Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Aku Ikhlas Melepaskanmu

Menyesal! Memang menyesal! Aku tak patut ikut diorang datang jungle tracking! Dahlah diri ini aslinya tak sukakan kawasan hutan! Nyamuk, gelap, telefon tak ada talian, dan... menakutkan.

Tadi, elok je aku mengikut kawan-kawanku yang bertiga... Wulan, Erin dengan Ren.

Tapi, lepas aku terperasan satu kelibat lalu sebelah kiri, aku toleh memandang. Tak ada apa-apa pun. Dan yaa... memang tak ada apa-apa! Kawan aku yang sepatutnya ada di depan pun, ikut lesap... tanpa sebarang jejak!

Sekali lagi, telefon bimbit aku bawa ke atas... berusaha untuk mendapatkan talian. Gagal.

"Assalamualaikum..." Tegur satu suara, lelaki.

Aku kaget. Automatik, tanganku dibawa turun ke sisi. Badanku membeku. Terpacak seorang lelaki di hadapanku. Tinggi lampai.

Bola mataku memandang ke kiri dan ke kanan. Tak ada... orang lain? Macam mana... dia boleh ada dekat sini? Dia datang dari mana?

"Berdosa tak jawab salam." Lelaki itu menutur lagi. Segaris senyuman menghiasi wajahnya.

Aku terpana seketika. Subhanallah. Indah sungguh ciptaan Kau.

Lelaki di hadapan aku, well... tinggi dari aku pastinya. 170cm? 175cm? Entah. Rambut pendeknya tergunting kemas, berbelah tepi... anak matanya hijau, kadang berkilau... giginya tersusun, putih bersinar.

Dia menggeleng kepala, bersama segaris senyuman. "Awak... assalamualaikum..." Dia menutur lagi.

Aku tersengih, malu. Agak lama aku menjalarkan pandanganku ke segenap wajah kacaknya. "Waalaikumussalam..."

❄️

"Saya tak tahu pula dekat gunung ni, ada kawasan perumahan." Aku sedang duduk bersimpuh di beranda rumah Zaquan, manakala dia berdiri di hujung sudut sana... agak jauh dariku.

"Biasalah tu. Kita, makhluk Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui, sedang kita, tidak." Lembut Zaquan menutur.

Zaquan telah membawa aku ke rumahnya. Dia tinggal bersama ibunya, di sebuah kawasan perkampungan kecil. Bilangan rumah, mungkin dalam lingkungan 20 biji sahaja. Semua rumah, dibina dari kayu yang sangat cantik dan terlihat klasik, namun elegan.

Entah kenapa, hati aku berasa tenang melihat senyuman di pinggir bibirnya.

"Balqis... jemputlah minum." Mak Cik Zahrah duduk bersamaku, setelah meletakkan dulang berisi 3 cawan air kopi, dan sepiring kuih puteri ayu. Dia telah meminta aku memanggilnya 'umi'. Dia merupakan seorang ibu tunggal. Ayah Zaquan telah meninggal lama dahulu.

"Zaquan... mari. Umi ada buatkan kuih kesukaan kamu, puteri ayu."

Aku terkesima. Eyh! Favourite kitorang, samalah! Aish... jodoh ke ni?

Zaquan melangkah mendekati kami berdua.

Hatiku makin berdegup kencang setiap kali derap tapak kakinya kedengaran hasil dari lenturan lantai kayu rumah.

Dia duduk di hadapanku, sedang Mak Cik Zahrah duduk di antara kami berdua.

"Kalau umi tahu, umi tak buat puteri ayu harini."

Aku dan Zaquan sama-sama kerutkan dahi.

What? Why? Favourite kami berdua tu, mak cik! Eyh... umi!

Mak Cik Zahrah tersenyum, sambil memandang aku dan Zaquan bersilih ganti.

"Puteri yang satu ni pun, dah cukup ayu." Tangan Mak Cik Zahrah mengelus tanganku lembut untuk beberapa saat.

Aku terkesima. Dapat aku rasanya wajahku mulai memanas. Aduh... apa ni umi? Ayat chia chia ke ni?

Zaquan tertawa kecil. "Itulah... puteri ayu yang ini, memang sejak dulu, kegemaran Zaquan..." Jari telunjuknya menghala pada kuih di dalam piring.

"Puteri ayu yang ini..." Mata Zaquan bersatu dengan pandanganku, "Mungkin, kegemaran terbaru Zaquan?"

Aku mengubah pandanganku dari terus menatap anak matanya. Ya ampun. Aku tak kuat begini!

❄️

Aku dan Mak Cik Zahrah sedang duduk di atas hamparan sehelai tikar mengkuang. Zaquan dan beberapa orang temannya pula sedang mandi-manda.

"Umi memang selalu datang teman Zaquan mandi air terjun ke?" aku menyoal.

"Kadang-kadang. Kalau memang dah tak ada benda yang nak dibuat di rumah tuu, kalau umi rajin, umi ikutlah Zaquan datang sini."

Aku mengangguk.

"Zahrah..." Tiba-tiba, ada seorang wanita seusia Mak Cik Zahrah, memanggilnya. Bersama wanita itu, ada seorang gadis dalam lingkungan usiaku sendiri.

"Kejap ye Balqis. Mak Cik Zurin panggil umi tuu. Ada benda dia nak cakap agaknya." Mak Cik Zahrah bangun lantas meninggalkan aku.

Aku duduk tidak jauh pun dari mereka sebenarnya.

"Zahrah, sampai bila kau nak simpan budak tu? Hantar dia balik."

Aku kaget mendengar kata-kata Mak Cik Zurin. Dia... tak suka dekat aku? Tapi, kenapa?

"Anak aku ni, Mawar... bila kita nak satukan dia dengan Zaquan?" Mak Cik Zurin menyoal.

Sekali lagi, aku terkejut. Hampir tercekik aku, dek kuih buah melaka yang sedang aku kunyah.

Mereka bertiga memandang ke arahku. Aku tarik senyum segaris, sebelum membawa pandang ke arah air terjun semula.

"Zurin... aku dah bagitahu kamu, kan... soal kahwin ni, aku tak nak masuk campur. Yang nak kahwinnya, Zaquan. Tuan badan tuu, tak ada bagi kata putus lagi dekat aku soal hal ni."

"Amboi Zahrah. Ini jawapan kau sekarang, ye? Dulu kau bagitahu, kau akan bincang hal ni dengan Zaquan. Sekarang, dah lain jawapan kau ye Zahrah? Kenapa? Teringin nak bermenantukan manusia tu ke?" Tanpa berlapis, Mak Cik Zurin bertanya.

Aku menelan liur. Entah kenapa, muncul rasa tak sedap badan tiba-tiba. Seram sejuk pun, ada.

"Ibu... janganlah marah Umi Zahrah. Umi tak ada buat salah pun. Ibu bertenanglah." Mawar, anak Mak Cik Zurin cuba untuk tenangkan ibunya.

"Zahrah... Zurin. Sembang apa ni? Tegang je aku tengok..." Tiba seorang wanita, seusia Mak Cik Zahrah.

"Zahrah ni kak... dulu bukan main nakkan anak kita jadi menantu dia. Sekali datang manusia seorang tu, dia dah berubah hati," Mak Cik Zurin memberitahu wanita itu, dengan nada tak puas hati.

"Amboi Zurin. Marah benar kamu ni," wanita itu menggeleng kepala sambil tersenyum.

"Zahrah... kau kena ingat... budak tu bukan asal sini. Bila-bila masa je dia boleh tinggalkan kau, tinggalkan Zaquan." Mak Cik Zurin lagi sekali memarahi Mak Cik Zahrah.

Dahiku berkerut. Buah melaka di tangan, aku pandang kosong. Mataku mula berasa panas. Sedih.

"Hai... kenapa ni?"

Entah bila... tiba-tiba Zaquan kini sudah duduk bertinggung di hadapanku. Badannya tidak berbaju. Dia sekadar berseluar paras bawah lutut. Titisan air jatuh dari rambutnya.

Aku cuba koyakkan senyum, lantas menggeleng kepalaku. "Tak ada apa-apa." Sebak, cuba aku tahan dan sembunyikan.

"Tolong suapkan buah melaka tuu," pinta Zaquan sambil matanya memandang tanganku.

Aku tersenyum, lantas buah melaka aku suapkan ke mulutnya. Kami tersenyum bersama. Akan indahnya dunia, jika hanya ada kami berdua... bukan?

Namun...

"Haa! Tengoklah tuu! Zahrah... Zahrah... aku dah bagitahu kau, jangan simpan budak tu. Depan kita, diorang boleh mesra macam ni... belakang kita? Entah apa yang budak tu dah buat pada anak kau, Zahrah."

Dahi Zaquan mulai berkerut. Dia menggeleng kepalanya, lantas bangun dari duduk.

Entah kenapa, aku juga ikut bangun. Kami berdua melangkah menghampiri ibunya.

"Assalamualaikum..." Zaquan memberi salam.

Salam dijawab oleh mereka semua.

"Cik Eriah... Cik Zurin... Mawar..." Zaquan menegur.

"Abang Zaquan..." Mawar membalas.

Aku memerhati Mawar. Cantik. Kecil molek orangnya. Rambut hitamnya diikat belakang. Sehelai selendang putih terletak di atas kepalanya. One word... ayu.

"Cik Zurin... saya, saya minta maaf. Tapi, saya betul-betul anggap Mawar, macam adik saya sendiri. Tak lebih, tak kurang." Zaquan menutur.

"Zaquan... budak tu tak lama mana pun dekat sini. Kalau kamu berharap nak berumah tangga dengan dia, memang kecewa jelah jawapannya. Tak lama lagi, kecoh kampung kita. Silap hari bulan, musnah tempat tinggal kita ni Zaquan. Sudah-sudahlah tuu... jangan ikut jejak langkah ayah kamu. Tak pasal, mati kamu kena pancung, Zaquan."

"Cik Zurin!" Sepertinya, Zaquan sudah tidak terdaya menahan amarah.

Ayah Zaquan, mati kena pancung? Apa maksudnya? Zaman apakah ini? Masih ada hukuman pancung ke? Dan... kenapa Cik Zurin tak boleh terima aku? Sebab aku orang luar? Sebab aku bukan berasal dari sini?

"Aku ingatkan kau, sebab aku sayang kau macam anak aku sendiri, Zaquan. Tak ada maksud lain. Sudahlah Eriah, Zahrah... aku minta diri dulu." Mak Cik Zurin terlihat bersalaman dengan mereka berdua yang disapanya.

"Kau... bawa-bawalah ingat keluarga kau di sana. Di sini, bukan tempatmu. Pulang, sebelum kau menyusahkan kami semua." Mak Cik Zurin berkata padaku.

Huluran tanganku diabaikan Mak Cik Zurin, namun dijabat mesra oleh anaknya, Mawar.

❄️

"Arghhh! Panas!" Zaquan tiba-tiba menjerit, kuat.

Terkejut aku dan Mak Cik Zahrah yang baru selesai solat subuh bersama. Zaquan sakit ke? Pantas, kami berdua bangun, dan keluar dari bilik.

Zaquan akhirnya membuka pintu setelah Mak Cik Zahrah mengetuk pintu biliknya berkali-kali.

Mataku membulat. Zaquan kini tidak berbaju. Ada kesan calar-calar kecil dan sedikit darah pada tubuhnya.

Rahangku jatuh apabila melihat, bawah lehernya, sebuah luka kini sedang terhasil. Kulitnya bagi dihiris oleh sesuatu... yang tidak zahir pada pandangan mataku. Calar itu menurun dari bawah leher hingga ke tengah dadanya.

Tangan, aku bawah ke mulut. Ya Allah! Apa yang tengah terjadi ni?

"Balqis!" Satu suara mula bergema, di seluruh pelusuk rumah.

Baba! Itu... suara baba! Tapi... macam mana?

"Balqis! Baliklah nak... baba rindu kamu. Mama rindu kamu... pulanglah..." Suara baba, bagai meratap dalam sedih.

Aku jatuh terjelepuk ke lantai. Airmataku mula menitis. Baba? Mama?

"Balqis... umi sayang kamu." Mak Cik Zahrah merangkul aku dalam pelukannya. "Umi dah mula sayangkan kamu. Tapi... umi lebih sayangkan anak umi, Zaquan. Tolong lepaskan dia. Pulanglah... pulanglah ke duniamu, Balqis."

"Tak! Umi! Zaquan sayang dia!" Zaquan datang melutut di hadapanku dan ibunya. "Balqis... jangan pergi. Zaquan sayang Balqis..."

"Sayang... baliklah. Mama rindu Balqis... please... balik..." Suara mama kedengaran menyeru dan merayuku untuk pulang.

Aku nak mama... aku nak baba...

Tapi, Balqis nak Zaquan juga...

"Argh!" Zaquan menjerit lagi.

Dapat aku lihat, di leher Zaquan mulai terhasil kesan calar... bekas hirisan. Bagaikan kesan... sembelihan? Darah mula menitis dari kesan luka.

"Sudah-sudahlah tuu... jangan ikut jejak langkah ayah kamu. Tak pasal, mati kamu kena pancung, Zaquan." Kata-kata Cik Zurin terngiang di mindaku.

"Umi, apa ni semua? Kenapa Zaquan... jadi macam ni?" aku menyoal Mak Cik Zahrah, terketar. Takut.

"Kami... kami ialah bunian, Balqis."

Aku tersentak mendengar jawapan Mak Cik Zahrah. Bunian? Jin? Aku... hidup bersama jin selama ni?

"Mama dan baba kamu sudah carikan ustaz buat mencari kamu. Kalau kamu tak dihantar pulang segera, Zaquan mungkin akan... akan... terkorban."

"Kenapa bawa Balqis datang sini?" Aku melaung kuat. Marah. "Zaquan! Kau tahu aku ialah bangsa manusia? Kau tahu ke tak, waktu kau bawa aku ke sini?" launganku makin galak.

"Tahu... Zaquan tahu..." Zaquan terlihat sedang menahan sakit. "Argh..."

Aku lihat, luka di lehernya makin memanjang. Zaquan... aku sayang kau.

"Macam mana Balqis nak balik?" aku menyoal kepada Mak Cik Zahrah.

"Balqis... jangan. Tolonglah, jangan tinggalkan Zaquan. Zaquan ikhlas sayangkan Balqis. Tolong... tolong jangan pergi." Zaquan merayu. Airmatanya bercucuran membasahi pipi.

"Lepaskan Zaquan... niatlah di dalam hati, kamu ingat pulang. In Shaa Allah... Allah akan memudahkan urusanmu." Mak Cik Zahrah memberitahuku.

"Balqis... jangan..." Zaquan merayu lagi.

"Zaquan... Balqis sayang Zaquan... tapi... kita dari dua bangsa yang berbeza. Penciptaan kau dari api, manakala aku dari tanah. Engkau adalah jin, dan aku pula ialah manusia. Allah telah berfirman dalam surah An-Nahl, ayat ke 72 yang bermaksud... 'Dan Allah telah menjadikan bagimu pasangan, dari jenis kamu sendiri'. Zaquan... aku bukan dari jenismu, dan kau bukan dari jenisku. Dunia kau dan aku berbeza, kita tak akan bersatu seperti yang kita impikan. Lepaskan aku, dan aku akan cuba untuk melepaskanmu." Aku menutur bersama rasa perih di dada.

Mata, aku pejam. Airmataku mulai mengalir. Balqis... sudah-sudahlah sayang. Marilah, kita pulang. Aku memujuk diriku.

Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah...

Mata, aku buka. Wajah mama dan baba, terlihat sugul tak bermaya. Aku ditarik ke dalam pelukan mereka. Aku, masih berada di hutan yang sama.

Aku... ikhlas melepaskanmu, Zaquan.

❄️❄️❄️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro