Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 9

Belukar sudah menjadi rimba,

Abang menunggu sepanjang usia.

Dunia bergelut dan sengsara untuk SPM sudah lama ditinggalkan. Berbekalkan keputusan SPM yang selalu membuat dia tersengih-sengih sendiri tidak percaya, Adib dan sayap kanannya, Adon serta sayap kirinya, Arep, memohon masuk ke sebuah pusat asasi di Petaling Jaya. Dan pejam celik, pejam celik, tak sangka segala ribut, segala pusaran, segala kegilaan berjaga malam, melompat pagar, menyusup longkang dan bermain kejar-kejar manja dengan pak guard berakhir juga dalam tempoh genap setahun.

"Yaribba! Yaribba!"

Adib dengan pinggul yang kurus bergelek gembira di tepi koridor blok Umar Al-Khattab.

"Bye-bye, foundation! Aloha, degree!" jerit Adon melepaskan tekanan. Muka yang bertabur dengan jerawat itu cukup buat penanda aras betapa sengsaranya sepanjang tempoh menghabiskan pengajian.

"Aku rasa nak pergi hantar pisang sama anggur tak ada biji bila dah lepas dunia curfew dekat sini," sampuk Adib yang tetap berlenggang saja sewaktu mahu berkemas pulang.

"Hah, aku rasa pak guard dengan mak guard kot yang buat pulut kuning sama rendang ayam pencen sebab kau dah tak ada dekat sini, Apek," balas Arep tersengih-sengih sambil mengutip baju kotornya yang bertimbun tidak dibasuh.

"Eceh! Ceh! Ceh! Kalau tak ada Apek ni, kau orang kebulur kot tengah malam. Siapa berani menyusur dekat longkang besar nak cari nasi bujang dekat Seksyen 17 tu? Apek inilah penyelamat cacing kerawit yang tak cukup makan dalam perut kau orang tu!" Adib membalas sambil mengenyit mata nakal.

Dunia di kolej dahulu memang penuh undang-undang namun daerah pembelajaran untuk program asasi itu tidak kurang ketatnya dengan segala peraturan. Adib, Adon dan Arep terbahak-bahak sendiri menutup episod-episod melanggar peraturan di situ untuk berhijrah ke dunia yang lebih bermakna.

"Ikutkan memang rasa nak berhenti belajar, kan? Boleh jadi gila dibuatnya. Setahun asasi, 4 tahun degree. Kalau sangkut, tambah setahun lagi. Aigooo!" Adib menggeleng sendiri.

"Apek... Tapi kan, kalau kau tahu ni... Mesti kau sanggup belajar 10 tahun lagi. Aku rasa, kalau extend pun kau sanggup kot!" Adib menoleh ke arah Adon. Berkerut dia mendengar kata-kata Adon. Arep sudah tersengih.

"Kau agak apa?" Arep menyakat.

"Apa benda kau merepek ni?"

"Aku rasa jodoh kau ada dekat sinilah!"

"Jodoh?"

"Alah jodoh kau!" Adon dengan bibir yang menyeringai mengangguk.

"Mengarutlah!"

"Sungguh! Aku rasa aku macam ternampak dialah!" Arep pantas mengeyakan.

"Merepeklah kau! Kau jangan acah-acah dengan aku!" sergah Adib yang ada ketika sensitif apabila nama Esya cuba disebut-sebut.

Setahun yang menjerihkan sudah berlalu. Putik-putik bunga kemboja mula berkembangan mengapungkan aroma manis di segenap ruang halaman kampus. Angin gunung yang tidak jemu-jemu bertasbih pada pencipta-Nya turut sama mengiring pemergian along. Setitik air mata Esya jatuh di bahu Mama Jarah sewaktu memeluk dirinya.

Sebak rasa apabila Mama Jarah mengucup dahinya sambil menitipkan doa, semoga anakanda yang baru mendaftar untuk tahun 1 pengajian itu, sentiasa dilindungi dengan kasih Allah S.W.T. Sinar lembut matahari yang terlindung di sebalik awan-awan yang carik di sepanjang langit terbuka tentu dapat merasakan gelodak batin Esya. Semakin usia meningkat dewasa, semakin mudah hati kecilnya menyaring rasa dan makna hidup.

Pahit dalam dada tetap tidak dapat disingkir apabila melihat orang lain ditemani ibu dan bapa. Dia cuma ada Mama Jarah di dalam hidup.

Peringkat awal segala-galanya berjalan lancar. Minggu orientasi itu menyeronokkan. Tapi belum pun sampai dua puluh empat jam sesi taaruf itu berlangsung, ada sesuatu yang membuat Esya rasa senak perut. Kecil besar, kecil besar matanya mengamati pelajar lelaki yang ada di sebelah kanan.

"Ya Allah! Wei, biar betul!" Esya yang memandang berderau darah. Tidak berkelip matanya cuba untuk fokus. Kelibat itu seperti biasa dia nampak. Rasanya dia tak salah orang! Dicubit sedikit lengan kanannya, sakit. Dia memang tidak bermimpi. Tapi...

"Kenapa?" Rinn menegur. Aneh melihat rakannya pucat tidak semena-mena.

"Kau nampak tu?"

"Nampak apa?"

"Tu... Tu depan tu!" Mulut Esya sudah muncung ke arah pemuda di hujung sana.

"Mana?" Kecil mata Rinn mencari arah yang ditunjuk Esya.

"Allah! Yang kurus-kurus, rambut berceracak tu!"

"Adib!!!"

Longlai langkah Esya apabila memang Rinn turut mengeyakan apa yang dilihatnya tadi.

"Gosh! Dia pun masuk sini ke?"

"Yalah kot!"

"Selama ni Apek buat asasi dekat mana, ya?"

Puas Esya memikirkannya. Enam bulan dia di Petaling Jaya sebelum ke Gambang, Pahang dan kemudian kembali ke Kuala Lumpur, tak pernah pula terserempak dengan kelibat Apek. Eh, lelaki ni memang halimunanlah sejak kolej! Dah tu, tiba-tiba aje muncul balik. Macam ikan paus.

"Alah, buat tak kenal sudahlah! Itu pun kalau dia duduk hostel. Kot dia duduk rumah sewa, memang kau berselisihlah dengan dia!" Rinn cuba positif.

"Tapi kalau kita pun tak dapat duduk hostel, kita kena duduk rumah sewa, mesti sama kawasan, kan?"

Bingkas Esya tidak senang duduk. Segala memori sewaktu zaman persekolahan mereka mula menerjah kembali ke dalam kotak ingatannya.

Aduh, sudahlah waktu terakhir kali mereka berjumpa, dia pun sempat membuat ala-ala cerita Korea. Cerita konon-konon cinta tak kesampaian, yang tergantung di tengah jalan. Aduh! Manalah dia tahu nak jumpa balik si budak Adib ni. Habislah!

"Weh, seriuslah! Takkan kita jumpa Adib balik?"

"Hahaha tu namanya jodoh!" Rinn sedap membahan sebelum ketawa berdekah-dekah.

"Loya! Choiii!!"

"Ada berbelas IPTA dengan IPTS kenapalah dia masuk sini?" Esya masih istiqamah merungut. Betul-betul tidak dapat menerima.

"Cool! Chill aje dahlah! Buat tak reti aje."

"Aku mohon sini pun sebab tak mahu sekampus dengan dia. Awat dia kat sini?"

"Dah dia pun dapat sini. Nak buat macam mana?"

"Aku ingat dia tak mohon dekat tempat orang berjubah berniqab ni!"

"Apek ni kan unpredictable!"

"Hesy!"

"Alah, buat tak reti ajelah!"

"Aku tak sukalah! Dahlah dulu macam-macam hal dengan dia."

"Relaks dahlah! Bukan kau dengan dia dah berdamai ke sebelum SPM?"

"Memanglah aku dah mintak maaf, tapi susah nak cakaplah!"

"Ada apa?" Rinn berkerut memandang Esya. Simpati pada sahabat karibnya yang tanpa sebarang isyarat, menjadi tidak keruan.

"Apa pasal ya aku rasa tak sedap hati? Rasa macam serba tak kena. Macam nanti ada benda aje nak jadi."

"Kau nak datang bulan tu! Sebab tu jiwa kacau!"

Terdiam Esya mendengar kata-kata Rinn. Tapi, huh! Susah dia nak bayangkan kalau dia bertembung dengan Adib sekali lagi. Ditakdirkan mereka bertentang mata, manalah dia hendak sorokkan muka. Sejak kejadian histeria yang satu itu, dia benar-benar terasa tebal dan sebal kulit muka.

Kenangan seperti mahu dibiar hilang larut dalam ingatan. Tamat pengajian di kolej, selesai SPM, grup WhatsApp batch pun dia tak mahu serta. Entah kenapa rasa canggung dan kekok hanya semata-mata ada nama Adib dalam kelompok batch di tingkap hijau itu.

Pendaftaran baik-baik sahaja. Mendaftarkan kursus pun tiada masalah. Minggu orientasi yang melelahkan itu juga dilalui dengan reda. Sempurna sudah tujuh hari yang menjerakan. Saat yang dinantikan muncul dengan penuh debar.

Semua resah terbasuh dalam masa beberapa saat memandang keputusan. Esya dan Rinn terasa mahu terjelepok dan meraung apabila melihat papan notis di dewan utama. Mimpi ngeri menjadi nyata.

Memang mereka telah dimaklumkan, hanya sebahagian sahaja diterima menginap di hostel. Namun, Esya tidak pernah terfikir namanya tersenarai dalam kelompok yang gagal mendapat tempat.

"Allah! Kita ni kena curse ke?" Hampa, kecewa dan lelah terasa jiwa Esya apabila melihat namanya tidak tersenarai daripada mereka yang dapat penginapan hostel di dalam kawasan kampus.

"Tak jauh mana, kan? Luar ni aje." Rinn cuba menenangkan.

"Memanglah. Tapi lecehlah kalau kita tak duduk dalam."

Dalam fikiran Esya sudah terfikir seribu perkara. Duduk di luar bermakna serba-serbi harus lebih gigih dan kena berdikari. Mesti bangun awal pagi, kejar bas, kejar pintu kuliah. Dan kalaulah ditakdirkan hujan, haruslah berkhemah di mana-mana dulu di kawasan kampus sebelum pulang ke rumah sewa. Allah! Rumah sewa?

"Babe! Tengok ni!" Jari telunjuk Rinn menuding ke arah satu nama. Melekat mata Esya ke situ.

"Adib pun kena duduk luar."

"Huh?!"

"See... Geng-geng dia pun sama!" Ada jerit seronok pada bibir Rinn.

"Eee, kau suka ke?"

"Taklah. Sekurang-kurang adalah geng satu kolej zaman SPM. Adalah juga kawan yang kita kenal."

Esya menggumam sendirian. Jauh dalam sudut hati, tidak henti-henti berdoa. Janganlah ada kursus atau subjek yang diambil Adib sama kelas dengan dirinya. Mahu mati kering dia nanti!

Fikiran Esya terus berputar ligat. Kenangan sewaktu di lingkungi daerah dunia pengajian asasi di Petaling Jaya itu kembali bermain dalam ingatan. Ya Allah! Betullah mamat Apek ni ada di Petaling Jaya dulu! Sungguhlah memang dialah yang dicerita kawan-kawan perempuan yang lain.

"Kenapa kau terdiam, babe?" soal Rinn.

"Teringat waktu kita dekat PJ."

"Pasal apa?"

"Kau ingat tak waktu bulan puasa, kisah budak-budak lelaki yang main mercun bom, bubuh mercun dekat pokok..."

"Aha... Kenapa?"

"Aku dah rasa tak sedap masa tu. Cara menyakat, mengacau pak guard dengan mercun bubuh dekat pokok tu semua sama macam cara Si Apek ni zaman kita dekat kolej waktu nak SPM dulu. Hati aku dah terdetik. Ini macam Si Apek. Tapi tak pernahlah terserempak dengan dia. Tu yang rasa bukan kot!"

"Yalah, nak jumpa macam mana kalau group kelas kita tak sama. Studen yang ambil asasi pula beribu sekali intake. Tu yang kita tak terserempak dengan mamat tu."

"Allah saja selisihkan! Simpang malaikat 44 kalau kita terjumpa dia. Mesti malapetaka! Segala bencana mamat tu buat, kacau hidup kita."

"Hesy! Tak baik kau, Esya! Adib tu bukannya jahat sangat. Aku dengar dia tu terus exit group tilawah. Terror maknanya tu bab mengaji segala."

"Huh! Teori aje mamat tu pandai."

"Mengaji mana boleh teori, wei!" Rinn tergelak apabila melihat wajah cuak dan benci Esya pada Adib tidak dapat disembunyi.

"Agaknya dia kot yang ada budak-budak heboh cerita, budak lelaki asasi engine kena kejar dengan pak guard dekat kafe."

"Cerita yang mana pula ni?"

"Alah, kan selalu kita dengar, ada budak lelaki yang degil ketegaq. Masuk kafe pakai bermuda warna pink bunga-bunga. Selamba badak pakai seluar pendek. Tu mesti Si Apek! Siapa lagi? Bukan seluar tu ke selalu dia pakai ke hulu ke hilir masa kita prep nak SPM dulu?"

"Ya Allah, betullah tu kot!" Rinn menepuk dahi apabila teringat sesuatu.

"Tapi eh, banyak benda pasal Si Adib tu kau ingat ya, Esya," usik Rinn dengan wajah tersenyum nakal.

"Dah dia jahat macam syaitanirrajim! Tu yang bila terdengar cerita macam ni masa dekat kampus asasi tu, aku rasa macam dia. Tapi yalah, sebab kita tak pernah ternampak dia, tak berani nak tuduh," balas Esya pantas dengan muka yang sedikit serius. Berdebar sebenarnya jantung apabila Rinn menangkap sesuatu yang terdetik dalam hatinya.

"Alah, budak lelaki ni payah nak kita agak. Nakal tetapi kadang-kadang hati baik. Mulut jahat, hati putih. Pakai seluar jean koyak lutut, pinggang terlondeh nampak boxer, baju pun kepam. Tapi itulah, kalau macam Si Adib tu memang dari dulu aku kagum juga. Bab mengaji, solat memang cemerlang gemilang terbilang."

"Huh!" Terjuih bibir Esya apabila mendengar pujian Rinn pada Adib. Lelaki itu... Lelaki kurus itu, perangainya selalu saja bikin ribut dalam dada, bisik Esya dalam hati namun ada gelombang kecil yang membadai di jiwa.

"Ingatkan dah tak menghadap ayahanda, Pak Hassan dengan Ustaz Mat Shahrul, dah bebas! Boleh berlari satu stadium kampus ni bawa bendera tanda merdeka. Hampas betullah!" Adib merungut-rungut apabila surat saman pak guard entah dah berapa banyak terselit dalam dompetnya.

"Haha! Relakslah! Macam tak biasa!"

Panjang berjongket muncung Adib. Muka yang memang kurus tirus itu semakin labuh dagunya.

Hari pertama dia sudah dihambat dengan jaga gara-gara pakai seluar paras lutut macam mahu ke Laut Timur sewaktu ke padang. Hari kedua sebab lewat berjemaah.

Bagi Adib, seminggu yang berlalu terasa hidup dalam penjara. Dia terpelanting di situ bersama Arep dan Adon. Saat itu segala kenangan di kolej berlegar di depan mata. Huh, taklah azab mana sebenarnya dulu!

Rindu datang menderu! Barulah dia rasakan pagar kolej tidaklah sekejam dan setajam duri-duri kawat yang bergulung pada sekeliling tembok kampus. Jadual kampus tidak sama macam zaman SPM, namun leteran dan jegilan tenaga pengajar terasa amat dirindui kala itu.

"Gilalah, wei! Aku asyik kena main kejar-kejar dengan pak guard aje!" Dia berkeluh pada Arep dan Adon.

"Bro, chill! Tak lama kau mesti suka duduk sini!" Arep mengenyit mata nakal.

"Apa kes aku nak suka sangat duduk sini?"

"Guess what?"

"Apa kes ni?"

"Esya kat sinilah! Jodoh kau nanti confirm lalu-lalang depan kau lagi!" Berdekah-dekah gelak Arep. Adib terbeliak seperti tidak percaya. Adon mengeyakan.

"Sembanglah kau orang ni!"

"Aku terserempak dengan Esyalah tadi!" Adon bersungguh-sungguh bercerita.

"Eh, dia bukan ke ambil farmasi?"

"Taklah! Dia sama dengan kita nanti kot. Tapi tak tahulah. Kot dia tahu Apek kat sini dia rasa badi, dia tukar kursus lain pula!"

Bulat mata sepet Adib memandang dua sahabatnya. Bercahaya sungguh wajah itu. Senyap seketika mulut itu daripada membebel dan merungut.

"Wah! Baru seronok! Baru rasa macam ada hiburan sikit!" Adib sudah angkat kening terseringai girang.

"Hah! Kau jangan nak buat bukan-bukan macam dulu, Apek!"

Hilang rasa terbeban dek gara-gara tidak dapat asrama. Mendengar nama Esya saja sudah cukup memberi semangat buat Adib.

"Kau syok kat dia betul-betul ke, Apek?" tanya Arep yang kadangkala memang keliru dengan perangai Adib. Payah dia mahu meneka hati lelaki yang seorang ini.

"Alah, saja suka-suka sakat dia. Minah tu kan cepat gelabah. Perempuan ni kalau kita tak buli, tak best la, kan!"

Menggeleng Arep dan Adon mendengar jawapan Adib. Tapi memang seingat mereka, entah mengapa sejak di kolej, gadis itu yang memang kurang sabar dengan Adib. Ada saja mahu bercakar.

"Minggu ni aku balik tau. Angkut barang apa yang patut!"

Arahan untuk mereka pindah sudah dikeluarkan. Masing-masing yang tidak mendapat bilik hostel diberikan penginapan di kawasan Sri Harmonis yang berhampiran.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro