Dihantui Bunyi Yang Seram {Seram}
Ada sebuah gegelung hitam yang muncul di atas kepalaku. Entah kenapa, tangan kiriku tetiba dinaikkan ke atas, cuba untuk menyentuh gelungan tersebut.
Mataku tertutup. Tika mataku terbuka semula, aku melihat sekelilingku kini gelap. Namun, hanya di tempat aku berdiri sahaja... yang seakan bercahaya.
Muncul sosok seorang nenek tua. Badannya bongkok, rambutnya yang berwarna putih, panjang mengurai separas pinggang. Berjalannya pula ditemani sebatang tongkat tua.
Putik peluh dapat aku rasakan di dahiku. Siapa dia ni? Cemana aku ada dekat sini?
"Cucu... apa khabar kamu?" Nenek itu bertanya padaku.
"Siapa... kamu?" soalku, tergagap.
Nenek berambut putih itu tertawa mengekek.
Aku lihat sekeliling, berniat ingin melarikan diri. Namun, kakiku seakan terkunci, tak mampu bergerak.
"Nenek-nenek, si bongkok tiga." Nenek itu bernyanyi tiba-tiba. "Kamu ingat nenek tak?" soalnya kepadaku. Dia ketawa lagi.
Aku tidak menjawab. Ingat? Memang taklah. Kenalpun tak.
"Siang mengantuk, malam berjaga." Dia menyambung lagi nyanyiannya. "Cu... dah lewat malam ni. Kenapa... tak tidur lagi?"
"Apa yang nenek nak dari saya?" Aku menyoal. Perasaan takut mula menghantui. Mataku mulai berasa panas.
Dia tidak menjawab pertanyaanku. "Mencari cucu di mana ada... nenek ku kahwin dengan anak raja..." Dia ketawa dengan nyaring.
Automatik, aku menekup kedua-dua belah telingaku. Mata, aku pejam serapat mungkin. Aku nak balik!
"Cucu-cucu, tak dapat lari..." Dia menyambung lagi nyanyiannya.
"Diam!" Tak kira sekuat mana aku menutup telinga, nyanyiannya masih bisa menerobos ke dalam pendengaranku.
"Nenek tua banyak sakti... sekarang nenek nak cari ganti, siapa kena dia yang jadi."
Tiba-tiba, tanganku direntap kuat dari terus menutup telingaku. Nenek itu kini memegang kedua-dua belah tanganku.
"Engkau... milikku! Siapa sahaja yang inginkan dirimu, akan ku binasakan dirinya!" Dengan mata yang terjegil, dia berkata padaku.
Nafasku seakan terhenti. Di saat aku berasa bagai nyawaku akan tercabut, mataku mulai tertutup.
Aku terbangun dari tidur, dengan dada yang berombak kencang. Badan aku dapati sedang berbaring di katil.
Astaghfirullah hal'azhim... mimpi apa yang datang mengganggu aku ni? Mukaku raupkan dengan tangan kanan. Namun, aku dapati pergelangan tanganku kini lebam.
Tangan kiri aku bawa ke hadapan mata. Sama! Lebam juga! Jadi... itu mimpi ke...
Ring-ring...
Tanganku pantas mencapai telefon bimbit yang sedang berdering. Tertera nama 'Umi' di skrin. Butang jawab segera aku gelongsor.
"Hello..."
"Hello... assalamualaikum. Warda... Warda okey tak?" soal umi. Nadanya kedengaran risau.
"Warda..." Nak bagitahu umi benda betul ke... tak? Nanti umi risau. "Warda okey. Kenapa umi?" soalku pula. Umi tahu ke apa yang aku mimpi tadi?
"Warda dah dengar ke berita pasal Shah?" umi menyoal lagi.
"Shah? Kenapa dengan Shah?" soalku semula. Shah... ialah kawan baikku dari kecil. Merangkap, tunanganku. Kami tinggal di kawasan perumahan yang sama. Dia bekerja sebagai doktor.
"Warda..." Suara umi bagaikan teragak-agak.
"Umi?"
"Shah dah tak ada. Kereta dia terbabas, masa on the way balik dari kerja pagi tadi."
Mataku tidak berkelip. Kata-kata umi, aku cuba hadamkan sebaik mungkin. Shah... tak ada?
"Engkau... milikku! Siapa sahaja yang inginkan dirimu, akan ku binasakan dirinya!" Suara nenek kebayan terngiang di telingaku.
Ya Allah! Apa semua ni? "Umi! Warda ada mimpi tadi!"
#dudukrumah
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro