Bab 5
Moroccan Pavilion
DARI Kota Damansara, Qaisarah memandu Prevenya. Kebetulan adik Viviana meminjam Toyota Priusnya. Kereta yang ditempah oleh ayahnya untuk adiknya belum sampai lagi.
"We are seriously late," kata Viviana dengan cemas. "Boleh laju sikit tak?"
Rakannya melepaskan keluhan panjang. "You pun tahu, I tak suka bawa laju-laju."
"Kali ni aje."
"I tak kahwin lagi."
Alasan sama kalau diminta buat sesuatu yang membahayakan nyawa. Well, it's just a joke.
"Kita sama-sama belum kahwin, tak ada bezanya," tingkah Viviana yang gemar mengenakan penutup kepala ala turban kesukaan Yuna.
Qaisarah pula lebih selesa dengan tudung bawal warna-warna pastel dengan sedikit hiasan renda. Dia memecut sedikit. Lebuh Raya Elite agak lengang ketika itu. Malas dia nak mendengar Viviana bising kalau dia memandu macam kura-kura.
"You nak boyfriend yang macam mana?" Qaisarah bertanya meskipun dia sudah lama dapat mengagak jawapannya.
"Macam anak Puan Faezahlah, Wan Afnan Wazif."
"Oi, jejaka kayangan tu."
Viviana tergelak manja. "Tahun ni I dah berazam. Dulu masa mula-mula masuk ofis tu, I ternampak dia aje, I dah made-up my mind."
Qaisarah mencelah, "Nampaknya you yakin sungguh. Kalau tak silap I, you pernah cakap yang dia tu kan bukan jenis layan perempuan."
Gadis di sebelahnya itu merenung di kejauhan. Cuaca sudah mulai mendung. Harap-harap itu bukan petanda hujan akan turun.
"I dah tahu kenapa dia macam tu," seru Viviana yang rajin bersolek dan nampak bergaya dengan busana yang sepadan. Sebagai influencer dia kena jaga standard. Baju biru dengan kasut biru dan beg tangan biru. Anak orang berada yang sudah dilatih untuk nampak anggun setiap masa.
"Sebab dia nak kumpul duit nak jalan-jalan di Europe."
Preve sudah tiba di persimpangan kiri menghala ke Putrajaya.
"Itulah, kan? Seronoknya. Kalau perempuan macam kita, bahaya jalan seorang. Kalau lelaki, tak ada masalah langsung."
Viviana tersengih. "Ada juga bahaya kalau masuk perangkap gay. I selalu doakan Afnan selamat."
"Belum apa-apa you dah doakan dia?"
"Tak salah, kan? Kita kena doakan kawan kita, guru kita, bos kita... Untung-untung gaji naik."
Mereka tergelak bersama. Walaupun jarang berjumpa kerana kesibukan masing-masing, mereka tetap rajin berbalas mesej WhatsApp.
"I rasa, balik dari Europe nanti, Afnan akan kahwin." Yakin betul Viviana. "So..."
Setelah Viviana membisu beberapa ketika, Qaisarah menyoal kembali, "So?"
"I nak pikat hati mama dia."
Preve makin mendekati Moroccan Pavilion yang terletak bersebelahan Taman Botanikal. Tidak jauh dari situ ada tasik yang cantik dengan airnya yang tenang.
"Seriuslah, eh?"
"Serius."
"Nasi dagang tadi tu salah satu agendanya?" Qaisarah ingin tahu.
"Dah tentulah."
Tiba-tiba seorang lelaki berkulit sawo matang muncul di sebalik rimbunan pokok bunga butang warna ungu. Dia melambaikan tangan ke arah mereka.
"Eh, stop! Stop!"
Qaisarah terus menekan brek. "Tu ke Rajveer?"
"Oh... Sorry. You tak pernah jumpa dia, kan?"
Rajveer menghampiri Preve dan mengarahkan supaya kereta diletakkan di sebelah kiri.
"Kita dah set meja sebelah tasik," sahut lelaki itu. "Err, ni kawan you?"
"Takkan musuh pulak?" tempelak Viviana seraya menjeling manja. "Nilah Qaisarah."
Rajveer dan Qaisarah berbalas senyuman. Mereka memang tidak pernah bersua.
"Nak panggil apa?" soal Rajveer.
"Qai."
Rajveer tersenyum kecil. Suka dia tengok wajah Qaisarah yang ayu dengan lesung pipit di pipi kanan. Lembut sahaja air mukanya.
"Oi, cepatlah angkat!" arah Viviana ke arah rakan sepejabatnya itu. "I nak cari toilet ni."
Mentari mulai mengintai di celah awan. Tidak ramai yang dapat hadir kali ini tetapi suasana cukup meriah.
Nasi dagang Viviana popular sungguh. Sekejap sahaja habis. Ada yang kata, nak order untuk makan dengan famili. Hesy, tak ada makna, kata gadis itu. Bab business dia memang tak minat. Tidak seperti ayahnya.
'Kalau Puan Faezah order... hah, tu lain kisahnya.' Hati kecil gadis itu berbisik. Demi Afnan, dia sanggup buat apa sahaja. Ah, begitu. Meluat, kan?
Hampir dua jam kemudian, sedang mereka mula mengemas, Rajveer yang sedang menatap telefon bimbitnya tiba-tiba jadi teruja.
"Wah... Wah... Wah..." Nada suaranya girang.
Semua di situ termangu-mangu.
"Tengoklah Afnan hantar foto!" laung lelaki itu.
Mereka terus berkerumun nak tengok kecuali Qaisarah. Dia sibuk mengemaskan meja, membuang cawan dan bekas plastik serta mengutip kertas tisu yang berselerak.
Rajveer menjeling ke arah gadis itu. Ada sesuatu pada air mukanya membuatkan sesiapa memandang terasa tenang.
Foto-foto Afnan mengundang pelbagai reaksi daripada mereka di situ. Mata masing-masing terbeliak penuh keterujaan. Ada foto bangunan, foto rimbunan bunga di tepi laluan, ada sudut menarik trem sedang melintas di jalan empat lorong.
Sebagai seorang arkitek, sememangnya foto yang diambil oleh lelaki muda itu mengandungi nilai estetika yang unik.
"Cantiknya interior dalam airport," puji Viviana.
"Vivi, kenapa you tak ikut dia?" soal Rajveer tiba-tiba. "Duit you banyak."
Gadis itu hanya tergelak pendek. Bahagia dia sebab sekurang-kurangnya Rajveer tahu bahawa dia sukakan Afnan. Huh, kalau seluruh ofis tahu, pasti tiada sesiapa yang berani memikat lelaki idaman ramai itu.
"Maybe someday."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro