15. Preserve Memories
KABUS YANG berarak perlahan mengiringi langkah lincahnya melewati permukaan hutan menuju tapak sementara The Greys. Langit masih gelap, menanti siraman cahaya matahari yang baru muncul di ufuk timur. Langkahnya menjadi perlahan sebelum akhirnya terhenti. Tubuh dipalingkan ke sisi, memandang gadis berhud yang bersandar di pangkal pokok seakan sudah lama menanti dia di situ. Ada detak di dada lelakinya saat mereka bertentang mata.
"Lisa... aku..." Rho terkelu tak terkata. Sungguh janggal terasa berhadapan dengan Lisa begini selepas semua yang terjadi namun wajah Lisa sungguh tenang. Tiada senyuman, tiada muram. Tiada riak emosi. Hanya matanya setia merenung Rho dengan kedua tangan dimasukkan ke dalam kocek baju sejuk.
"Jaga aku baik-baik. Dan pulangkan aku ke Amber Hills bila tiba masanya."
Sepatah demi sepatah ditutur Lisa sebelum gadis itu berpaling pergi meninggalkan Rho yang mematung, cuba menghadam maksud kata-kata Lisa. Ada senyum lemah terukir herot di bibir.
"Aku janji," ikrar Rho biarpun Lisa sudah lenyap menjauh.
"AWAK YAKIN ke ada dalam ni?" soal Tom diselangi batuk-batuk kecil dek kerana habuk di ruangan loteng yang sempit. Kotak di tangan bertukar tangan.
"Ya, ada dalam ni," balas Seroja, yakin. Walaupun sudah bertahun dia meninggalkan kediaman mereka namun dia sangat pasti Tom tak akan mengusik barang di loteng itu. Penutup kotak dibuka.
"Ini kotak kelima awak cakap macam tu. Saya taknak naik ke atas lagi. Banyak habuklah!" rungut Tom.
"Katanya werewolf. Habuk pun tak tahan ke?"
"Hey," Tom menarik hujung rambut isterinya, geram. Lisa ketawa halus melihat karenah ibu dan ayahnya. Tak pernah dia terlintas di fikirannya, dia akan melihat adegan sebegini.
"Saya dah cakap tak payah simpan barang lama. Kulit buku pun nak simpan?" Tom mencapai kulit buku lusuh tanpa helaian mukasurat lalu dilayangkan depan wajah Seroja.
"Itu buku latihan saya yang awak pura-pura pinjam tapi tak pandai nak pulangkan sampai 2 minggu saya terpaksa ekori awak!" Seroja membuat mimik muka jelik.
"Seriuslah?" Lisa teruja. Ini berita hangat! "Jadi ayah mengorat ibu dulu?"
"Salah ibu Lisa-lah! Semua lelaki dia senyum selamba. Dia tak tahu senyuman dia tu merbahaya," Tom menjegilkan mata. Lisa ketawa lagi, geli hati.
"Bukan kotak ni, Tom. Awak kena cari satu lagi kotak yang warna macam ni," tingkah Seroja sambil menutup semula kotak yang dipenuhi buku lama.
"Hah, baguslah! Tinggal 1 lagi kotak terakhir warna merah macam ni. Urgh!"
"Inilah ayah kamu. Suka merungut," gosip Seroja separa berbisik pada Lisa.
"Jadi ibu boleh bayangkan hidup Lisa selama ni?" Suara mereka bersatu mentertawakan Tom. Dalam diamnya Tom cuba mengawal diri. Ada kegembiraan yang menghangatkan hati melihat 2 wanita yang dicintai berada di hadapannya ketawa bersama. Dalam masa yang sama, sebak turut bergendang melihat wajah Lisa yang dihiasi urat kebiruan yang semakin menjalar gelap. Urat itu tidak memudar lagi bahkan terus menghiasi kulit mulus anaknya.
"Inilah dia..." ucap Seroja saat kotak keenam dibuka. Sehelai dress putih gading ditarik keluar menampakkan keindahan jahitan yang kemas. Mata Lisa bercahaya memandang dress perkahwinan ibunya 20 tahun yang lalu.
Sederhana, indah, penuh memori.
Hujung jemari Seroja menyentuh permukaan sulaman menghiasi baju itu. Matanya berkaca jernih.
"Sebab ibu bapa angkat ibu tidak bersetuju dengan perkahwinan ini dan berlepas tangan, Anna dan kawan-kawan di sinilah banyak bantu ibu buat persiapan perkahwinan kami. Baju ini bukan hanya tentang ibu dan ayah, tapi tentang kasih sayang The Lagg," tutur Seroja dalam senyuman sebak yang terukir. Lisa merangkul bahu Seroja. Dia tahu kisah Seroja sebagai pelarian yang menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga kaya namun sayangnya dia dilepaskan haknya saat menerima lamaran Tom.
"Terima kasih sebab terima saya," lembut bicara Tom, melabuhkan duduk bersebelahan isterinya. Tubuh Seroja ditarik merapat dan dahi itu dikucup penuh kasih.
"Lisa nak hidup macam ibu dan ayah juga."
Mereka memandang Lisa yang ralit memerhati.
"Biarpun berpisah bertahun-tahun, kasih itu tetap ada dan akhirnya bersama juga."
Seroja tersenyum mendengar kata-kata Lisa. Diangkat tangannya meraih Lisa turut sama dalam pelukan. Lisa memejamkan mata, tekaknya terasa perit. Dia mula terbatuk keras.
Tom berlari menuruni tangga mengambil air di dapur. Seroja menggosok lembut belakang tubuh Lisa bagi meredakan batuknya. Saat terpandangkan cairan merah di tapak tangan Lisa, hatinya dirobek hebat.
"Kita balik ke kabin. Lisa berehat ya," pujuk Seroja.
"Lisa okey," tingkah Lisa dalam batuk yang bersisa.
"Lisa..."
"Lisa okey!" entah bagaimana nadanya meninggi meningkah kebimbangan Seroja. Dia tidak mahu dilayan seperti orang sakit. Entah bila lagi mereka akan meluangkan masa bersama dalam rumah mereka ini.
Seroja memandang Tom yang tiba dengan segelas air di tangan. Melihat Tom menggeleng, dia mengerti bahawa dia patut turutkan saja kata-kata Lisa biarpun hatinya bergusar tidak enak.
"Awak patut tengok album gambar ni, Seroja," Tom mencelah cuba meredakan keadaan. Album dalam sebuah kotak berhabuk diserahkan pada Seroja. Penuh dengan susunan gambar Lisa di usia kanak-kanak dan remajanya.
Faham dengan maksud Tom, Seroja cuba tidak pedulikan rasa bimbang yang menjerut hati. Album di dalam kotak itu diselak satu persatu.
"Anak mata dia... anak mata awak, Tom," Seroja mengusap permukaan album.
"Boleh Lisa simpan gambar ni?" Lisa melayangkan sekeping gambar yang dicabut dari tampalan album.
Gambar candid Tom dan Seroja saling berpandangan ketika awal perkenalan mereka.
"Oh tak boleh! Ini ayah punya!" Tom merampasnya.
"Ayah!" Lisa mula bengang.
"Lisa nak bawa bersama supaya Lisa..." Lisa menelan air liurnya. Menahan sebak.
"...tak lupa."
Seroja dan Tom terkelu. Mereka hanya bergurau namun terlupa keadaan Lisa yang semakin sensitif dalam pertarungan perasaannya.
"Kalau macam tu, Lisa kena bawa gambar kita bertiga supaya Lisa ingat Lisa anak ibu dan ayah," beritahu Tom.
"Bukan anak Luppus..." sambung Tom, berseloroh.
Lisa tergelak dalam sedunya yang hampir pecah. "Lisa tak berbulu macam Luppus."
Tom dan Seroja spontan ketawa bersama. Dia bingkas berdiri mencari kamera di bilik.
"1, 2, 3, sebut Tommm."
Gambar mereka terakam dengan mulut yang muncung ke depan kerana menyebut nama Tom. Meletus tawa mereka bertiga namun tidak lama. Seroja dan Tom berpandangan melihat gigi taring Lisa yang semakin meruncing.
Tom menarik tangan Lisa yang bersisa tawa dan digenggam erat.
"Simpan gambar ni. Lisa anak ayah dan ibu, walau apa jua musim yang akan berubah."
Lisa mengangguk pilu.
🍁
With privileges comes the responsibility of taking an attempt to preserve them, we become stronger than we are.
Dalam perjalanan pulang ke Woods Cabin, mereka melalui kawasan sekolah yang sepi menjelang petang. Dengan derianya yang tajam, Lisa tahu ada seseorang di situ. Dengan keizinan Tom, dia melangkah masuk ke dalam sekolah itu dengan mudah namun Tom dan Seroja mengekori jauh sedikit di belakang sebagai langkah berjaga-jaga.
Dia melangkah satu persatu hingga sampai ke bahagian penonton di tepi padang. Susuk tubuh lelaki itu menyapa matanya. Jaket ditarik merapat ke tubuh. Langit bersarak dengan cahaya mentari berkabus, indah di langit turut direnungnya.
"Memori itu indah, kan?" suara Alex memecah sunyi. Mengetahui langkah Lisa yang semakin dekat di belakangnya.
Lisa mampir, duduk di atas kerusi penonton tidak jauh dari sisi Alex. Ada pilu bertandang melihat leher Alex yang berbalut. Buat sekian kalinya dia mencederakan lelaki itu.
Pedih.
Lebih sakit mengenangkan kerisauan Anna dan Hendrick atas perubahan Alex sejak dia menjadi lumpuh. Kurang bicara, suka menyendiri dan banyak termenung. Lisa menarik nafas sedalamnya.
"Terima kasih selalu teman aku waktu kena denda dulu," ucap Lisa. Seperti Alex, memandang ke tengah padang sekolah itu membuatkan memori lama terusik.
Alex tergelak kecil. Ternyata Lisa perasan akan hal itu.
"Dan terima kasih sebab hilangkan beg Brandon," sambung Lisa.
"Hah?" pantas Alex menoleh. Lisa tahu tentang itu jugakah?
"Kau ingat aku tak tahu, kau hilangkan beg Brandon sebab dia ajak aku pergi prom night? Gara-gara perangai tak matang kau, dia terlewat ke sana," selamba Lisa mengungkit.
Alex sudah memejamkan mata. Aduh! Terkantoi pula.
"Maaf kau terpaksa datang tanpa pasangan malam tu," ucap Alex sambil tersengih segan.
"Sebenarnya, aku tunggu kau datang jemput aku bila aku dengar pasal kehilangan beg Brandon," jujur Lisa menceritakan. Dia tidak mahu bersembunyi lagi.
Seketika pandangan mereka bertembung.
"Ya, aku pengecut. Aku takut macamana kau bakal bereaksi. Sebab kau... dingin sangat." Alex akui hingga kini dia merasa kesal kerana tidak menguatkan diri untuk menjemput Lisa malam itu. Jika tidak pasti Lisa tahu rahsia hatinya kini.
Seketika mereka membisu, mengenang masa yang tak mungkin kembali.
Alex mengukir senyum payah.
"Tahniah untuk perkahwinan kau malam ni," ucapnya entah ikhlas atau tidak. Sukar.
"Hmm..." berat Lisa hendak menerima ucapan itu.
"Kami akan berangkat sebelum matahari terbit esok." Lisa mengetap bibir. Tangannya menggenggam hujung baju sejuk. "Tapi aku akan kembali satu masa nanti."
"Aku tak akan menunggu kepulangan kau."
Hati Lisa bagai direntap. Merah wajahnya memandang Alex yang masih tenang.
"Mungkin aku akan tinggalkan pekan ini. Aku tak pasti."
Menerawang fikiran Lisa mengingati beberapa tawaran melanjutkan pelajaran yang diterima Alex.
"Kau patut pergi, Lex," dorong Lisa.
Alex memanggung wajahnya yang mendung.
"Kau bukan dilahirkan untuk menjadi werewolf. Tapi kau dilahirkan untuk hidup," gemersik Lisa berbicara dalam lemahnya. Dialah yang akan menanggung rasa bersalah seumur hidup menjadi penyebab hilangnya semangat Alex.
Alex menahan nafas saat matanya mula berkaca. Kata-kata Lisa itu seolah-olah menyembuhkan 'sayap'nya yang patah. Begitu lama dia merasa terpenjara dengan takdir hidup.
"Kau akan sedar, semuanya akan menjadi lebih baik."
"Terima kasih, Lisa."
Mereka berbalas senyum dalam sinaran matahari yang merendah.
Notes : rumit rupanya sekeping hati. Dipendam salah, diluahkan salah.
Aduhai hati~
Flizwn🍃
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro