Bab 1
Abu Dhabi International Airport
SETELAH hampir tujuh jam, pesawat EY 411 Etihad Airways mendarat di Abu Dhabi. Perjalanan dengan Boeing 787-9 yang serba canggih itu sememangnya selesa.
Wan Afnan Wazif membelek jam di tangan. Transit 2 jam 45 minit. Dia mencongak di dalam minda. Solat, habiskan satu jam di kedai buku dan... makan?
Mungkin tidak! Makanan yang dihidangkan di dalam pesawat amatlah enak, dia masih kenyang sehingga ke saat itu.
'Mungkin aku kena singgah cuci mata di kedai souvenir. Alamak, jangan lupa pesanan Miela dan Ziela yang mahukan souvenir sama.'
Memori anak muda itu ternoktah tatkala langkahnya tiba di hadapan papan tanda elektronik. Pesawat EY 77 akan berlepas dari Gate 38. Tiada perubahan. Namun begitu, kena juga check sekali-sekala.
Tak, dia tak risau andai kata penerbangan diubah misalnya ke Gate 57. Dia yakin dia boleh berlari pantas. Dia cuma risau kalau tak sempat untuk membeli cenderamata buat adik-adik kembarnya.
'Hesy, rindu pula keletah mereka bila dah berjauhan begini,' bisik Afnan kepada dirinya sendiri. Rindu mama, tentunya. Rindu abah walaupun dia hanya ayah tiri.
Dr. Zain Al-Sagoff seorang pakar pediatrik di Subang Jaya Medical Centre. Dia berkahwin dengan mama semasa Afnan berusia enam tahun.
Usai menunaikan solat isyak, Afnan ke kedai buku WHSmith. Kedai buku tersohor yang mula beroperasi pada tahun 1792 di London itu sudah mempunyai 1,700 cawangan di seluruh dunia.
Afnan membelek beberapa buah novel. Karya Stephen King memancing minatnya. Kebanyakan daripada 63 karya novelis itu memenangi pelbagai anugerah. Tidak kurang juga dijadikan filem yang meraih box-office.
The No. 1 Bestseller, Billy Summers. Afnan mencapai novel setebal 529 muka surat itu. Kisah crime yang pastinya penuh muslihat. Stephen King tidak pernah mengecewakan.
Semasa di kaunter, Afnan sempat mencapai senaskhah majalah Architects' Journal. Dengan 28.5K pengikut di Facebook, ia antara majalah terbaik tentang segala yang berkaitan dunia arkitek.
Di hujung kaunter, Afnan ternampak rak berpusing yang mempamerkan realiti kepada impiannya, fridge magnets!
Oh? Ya! Daripada rak berpusing, ke sebelah kanan sedikit, ada tempat menggantung dompet-dompet kecil dengan tulisan 'Welcome To Abu Dhabi'. Menariklah untuk Miela dan Ziela.
Selain boleh menyimpan duit, boleh juga letak telefon bimbit. Lelaki muda itu menarik nafas lega. Tidak perlu lagi mencari kedai cenderamata. Setelah membuat bayaran, dia terus mencari arah ke Gate 38.
Suasana lapangan terbang yang menjadi pusat utama Etihad Airways memang sibuk. Di sana sini ada kelompok jemaah yang berpakaian ihram sedang mendengar penerangan mutawif mereka.
Terbang ke Jeddah hanya mengambil masa tiga jam sahaja dari situ. Suara mama yang berulang kali menasihatinya untuk terus menunaikan umrah berkumandang di cuping telinga Afnan.
Sebagai pensyarah Hospitality and Tourism Management di Management and Science University, Puan Faezah memang arif kalau bercakap bab berkaitan travel.
Afnan ingat lagi lirikan mama ketika itu. Hendak marah, tak jadi. Hendak mendesak, tak patut. Hendak dipaksa, tak kena. Sama macam kes nak suruh anak lelakinya itu mencari calon isteri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro