10. The Darkness Has Won
"Hah!" Matanya terbuka luas. Bunyi lolongan dari kejauhan bagaikan menyentak setiap urat nadi dalam diri. Kesakitan mula menyucuk di kepala. Bahu kiri terasa dirobek sesuatu. Menggigil tubuhnya menahan perit. Selimut ditarik menutup seluruh tubuh. Peluh mula merenik di dahi, merasakan gelombang kehangatan yang membuak-buak di dalam diri. Hidungnya mengucup bauan seakan mengejutkan raksasa yang sedang tidur dalam deruan darahnya.
Lisa bangkit mendekati tingkap yang dilapisi kain langsir putih. Melihat beberapa orang di laman kabin sedang berbual di hadapan unggun api. Kakinya berundur setapak. Dia merasa takut dengan diri sendiri. Melihat mereka menjadikan dirinya merasa haus. Dahagakan... darah!
"Urgh!" Dia duduk di sudut bilik. Kedua kaki rapat ke dada, wajah disembamkan dan kedua tangan mencengkam erat rambut di kepala. Nafas semakin laju serentak dengan imbasan memori yang menakutkan diselangi tawa riang, senyuman, darah dan pertarungan.
Di bahagian laman, Albert, Tom serta beberapa orang rakan mereka yang lain terus berbual tanpa menyedari perkara yang terjadi kepada Lisa.
"Kau yakin itu Luppus?"
Tom mengangguk perlahan menjawab soalan Anna. Albert turut mengiyakan.
"Aku sendiri terkejut bila terjumpa dia. Panjang umur dia. Aku masih ingat bagaimana dia tolong kita waktu kita menjadi jadian. Menenangkan kita dan memberikan tanah Amber ini pada kita," lirih suara Albert mengenangkan peristiwa lalu. Kalaulah bukan kerana konflik yang terjadi pasti dia sudah memeluk Luppus ketika itu.
"Mungkin benar dia serigala penjaga di Ardennes. Mana mungkin serigala biasa umurnya begitu panjang sekali," Lucas menambah.
"Jadi, dialah menjaga Lisa sepanjang kehilangannya?"
Sekali lagi Tom mengangguk. Matanya merenung unggun api namun fikirannya terawang-awang menguncikan bicara.
"Pasti ada sebab kenapa dia tak pulangkan Lisa pada kita."
"Salah ke aku bawa dia pulang?" Tom mengangkat wajah. Anna terdiam. Tidak tahu apa yang patut dijawab.
"Apapun, kau kena tahu, Lisa anak kami juga. Dia sebahagian dari keluarga kita. Kau tak keseorangan, Tom. Dan... Seroja-" Anna termati kata apabila Tom memandang anak matanya.
"Lisa anak dia juga, Tom. Mesti dia risau. Dia berhak tahu."
"Betul cakap Albert. Lama Seroja tunggu kau di Ardennes. Sekurang-kurangnya kau patut sampaikan sendiri tentang keberadaan Lisa," sokong Anna. Tom diam sekali lagi memandang api yang meliuk lentok membebaskan haba. Kopi di tangan sudah sejuk tidak dihirup sedari tadi.
"Tom!" Albert menyentak. Dia tahu Tom tenggelam dalam konflik yang memakan diri. Tapi dia nak Tom tahu dia sentiasa ada untuk membantu.
Keluhan terhembus di bibir Tom. Mata yang basah diusap perlahan, mengusir jauh rasa ralat di hati.
"Aku halau dia pergi. Dengan angkuhnya, aku pisahkan Lisa dari dia. Aku hantar Lisa pada dia bila aku tak dapat nak kawal suasana. Aku pergunakan dia. Sekarang... macamana aku nak beritahu yang..." Tom memejamkan mata. Dia berdehem menghilangkan serak suaranya.
"...aku gagal jaga anak dia. Dan aku mungkin kena bunuh anak aku sendiri."
"Jangan cakap macam tu! Semuanya akan baik-baik saja!" Albert meningkah.
"Kau sendiri rasa Lisa dah berubah, kan? Dia bukan Lisa yang dulu! Kau nampak macamana dia tenung Hendrick tadi! Kau juga nampak ada urat merah pada mata dia!" Tom melenting, bangkit dari duduknya. Kopi di tangan dilepaskan tumpah jatuh ke tanah. Tegang urat merihnya memandang Albert. Tangannya menujah tanpa arah. Kusut.
"Dia anak kau! Anak aku juga, Tom! Apapun jadi pada dia, kau kena ingat dia darah daging kau! Kau kena terus percayakan dia!"
"Aku akan kehilangan dia, Albert! Kalau benar apa yang Luppus cakap, Lisa bagaikan mati sebelum kematiannya!"
"Kawal diri kau, Tom!" Hendrick yang sedari tadi hanya memerhati, mula merapat dan memegang bahu Tom.
"Tak!" Tangan Hendrick ditepis kasar. Wajah Alpha mereka itu dipandang tajam.
"Ada darah Desmond dalam nadi dia! Darah syaitan!" tekan Tom dengan wajah yang tegang. Setitis air matanya jatuh berguguran. "Samada dia akan bunuh aku, atau aku yang bunuh dia. Sama macam keluarga kita yang jadi mangsa Desmond dulu! Kita bunuh mereka! Kau bunuh mereka!"
Albert bangkit menarik Tom menjauh dari Hendrick, khuatir mereka akan bergaduh sama seperti dulu. Keadaan menjadi sepi seketika.
"Aku... ayah yang gagal," rintih Tom, pilu.
Anna menekup mulut menahan tangis. Lucas, Anthony dan yang lain hanya menunduk memandang tanah tempat berpijak, saksi liku kehidupan mereka menjadi makhluk yang tidak mungkin boleh hidup seperti orang biasa.
Tanpa berlengah, Tom melangkah laju meninggalkan kawasan unggun api. Albert memandang belakang tubuh Tom dengan rasa sebak. Dia tahu, Tom masih keliru. Ketakutan menghadapi kenyataan.
Di hujung lorong keluar, Lisa bersembunyi di sebalik pohon besar dalam kegelapan malam yang semakin larut. Perbualan mereka tadi terasa begitu mengganggu fikirannya. Dia yakin mereka sedang memperkatakan tentang dirinya. Emosi mula bercelaru. Dalam masa yang sama, dia melawan bisikan di dalam diri. Langkah dihayun laju tanpa arah menjauhi Woods Cabin.
Tidak lama dia berlari, langkahnya terhenti di sebuah bangunan 2 tingkat yang panjang dilindungi dinding batu dan pagar.
Ambers High School.
Lisa menekan kepala yang terasa perit. Ada bayangan suasana persekolahan dan beberapa orang remaja yang bergelak tawa. Langkah dihayun lagi menjauhi kawasan sunyi itu. Sakit di kaki yang tidak beralas sudah tidak terasa. Dia sampai di sebuah rumah 2 tingkat yang kecil. Biarpun gelap, matanya dapat melihat setiap butiran dengan jelas.
Tanpa berfikir panjang, dia merapati pintu utama. Alas kaki diselak menampakkan segugus kunci. Saat pintu itu terbuka, dia sendiri merasa hairan bagaimana dia boleh tahu di mana kunci itu tersembunyi. Perlahan-lahan dia melangkah masuk sambil matanya menebar ke segenap pelusuk rumah. Ada perasaan halus menyelit di hati.
Tenang.
Ruangan dapur didekati. Sehelai kertas yang menempel di pintu peti sejuk dipandang. Renyuk dengan kesan kotoran.
"Resipi..." dia berbisik membaca perkataan yang hampir hilang. Hujung jarinya menyentuh kertas itu.
Tiba-tiba seakan ada cahaya terang menyilaukan mata hingga dia terundur ke belakang dengan mata terpejam rapat. Satu persatu memori mula tersusun di ingatan. Dari saat dia meninggalkan Amber Hills, peristiwa pertempuran di antara The Lagg dan Desmond, Rho dan Luppus...
"Oh Tuhan..." Lisa terjelepuk jatuh dengan tubuh yang menggeletar bagai digoncang sesuatu. Dia mula sedar dan faham apa yang sebenarnya terjadi. Tangannya menekup mulut yang menggeletar takut saat menyedari segala yang berlaku. Dia merangkak menutup pintu dan dikunci. Sofa ditolak menghalang pintu dari dalam. Semua tingkap dipastikan terkunci sebelum dia berlari ke biliknya di tingkat atas. Pantas dia merangkak masuk ke bawah katil, meringkuk dalam ketakutan yang amat sangat.
Di kabin, suasana menjadi kecoh apabila Tom menyedari Lisa tiada di biliknya. Mereka mula berpecah mencari Lisa. Albert setia menemani Tom menuju ke rumahnya dan tekaan mereka tepat sekali apabila mendengar suara erangan dari dalam rumah.
"Lisa! Lisa! Buka pintu!" Tom menghentam kuat pintu utama. Albert berlari anak mengelilingi rumah mencari ruang untuk masuk sambil memberitahu keberadaan Lisa pada team ranger melalui walkie talkie.
"Pergi! Jangan cari aku! Pergi!" Lisa menjerit kuat dari bawah katil. Tubuhnya menggigil semakin kuat. Dia tahu dia menghidu bau werewolf, ayahnya sendiri. Dia cuba bertahan, melawan perasaan yang bergelumang dalam diri, mengamuk mahu memuntahkan kejahatan yang bersarang. Kesakitan tidak terperi. Kaki yang merapat di dada dipeluk kejap hingga tidak sedar kukunya membenam pada kakinya sendiri.
PRANGG!!
Kaca bertaburan ke atas tanah di tingkat bawah apabila katil di bilik Lisa tercampak melanggar tingkap di dinding. Cemas dengan keadaan itu Tom terus merempuh pintu hingga pecah. Sofa tertolak jauh melanggar meja makan.
Langkah terhenti saat melihat Lisa berdiri tegak di hujung anak tangga. Rambutnya kusut masai. Tubuh jelas menggigil dengan peluh merenik di dahi. Bagai terhenti jantung Tom melihat renungan mata Lisa yang sama sekali berubah.
"Lisa! Ini ayah!" Tom melaung sebelum tercampak ke luar pintu diterpa Lisa. Erangannya menarik perhatian Albert. Lelaki itu terpaku sama seperti Tom awal tadi. Melihat Lisa menyeringai seperti pembunuh yang kejam bagai menyumpah anggota tubuhnya menjadi batu seketika. Segera dibantu Tom berdiri namun sekali lagi Lisa menyerang. Kali ini Albert menjadi mangsa.
Albert melolong saat dirinya hampir berubah menjadi jadian. Serangan itu memicu perubahan diri. Belakang tubuhnya mula membesar namun dia cuba bertahan. Dikhuatiri Lisa akan tercedera jika dia berubah menjadi werewolf. Tubuh Lisa dipeluk kejab menghalang gadis itu dari terus meronta namun Lisa pantas menghumban Albert ke tanah. Albert meraung saat perutnya digigit oleh Lisa dan lehernya dicengkam kasar.
Tom terkaku melihat pergelutan ganas di hadapannya. Akal warasnya seakan hilang direnggut rasa terkejut yang amat sangat. Darah yang mengalir dari kesan cakaran di wajahnya tidak dipedulikan. Matanya terbuntang, cuba menghadam realiti di hadapan mata. Albert nampak nyawa-nyawa ikan, cuba menahan serangan bertalu-talu dari Lisa. Dengan langkah yang goyah, Tom masuk ke dalam rumah sebelum keluar semula membawa senapang patah. Lisa tidak lagi nampak seperti anak kesayangannya. Lisa sudah lenyap dari hidupnya.
"Jangan, Tom!" Entah dari mana Hendrick menerpa menghalang Tom dari melepaskan tembakan. Mereka berdua jatuh ke tanah. Senapang di tangan Tom direntap dan dicampak jauh.
"Lucas, sekarang!" laung Hendrick. Lucas mengangguk sebelum memicu senapang ubat sedatif ke arah Lisa yang masih bergelut dengan Albert. Lisa menderam marah saat peluru ubat sedatif mencucuk belakang tubuhnya. Albert dilempar ke atas tanah berbatu kerikil. Sasarannya beralih ke arah Lucas. Lelaki itu tenang berundur selangkah. Sedas lagi ubat sedatif dilepaskan apabila Lisa menerkam ke hadapan. Dalam masa yang sama beberapa orang lagi melempar tali memerangkap Lisa yang masih bertenaga. Lisa meronta dan meraung saat kedua tangan dan kaki serta tubuhnya terikat pada simpulan tali. Hendrick menekan belakang tubuh Lisa dengan kedua tangan dan lututnya, memaksa gadis itu meniarap di tanah. Lisa menderam marah namun tidak dapat berbuat apa-apa. Hampir 5 minit barulah tubuhnya berhenti meronta menerima kesan ubat sedatif, suaranya menjadi bisu dan seluruh bebola matanya menjadi hitam pekat.
Di hujung anak tangga, Tom masih tersandar tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Lisa bagaikan raksasa dan anaknya yang sebelum ini sentiasa riang dan disenangi orang kini diperlakukan seperti haiwan gila. Matanya beralih pada Anthony dan beberapa orang yang lain bergelut membantu Albert yang berlumuran darah tidak sedarkan diri. Dia melihat Anthony memandang Hendrick seketika. Hendrick membalas pandangan Anthony tanpa berkelip. Saat Anthony menggeleng perlahan, mata Hendrick terpejam rapat.
Angin bertiup lembut membawa salji pertama yang halus, turun bagaikan pari-pari kecil. Masing-masing kelam membisu. Malam itu menjadi malam yang paling sepi di Amber Hills.
Summer turned to winter,
And the snow, it turned to rain,
And the rain turned into tears upon our face,
That the good things never last.
Notes : i'm crying inside. Things have seem to changed. And it hurts...
Flizwn🍃
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro