Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

1. Lisa

Kanta lekap dipakai tanpa kekok. Mata dikelip-kelipkan mengusir rasa tidak selesa. Selesai. Mata biru abu-abu itu diwarisi dari Tom, ayahnya namun entah mengapa mata kirinya lebih cerah dari mata kanannya. Kerana itulah Tom membiasakan dia memakai kanta lekap berwarna agar warna anak matanya itu tidak menarik perhatian orang lain.

"Lisa!"

"Ya, Lisa datang!" Pantas dia mencapai mafla dan berlari menuruni anak tangga. Wajah Albert menghiasi pandangan.

"Selamat hari lahir, puteri manis." Topi koboinya diangkat sedikit sebelum dipakai semula. Lisa tergelak sendiri.

"Jangan puji sangat, Albert. Dia ni cepat perasan."

Lisa menjeling Tom yang melangkah keluar dari rumah mereka.

"Jom!" Dia berjalan beriringan Albert menuju ke arah trak yang terparkir di laman. Lisa menghirup udara segar sambil memejamkan mata. Hatinya berbunga gembira. Dia sukakan bau hutan, bau pepokok indah dan bunyi daun bergeseran ditiup angin.

"Ah..." Tom meraba poket seluarnya.

"Ayah lupa lagi letak kunci kat mana?" Lisa meneka. Tom tersengih sambil menggaru kepala.

"Tak apa, naik kereta aku saja, Tom," pelawa Albert. Memandangkan hari sudah hampir senja, mereka menerima pelawaan Albert.

"Kita melepak kat kabin lagi ke malam ni?" soal Lisa.

"Iya, kita sambut hari lahir kamu di sana," Albert menjawab. Tom diam membisu. Pandangannya dilemparkan ke luar tingkap dengan hati yang cukup resah.

"Lisa teringin nak pergi makan di Ardennes," Lisa menyandarkan tubuh. Semenjak kecil lagi, dia akan menyambut hari lahirnya di kabin tengah hutan milik team ranger hutan memandangkan Tom bekerja di situ.

Albert menjeling Tom. Mereka berpandangan dalam bahasa bisu.

Akhirnya mereka sampai di Woods Cabin. Kelihatan Hendrick bersama isterinya Anna, juga beberapa teman mereka yang lain sudah siap sedia menunggunya.

"Selamat hari lahir, selamat hari lahir, selamat hari lahir Lisa Esburn, selamat hari lahir."

Mereka bertepuk tangan. Suasana cukup meriah biarpun tidak ada muzik yang dimainkan.

"Hai, princess."

Lisa menoleh memandang Alex di sisinya. Kotak hadiah bertukar tangan.

"Jangan panggil saya macam tu. Saya tak suka," tegas Lisa bersuara. Alex hanya tersenyum.

"Esok awak datang ke sekolah?" soal Alex.

"Malas."

Alex ketawa perlahan. Dia tahu Lisa tidak selesa berbual dengannya. Gadis itu lebih mesra dengan orang yang lebih tua daripadanya.

Lisa menyendiri di hujung kabin. Dalam keriuhan itu, Lisa memejamkan mata mencari suara Tom. Tiada siapa tahu pendengarannya sangat tajam tidak seperti orang lain. Pada Tom pun tidak pernah diberitahu.

"Orang Desmond?"

Lisa membuka mata sedikit apabila suara Tom kedengaran di sebalik keriuhan majlis.

"Aku yakin. Siapa lagi yang nak menuntut tanah ini. Dia memakai kerudung coklat keperangan. Aku tak nampak jelas wajahnya. Selepas bertahun-tahun, entah kenapa mereka kembali," suara Albert pula kedengaran.

"Nampaknya kita kena mula berjaga-jaga," balas Tom.

"Tom, kalau malam ni ianya tak terjadi, kau kena hantar dia pada Seroja," suara Hendrick mencelah.

Lisa cuba memahami apa yang mereka bualkan tapi satu pun dia tidak faham.

"Tapi..." suara Tom kedengaran keberatan.

"Kau masih belum boleh kawal diri kau. Macamana kalau pertempuran terjadi, kau mungkin akan bahayakan nyawa Lisa."

"Hei, Lisa!"

Lisa tersentak. Panggilan Anna mengganggu pendengarannya. Dia masih belum dapat memahami butir perbualan mereka. Kenapa nyawanya mungkin dalam bahaya?

"Ke sini," Anna, isteri kepada Hendrick menggamit Lisa mampir padanya. Lisa mencapai huluran tangan Anna. Dia tidak pasti mengapa tapi setiap kali hari lahirnya disambut, Anna pasti akan membawanya naik ke beranda tidak berbumbung di bahagian atas kabin. Dan dia sudah terbiasa dengan rutin itu. Cuma malam itu dia perasan, mereka semua seakan menunggu-nunggu dia naik ke atas.

Di saat kaki mereka menapak pada anak tangga yang terakhir, terserlah bulan mengambang penuh di dada langit. Angin malam berhembus hingga terasa sejuk ke tulang hitam namun dia sudah terbiasa dengan cuaca itu. Sedikitpun tidak menjejaskan dirinya.

"Pemandangan yang indah, bukan?" Anna memandang bulan penuh itu lama.

"Hmm..." Lisa turut memandang ke arah yang sama. Bunyi halus mencuri perhatian.

"Comelnya tupai tu!" Lisa menunjuk ke arah hutan yang gelap. Anna mengalih pandang ke arah Lisa. Air liurnya ditelan pahit.

Kedengaran lolongan serigala dari kejauhan bagaikan memuja sang rembulan.

Lisa memejamkan mata. Entah mengapa, bagai ada lintasan suasana hiruk pikuk dalam mindanya. Bunyi lolongan dan serigala putih ternampak-nampak bagaikan khayalan.

"Lisa? Kamu okey?"

Suara Anna mengejutkannya memaksa dia membuka mata. Tidak sedar dia sudah terduduk di atas lantai.

"Pening sedikit. Mungkin makan terlalu banyak tadi," Lisa tersengih.

Anna merenungnya lama sebelum menghembuskan nafas berat. Entah satu keluhan atau kelegaan, Lisa tidak pasti.

Ketika mereka turun semula ke bahagian bawah kabin, semua mata memandangnya. Lisa memeluk tubuh, menyilangkan kedua tangan di dada.

"Err... ada sesuatu terjadi ke?" dia menyoal.

"Oh, tak ada apa-apa."

Dan keadaan kembali seperti biasa. Lisa mengerutkan dahi. Tom muncul di sisi, menariknya ke dalam dakapan.

"Ayah, jijiklah peluk Lisa depan orang ramai!" Lisa berbisik keras namun Tom masih memeluknya dengan erat. Dia membiarkan saja, merasa selamat di sisi Tom.

Titisan jernih yang mengenai lengan memaksa dia mendongak memandang Tom. Ayah menangis?

"Ayah cuma gembira, sebab dapat melihat Lisa membesar dengan baik sekali." Bagai mengerti persoalan di kepala anaknya, Tom berbicara.

Mereka berbalas senyuman sambil diperhatikan oleh Anna.

"Kenapa, sayang?" soal Hendrick. Bahu isterinya dipaut lembut.

"Lisa..."

"Dia bukan, kan?"

Anna menggeleng. "Tapi pandangan matanya sangat tajam dalam kegelapan malam."

"Darah itu ada dalam dirinya Anna. Mesti ada kelebihan yang dia warisi dari Tom. Ingat tak waktu dia masuk ke hutan ambil bola yang tercampak ke sana. Dia masuk macam tu saja tanpa bantuan cahaya."

"Tapi..." Anna terhenti bicara. Wajah Lisa yang sedang berbual dengan Tom diperhati dengan rasa kurang enak.

"Ada sesuatu yang tidak kena."

*


Jadi, macamana? Okey tak untuk first chapter ni? Terima kasih atas sokongan korang! Pertama kali cuba genre Werewolf ni.

Awwuuu~
Flizwn 🍃

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro