Bab 3
Quentin Arrive Hotel
SEJURUS selepas mengambil bagasi, Afnan mengikuti papan tanda menuju stesen kereta api lapangan terbang. Dia terus membeli OV-chipkaart. Kad itu akan memudahkannya untuk ke mana-mana. Hanya swipe bila menaiki kereta api, bas atau trem.
Perjalanan ke Amsterdam Centraal Station memakan masa 14 minit sahaja. Persekitaran sungguh bersih dan teratur.
Bayu menyapa wajah Afnan tatkala dia keluar dari stesen kereta api terbesar di Netherlands itu. Suhu 13°C. Cuaca baik. Gerimis sudah menghilang. Namun kedinginan terasa terutama apabila angin bertiup.
Gugusan kuning sternbergia, putih gladiolus dan cyclamen merah muda menghiasi setiap laman kecil di laluan pejalan kaki.
Di sana sini kelihatan beberapa orang pantas melangkah ke destinasi masing-masing. Manakala penunggang basikal tenang menyusuri laluan yang dikhaskan untuk mereka. Sesekali terdengar bunyi loceng memberi amaran kepada pejalan kaki.
"Two months of holiday starts today!" kata Afnan seraya mengeluskan jari-jemari di celah rambutnya yang berombak kasar.
Ya, dia telah membuat perancangan yang teliti. Bajet, penginapan dan segala yang perlu untuk mengembara di bumi Eropah.
Bukan setakat Netherlands tetapi kakinya akan menjejak bumi Belgium, Perancis, Switzerland, Austria, Jerman dan Itali. Insya-Allah. Segala yang unik terutama tentang seni bina akan dirakamkan dan dikongsi di media sosial.
Di dalam minda anak muda itu sudah ada peta ke Haarlemmerstraat 65. Di situlah terletaknya Quentin Arrive Hotel. Tempahan sudah pun dibuat secara dalam talian.
Hotel itu cuma terletak 700 meter dari stesen kereta api. Hotel setinggi lima tingkat itu telah dibina pada tahun 1800. Dengan konsep Neo-Renaissance, ia memiliki elemen hiasan melengkung di arca tingkap dan cornice bermotif bunga-bungaan.
Bau kopi dan beraneka ban, roti, pai dan kek dari bakeri berdekatan menggamit selera. Namun agendanya kini cuma satu – untuk check-in dan merebahkan tubuh yang lesu di atas katil yang, harap-harapnya gebulah.
"Welcome!"
Lelaki di kaunter resepsi yang berbahasa Inggeris telo Belanda itu mengalu-alukan ketibaan Afnan. Urusan check-in begitu mudah dengan menggunakan kad kredit.
"You will be staying for three nights?"
Afnan mengangguk. Selepas mendapatkan kad akses ke bilik penginapan, dia terus naik ke tingkat dua. Bilik berkatil single itu sedang elok sahaja besarnya. Yang penting, nampak bersih dan kemas.
Usai mandi, dia berbaring seketika. Entah berapa lama kemudian, dia tersentak bangun. Biliknya tampak sungguh suram. Afnan mengerutkan dahi, kepalanya terasa berpusing.
Ada bunyi hembusan nafas kasar tiba-tiba laju melintasi gegendang telinga. Bulu romanya merinding. Serta-merta muncul cahaya samar-samar dari jauh, diiringi bayangan berkaki empat.
Afnan menjerit tatkala bayangan itu menerpa ke arahnya. Sempat dia bertentang mata dengan sepasang mata kuning dan muka berbelang kuning-hitam itu! Allahuakbar!
Deringan telefon mengejutkan lelaki itu yang akhirnya membuka mata seraya bangun dengan pantas. Allah! Afnan meraup wajahnya lagi. Mimpi apakah ini?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro