3. Tom : Walk Beside Me
MATA YANG TERPEJAM semakin dirapatkan hingga terhasil garisan halus di dahi. Bunyi lolongan serigala sayup-sayup mengganggu mimpinya.
"Hah!" Lisa membuka mata dengan nafas yang laju.
Tom yang sedang termenung di tingkap segera datang merapat. Pipi Lisa disentuhnya. Lega melihat mata itu sudah terbuka namun leganya tidak lama. Pandangan Lisa tajam menikam wajahnya.
"Lis- argh!"
Tom terdampar di atas lantai apabila Lisa menerkam lehernya. Nafasnya tersekat, wajahnya merah cuba melawan tenaga Lisa yang luarbiasa. Mereka bergelut sehingga bertaburan barang di dalam bilik.
"Oh Tuhan, Lisa! Tom!" Anna dan Alex yang baru muncul dari tingkat bawah segera menerpa dua beranak itu. Alex cuba meleraikan tangan Lisa yang masih mencekik leher Tom namun entah bagaimana Lisa menepis sehingga tercampak dia mengenai meja belajar. Lampu meja tergolek ke lantai dan pecah bersama buku-buku yang bertaburan.
"Lisa! Sedarlah! Ini ayah kamu, Lisa!" Anna menjerit berulang kali, cemas melihat Tom yang kelihatan lemah.
"Lisa Esburn!" tempik Alex.
Lisa terkaku bagai tersedar dari mimpi. Menyedari tangannya yang masih mencekik Tom, segera dia melepaskan dengan rasa terkejut yang amat sangat. Tom terbatuk kuat, menarik nafas sedalam-dalamnya menghilangkan rasa pening yang menyerang. Dia memandang Lisa yang mengengsot ke belakang, menjauhi mereka semua. Mulutnya terbuka dengan nafas yang laju.
Anna, Alex dan Tom saling berpandangan dengan wajah yang keliru dan risau.
◇
"KAMI JUMPA KAMU terbaring di tengah hutan. Kamu... ada terjumpa sesiapa ke?"
Soalan Anna sepi tidak berjawab.
"Mungkin... Lisa terbawa-bawa ketakutan malam tadi, jadi Lisa sangkakan ayah adalah orang asing. Maaf, ayah," ucap Lisa, lemah. Tom mengusap kepala anaknya dengan lembut.
"Mungkin kita perlukan masa untuk berehat. Lusa, kita pergi bercuti," ujar Tom. Lisa mendongak memandang Tom dengan wajah bercahaya.
"Kita akan ke Ardennes?"
"Lebih dari itu," jamin Tom, membalas senyuman Lisa. Dia memandang Anna dan Alex silih berganti bersama hati yang bergendang resah.
◇
JAUH PANDANGAN DITEBARKAN ke luar tingkap. Terasa lolongan serigala yang muncul dalam mimpinya itu seperti nyata. Dia menapak menuju ke dapur untuk menghilangkan dahaga.
"Lusa saya akan hantar Lisa."
Langkahnya mati mendengar suara Tom, ayahnya. Dia memicing telinga.
"Tak, dia bukan... dia bukan, Seroja."
Berkerut dahinya tidak memahami isi perbualan itu tapi nama Seroja yang disebut Tom terasa menyakitkan hati. Pintu bilik Tom ditolak perlahan. Menyedari kehadiran Lisa, panggilan dimatikan segera.
"Ayah masih nak hantar Lisa pada ibu? Jadi ramcangan percutian lusa nanti cuma satu penipuan?"
"Lisa..."
"Ya ayah ni orang tua yang pelupa dan kadangkala menyakitkan hati tapi Lisa tak boleh hidup tanpa ayah!"
"Ayah bukan oksigen. Kamu tak perlukan ayah dalam jantung kamu, paru-paru kamu." Ha, sama-sama loyar buruk. Anak bapak perangai sama saja!
"Tapi, ayah diperlukan dalam hati Lisa!"
Tom terdiam. Dia meraup wajah kekesalan. Lisa sukar dibawa berbincang, tidak seperti Seroja yang lemah lembut dan bertimbangrasa.
"Kalau sebab hal serigala mula masuk ke pekan, ayahkan ranger hutan. Ayah boleh jaga keselamatan pekan, takkan tak boleh jaga keselamatan anak sendiri?" Lisa kembali berdebat.
"Ayah... tak boleh jaga kamu, Lisa."
"18 tahun ayah jaga Lisa dan sekarang ayah nak halau Lisa duduk dengan orang yang Lisa tak pernah kenal?!"
"Dia orang yang melahirkan kamu!"
"Oh, iya ke? Tapi dia tak pernah cari Lisa!"
Pintu berdentum ditinggalkan Lisa yang berlari ke biliknya. Tom tersandar di dinding.
◇
TOM MENGHIRUP SUP brokoli yang masih berasap. Dikacau lembut dengan hujung sudu.
"Itu dia, lelaki yang sukakan sup brokoli air tangan anaknya dan tidak boleh hidup tanpanya." Lisa tiba-tiba muncul bersama handycam yang sedang merakam.
"Hmm... bukannya mati tak makan sup brokoli," Tom mencebik.
"Oh, dah mula berlagak. Sejak dah belajar nak buang anak sendiri, nampaknya Encik Tom ni mula berhati kering," sinis Lisa berbicara menahan geram.
Tom buat tidak peduli. Dia menjeling bagasi Lisa yang sudah dikemaskannya. Biarpun Lisa menentang, anaknya perlu dikeluarkan dari pekan dengan segera.
◇
"LISA! LISA!!"
Pintu bangsal dihentam namun masih tidak terbuka. Entah bagaimana dia boleh terkunci di dalam.
"Lihatlah, seorang lelaki terkunci di dalam bangsal. Jika tidak ada anak perempuannya, pasti dia akan mereput menjadi jerami." Lisa muncul pada tingkap kecil bangsal bersama handycam di tangan. Tom mengeluh kuat. Dia tahu Lisa nak tunjukkan bahawa dia memerlukan Lisa untuk meneruskan kehidupan yang baik.
"Buka pintu ni, Lisa!"
Sekali lagi Lisa datang merakam Tom yang keluar dari bangsal dengan wajah mencuka.
"Kamu kuncikan ayah ya?!" Tom pura-pura marah.
"Aaahhh!!" Lisa melarikan diri apabila dikejar Tom. Tom berhenti mengejar, membiarkan bayang Lisa menghilang ke dalam rumah. Dia tahu Lisa cuba meyakinkan bahawa dirinya tidak akan mampu hidup tanpa anaknya itu tapi sekalipun Lisa tidak berbuat begitu, dia sangat tahu dirinya seperti separuh mati ditinggalkan Lisa. Dadanya dicengkam kuat mengenangkan Lisa yang akan berjauhan dengannya.
◇
"SILA MASUK!"
Pintu bilik dibuka. Tom mengeluh memandang Lisa yang senyum lebar sambil menggoyangkan kaki. Handycam sudah sedia merakam wajah sebal ayahnya.
"Mana kunci trak ayah?"
"Sekali lagi, lelaki ini tak mampu hidup tanpa anak perempuannya yang selalu membantu mencari kunci yang hilang. Hidup culasnya menjadi sempurna dengan kewujudan anak perempuannya di sisinya."
"Lisa. Tolong jangan buat macam ni." Nada suara Tom bertukar serius. Lisa perlu sedar keputusan dia adalah tekad di atas alasan yang kukuh.
Lisa menurunkan handycam. Senyumannya memudar.
"Lisa cuma seorang budak perempuan yang nak tinggal bersama ayahnya..."
Tom meraup wajah.
"Pertama, Lisa dah 18 tahun. Kedua, esok kamu bertolak. Ketiga, tak ada lagi permainan budak-budak macam ni." Nampaknya Tom langsung tidak memberi peluang. Lisa menuruni anak tangga mengejar Tom. Kelihatan Albert, kawan Tom sedang menunggu di ruang tamu. Pasti mereka nak masuk hutan tengah malam begini.
"Lisa, kamu patut dengar-"
"Pakcik pun nak halau saya?! Sama macam pakcik hantar Ellen ke bandar?"
"Lisa, masuk bilik. Bagi kunci trak ayah," Tom mencelah.
"Tak! Selagi ayah suruh Lisa pergi, Lisa takkan benarkan ayah masuk hutan malam ni!"
Tiba-tiba, bunyi lolongan serigala kedengaran dari jauh. Lisa terdiam. Itulah lolongan yamg selalu didengar dalam mimpinya!
"Lisa, masuk rumah! Tom, cepat!" Albert mula meninggi suara. Mereka kelihatan cemas.
"Ayah nak pergi buru serigala-serigala tu? Lisa tak benarkan!" Lisa menghadang pintu. Berita kematian 2 orang penduduk akibat serangan serigala mula menakutkannya.
"Ke tepi!"
Lisa tercampak ke sisi apabila ditolak Albert namun pantas dia berlari mengejar Tom. Bulan mengambang penuh menghiasi dada langit. Tangan sasa itu dicengkam erat tidak mahu melepaskan Tom pergi namun entah mengapa dia merasakan tangan itu menggigil.
Lolongan semakin kuat kedengaran. Bersahut-sahutan.
"Arghhh!" Tom menunduk kesakitan dengan erangan yang panjang dan kuat. Kedua tangannya mencengkam kepala.
"Ayah?" Lisa tergamam.
"Pergi!" Tom menderam marah, merenung tepat pada anaknya. Saat itu, Lisa terduduk di tanah. Seluruh tubuhnya bergetar. Terkejut bukan kepalang. Itu bukan mata ayahnya!
"Lisa, lari!!" Albert bertempik kuat namun Lisa merasakan kakinya seakan lembik untuk berdiri. Di hadapan matanya, Tom mengerang kuat sebelum melolong seperti serigala. Tubuhnya membesar dan wajahnya berubah.
Ayah... werewolf?
Lisa mengengsot ke belakang apabila Tom yang sudah berubah itu menghampiri dengan deruan nafas yang kasar. Bengis.
"A- ayah! Ini Lisa!" Lisa menjerit apabila Tom menerkam dirinya. Terasa perit apabila hujung kuku Tom yang berubah menjadi tajam dan runcing terbenam pada tubuhnya.
"Tom! Dia anak kau!" Albert menerjah Tom dengan kuat. Mereka tergolek ke tanah, bergelut dengan begitu ganas. Dalam masa yang sama juga tubuh fizikal Albert turut berubah sama seperti Tom.
"Lari!" suara akhir Albert mengejutkan Lisa yang tergamam.
Tanpa menoleh, Lisa berlari sekuat hati.
*
Hari yang begitu sejuk sekali. Aku memandang gambar kenangan di hutan kembara Perth. Agaknya bila pula rezeki aku ke Ardennes? Menjejaki Lisa di sana.
Flizwn
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro