Rho, tenang. Bagaikan tiada apa-apa yang serius. Lisa mengerutkan dahi.

"Ayah aku sama seperti Desmond. Hamba Death Eater. Mak aku manusia yang tamak, memperhambakan diri pada Death Eater hingga sanggup kahwin dengan ayah aku kerana mereka mahu mewujudkan Omicron dalam kumpulan mereka."

Lisa ralit memandang wajah tenang Rho yang bercerita sambil memandang jauh ke tengah tasik. Dia yakin lelaki itu jujur. Pasti peristiwa lalu sedang terimbas di kotak memori. Memori hitam.

"Aku bunuh ayah untuk pertahankan mak aku. Sebab dia dah berjaya lahirkan aku, jadi dia dah tak berguna untuk mereka. Tapi mak aku tak tahu hal itu. Malangnya mak aku tak boleh terima hakikat dia terpaksa menjadi pelarian Death Eater dan menyalahkan aku. Dan terus menyalahkan aku kerana mengalami kecacatan kekal selepas melahirkan aku. Aku dikurung dan diseksa seperti haiwan." Rho diam seketika.

"Eh, aku memang separuh haiwan pun, kan?" Rho menoleh memandang Lisa sambil ketawa namun sedikit pun Lisa tidak membalas tawanya. Dia ingat ini cerita dongengkah?

"Tapi, aku bunuh mak aku tanpa sengaja. Dia..." Rho berhenti sebentar. Seakan sukar untuk dia berbicara setelah bercerita dengan begitu lancar sebentar tadi. Kerutan halus menggaris di dahi.

"Dia... cuba bakar aku. Aku bergelut melepaskan diri, berlari ke dalam hutan meninggalkan mak aku yang terperangkap dalam rumah kami yang dimakan api. Aku- aku langsung tak menoleh ke belakang. Aku tak berpatah balik untuk selamatkan dia. Aku..." Rho menolak rambutnya ke belakang, memandang Lisa dengan mata kelabunya.

"Aku dah kehabisan perkataan," dia tersengih. Lisa meletakkan tangan ke dahi. Lelaki ini memang tidak waras. Ada rasa simpati yang terbit melihat sengihan ikhlas Rho. Dia bagaikan seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam tubuh orang dewasa.

"Rho."

"Hmm?" Rho mengelipkan mata.

"Kau tak bunuh ayah kau. Kau mempertahankan diri."

"Eh?" Keningnya hampir bercantum.

"Kau tak bunuh mak kau. Ianya satu kemalangan."

"Oh, macam tu ke? Luppus beritahu aku itu satu bentuk pembunuhan." Rho melempar pandang pada Luppus yang sedang memerhati serigala muda bermain. Dia bergerak menurun ke bahagian bawah, mendekati tebing tasik. Lisa pantas mengekori dari belakang.

"Luppus serigala sejati. Kita, manusia," tegas Lisa tanpa segarit senyuman. Dia mahu Rho tahu mereka adalah makhluk berbeza dengan kawanan serigala itu. Mungkin kerana Rho tidak pernah mempunyai kawan manusia yang lain.

"Aku jumpa The Greys dan menakjubkan bila aku boleh faham apa yang mereka katakan. Aku tak rasa mereka berbeza dari aku. Sejak tu, aku jadi salah seorang kawanan mereka. Hmm... kau? Mesti mak kau dah mati, kan?"

Lisa merenung wajah selamba Rho dengan tajam. Rho mengangkat kedua kening sambil melabuhkan duduk menghadap tasik.

"Manusia biasa takkan mampu bertahan kandungkan anak werewolf. Sebab tu Omicron macam kita tak ramai."

"Ibu masih wujud," tegas Lisa. Ada nada rindu dalam ketegasan itu. Mengertilah Rho, Lisa dan ibunya mempunyai pertalian yang baik.

"Nampaknya, kau kena belajar untuk lupakan dia. Hidup tanpanya." Rho bangkit dari duduk, menapak ke depan menelusuri gigi air yang merah dengan biasan cahaya matahari akhir.

"Kenapa?" Lisa turut bangkit, tidak berpuas hati.

"Sebab kau..."

Lisa memejamkan mata tiba-tiba. Pandangannya kabur. Kata-kata Rho tidak lagi kedengaran berganti dengan bunyi membingit dan berkecamuk. Jantungnya berdetak pantas selaju nafas yang berhembus keluar. Seluruh tubuhnya mula menggigil dan berpeluh. Tangan kirinya terasa perit sepertimana awal-awal dia cedera dulu.

"Lisa!" Entah bila Rho sudah berdiri rapat di hadapannya. Kedua bahunya dipegang kejap. "Kau kena bertenang. Kawal diri kau, Lisa."

Lisa menjatuhkan kain yang melindungi dari angin sejuk. "Aku rasa... panas." Suaranya tersekat di kerongkong. Dia berundur beberapa tapak menjauh dari Rho.

Rho melolong halus memanggil kawanannya. Lisa terjelepuk jatuh ke gigi air. Sekilas dia memandang pantulan wajahnya di dalam. Tergamam. Mata putihnya bertukar merah. Urat hijau kebiruan timbul dari leher dan naik ke wajahnya. Rasa takut menyerang jiwa.

"Argh!" Lisa menyentak kuat. Dia menekan kepala yang terasa sakit.

"Lisa, kau takkan apa-apa. Kami ada di sini. Jangan takut, Lisa. Itu akan memburukkan keadaan." Rho mampir perlahan-lahan. Beberapa ekor serigala lain mula mengepung. Berjaga-jaga.

"Kenapa dengan aku, Rho?"

Rho menelan air liur dengan payah saat Lisa mengangkat muka memandangnya. Suara itu tidak lagi kedengaran lunak. Ianya bersulam deraman kasar. Dan warna biru kelabu itu hilang dari anak matanya


Let me know what you think
Flizwn 🍃

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro